SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

TERKINI DAN TERHEBAT

Sunday, February 17, 2013

UMNO Online - “PRU Tidak Semestinya Ketika Cuti Sekolah- Tengku Adnan” plus 9 more

UMNO Online - “PRU Tidak Semestinya Ketika Cuti Sekolah- Tengku Adnan” plus 9 more

Link to UMNO Online

PRU Tidak Semestinya Ketika Cuti Sekolah- Tengku Adnan

Posted: 16 Feb 2013 01:49 AM PST

PUTRAJAYA, 16 Feb — Pilihan raya umum ke-13 tidak semestinya diadakan ketika musim cuti persekolahan penggal pertama akhir bulan depan, walaupun banyak pihak yang membuat spekulasi sedemikian.

 

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata walaupun mengadakan pilihan raya pada musim cuti persekolahan merupakan kebiasaan, namun faktor lain akan turut diambil kira.

 

“Ia bukanlah kemestian kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak

akan membuat perhitungan tertentu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga kawasan Parlimen Putrajaya di sini hari ini.

 

Tengku Adnan berkata saringan terakhir calon BN hampir siap sepenuhnya, termasuk semakan calon dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pihak polis dan Jabatan Insolvensi.

 

Beliau yang juga Anggota Parlimen Putrajaya yakin pengundi di Putrajaya menghargai apa yang dilakukan kerajaan dan akan memberi sokongan kepada BN.

Rakyat Kelantan Diminta Sokong Tok Pa

Posted: 16 Feb 2013 01:23 AM PST

BACHOK, 16 Feb — Rakyat Kelantan perlu memberi sokongan penuh kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk menerajui kepimpinan negeri ini, sekiranya mahu perubahan, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

 

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Mustapa mampu melakukan perubahan mengikut cita rasa rakyat, terutama tranformasi ekonomi, jika diberi peluang.

 

“Kelantan memerlukan kemasukan pelabur asing yang berskala besar untuk menjana ekonominya agar memberi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian zakat kepada 335 anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Kampung Kemudi hari ini.

 

Sebelum ini, Mustapa yang juga anggota Parlimen Jeli, disebut-sebut akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeli dan bakal dilantik Menteri Besar Kelantan sekiranya Barisan Nasional (BN) dapat menawan negeri ini pada PRU-13.

 

Awang Adek, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata kemampuan Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, telah terbukti apabila beliau berjaya menarik sejumlah besar pelaburan asing ke negara ini.

 

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita pada majlis ramah mesra bersama pesara polis di Jelawat,  Awang Adek berkata dengan sokongan padu

kerajaan pusat, kemampuan Mustapa semakin terserlah untuk membangunkan negeri ini agar setanding negeri lain.

 

Beliau berkata ini termasuk janji tujuh projek besar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Baharu, pembinaan stadium baharu, pembinaan 3,000 unit perumahan rakyat dan pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 pelajar.

 

Selain itu, pembinaan masjid terbesar yang menjadi ikon di negeri ini, mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Baharu serta menyelesaikan masalah air.

 

“Inilah peluang terbaik untuk rakyat Kelantan berubah, dan saya memberi sokongan penuh terhadap kemampuan beliau,” katanya.

Orang Lama Tidak Terpilih Jadi Calon Tidak Boleh Kecil Hati – Isa Samad

Posted: 16 Feb 2013 01:15 AM PST

SHAH ALAM, 16 Feb  – Wakil rakyat veteran atau yang telah lama berkhidmat tidak seharusnya berkecil hati sekiranya tidak dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Katanya mereka yang tidak terpilih wajar menerima dengan hati terbuka dan bersedia memberi peluang kepada pemimpin pelapis untuk memastikan Barisan Nasional (BN) dan Umno terus relevan.

“Orang macam saya kalau tidak terpilih tidak boleh kecil hati kerana sudah bertanding berkali-kali,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program televisyen Sentuhan Ikon terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Felda berkata mereka yang tidak terpilih juga perlu terus memberi sokongan kepada calon yang dipilih iaitu turut turun berkempen di seluruh negara.

Ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding, Mohd Isa berkata: “Kalau tidak terpilih kita turun bantu jentera parti berkempen, sebab zaman saya dulu bertanding orang lain juga turun bantu kita.”

Mengulas mengenai dakwaan kumpulan pelajar dan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dihalang ketika mahu memasuki kawasan Felda di Pahang baru-baru ini, Mohd Isa berkata pihak berkenaan perlu berfikir mengapa mereka tidak diterima  masyarakat setempat.

“Kalau orang tidak bagi masuk, kenapa mahu masuk juga. Macam orang tidak beri kita masuk rumah, mengapa kita perlu masuk. Masyarakat tidak terima kerana mereka hidup aman damai kenapa perlu masuk untuk pecah belahkan dan kacau harmoni,” katanya.

Terdahulu, Mohd Isa turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara RTM, Felda dan syarikat produksi Marhaen Production yang terbabit dalam rancangan Sentuhan Ikon itu.

Sentuhan Ikon, yang ditaja oleh Felda, ialah rancangan realiti televisyen membabitkan 18 kumpulan muzik amatur yang bertanding dan dibimbing di bawah tiga ikon kumpulan muzik tersohor negara iaitu Lefthanded, Alleycats dan May.

Agihan Empat Bantuan Kerajaan Selesai Pada Mac- Ahmad Husni

Posted: 16 Feb 2013 01:11 AM PST

IPOH, 16 Feb — Pembayaran empat inisiatif bantuan kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat akan diselesaikan sepenuhnya sebelum akhir Mac ini, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Katanya keempat-empat bantuan itu, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Sumbangan Veteran ATM Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M), Bantuan Awal Persekolahan dan Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) mula diagihkan secara berperingkat sejak Januari lalu dan ia diharap dapat mengurangkan beban rakyat.

“Keempat-empat bantuan kerajaan ini telah mula dinikmati penerima yang terdiri daripada masyarakat pelbagai lapisan. Kita jangka keempat-empat bantuan itu akan selesaikan diserahkan pada akhir Mac ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian SVTB1M bagi Parlimen Tambun di sini hari ini.

Katanya SVTB1M telah diserahkan kepada 26,089 penerima setakat semalam selepas kerajaan meluluskan sumbangan itu kepada 73,653 veteran tentera tidak berpencen.

Ahmad Husni yang juga anggota Parlimen Tambun berkata sehingga Rabu lepas, sebanyak 1.4 juta penerima isi rumah dan 72, 858 penerima bujang telah menunaikan baucer BR1M masing-masing dengan peruntukan RM724 juta.

“Bagi yang mahu mengetahui status permohonan BR1M, mereka boleh menghubungi Lembaga Hasil Dalam Negeri dan tarikh tutup permohonan pada 15 Mac ini. Kita mahu rakyat tahu hal ini dan buat permohonan sebelum tarikh itu,” katanya.

Mengenai Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM100, beliau berkata sebanyak 5.24 juta pelajar sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan telah menerima peruntukan membabitkan RM524 juta.

Bagi sekolah swasta, agama negeri dan agama rakyat, pembayarannya sedang diproses dan juga akan diselesaikan sebelum 31 Mac ini, katanya.

Sementara bantuan BB1M bernilai RM250 yang disasar diagihkan kepada 1.3 juta penuntut institut pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara juga sedang dilaksanakan dan akan selesai menjelang Mac, katanya.

Lagi Rakyat Selangor Bangkit Tuntut Janji, Kali Ini Janji Elaun Pra Sekolah

Posted: 16 Feb 2013 12:59 AM PST

KUALA SELANGOR, 16 Feb – Selepas gagal membatalkan saman yang difailkan oleh kumpulan ibu tunggal berhubung pembayaran elaun sebanyak RM100 sebulan serta tuntutan kumpulan yang menuntut air percuma, kerajaan negeri Selangor hari ini terus berdepan dengan satu lagi tuntutan iaitu berkaitan bantuan pendidikan prasekolah.

Pengerusi Badan Bertindak Rakyat Selangor (BBRS), Datuk Said Anuar Said Ahmad berkata, ini berikutan kerajaan negeri dalam manifesto kempen pilihan raya umum 2008, telah berjanji akan memberi bantuan RM50 sebulan kepada kanak-kanak yang menghadiri pendidikan peringkat asas tersebut.

Jelas beliau, manifesto itu juga merujuk kepada seluruh keluarga tanpa mengira jumlah pendapatan kerana tiada syarat dikenakan.

"Kerajaan Selangor hari ini jelas gagal memenuhi janji semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) untuk menyediakan elaun sebanyak RM50 sebulan kepada 115,000 kanak-kanak yang memasuki prasekolah melibatkan tuntutan RM59.8 juta sejak tahun 2008. Jumlah itu termasuk seramai 23,945 kanak-kanak yang memasuki prasekolah sepanjang tahun lepas.

“Dalam masa yang sama, kita menafikan bahawa BBRS menghalang atau menakutkan ibu-bapa Pra Sekolah untuk menerima bantuan pra persekolahan dari kerajaan pakatan negeri Selangor.

“Persoalannya, kerajaan negeri tidak telus untuk menyampaikan maklumat menyeluruh kepada rakyat Selangor khususnya kepada ibu-bapa yang mempunyai anak di pra-sekolah, mengapa pilih bulu, mengapa pilih kasih," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas bersama-sama dengan kumpulan ibu-bapa dari kawasan Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam yang mengadakan demostrasi menuntut janji PRU12 dari kerajaan negeri, di sini pagi tadi.

Tambahnya, kenyataan yang dibuat oleh seorang wakil rakyat dalam website Selangorku merupakan kenyataan yang melulu dan tidak bertanggungjawab, satu pembohongan besar dengan menuduh kerajaan pusat menyekat bantuan Skim Tunas kerajaan negeri Selangor.

"Hakikatnya, YB Dr Halimah seorang wakil rakyat yang tidak prihatin dan tidak mengambil tahu jumlah sebenar anak-anak di prasekolah di negeri Selangor. Untuk tahun 2013, kerajaan negeri Selangor cuma mensasarkan 5,000 ibu-bapa sehingga Disember 2013.

“Kalau YB Dr Halimah begitu prihatin di atas kanak-akanak prasekolah, dah lari dari sasaran sebenar kerana di negeri Selangor sahaja, ada kira-kira 25 ribu hingga 30 ribu kanak-kanak yang belajar di Tadika Kemas, Tabika Perpaduan dan tadika swasta di negeri Selangor.

“Kenyataan Dr Halimah bahawa bantuan ini, RM50 atau bantuan Skim Tunas ini untuk keluarga yang berpendapatan RM1500 ke bawah tetapi janji dalam manifesto tak sebut langsung. Mengapa hari ini ada syarat?," ujarnya lagi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gombak.

Persoalan seterusnya tegas beliau mengapa Skim Tunas ini baru dilancarkan pada 1 Julai 2012, setelah empat tahun pakatan PKR-DAP-PAS mentadbir negeri Selangor.

“Janji yang dibuat ialah pada tahun 2008, bagaimana dari tahun 2008 hingga 2012, siapa yang nak bayar tuntutan ini.

"Sepatutnya pembayaran ini sudah dibuat sejak Mac 2008 sehinggalah tahun 2013. Sehubungan dengan itu, nasihat kepada Dr  Halimah, jangan berbohong kepada rakyat negeri Selangor. Kalau nak buat Skim Tunas ini, buatlah dengan ikhlas, jangan banyak main politik, jangan cakap tak serupa bikin, jangan tidak bertanggungjawab dan tuduh yang bukan-bukan kepada kerajaan pusat," tambahnya lagi. -MediaUMNO

Bilik Gerakan BN Kota Laksamana Disimbah Cat Merah

Posted: 15 Feb 2013 11:54 PM PST

MELAKA, 16 Feb  – Bilik gerakan Barisan Nasional (BN) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana di Jalan Laksamana 8 di sini disimbah cat merah oleh pihak tidak dikenali.

Kejadian dipercayai berlaku pada awal pagi hari ini dan disedari kira-kira 7 pagi tadi oleh seorang petugas bilik gerakan tersebut yang mendapati bahagian laman depan dan papan tanda premis itu dilempar dua bungkusan plastik cat merah.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata perbuatan khianat tersebut dipercayai dilakukan pihak pembangkang yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan kerajaan BN terhadap penduduk di kawasan tersebut.

“Ini tindakan provokatif pembangkang setelah mereka melihat sambutan rakyat terhadap BN kerana pelbagai masalah yang dibangkitkan penduduk berjaya diselesaikan BN,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kejadian itu.

Beliau berkata pihak terlibat tidak sepatutnya berasa kecewa dengan kejayaan BN dan perlu menghormati amalan sistem demokrasi di negara ini.

“Sebagai ingatan (kepada pembangkang), reaksi rakyat sekarang BN boleh menang di kawasan ini, jadi jangan timbulkan huru-hara, mereka sepatutnya terima keputusan (Pilihan Raya Umum ke-13) dengan hormat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Parti Progresif Penduduk Melaka Datuk Chiw Tiang Chai yang melawat tempat kejadian berkata pihaknya akan mengambil langkah keselamatan termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak kejadian lebih buruk.

Beliau turut meminta mereka yang tidak berpuas hati agar menghubunginya bagi menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul dan bukannya dengan melakukan perbuatan khianat.

Katanya pihaknya akan melaporkan kejadian berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Tindakan Kerajaan Kedah Minta Pampasan RM100Juta Tidak Logik- Muhyiddin

Posted: 15 Feb 2013 11:47 PM PST

ALOR SETAR, 16 Feb — Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan kerajaan Kedah meminta kerajaan persekutuan membayar pampasan RM100 juta sekiranya mahu penebangan balak di negeri ini tidak dilakukan, sebagai tidak logik.

Timbalan Perdana Menteri berkata masalah penebangan balak oleh kerajaan negeri yang melibatkan kawasan tadahan air telah dilakukan dan kini mereka meminta pampasan daripada kerajaan pusat.

“Perkara ini (pembalakan) dah berlaku begitu, mana ada cerita pampasan.

Kawasan tanah (milik) dia, balak dia dah ambil, sekarang minta kerajaan pusat beri RM100 juta,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Guru Muda 1Malaysia Zon Utara di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Kampung di sini hari ini.

Rabu lepas, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika meminta kerajaan pusat membayar pampasan itu berkata pampasan itu sebenarnya pernah dijanjikan Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri, namun tidak pernah ditunaikan hingga kini.

“Kalau bising sangat (mengenai penebangan balak), bayar kami RM100 juta…hutan hak Kedah…lagipun tak tebang kawasan tadahan air, kawasan hutan simpan saja tebang,” kata Azizan.

Muhyiddin berkata apa yang lebih penting kerajaan negeri tidak meneruskan pembalakan itu dan menghentikannya serta merta.

“Saya tak tahu siapa dia berjanji dan sebagainya. Apa yang penting sekarang ini apakah wajar apa yang dibuat sekarang..untuk bersihkan kawasan-kawasan tadahan air.

“Kita tahu Kedah tiada sumber dan dana pun tak mencukupi kalau tidak ada bantuan kerajaan pusat. Tapi tak seharusnya dia ambil langkah yang memusnahkan alam sekitar. Ini untuk generasi Kedah masa akan datang. Itu lebih utama yang harus difikirkan,” katanya.

Kerajaan PAS Kedah melakukan aktiviti pembalakan secara rakus di kawasan seluas 400 hektar di Charuk Batang Padi, di kawasan hutan simpan Tasik Pedu atas alasan untuk projek taman agro pelancongan dan ladang rakyat.

Tindakan itu mendapat bantahan banyak pihak kerana akan memberi kesan kepada alam sekitar dan bekalan air tetapi tidak dipedulikan kerajaan negeri yang tetap meneruskan pembalakan itu.

Mengenai dakwaan Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang bahawa hutang kerajaan negeri meningkat sebanyak 50 peratus selepas pakatan PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mengambil alih pentadbiran negeri ini, Muhyiddin berkata jika maklumat itu betul, ia sesuatu yang serius.

” Kalau betul, elok kerajaan negeri ambil perhatian, elok disiasat dan dikaji. Jika ia boleh menyebabkan Kedah sampai tahap bangkrap, ia akan menjadi bebanan kepada rakyat Kedah.

” Itu juga bangkitkan persoalan keupayaan dan kecekapan kerajaan negeri urus dana negeri…sama ada mereka berbelanja lebih daripada yang dia upaya sehingga menimbunkan hutang lebih banyak. Kalau berlaku amat serius kepada masa depan negeri Kedah,” katanya.

Tan berkata berdasarkan Laporan Audit Negara 2011, baki kewangan kerajaan negeri hanya tinggal RM193.22 juta manakala baki hutang awam kerajaan negeri setakat Disember 2011 pula sudah mencecah RM2.6 bilion.

Katanya hutang kerajaan negeri bakal mencecah RM3 bilion, kenaikan RM1cbilion berbanding pada 2007 sebanyak RM2 bilion semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN).

SPNB Bina 19,000 Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia Tahun Ini

Posted: 15 Feb 2013 11:41 PM PST

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) — Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bakal membina 19,000 lagi Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pegawai Teknikal SPNB Datuk Ahmad Azizi Ali berkata SPNB telah membina sebanyak 19,700 unit RMR1M dengan subsidi kerajaan sebanyak RM20,000 setiap unit sejak program RMR diperkenalkan pada 2002.

“Kos sebenar sebuah RMR1M ialah RM65,000 dan kerajaan memberi subsidi sebanyak RM20,000 setiap unit supaya pembeli tidak dibebankan dengan kos yang tinggi, mereka hanya menanggung kos RM45,000 seunit,” katanya selepas merasmikan Program Hari SPNB bersama Media 2013 di sini hari ini.

Selain memberi subsidi kepada pembinaan RMR1M, kerajaan juga menanggung kos tambahan yang diperlukan untuk kerja ambil alih dan menyiapkan projek perumahan yang terbengkalai.

“Kerajaan tidak mahu membebankan rakyat, oleh itu SPNB tidak dibenarkan menaikkan harga rumah yang terbengkalai, sebaliknya kami menyiapkan rumah tersebut dan kos tambahan ditanggung sepenuhnya kerajaan,” katanya.

Program bersama media yang bertemakan “Selamatkan Gaza” itu diadakan di Kem Isi Rimba, Hulu Kemensah di sini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti riadah dan penyerahan sumbangan RM2,300 oleh pekerja SPNB untuk Tabung Gaza.

Azizi berkata SPNB juga kini giat menyiapkan dua projek perumahan yang terbengkalai lebih 10 tahun di Batu Pahat dan Tangkak, Johor.

“Taman Jasa Amir di Batu Pahat melibatkan 50 unit rumah manakala terdapat 60 unit rumah terbengkalai di Taman Tangkak Emas, Tangkak dan ia melibatkan kos lebih RM20juta,” katanya.

Sementara itu, Azizi berkata SPNB juga telah memulakan pembinaan fasa kedua rumah mampu milik di Laguna Biru, Rawang yang mempunyai 1,200 unit rumah berharga antara RM160,000 ke RM170,000 dan dijangka siap Jan 2015.

Program Transformasi Dirangka Demi Manfaat Rakyat- Najib

Posted: 15 Feb 2013 11:25 PM PST

CHINI, 16 Feb  – Inisiatif kerajaan mengadakan program transformasi adalah untuk terus menerus merangka pelbagai program demi manfaat rakyat dan sekaligus mengangkat martabat negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata melalui agenda transformasi, rakyat sentiasa dibantu dan permasalahan mereka diberi perhatian menerusi pelbagai bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bukannya usaha melaung-laungkan reformasi yang tidak membawa sebarang manfaat.

“Baru-baru ini saya membuat kunjungan ke Mesir dan melihat keadaan di sebuah negeri yang mengalami revolusi, yang jatuhkan rejim lama.

“(Di negara kita juga).. ada pihak tiup semangat revolusi, mereka kata reformasi, tapi reformasi mereka itu adakah lebih baik dari transformasi?

“Reformasi atau demonstrasi atau baling kerusi?. Transformasi bermaksud rakyat dibantu, rakyat ditolong, diambil berat, bantuan persekolahan, bantuan-bantuan lain, di Felda, peneroka dapat “durian runtuh” RM15,000, peneroka dapat pinjaman perumahan terbaik, dapat bonus tahunan, dapat duit raya, inilah agenda transformasi negara, reformasi tak bagi apa pun,” katanya ketika berucap pada majlis kenduri rakyat dan penyampaian BR1M 2.0  di sini, hari ini.

Najib secara sinis turut mengulas bendera besar parti pembangkang yang banyak dipasang di sekitar Felda Chini itu.

“Transformasi yang akan angkat martabat negara kita, kita tidak ke mana pun dengan bendera yang besar, habiskan beras saja, orang Chini tidak mudah ditipu, bendera boleh buat kita makan? Bendera boleh baiki rumah kita?,” soalnya.

Seramai 7,000 penduduk di Chini menerima bantuan BR1M 2.0.

Dalam ucapannya, Najib turut memberi bayangan bahawa kerajaan akan memberikan BR1M 3.0 selepas bantuan serupa diberikan sebanyak dua kali sebelum ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata bantuan itu mungkin diberikan pada tahun depan, yang bertujuan membantu mereka yang berpendapatan rendah.

“BR1M 3?…Tunggu lepas pilihan raya (umum ke-13), mungkin tahun depan kalau ada rezeki, tapi kena lalui pilihan raya dulu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan pimpinan Barisan Nasional sentiasa mengotakan janjinya dan menerusi slogan “Janji Ditepati”, pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat telah pun ditunaikan sebelum ini.

Beliau berkata BR1M 2.0 yang sedang diberikan kepada rakyat ketika ini lebih memberi manafaat yang menyeluruh berbanding BR1M yang pertama.

BR1M 2.0 turut memberikan bantuan kepada mereka yang belum berkahwin dan golongan muda.

Pada majlis yang dihadiri lebih 20,000 orang itu, Perdana Menteri turut menyelar parti pembangkang yang sentiasa membuat janji, tetapi tidak pernah menunaikannya.

Katanya, di Selangor misalnya, kerajaan negeri yang dipimpin parti pembangkang itu ternyata gagal dalam memberikan pelbagai bantuan sepertimana yang mereka janjikan sebelum ini.

Masa Depan Masyarakat Siam Lebih Terjamin Di Bawah BN- Shahidan Kassim

Posted: 15 Feb 2013 10:02 PM PST

KANGAR, 16 Feb — Masa depan masyarakat Siam akan lebih terjamin di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), kata bekas Menteri Besar Perlis, Datuk

Seri Dr Shahidan Kassim.

 

Sehubungan itu, katanya, mereka perlu memberi mandat kepada BN untuk terus menerajui negara dan menikmati segala kemudahan yang sebelum ini telah diperuntukkan kepada mereka.

 

Berucap pada majlis penyampaian bantuan membaiki rumah kepada enam penerima keturunan Siam di Kampung Padang Cheria dekat sini malam tadi, beliau yakin masyarakat Siam memerlukan kerajaan yang sentiasa menunaikan janji.

 

Shahidan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Tambun Tulang berharap mereka menolak cubaan parti pembangkang yang cuba meraih sokongan masyarakat Siam dengan janji manis mereka.

 

Katanya, selama ini masyarakat Siam telah menikmati pelbagai kemudahan dan yakin mereka tidak akan cuba mengambil risiko pada pilihan raya umum akan datang.

 

“Kami tidak minta apa-apa daripada masyarakat Siam tapi kami akan terus

memberi. Cuma kami minta teruskan sokongan kepada kerajaan BN pada pilihan raya,” katanya.

 

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membaiki rumah kepada enam penduduk dari Kampung Padang Cheria, Padang Pattani dan Behor Gelam dengan setiap seorang menerima RM2,500.

 

Katanya, sumbangan itu walaupun kelihatan kecil namun cukup untuk membaiki kerosakan kecil berdasarkan penilaian JKM pada rumah-rumah berkenaan.

No comments:

Post a Comment

TERHANGAT, TERKINI DAN TERHEBAT