SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

TERKINI DAN TERHEBAT

Monday, September 16, 2013

UMNO Online - “Keharmonian Dan Toleransi Penduduk Berbilang Kaum Asas Terpenting Keutuhan Malaysia” plus 2 more

UMNO Online - “Keharmonian Dan Toleransi Penduduk Berbilang Kaum Asas Terpenting Keutuhan Malaysia” plus 2 more

Link to UMNO Online

Keharmonian Dan Toleransi Penduduk Berbilang Kaum Asas Terpenting Keutuhan Malaysia

Posted: 15 Sep 2013 03:56 AM PDT

KUALA LUMPUR, 15 Sept — Keharmonian dan toleransi penduduk berbilang kaum adalah asas terpenting yang perlu dipupuk untuk menjadi tunjang dan tonggak negara Malaysia yang utuh, berwibawa dan dihormati, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata tanpa keharmonian dan toleransi, setiap usaha pembangunan
tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana rakyat sentiasa bercakaran
sesama sendiri sekali gus kelak melumpuhkan kesejahteraan yang diusahakan sejak negara belum mencapai kemerdekaan lagi.

“Kita harus akui dan memberi pengiktirafan kepada setiap usaha kerajaan untuk membangunkan negara dan pada masa sama mengisi keperluan rakyat secara keseluruhannya, tugas itu tidak mudah dan menuntut komitmen serta pengorbanan yang bukan sedikit,” katanya dalam perutusan sempena Jubli Emas Hari Malaysia ke-50 yang akan disambut esok.

Tegas Muhyiddin, kerajaan sejak zaman kepimpinan Almarhum Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj sehingga sekarang, tidak pernah mengetepikan hak rakyat di negara ini biar apa pun kaum atau agama anutan mereka.

Katanya Perlembagaan Persekutuan menjadi asas serta panduan bagi memastikan hak asasi rakyat tidak disisihkan, dan kerajaan, dari semasa ke semasa, melaksanakan pelbagai usaha dan program untuk mengisi keperluan rakyat baik dalam bentuk pembangunan fizikal mahupun pengisian rohani.

Justeru, Muhyiddin menggesa semua rakyat Malaysia agar mensyukuri setiap nikmat yang telah dan akan diperoleh.

“Hakikatnya, tanpa sumbangan serta penglibatan setiap golongan masyarakat di Malaysia, kita tidak akan dapat berdiri seperti sekarang ini,” katanya.

Juga penting, kata Muhyiddin, adalah memastikan gandingan rakyat dan pemerintah yang mantap diteruskan supaya Malaysia dapat terus membangun dan gemilang.

Katanya rakyat yang kuat dan pandai membuat penilaian tidak akan terjerumus ke dalam apa juga kancah yang cuba ditimbulkan oleh pihak tidak
bertanggungjawab.

Muhyiddin berkata kerajaan menerusi dasar dan program yang diperkenalkan termasuk yang terbaharu, Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, sentiasa memberi ruang yang amat luas kepada rakyat Malaysia tanpa ada sempadan atau batasan baik di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak, rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Menekankan signifikannya sambutan Jubli Emas Malaysia, Muhyiddin berkata penyatuan negeri-negeri di Semenanjung tanah air dengan Sabah dan Sarawak berjaya melahirkan negara Malaysia yang unik, harmoni dan pesat membangun.

“Sejarah membuktikan bahawa usaha menyatukan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung bersandarkan hasrat murni barisan kepimpinan terdahulu yang mahu melihat Malaysia secara keseluruhannya bergerak seiring dalam mengisi denyut nadi pembangunan,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata penyatuan jiwa bangsa di bawah nama Malaysia dapat menyerlahkan lagi keunikan serta kepelbagaian penduduk di negara ini sekali gus menjadikannya destinasi menarik sehingga menimbulkan rasa kagum masyarakat luar.

Tangani Persepsi Cabaran Utama Ketua Puteri UMNO- Rosnah

Posted: 15 Sep 2013 02:16 AM PDT

KUALA LUMPUR, 15 Sept — Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengakui antara cabaran utama beliau sepanjang sepenggang mengetuai Puteri Umno Malaysia ialah menangani persepsi negatif mengenai sayap itu.

Antara persepsi itu ialah anggota Puteri tidak matang selain gedik atau mengada-ngada, katanya.

“Saya tak kata kita semua sempurna kerana dalam serumpun pasti ada buah yang tidak elok. Apa yang pasti kita sentiasa sedia dan berani untuk berubah,”
katanya dalam temu bual dengan Bernama sempena pemilihan Umno 2013, di sini.

Rosnah, 41, berkata adat dalam politik pasti ada yang tidak suka dengan pihak yang dilihat mampu memberi cabaran kepada mereka.

Bagaimanapun kata ibu enam anak itu, beliau berpegang kepada prinsip setiap orang berhak mempunyai pandangan dan persepsi mengikut tafsiran mereka sendiri.

“Memimpin sebuah sayap yang dianggap bongsu bukan suatu yang mudah, namun itu adalah cabaran yang saya aku janjikan sebagai satu tanggungjawab sejak dari hari pertama dipilih,” akui Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.

Pada masa sama beliau menegaskan adalah tidak adil untuk meletakkan tanggungjawab menarik golongan muda menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) atas Puteri dan Pemuda semata-mata.

Ini adalah tanggungjawab semua, lebih-lebih lagi sekarang macam-macam persepsi dilukis pembangkang mengenai BN, sebab itu kita perlu bekerjasama dan menghasilkan formula yang lebih baik, katanya.

Beliau juga berkata agak sukar untuk menambah bilangan anggota sayap itu kerana saban tahun banyak anggotanya berhijrah secara automatik kepada Wanita Umno selepas mencapai had umur 35 tahun.

Bagi tempoh 2011 hingga Julai lepas, lebih 40,000 anggota Puteri bergelar Wanita Umno secara automatik, katanya menambah setakat ini Puteri Umno mempunyai 367,234 anggota.

Rosnah yang dipilih sebagai Ketua Puteri Umno Malaysia bagi penggal 2008/2011 pada pemilihan Mac 2009 perlu melepaskan jawatan itu pada pemilihan bulan depan kerana sudah mencapai had umur 40 tahun yang ditetapkan untuk jawatan berkenaan.

Bagi anggota biasa pula mereka secara automatik terkeluar daripada Puteri apabila mencapai umur 35 tahun.

Pada pemilihan kali ini, Rosnah yang juga Anggota Parlimen Papar akan menandingi jawatan exco Wanita.

Beliau juga berhasrat menandingi kerusi Majlis Tertinggi namun perkara itu hanya akan dimuktamadkan pada mesyuarat Umno Sabah 17 Sept ini.

Ditanya mengenai peluang dirinya, Rosnah yang dikenali sebagai seorang yang lemah lembut berkata: “Saya serahkan sepenuhnya kepada perwakilan Wanita untuk menilai diri saya dan saya ingin bersama-sama mengukuhkan saf Wanita demi Umno”.

Penyertaan Sabah Dalam Malaysia Bukan Usaha Sia-Sia – MP Kudat

Posted: 15 Sep 2013 02:10 AM PDT

KUALA LUMPUR, 15 Sept — Selepas 50 tahun menyertai Malaysia, rakyat di Sabah dapat menilai sendiri penyertaan itu bukan usaha sia-sia kerana Sabah kini mengecapi kemajuan yang signifikan, kata Anggota Parlimen Kudat Datuk
Abdul Rahim Bakri.

Katanya rakyat di Sabah sekarang jelas menikmati perubahan dan keselesaan hidup yang jauh lebih baik.

“Jaminan keselamatan dan keamanan turut dikecapi selain kemudahan pendidikan dan kesihatan percuma, kemudahan infrastruktur jalan raya, lapangan terbang serta bekalan elektrik dan air yang semakin meluas.

“Selain itu peluang memperoleh pendidikan tinggi dan peluang mobiliti sosial terbuka dengan luas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rahim yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata kemajuan yang dinikmati rakyat sekarang adalah jauh lebih baik berbanding negara lain yang
merdeka dalam tempoh sama.

Katanya banyak negara atau wilayah yang masih bergelut dengan konflik sektarian, peperangan, kemunduran dan kemiskinan.

“Kita sewajarnya insaf dan menghargai kejayaan ini. Begitupun mereka yang
tidak mahu mengiktiraf dan bersyukur tetap cuba memadamkan kejayaan negara dari hati rakyat dengan pelbagai sangkalan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

TERHANGAT, TERKINI DAN TERHEBAT