SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

TERKINI DAN TERHEBAT

Sunday, February 2, 2014

UMNO Online - “Kuasa Mutlak Sultan Selangor Lantik Menteri Besar – Bekas Hakim” plus 2 more

UMNO Online - “Kuasa Mutlak Sultan Selangor Lantik Menteri Besar – Bekas Hakim” plus 2 more

Link to UMNO Online

Kuasa Mutlak Sultan Selangor Lantik Menteri Besar – Bekas Hakim

Posted: 01 Feb 2014 01:40 AM PST

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Pencalonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menjadi topik hangat di seluruh negara.

Keputusan itu menimbulkan pelbagai persepsi termasuk hasrat Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor, namun persoalan yang sering diutarakan ialah adakah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu layak dilantik memegang jawatan itu.

majlis_negeri_sultan_selangor_thestar

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah menerangkan bahawa  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan pelantikan individu yang layak menjadi Menteri Besar negeri itu.

Beliau berkata kuasa itu diperuntukkan dalam Artikel 51, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

“Sultan Selangor mempunyai kuasa mutlak dalam dua perkara dan boleh membuat keputusan tanpa perlu nasihat iaitu yang pertama dalam hal pemilihan Menteri Besar dan kedua, soal pembubaran Dewan Undangan Negeri.

“Dalam membuat keputusan menyentuh kedua-dua perkara itu, Sultan tidak perlu bertindak atas nasihat sesiapa,” katanya kepada pemberita di Menara Felda di sini, baru-baru ini.

Jelas Mohd Noor, Sultan berhak untuk melantik seorang anggota DUN sebagai menteri besar yang menurut pertimbangan baginda mendapat keyakinan majoriti dewan, dan syarat kedua, seorang menteri besar yang dilantik mestilah berketurunan Melayu dan beragama Islam.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada Artikel 51 (1) serta berdasarkan Artikel 53 (2)(a); dan Artikel 51 (2) tertakluk kepada Artikel 53 (4) dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

“Mengikut peruntukan tersebut, Raja atau Sultan bagaimanapun boleh melonggarkan syarat kedua menurut kuasa budi bicaranya bagi menepati syarat pertama,” katanya.

Dalam erti kata lain, katanya, perlembagaan memperuntukkan kuasa berada di tangan rakyat dalam proses demokrasi di mana Sultan hanyalah merupakan pemerintah perlembagaan dan mempunyai kuasa melantik menteri besar berdasarkan undang-undang yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, Sultan tidak boleh memilih siapa yang disukai baginda untuk menjadi Menteri Besar kerana ia boleh ditafsir sebagai mencampuri urusan politik negeri.

“Kalau dalam kes Selangor, dua parti iaitu PAS dan PKR boleh mencadangkan nama calon yang sesuai dan jika ditolak, mereka mesti mencadangkan nama lain,” katanya.

Namun, Mohd Noor berkata calon yang dicadangkan itu mesti daripada parti yang menang dan dalam situasi di Selangor, misalnya, Sultan Selangor boleh menentukan sama ada calon itu pemimpin parti PAS atau PKR.

Katanya, Sultan juga tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan pelantikan itu.

“Namun, sebagai contoh, sekiranya wakil A yang mendapat majoriti undi, tetapi wakil B pula menjadi pilihan Sultan, maka parti akan membuat keputusan siapa menjadi menteri besar melalui proses lobi antara satu sama lain. Jadi, apabila wakil B dipilih, maka wakil B akan berjumpa Sultan dan mendapatkan perkenan Sultan.

“Ini bermakna (satu daripada) parti beralah. Tapi, kalau parti tetap dengan keputusan majoriti untuk memilih wakil A, maka Sultan tidak boleh lantik B. Ini kerana sekiranya wakil B dilantik dan kemudian mendapat undi tidak percaya, dia kena buang juga,” terang beliau.

Dalam situasi sekarang, Mohd Noor berkata DUN Selangor sudah bersidang dan katakan Anwar menang dalam pilihan raya kecil itu, maka boleh diusulkan di dewan, beliau dicalonkan jadi menteri besar.

“Menteri Besar sedia ada (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) menjadi MB atas perkenan Sultan untuk lima tahun. Kalau beliau hendak meletak jawatan sebelum lima tahun, beliau boleh menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Sultan.

“Sekiranya beliau tidak mahu meletakkan jawatan, maka adakan usul undi tidak percaya terhadap beliau sebagai menteri besar dan (jika )usul (itu) menang,beliau kalah. Maka, beliau kena lepaskan jawatan,” terang Mohd Noor.

Katanya selepas melantik menteri besar, Sultan juga diperuntukkan kuasa untuk melantik Exco kerajaan negeri berdasarkan cadangan menteri besar.

Berdasarkan Undang-undang dan Perlembagaan negara, Mohd Noor berkata kriteria bagi seseorang calon untuk bertanding kerusi DUN,  beliau mestilah warganegara Malaysia, beralamat di negeri yang ingin ditandingi, berumur lebih 21 tahun, sempurna akal, tidak muflis dan tidak pernah dipenjara melebihi satu tahun (tetapi boleh bertanding selepas tamat hukuman).

“Alamat kad pengenalan calon mestilah di negeri tersebut, contohnya dalam kes kekosongan DUN Kajang, mana-mana calon yang ingin bertanding, perlu beralamat di Selangor. Tetapi, undang-undang tidak menyatakan berapa lama calon perlu duduk di Selangor,” katanya.

Pilihan raya kecil itu bakal diadakan berikutan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri Kajang Lee Chin Cheh dari PKR mengosongkan kerusi itu Isnin lepas.

Kepada persoalan sekiranya keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap kes liwat Anwar nanti berpihak kepada kerajaan, adakah ia akan menjejaskan peluang Anwar untuk bertanding, Mohd Noor berkata ia tidak terjejas kerana Anwar masih boleh membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“(Namun), sesiapa sahaja yang akhirnya disabitkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk satu kesalahan yang serius dan tuduhan itu adalah satu kesalahan yang serius, maka kerjayanya sebagai ahli politik atau profesion yang lain akan berakhir,” jelasnya.

Pada 7 Ogos 2008, Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah unit kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara.

Bagaimanapun, pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat ketetapan bahawa Anwar tidak bersalah dan bersetuju melepas dan membebaskan beliau atas alasan tiada keterangan yang menyokong keterangan mangsa.

Pada 20 Jan 2012, Pejabat Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu dan rayuan terhadap pembebasan Anwar dijangka didengar pada 12 dan 13 Feb ini di Mahkamah Rayuan.-MediaUMNO

Najib Ucap Terima Kasih Kepada Sweden Benarkan Anak Pasangan Malaysia Pulang

Posted: 01 Feb 2014 12:47 AM PST

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sweden di atas pertimbangan khas yang diberikan bagi membolehkan keempat-empat anak pasangan Malaysia yang ditahan di negara itu, dibawa pulang ke tanah air.

“Saya difahamkan sebelum ini amat sukar perolehi (kebenaran untuk membawa pulang), tetapi atas hubungan baik di antara Malaysia dan Sweden dan semangat Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak yang ditanda tangani kedua-dua negara, mereka beri persetujuan,” katanya.

najib-anak-malaysia-ditahan-sweden-putrajaya

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bertemu dan bertanya khabar dengan keempat-empat anak pasangan itu di kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini, hari ini.

Aishah Azizul Raheem, 14, dan tiga adiknya Ammar, 12; Adam, 11 dan Arif, 7,  tiba di kediaman perdana menteri kira-kira 1 tengah hari dengan ditemani Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin dan saudara-mara mereka..

Mereka yang tiba di tanah air pagi ini kelihatan lesu dan letih selepas menempuh perjalanan selama 17 jam dari Stockholm, namun kelihatan ceria apabila bertemu Najib dan Rosmah yang menyambut ketibaan mereka.

Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal ditahan pihak berkuasa Sweden untuk siasatan pada 18 Dis lepas atas dakwaan memukul tangan seorang daripada anaknya kerana tidak solat.

Mereka tiba kira-kira 7.04 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA)di Sepang dari Stockholm menaiki pesawat Malaysia Airlines.

Najib turut mengucapkan tahniah kepada Hamzah kerana menjalankan tugas dengan baik sehingga berjaya membawa balik kanak-kanak tersebut agar kebajikan dan kesejahteraan mereka terjamin dan psikologi mereka tidak terganggu dengan tekanan yang dihadapi di negara itu.

“Saya juga dimaklumkan bahawa ibu bapa mereka bersetuju supaya anak-anak mereka ditempatkan bersama ibu saudara mereka di Kelantan, kita akan uruskan mereka untuk pergi ke Kelantan dan sekiranya ada apa-apa keperluan kita akan bantu,” katanya.

Beliau berkata pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuat pemantauan secara berkesan agar keempat-empat beradik itu dijaga dengan baik dan terlepas daripada mengalami sebarang tekanan perasaan akibat kesukaran yang dialami sepanjang penahanan ibu bapa mereka.

Najib berkata kerajaan juga akan berusaha sedaya-upaya membantu ibu bapa mereka yang masih dalam tahanan reman oleh pihak berkuasa Sweden dalam mempertahankan kes mereka mengikut undang-undang yang diamalkan di negara itu.

“Kita terpaksa terima hakikat undang-undang khas telah wujud di Sweden, jadi kita terpaksa mengambil apa-apa tindakan untuk pertahankan ibu bapa mereka berdasarkan kepada tuntutan undang-undang dan kaedah tertentu yang diamalkan di sana.

“Bagaimanapun, kita akan cuba sedaya-upaya untuk membantu ibu bapa mereka,” kata Najib dan menurutnya kisah malang empat beradik itu amat menyentuh hati dan perasaannya sebagai seorang bapa.

Dalam pada itu, selaras dengan sifat keibuannya, Rosmah dalam menyatakan kebimbangannya ke atas kesejahteraan anak-anak itu sebelum ini turut membayangkan kesediaannya untuk menghadap Raja dan Permaisuri Sweden untuk meminta bantuan mereka, sekiranya empat beradik itu tidak dapat dibawa pulang ke negara ini.

“Saya ada terfikir hendak ke sana (Sweden) menghadap Raja dan Permaisuri Sweden untuk meminta bantuan mereka, tetapi alhamdulillah, sebelum saya sempat ke situ, Hamzah berjaya bawa mereka balik.

“Saya harap saudara mereka akan menjaga mereka dengan baik seperti anak sendiri, dan saya akan bantu sekiranya ada masalah,” katanya.

Anak sulung pasangan itu, Aishah berkata beliau gembira dan mengucapkan terima kasih kepada Hamzah dan Najib serta isteri kerana berjaya membawa mereka pulang ke Malaysia.

“Kami berasa amat gembira apabila (pesawat) kami mendarat, kami berterima kasih kepada Datuk Seri dan Datin Seri kerana membantu membawa kami pulang ke  Malaysia,” katanya ringkas mewakili adik-adiknya.

Ibu saudara mereka iaitu adik kepada Shalwati, Shaleena Norshal, 42, yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak itu berkata mereka akan pulang ke Kelantan sama ada hari ini atau esok.

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan rakyat yang tidak putus-putus berdoa dan mengadakan solat hajat untuk mereka sekeluarga,” katanya.

Tahanan reman Azizul Raheem yang merupakan pegawai Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya Shalwati, guru yang bercuti tanpa gaji, dilanjutkan sehingga 10 Feb ini bagi membantu siasatan kes itu.

Keempat-empat beradik itu sebelum ini ditempatkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan beragama Islam di Sweden menyebabkan mereka meluahkan rasa tidak selesa akibat perbezaan agama dan budaya.-MediaUMNO

Agong Minta Rakyat Sokong Kerajaan Untuk Pastikan Pembangunan Negara

Posted: 01 Feb 2014 12:38 AM PST

KUALA LUMPUR, 1 Feb –  Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini bertitah agar semua lapisan rakyat memberi sokongan penuh kepada kerajaan dalam usaha memastikan pembangunan negara dapat diteruskan.

Seri Paduka bertitah usaha pembangunan negara yang dilakukan kerajaan ketika ini seharusnya dipuji kerana ia telah dapat melonjakkan Malaysia ke kedudukan ke-12 negara paling berdaya saing bagi menjalankan perniagaan.

“Beta bangga dengan kejayaan yang dicapai oleh kerajaan. Beta yakin usaha transformasi yang dilakukan ketika ini akan memastikan Malaysia mencapai negara maju menjelang tahun 2020,” titah baginda pada majlis penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat di Istana Negara, Jalan Duta di sini sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

najib-pm-agong-abdul-halim-muazam-shah-maal-hijrah-2013-1435

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berkenan hadir ke majlis tersebut.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Tuanku Abdul Halim bertitah status sebagai negara ke-12 paling berdaya saing dalam menjalankan perniagaan perlu ditingkatkan kerana ia merupakan kekuatan yang akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi tumpuan terutama oleh pelabur asing.

Seri Paduka turut mengingatkan rakyat mengenai betapa pentingnya perpaduan kaum yang wujud ketika ini dikekalkan kerana ia merupakan benteng dan tunjang utama dalam menghadapi segala cabaran mendatang selain dapat terus memacu Malaysia ke arah kemajuan.

“Ketepikanlah perbezaan politik dan sikap perkauman dalam diri. Utamakanlah kepada perpaduan kaum yang menjadi asas sejak negara merdeka 56 tahun lepas,” titah baginda.

Mengenai Kuala Lumpur, Yang di-Pertuan Agong melahirkan harapan agar kawasan yang menjadi ibu negara Malaysia ini dapat membangun dengan lebih pesat lagi dan seterusnya menjadi bandar raya paling berdaya saing menjelang tahun 2020.

Baginda yakin segala usaha dan projek yang dilakukan kerajaan di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar seperti MyRapid Transit (MRT), River of Life dan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang dapat terus menjadikan ia sebagai bandar raya yang selesa untuk kesejahteraan penduduk.

“Beta berharap agar Kuala Lumpur dapat menarik banyak syarikat multinasional dan antarabangsa untuk datang serta menjadi bandar raya destinasi kewangan,” titah Tuanku Abdul Halim.

Seri Paduka bertitah, Kuala Lumpur perlu mengambil kesempatan daripada Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan menganjurkan pelbagai program serta aktiviti untuk memastikan sasaran ketibaan 15 juta pelancong tahun ini berjaya.

“Tahun Melawat Malaysia 2014 perlu menjadi misi nasional untuk pastikan ketibaan 28.3 juta pelancong berjaya.

“Pastinya Kuala Lumpur akan turut jadi tumpuan pelancong. Beta berharap sasaran 15 juta pelancong Kuala Lumpur dan keuntungan RM24.9 juta daripada perbelanjaan (pelancong) dapat dicapai”, titah baginda.

Seri Paduka juga mahu agar Wilayah Persekutuan Labuan dapat terus dibangun dan dimajukan bukan sahaja sebagai pusat kewangan luar pesisir antarabangsa, malah dipromosikan sebagai destinasi pelancongan menarik di peringkat antarabangsa.

“Labuan merupakan Wilayah Persekutuan yang berpotensi dari segi ekonomi kerana ia mempunyai industri minyak dan gas serta sebuah kawasan bebas cukai,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim juga bertitah agar Wilayah Persekutuan Putrajaya yang  merupakan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan dapat melaksanakan lebih banyak aktiviti komersil dalam usaha menarik kehadiran pelabur tempatan dan antarabangsa.

“Hanya dengan usaha sebegini Wilayah Persekutuan Putrajaya dapat menjadi sebuah bandar yang termaju dan berdaya saing,” titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong mengakhiri titah ucapan dengan mengingatkan para penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat agar menjaga maruah diri.

Pada majlis itu, sebanyak 320 orang menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat daripada Seri Paduka dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa yang dianugerahi Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri Utama, mendahului senarai penerima.-MediaUMNO

No comments:

Post a Comment

TERHANGAT, TERKINI DAN TERHEBAT