SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

TERKINI DAN TERHEBAT

Sunday, February 2, 2014

UMNO Online - “Kuasa Mutlak Sultan Selangor Lantik Menteri Besar – Bekas Hakim” plus 2 more

UMNO Online - “Kuasa Mutlak Sultan Selangor Lantik Menteri Besar – Bekas Hakim” plus 2 more

Link to UMNO Online

Kuasa Mutlak Sultan Selangor Lantik Menteri Besar – Bekas Hakim

Posted: 01 Feb 2014 01:40 AM PST

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Pencalonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menjadi topik hangat di seluruh negara.

Keputusan itu menimbulkan pelbagai persepsi termasuk hasrat Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor, namun persoalan yang sering diutarakan ialah adakah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu layak dilantik memegang jawatan itu.

majlis_negeri_sultan_selangor_thestar

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah menerangkan bahawa  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan pelantikan individu yang layak menjadi Menteri Besar negeri itu.

Beliau berkata kuasa itu diperuntukkan dalam Artikel 51, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

“Sultan Selangor mempunyai kuasa mutlak dalam dua perkara dan boleh membuat keputusan tanpa perlu nasihat iaitu yang pertama dalam hal pemilihan Menteri Besar dan kedua, soal pembubaran Dewan Undangan Negeri.

“Dalam membuat keputusan menyentuh kedua-dua perkara itu, Sultan tidak perlu bertindak atas nasihat sesiapa,” katanya kepada pemberita di Menara Felda di sini, baru-baru ini.

Jelas Mohd Noor, Sultan berhak untuk melantik seorang anggota DUN sebagai menteri besar yang menurut pertimbangan baginda mendapat keyakinan majoriti dewan, dan syarat kedua, seorang menteri besar yang dilantik mestilah berketurunan Melayu dan beragama Islam.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada Artikel 51 (1) serta berdasarkan Artikel 53 (2)(a); dan Artikel 51 (2) tertakluk kepada Artikel 53 (4) dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

“Mengikut peruntukan tersebut, Raja atau Sultan bagaimanapun boleh melonggarkan syarat kedua menurut kuasa budi bicaranya bagi menepati syarat pertama,” katanya.

Dalam erti kata lain, katanya, perlembagaan memperuntukkan kuasa berada di tangan rakyat dalam proses demokrasi di mana Sultan hanyalah merupakan pemerintah perlembagaan dan mempunyai kuasa melantik menteri besar berdasarkan undang-undang yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, Sultan tidak boleh memilih siapa yang disukai baginda untuk menjadi Menteri Besar kerana ia boleh ditafsir sebagai mencampuri urusan politik negeri.

“Kalau dalam kes Selangor, dua parti iaitu PAS dan PKR boleh mencadangkan nama calon yang sesuai dan jika ditolak, mereka mesti mencadangkan nama lain,” katanya.

Namun, Mohd Noor berkata calon yang dicadangkan itu mesti daripada parti yang menang dan dalam situasi di Selangor, misalnya, Sultan Selangor boleh menentukan sama ada calon itu pemimpin parti PAS atau PKR.

Katanya, Sultan juga tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan pelantikan itu.

“Namun, sebagai contoh, sekiranya wakil A yang mendapat majoriti undi, tetapi wakil B pula menjadi pilihan Sultan, maka parti akan membuat keputusan siapa menjadi menteri besar melalui proses lobi antara satu sama lain. Jadi, apabila wakil B dipilih, maka wakil B akan berjumpa Sultan dan mendapatkan perkenan Sultan.

“Ini bermakna (satu daripada) parti beralah. Tapi, kalau parti tetap dengan keputusan majoriti untuk memilih wakil A, maka Sultan tidak boleh lantik B. Ini kerana sekiranya wakil B dilantik dan kemudian mendapat undi tidak percaya, dia kena buang juga,” terang beliau.

Dalam situasi sekarang, Mohd Noor berkata DUN Selangor sudah bersidang dan katakan Anwar menang dalam pilihan raya kecil itu, maka boleh diusulkan di dewan, beliau dicalonkan jadi menteri besar.

“Menteri Besar sedia ada (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) menjadi MB atas perkenan Sultan untuk lima tahun. Kalau beliau hendak meletak jawatan sebelum lima tahun, beliau boleh menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Sultan.

“Sekiranya beliau tidak mahu meletakkan jawatan, maka adakan usul undi tidak percaya terhadap beliau sebagai menteri besar dan (jika )usul (itu) menang,beliau kalah. Maka, beliau kena lepaskan jawatan,” terang Mohd Noor.

Katanya selepas melantik menteri besar, Sultan juga diperuntukkan kuasa untuk melantik Exco kerajaan negeri berdasarkan cadangan menteri besar.

Berdasarkan Undang-undang dan Perlembagaan negara, Mohd Noor berkata kriteria bagi seseorang calon untuk bertanding kerusi DUN,  beliau mestilah warganegara Malaysia, beralamat di negeri yang ingin ditandingi, berumur lebih 21 tahun, sempurna akal, tidak muflis dan tidak pernah dipenjara melebihi satu tahun (tetapi boleh bertanding selepas tamat hukuman).

“Alamat kad pengenalan calon mestilah di negeri tersebut, contohnya dalam kes kekosongan DUN Kajang, mana-mana calon yang ingin bertanding, perlu beralamat di Selangor. Tetapi, undang-undang tidak menyatakan berapa lama calon perlu duduk di Selangor,” katanya.

Pilihan raya kecil itu bakal diadakan berikutan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri Kajang Lee Chin Cheh dari PKR mengosongkan kerusi itu Isnin lepas.

Kepada persoalan sekiranya keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap kes liwat Anwar nanti berpihak kepada kerajaan, adakah ia akan menjejaskan peluang Anwar untuk bertanding, Mohd Noor berkata ia tidak terjejas kerana Anwar masih boleh membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“(Namun), sesiapa sahaja yang akhirnya disabitkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk satu kesalahan yang serius dan tuduhan itu adalah satu kesalahan yang serius, maka kerjayanya sebagai ahli politik atau profesion yang lain akan berakhir,” jelasnya.

Pada 7 Ogos 2008, Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah unit kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara.

Bagaimanapun, pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat ketetapan bahawa Anwar tidak bersalah dan bersetuju melepas dan membebaskan beliau atas alasan tiada keterangan yang menyokong keterangan mangsa.

Pada 20 Jan 2012, Pejabat Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu dan rayuan terhadap pembebasan Anwar dijangka didengar pada 12 dan 13 Feb ini di Mahkamah Rayuan.-MediaUMNO

Najib Ucap Terima Kasih Kepada Sweden Benarkan Anak Pasangan Malaysia Pulang

Posted: 01 Feb 2014 12:47 AM PST

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sweden di atas pertimbangan khas yang diberikan bagi membolehkan keempat-empat anak pasangan Malaysia yang ditahan di negara itu, dibawa pulang ke tanah air.

“Saya difahamkan sebelum ini amat sukar perolehi (kebenaran untuk membawa pulang), tetapi atas hubungan baik di antara Malaysia dan Sweden dan semangat Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak yang ditanda tangani kedua-dua negara, mereka beri persetujuan,” katanya.

najib-anak-malaysia-ditahan-sweden-putrajaya

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bertemu dan bertanya khabar dengan keempat-empat anak pasangan itu di kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini, hari ini.

Aishah Azizul Raheem, 14, dan tiga adiknya Ammar, 12; Adam, 11 dan Arif, 7,  tiba di kediaman perdana menteri kira-kira 1 tengah hari dengan ditemani Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin dan saudara-mara mereka..

Mereka yang tiba di tanah air pagi ini kelihatan lesu dan letih selepas menempuh perjalanan selama 17 jam dari Stockholm, namun kelihatan ceria apabila bertemu Najib dan Rosmah yang menyambut ketibaan mereka.

Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal ditahan pihak berkuasa Sweden untuk siasatan pada 18 Dis lepas atas dakwaan memukul tangan seorang daripada anaknya kerana tidak solat.

Mereka tiba kira-kira 7.04 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA)di Sepang dari Stockholm menaiki pesawat Malaysia Airlines.

Najib turut mengucapkan tahniah kepada Hamzah kerana menjalankan tugas dengan baik sehingga berjaya membawa balik kanak-kanak tersebut agar kebajikan dan kesejahteraan mereka terjamin dan psikologi mereka tidak terganggu dengan tekanan yang dihadapi di negara itu.

“Saya juga dimaklumkan bahawa ibu bapa mereka bersetuju supaya anak-anak mereka ditempatkan bersama ibu saudara mereka di Kelantan, kita akan uruskan mereka untuk pergi ke Kelantan dan sekiranya ada apa-apa keperluan kita akan bantu,” katanya.

Beliau berkata pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuat pemantauan secara berkesan agar keempat-empat beradik itu dijaga dengan baik dan terlepas daripada mengalami sebarang tekanan perasaan akibat kesukaran yang dialami sepanjang penahanan ibu bapa mereka.

Najib berkata kerajaan juga akan berusaha sedaya-upaya membantu ibu bapa mereka yang masih dalam tahanan reman oleh pihak berkuasa Sweden dalam mempertahankan kes mereka mengikut undang-undang yang diamalkan di negara itu.

“Kita terpaksa terima hakikat undang-undang khas telah wujud di Sweden, jadi kita terpaksa mengambil apa-apa tindakan untuk pertahankan ibu bapa mereka berdasarkan kepada tuntutan undang-undang dan kaedah tertentu yang diamalkan di sana.

“Bagaimanapun, kita akan cuba sedaya-upaya untuk membantu ibu bapa mereka,” kata Najib dan menurutnya kisah malang empat beradik itu amat menyentuh hati dan perasaannya sebagai seorang bapa.

Dalam pada itu, selaras dengan sifat keibuannya, Rosmah dalam menyatakan kebimbangannya ke atas kesejahteraan anak-anak itu sebelum ini turut membayangkan kesediaannya untuk menghadap Raja dan Permaisuri Sweden untuk meminta bantuan mereka, sekiranya empat beradik itu tidak dapat dibawa pulang ke negara ini.

“Saya ada terfikir hendak ke sana (Sweden) menghadap Raja dan Permaisuri Sweden untuk meminta bantuan mereka, tetapi alhamdulillah, sebelum saya sempat ke situ, Hamzah berjaya bawa mereka balik.

“Saya harap saudara mereka akan menjaga mereka dengan baik seperti anak sendiri, dan saya akan bantu sekiranya ada masalah,” katanya.

Anak sulung pasangan itu, Aishah berkata beliau gembira dan mengucapkan terima kasih kepada Hamzah dan Najib serta isteri kerana berjaya membawa mereka pulang ke Malaysia.

“Kami berasa amat gembira apabila (pesawat) kami mendarat, kami berterima kasih kepada Datuk Seri dan Datin Seri kerana membantu membawa kami pulang ke  Malaysia,” katanya ringkas mewakili adik-adiknya.

Ibu saudara mereka iaitu adik kepada Shalwati, Shaleena Norshal, 42, yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak itu berkata mereka akan pulang ke Kelantan sama ada hari ini atau esok.

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan rakyat yang tidak putus-putus berdoa dan mengadakan solat hajat untuk mereka sekeluarga,” katanya.

Tahanan reman Azizul Raheem yang merupakan pegawai Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya Shalwati, guru yang bercuti tanpa gaji, dilanjutkan sehingga 10 Feb ini bagi membantu siasatan kes itu.

Keempat-empat beradik itu sebelum ini ditempatkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan beragama Islam di Sweden menyebabkan mereka meluahkan rasa tidak selesa akibat perbezaan agama dan budaya.-MediaUMNO

Agong Minta Rakyat Sokong Kerajaan Untuk Pastikan Pembangunan Negara

Posted: 01 Feb 2014 12:38 AM PST

KUALA LUMPUR, 1 Feb –  Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini bertitah agar semua lapisan rakyat memberi sokongan penuh kepada kerajaan dalam usaha memastikan pembangunan negara dapat diteruskan.

Seri Paduka bertitah usaha pembangunan negara yang dilakukan kerajaan ketika ini seharusnya dipuji kerana ia telah dapat melonjakkan Malaysia ke kedudukan ke-12 negara paling berdaya saing bagi menjalankan perniagaan.

“Beta bangga dengan kejayaan yang dicapai oleh kerajaan. Beta yakin usaha transformasi yang dilakukan ketika ini akan memastikan Malaysia mencapai negara maju menjelang tahun 2020,” titah baginda pada majlis penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat di Istana Negara, Jalan Duta di sini sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

najib-pm-agong-abdul-halim-muazam-shah-maal-hijrah-2013-1435

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berkenan hadir ke majlis tersebut.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Tuanku Abdul Halim bertitah status sebagai negara ke-12 paling berdaya saing dalam menjalankan perniagaan perlu ditingkatkan kerana ia merupakan kekuatan yang akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi tumpuan terutama oleh pelabur asing.

Seri Paduka turut mengingatkan rakyat mengenai betapa pentingnya perpaduan kaum yang wujud ketika ini dikekalkan kerana ia merupakan benteng dan tunjang utama dalam menghadapi segala cabaran mendatang selain dapat terus memacu Malaysia ke arah kemajuan.

“Ketepikanlah perbezaan politik dan sikap perkauman dalam diri. Utamakanlah kepada perpaduan kaum yang menjadi asas sejak negara merdeka 56 tahun lepas,” titah baginda.

Mengenai Kuala Lumpur, Yang di-Pertuan Agong melahirkan harapan agar kawasan yang menjadi ibu negara Malaysia ini dapat membangun dengan lebih pesat lagi dan seterusnya menjadi bandar raya paling berdaya saing menjelang tahun 2020.

Baginda yakin segala usaha dan projek yang dilakukan kerajaan di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar seperti MyRapid Transit (MRT), River of Life dan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang dapat terus menjadikan ia sebagai bandar raya yang selesa untuk kesejahteraan penduduk.

“Beta berharap agar Kuala Lumpur dapat menarik banyak syarikat multinasional dan antarabangsa untuk datang serta menjadi bandar raya destinasi kewangan,” titah Tuanku Abdul Halim.

Seri Paduka bertitah, Kuala Lumpur perlu mengambil kesempatan daripada Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan menganjurkan pelbagai program serta aktiviti untuk memastikan sasaran ketibaan 15 juta pelancong tahun ini berjaya.

“Tahun Melawat Malaysia 2014 perlu menjadi misi nasional untuk pastikan ketibaan 28.3 juta pelancong berjaya.

“Pastinya Kuala Lumpur akan turut jadi tumpuan pelancong. Beta berharap sasaran 15 juta pelancong Kuala Lumpur dan keuntungan RM24.9 juta daripada perbelanjaan (pelancong) dapat dicapai”, titah baginda.

Seri Paduka juga mahu agar Wilayah Persekutuan Labuan dapat terus dibangun dan dimajukan bukan sahaja sebagai pusat kewangan luar pesisir antarabangsa, malah dipromosikan sebagai destinasi pelancongan menarik di peringkat antarabangsa.

“Labuan merupakan Wilayah Persekutuan yang berpotensi dari segi ekonomi kerana ia mempunyai industri minyak dan gas serta sebuah kawasan bebas cukai,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim juga bertitah agar Wilayah Persekutuan Putrajaya yang  merupakan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan dapat melaksanakan lebih banyak aktiviti komersil dalam usaha menarik kehadiran pelabur tempatan dan antarabangsa.

“Hanya dengan usaha sebegini Wilayah Persekutuan Putrajaya dapat menjadi sebuah bandar yang termaju dan berdaya saing,” titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong mengakhiri titah ucapan dengan mengingatkan para penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat agar menjaga maruah diri.

Pada majlis itu, sebanyak 320 orang menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat daripada Seri Paduka dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa yang dianugerahi Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri Utama, mendahului senarai penerima.-MediaUMNO

Saturday, February 1, 2014

UMNO Online - “PM Thankful M’sian Students In Egypt Safe” plus 5 more

UMNO Online - “PM Thankful M’sian Students In Egypt Safe” plus 5 more

Link to UMNO Online

PM Thankful M’sian Students In Egypt Safe

Posted: 31 Jan 2014 10:06 AM PST

KUALA LUMPUR, Jan 31 – Datuk Seri Najib Tun Razak has expressed his gladness that the approximately 1,300 Malaysian students sponsored by Mara in Egypt are safe and have no problem in continuing their studies in the country which is going through political unrest.

The Prime Minister said he constantly prayed for the safety of Malaysian students no matter where they were studying.

“Give priority to personal safety and stay away from any conflict,” he said in his latest entry in the social website, Facebook, today when commenting on the status of Bernama Radio24 which carried the story on the Malaysian students.

Yesterday, Mara Director-General Datuk Ibrahim Ahmad said that based on the information he had received, there were no incidents reported that could endanger the safety of the Malaysian students.

On Jan 24, three bomb blasts had rocked Cairo which resulted in five people being killed as the people in Egypt prepared to remember the third anniversary of the people’s uprising in 2011.-MediaUMNO

BN Wajar Letak Calon Bertanding DUN Kajang – Pemuda UMNO

Posted: 31 Jan 2014 09:59 AM PST

KUALA TERENGGANU, 31 Jan – Pergerakan Pemuda Umno berpendapat Barisan Nasional (BN) wajar bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Selangor.

khairy-ketua-pemuda-mesyuarat-exco-januari-2014-pwtc

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata walaupun kekosongan di kerusi DUN itu berlaku disebabkan masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi bila adanya kekosongan, adalah wajar untuk BN menurunkan calon bertanding.

“Lebih-lebih lagi yang nak bertanding itu adalah ketua pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Jadi kita berpendapat bahawa tak boleh kita bagi laluan yang mudah kepada beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Karnival Sukan dan Kebudayaan MAYC peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Katanya mesej yang jelas kepada pengundi di Kajang bahawa PKR telah mempermainkan amanah rakyat apabila wakil rakyatnya Lee Chin Cheh dengan sewenang-wenangnya mengosongkan kerusi DUN Kajang Isnin lepas.

“Pemimpin pembangkang itu sudah terdesak. Nak jadi perdana menteri tak dapat, jadi menteri besar pun tak apalah…,” katanya.

Ditanya mengenai calon BN yang bakal bertanding kelak, Khairy berkata biarlah Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskannya.-MediaUMNO

Skuad Rakan Muda Masjid Anjuran UMNO Di 480 Masjid Di Terengganu

Posted: 31 Jan 2014 09:56 AM PST

KUALA TERENGGANU, 31 Jan – Penubuhan skuad Rakan Muda Masjid di seluruh 480 masjid di negeri ini dilihat mampu menarik lebih ramai golongan muda mengimarahkan masjid menerusi pelbagai aktiviti yang diadakan kelak.

khairy-mesyuarat-exco-pemuda-umno-januari-2014-pwtc

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata idea cetusan Pemuda Umno negeri  bagi meningkatkan penyertaan golongan belia dalam aktiviti masjid itu diyakini dapat mencapai matlamatnya menerusi penganjuran pelbagai aktiviti seperti kejohanan bola sepak dan kursus termasuk pengurusan jenazah.

Beliau berbangga dengan pendekatan yang dilakukan Pemuda Umno Terengganu itu yang pasti akan memberi impak positif, katanya kepada pemberita selepas merasmikan skuad itu di Masjid Tualang, Manir dekat sini hari ini.

Ketua Pemuda Umno negeri, Mohd Johari Abu Bakar yakin aktiviti tersebut mampu menarik golongan remaja menyertai aktiviti dijalankan di masjid.-MediaUMNO

Masyarakat Islam, Kristian Perlu Faham Undang-Undang Sebelum Bahas Kalimah Allah – Bekas Hakim

Posted: 31 Jan 2014 09:52 AM PST

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Bagi memelihara keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat, masyarakat Islam dan Kristian perlu berhenti daripada berbahas tentang isu kalimah Allah.

Ketika menyuarakan saranan itu, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah berkata ini kerana kebanyakan kumpulan Islam dan Kristian tidak memahami atau tidak mahir tentang undang-undang negeri dan persekutuan.

bekas-hakim-mohd-noor-abdullah-rasis-melayu-islam-bias-bangsa

Menurutnya peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan membenarkan orang  Islam menyebarkan ajaran agamanya kepada bukan Islam, manakala orang bukan Islam pula dibenarkan menyebarkan agama atau kepercayaannya kepada orang atau pengikut agama lain, kecuali kepada orang Islam.

Beliau berkata Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa setiap individu berhak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agama atau kepercayaan masing-masing.

“Bagaimanapun, Perkara 11 (4) perlembagaan itu menyebut bahawa penyebaran agama orang bukan Islam dalam kalangan orang Islam adalah dilarang.

“Ini bermakna, Perkara 11(4) memberi kuasa kepada negeri melalui badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penyebaran agama atau kepercayaan bukan Islam kepada orang Islam,” kataya kepada Bernama di Menara Felda di sini.

Mohd Noor berkata ini bererti sesebuah kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menyekat penyebaran mana-mana agama, akidah, ideologi atau malah kepercayaan yang mengandungi walaupun sedikit ajaran bukan Islam dalam sebarang bentuk.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa Seksyen 9 (1) Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Dalam Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 melarang orang bukan Islam daripada menggunakan dalam penulisan atau ucapan, mana-mana daripada 25 perkataan yang terkandung dalam Bahagian 1 Jadual berkaitan agama bukan Islam.

“Seseorang bukan Islam didapati melakukan kesalahan sekiranya dia menggunakan perkataan Allah dan perkataan Arab lain seperti Firman Allah, Ulama, Hadith, Ibadah, Kaabah, Kadi, Ilahi, Wahyu, Mubaligh, Syariah, Qiblat, Haji, Mufti, Rasul, Iman, Dakwah, Injil, Salat, Khalifah, Wali, Fatwa, Imam, Nabi dan Sheikh,” katanya.

Seksyen 9 (2) juga melarang orang bukan Islam daripada menggunakan 10 kalimah berasal daripada agama Islam seperti yang ditetapkan di dalam Bahagian  II Jadual berkenaan, termasuk Alhamdulillah, Insya-Allah, Allahu Akbar, Astaghfirullahal Azim dan Masya Allah.

Di samping Seksyen 9, Mohd Noor berkata Enakmen Selangor itu juga mendapati adalah menjadi kesalahan bagi seseorang bukan Islam apabila di: mempengaruhi atau menghasut seseorang Islam supaya menukar agamanya (Seksyen 4); menyebabkan seseorang Islam bawah umur terpengaruh dengan agama bukan Islam (Seksyen 5).

Perbuatan lain yang menjadi kesalahan ialah: mengajak orang Islam mendengar ucapan tentang atau melihat pameran tentang sebarang perkara berkaitan agama bukan Islam (Seksyen 6); mengirim atau menyampaikan sebarang penerbitan berkaitan agama bukan Islam kepada seseorang Islam (Seksyen 7); dan menyebar di tempat awam sebarang penerbitan berkaitan agama bukan Islam kepada orang Islam (Seksyen 8).

Mohd Noor berkata setakat ini, 10 negeri meluluskan enakmen serupa yang mempunyai peruntukan hampir sama, kecuali dari segi hukuman, perkataan dan ungkapan.

Kata beliau Kelantan mengenakan hukuman paling berat, termasuk sebatan mandatori bagi semua kesalahan, manakala Enakmen Negeri Johor pula, walaupun tidak mengandungi sebarang Jadual, tetapi mengenakan larangan menyeluruh tentang penggunaan sebarang kalimah berasal daripada agama Islam.

“Dalam kata-kata lain, secara undang-undang, kalimah dan ungkapan tertentu ini menjadi milik eksklusif agama Islam. Tidak akan menjadi masalah sekiranya kalimah berkenaan tidak langsung digunakan oleh agama lain.

“Enakmen Selangor tidak menyebut tentang kesalahan syariah, tetapi kesalahan sivil, yang bermakna, sesuatu kes itu akan dibicarakan di mahkamah sivil, bukan di mahkamah syariah, yang bidang kuasanya hanya meliputi orang Islam,” kata beliau.

Mohd Noor berkata perkara berkaitan agama yang termasuk di bawah bidang kuasa negeri, perlu ditangani dengan paling sensitif agar sebarang tindakan yang diambil, tidak melukai perasaan mana-mana kaum di negara ini.

“Itulah sebabnya Kabinet menganjurkan penyelesaian 10 Perkara, yang membenarkan orang Kristian menggunakan ‘Allah’ dalam Bible Bahasa Malaysia. Ia juga membenarkan Bible dalam semua bahasa, bukan setakat diimport ke negara ini, malah dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Kontroversi berhubung kalimah Allah tercetus daripada keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009, yang mengekalkan hak gereja Katolik dari segi perlembagaan untuk menggunakan perkataan itu dalam seksyen bahasa Malaysia penerbitan majalah mingguannya, ‘The Herald’.’

Isu ini timbul semula awal bulan ini apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Bible Society of Malaysia (BSM) dan merampas kira-kira 300 naskhah Bible dalam bahasa Melayu dan Iban serta menahan dua pegawai BSM.

Ketegangan, khususnya antara masyarakat Islam dan Kristian, reda apabila pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Rayuan membuat keputusannya tentang penggunaan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Malaysia, ‘The Herald’. Keputusan itu dilihat sebagai melarang penggunaan kalimah Allah oleh semua orang bukan Islam.

Keputusan mengenai pertikaian undang-undang antara kerajaan dan GerejaKatolik masih tertangguh di Mahkamah Persekutuan, yang mendengar kes itu pada 5Mac ini.

Sementara itu, Exco Pemua Umno dan cendekiawan Islam Dr Fathul Bari Mat menegaskan bahawa gerakan dakwah atau usaha menyebarkan ajaran Islam perlu mematuhi tiga kriteria iaitu Perlembagaan, hukum Islam dan sensitiviti masyarakat tempatan.

“Walaupun tiada siapa boleh disekat daripada menunaikan hak asasinya, mereka masih mempunyai pilihan. Bagi orang Islam, kami tidak mempunyai pilihan selain daripada menggunakan kalimah Allah, tapi bagi orang Kristian, mereka boleh memilih sama ada menggunakan ‘Lord’ atau God’ atau ‘Jesus’ bagi merujuk kepada Tuhan mereka.

“Bagaimanapun, dalam kes ini, mereka bertegas untuk menggunakan kalimah Allah, yang telah mengelirukan umat Islam dan menimbulkan suasana sensitif serta tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam,” katanya.

Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Agung India yang mengekalkan larangan yang dikenakan kerajaan negeri Gujarat terhadap penyembelihan lembu pada 2005 dan berpendapat rakyat Malaysia juga perlu mengelak daripada melukai perasaan, kepercayaan dan amalan satu sama lain.-MediaUMNO

Anak Pasangan Malaysia Diserahkan Kepada Kedutaan Malaysia Di Sweden

Posted: 31 Jan 2014 12:08 AM PST

STOCKHOLM, 30 Jan – Empat anak pasangan Malaysia, yang kini ditahan reman kerana dakwaan memukul tangan anak lelaki mereka, hari ini diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di sini.

Sebelum ini, anak-anak pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal itu ditempatkan bersama keluarga angkat bukan Islam di sini berikutan penahanan pasangan itu pada 18 Dis lepas.

Hari ini, selepas 42 hari terpisah daripada ibu bapa mereka, anak-anak itu yang dikenali sebagai Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif,7, dipertemukan dengan saudara mara mereka dari Malaysia di sini pada 4 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia).

Empat beradik itu, yang kelihatan teruja dan dan gembira, dibawa dari sebuah sekolah ke Kedutaan Malaysia di sini sebelum dipertemukan dengan saudara mara mereka.

“Saya sangat gembira dan terharu. Tidak sangka bertemu dengan saudara mara. Terima kasih semuanya,” kata Aishah pada majlis penyerahan mereka oleh pihak berkuasa Sweden kepada Kedutaan Malaysia di sini.

Kedutaan Malaysia dijangka menyerahkan mereka kepada keluarga angkat baharu iaitu keluarga Islam Malaysia di sini.

Aishah yang mewakili adik-adiknya turut berterima kasih di atas sokongan padu kerajaan dan rakyat Malaysia sejak kes mereka dilaporkan bulan lepas. Empat beradik itu juga dilihat seronok berbual dan bergurau senda dengan saudara mara mereka sambil menjamu hidangan nasi lemak yang disediakan pihak kedutaan.

Majlis itu disaksikan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, Duta Besar Malaysia ke Sweden Datuk Badruddin Ab Rahman, Pengerusi Biro Aduan Pemuda UMNO Sheikh Nafiq Alfirdaous dan timbalannya yang juga Pengerusi Program Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam) Datuk Khairul Anwar.

Dalam sidang berita kemudian, Hamzah berkata kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra dan Kedutaan Besar Malaysia di sini menzahirkan penghargaan kepada  Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar Negeri Sweden, Frank Belfrage, pihak  Khidmat Sosial Sweden dan semua pihak yang menjayakan usaha itu.

“Mereka faham dan sedar bahawa anak-anak ini patut berada di bawah jagaan keluarga yang memahami budaya kita…mereka sedar mengenai perbezaan ini.

“Ini (kes) kali pertama berlaku pada rakyat kita. Kita perlu rancang strategi dan inilah hasilnya,” katanya.

Sementara itu, Sheikh Nafiq berkata pihaknya juga menyampaikan pelbagai barangan, hadiah dan permainan yang disumbangkan beberapa pihak kepada keempat-empat beradik itu.

“Misi kita ke sini bagi membantu mendapatkan maklumat mengenai kes anak-anak ini…akhirnya (ia) berjaya hasil semua kerjasama semua pihak,” katanya.

Beliau berkata Biro Aduan Pemuda Umno akan mencari jalan penyelesaian kepada isu itu dengan menjadi jambatan kepada agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Pagi tadi, Mahkamah Daerah Solna melanjutkan tahanan reman Azizul Raheem  selama 11 hari lagi sehingga 10 Feb ini bagi membantu siasatan dakwaan memukul tangan anak lelakinya.

Difahamkan mahkamah sama akan bersidang esok bagi memutuskan penahanan reman isteri Azizul, Shalwati Norshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji.-MediaUMNO

Najib Harap Rakyat Terus Usaha Kekal Keamanan Negara

Posted: 30 Jan 2014 11:52 PM PST

KUALA LUMPUR, 31 Jan –  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap rakyat Malaysia akan terus berusaha untuk mengekalkan keharmonian antara kaum dan keamanan negara.

Beliau berkata perayaan seperti Tahun Baharu Cina yang disambut hari ini juga diharap dapat mengingatkan rakyat betapa beruntungnya mereka berada di negara yang aman dan damai.

najib-mahathir-mca-tahun-baru-cina-malaysia-2014

“Saya harap kita semua akan terus berusaha untuk mengekalkan keadaan ini sampai bila-bila,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini, hari ini.

Beliau juga berharap Tahun Baharu Cina akan membuka lembaran baharu bagi rakyat Malaysia untuk terus melakukan transformasi kepada ekonomi negara.

“Ini semua mestilah berasaskan kepada hubungan yang baik antara semua kaum kerana keamanan dan keharmonian adalah tiang seri kepada kejayaan negara kita,” katanya.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan pemimpin tertinggi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Tahun Baharu Cina merupakan perayaan terpenting masyarakat Cina bagi menyambut ketibaan tahun baru dalam kalendar Lunar.

Kali ini, mereka meraikan tahun Kuda yang dianggap sebagai simbol tenaga dan kesihatan kepada masyarakat Cina.

Sementara itu, ketika ditemui Hu Guang Yao, ketua koresponden Agensi Berita Xinhua, Najib berkata beliau amat yakin dengan hubungan Malaysia-China yang semakin kukuh.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada rakan-rakan kami di China. Saya percaya tahun ini adalah tahun paling bertuah bagi hubungan China-Malaysia kerana ia memasuki ulang tahun yang ke-40,” kata beliau.

Terdahulu, Najib dan Muhyiddin serta pimpinan parti komponen BN bersama-sama menggaul sayur mentah “yee sang”, hidangan utama pada sambutan Tahun Baharu Cina yang dianggap sebagai juadah membawa tuah oleh masyarakat Cina.

Kemudian, Najib dan Muhyiddin serta isteri masing-masing menghadiri  majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina parti Gerakan di Menara PGRM di sini, yang turut dihadiri oleh kira-kira 5,000 rakyat pelbagai kaum

Ketibaan Najib dan Rosmah yang berpakaian sedondon merah, disambut Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan beberapa pemimpin tertinggi parti itu dengan diiringi tarian Singa.

Turut hadir Muhyiddin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Dr Mahathir dan bekas presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk Seri M.Kayveas juga menghadiri majlis itu.

Najib, Muhyiddin dan para pemimpin parti komponen BN kemudian bersama-sama menggaul juadah Yee Sang.

Sementara itu, orang ramai yang tiba seawal 8.30 pagi disajikan dengan pelbagai makanan termasuk ayam bakar  dan ‘Mi Bing’, kuih bakul goreng dan Kuih Kapit selain limau Mandarin, yang menjadi keutamaan semasa sambutan Tahun Baharu Cina.-MediaUMNO

TERHANGAT, TERKINI DAN TERHEBAT