UMNO Online - “Puteri UMNO Serah Kepada Pimpinan Tentukan Bilangan Calon Pilihan Raya” plus 9 more |
- Puteri UMNO Serah Kepada Pimpinan Tentukan Bilangan Calon Pilihan Raya
- Penjawat Awam Boleh Dikenakan Tindakan Berpolitik Tanpa Kebenaran
- DAP Cuba Nak Jadi ‘Raja’ Dalam Pakatan Pembangkang
- BN Metrai Ikrar Integriti Bukti Janji Ditepati, Tak Endah Manipulasi Pembangkang
- UMNO Sungai Petani Bersemuka Rakyat Jelaskan Isu & Kongsi Pendapat
- Kerajaan Selangor Utamakan Kondo Mewah, Keperluan Rakyat Terus Dipinggirkan
- Samakan Penerima Bantuan Sebagai Haiwan Satu Penghinaan Kepada Rakyat Malaysia
- Kerajaan BN Terus Kerja Kuat Laksana Agenda Bantu Rakyat Sarawak – Najib
- Beberapa Kenyataan MB S’gor Termasuk Hendak Bubar DUN Hanya Gimik Politik – Noh Omar
- Taib Gesa Penduduk Sarawak Beri Mandat Terbesar Kepada BN Dalam PRU-13
Puteri UMNO Serah Kepada Pimpinan Tentukan Bilangan Calon Pilihan Raya Posted: 21 Feb 2013 03:26 AM PST SUNGAI PETANI, 21 Feb – Puteri Umno menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti berkenaan bilangan kerusi yang akan ditandingi wakil pergerakan itu pada pilihan raya umum ke-13 ini. Naib Ketua Puteri Umno Shahanim Mohamad Yusof berkata apa yang penting bagi Puteri Umno, calon yang dipilih oleh pimpinan itu adalah calon yang boleh menang dan pergerakan itu akan membantu untuk memastikan kemenangan calon Umno dan Barisan Nasional (BN). “Pandangan saya secara peribadi, saya tidak kisah mengenai kuota, yang penting siapa boleh menang, letak sahaja asalkan calon itu calon yang rakyat mahukan dan boleh memberi kemenangan kepada BN. “Dalam keadaan negara ketika ini, kami serah kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya. Kalau tempat itu untuk lelaki tetapi orang kata calon wanita boleh menang, letak calon wanita. Begitu juga jika tempat itu wanita tetapi orang mahu calon lelaki dan dia boleh menang, letak calon lelaki,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Kursus Asas Rela siri 2/2013 di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara, Bukit Selambau, dekat sini hari ini. Shahanim berkata beliau menghargai sekiranya Puteri dan Wanita, diberi kepercayaan untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13. “Saya hargai kalau pucuk pimpinan rasa calon-calon wanita boleh menang dan mencalonkan wanita. Saya ucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan yang menilai bukan dari segi kelayakan tetapi pemimpin di sesuatu kawasan yang boleh buat kerja,” katanya. Shahanim berkata di Kedah, Puteri dan Wanita Umno sudah bergerak sejak lima tahun lalu untuk membantu BN kembali mentadbir Kedah, dan Puteri Umno sememangnya sudah bersedia menggerakkan jenteranya bagi membantu calon BN meraih kemenangan. Beliau berkata Puteri Umno diberi tanggungjawab mengendalikan urusan teknologi maklumat, peraih undi serta bersama-sama wanita Umno untuk mengeluarkan pengundi di kalangan wanita muda dan wanita veteran. “Dari segi persediaan, InsyaAllah, bahagian-bahagian di Kedah sudah bersedia 100 peratus bagi menghadapi pilihan raya umum, sama ada jentera di peringkat peti undi atau bahagian. “Kita tidak mengira siapa pun pengundi (wanita muda atau veteran), sekarang ini kita fokus kepada satu pengundi, satu undi, demi memastikan kemenangan BN,” katanya. Turut hadir pada majlis itu Komandan Pusat Latihan Rela Wilayah Utara Kol Md Puad Ahmad dan Pengarah Rela Kedah Mehat Ahmad. |
Penjawat Awam Boleh Dikenakan Tindakan Berpolitik Tanpa Kebenaran Posted: 21 Feb 2013 03:24 AM PST KUALA LUMPUR, 21 Feb – Penjawat awam yang didapati terlibat dengan kegiatan politik tanpa kebenaran daripada ketua jabatan ataupun berpolitik dalam waktu kerja boleh dikenakan tindakan tatatertib, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah mengeluarkan Pekeliling yang membenarkan kumpulan pelaksana iaitu dari Gred 1 hingga Gred 40 terlibat di dalam politik dan mereka perlu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan di dalam pekeliling tersebut. Syarat-syarat tersebut antaranya mesti mendapat kebenaran daripada Ketua Jabatan dan berpolitik selepas waktu pejabat. “Kalau ada kes (yang melanggar syarat tersebut), kita patut bertindak di atas maklumat yang tepat, tidak boleh bertindak atas dasar orang kata itu, orang kata ini,” katanya dalam sesi soal jawab pada perhimpunan khas bersama pemimpin Cuepacs di sini hari ini. Seorang wakil Kedah mencadangkan agar kerajaan mengambil tindakan segera ke atas penjawat awam yang terlibat secara langsung dalam politik pembangkang kerana ia dilihat sebagai satu pengkhianatan kepada sektor awam. Muhyiddin berkata laporan yang lengkap dengan maklumat yang tepat perlu dikemukakan kepada JPA untuk siasatan sebelum sebarang tindakan dikenakan. “Untuk menentukan ada asas keadilan dalam tindakan kita, jika benar-benar mereka lakukan mesti ada laporan, JPA dan bahagian tatatertib mesti berpandukan kepada laporan, itupun tidak semestinya diterima bulat-bulat,” katanya. Beliau berkata ia penting supaya apabila sesuatu tindakan diputuskan ke atas penjawat awam yang melanggar syarat tersebut, ia tidak dianggap sebagai satu penganiayaan kepada mereka. “Apa pun mesti berpandukan kepada Pekeliling dan maklumat yang tepat yang ada sebelum tindakan diambil,” katanya. Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata adalah lebih baik untuk penjawat awam menumpukan perhatian terhadap tugas mereka selain berpolitik. “Kita sudah tandatangan akujanji, jadi lebih baik tumpu agenda penjawat awam, kalau nak berpolitik juga, minta kebenaran, jangan berpolitik pada waktu kerja,” katanya kepada pemberita. Sementara itu, bercakap di hadapan 3,000 pemimpin Cuepacs seluruh negara, Muhyiddin berkata kerajaan tidak mungkin dapat melaksanakan segala keperluan dan hajat rakyat tanpa perjuangan dan sumbangan daripada penjawat awam. “Ini kerana, saudaralah yang menjadi tonggak yang telah dapat memikul amanah menterjemahkan dasar kerajaan supaya rakyat dapat menerima kesannya dan keadaan mereka bertambah lebih baik pada masa akan datang,” katanya. Beliau berkata dengan sumbangan penjawat awam di seluruh negara, kerajaan mencatat banyak kemajuan dan dapat meletakkan negara dalam keadaan yang cukup baik serta diiktiraf antara negara membangun yang paling maju. “Hal ini berlaku kerana adanya persefahaman dan kesediaan saudara bersama dengan pemimpin untuk memikul tugas yang berat, ini bukan mudah untuk kita laksanakan tugas dan tanggungjawab kita kerana di hadapan kita mempunyai sejumlah lebih 28 juta rakyat semuanya mempunyai aspirasi dan mahu kerajaan membuat sesuatu untuk menambah baik kehidupan mereka. “Mereka mahu lebih berjaya, mereka mahu hidup dalam keadaan lebih selesa dan harapan yang mereka letakkan adalah pada pihak pimpinan kerajaan, kerajaan harus boleh berbuat sesuatu untuk memperbaiki kehidupan mereka,” katanya. |
DAP Cuba Nak Jadi ‘Raja’ Dalam Pakatan Pembangkang Posted: 21 Feb 2013 03:20 AM PST KUALA LUMPUR, 21 Feb – Kemelut dan konflik yang berlaku dalam pakatan pembangkang hari ini adalah berpunca daripada sikap kepimpinan DAP, terutamanya Lim Guan Eng dan Karpal Singh yang dilihat menjadi selalu tukang sibuk dan seringkali mencampuri urusan dalaman yang melibatkan parti lain di dalam Pakatan seperti Pas dan PKR. Ketua UMNO Bahagian Batu Gajah, Datuk Mohd Yusoff Kassim berkata, sikap kepimpinan tertinggi DAP, terutamanya Pengerusi Kebangsaan parti tersebut yang suka masuk campur dan mengkritik kepimpinan parti-parti lain di dalam pakatan, memperlihatkan bahawa beliau langsung tidak menghormati kepimpinan parti lain serta bersikap ingin menjadi 'Raja' di dalam Pakatan. "Sikapnya yang suka masuk campur dan mengkritik secara terbuka keputusan atau pun pendirian kepimpinan parti lain di dalam pakatan menyebabkan kepimpinan Pas dan PKR mula merasa tidak berpuas hati . "Sebelum ini, beliau lantang mengkritik Pas dalam pelbagai isu, terutamanya yang melibatkan hal-hal agama termasuklah isu kalimah Allah baru-baru ini. Kini, kenyataan beliau dalam kemelut PKR dan DAP Johor juga telah mengguris perasaan kepimpinan PKR Johor sehingga Chua Jui Meng membuat kenyataan terbuka tidak berpuas hati dengan sikap pengerusi kebangsaan DAP itu," ujar beliau. Sikap yang diperlihatkan oleh Karpal serta kepimpinan tertinggi DAP itu cukup jelas bahawa parti tersebut cuba untuk menjadi parti yang dominan di dalam pakatan pembangkang dan ini telah menimbulkan kekalutan dalam hubungan DAP bersama Pas dan PKR. "Saya yakin, ramai ahli di peringkat akar umbi baik di dalam Pas mahupun PKR, tidak suka dan meluat dengan cara kepimpinan DAP yang cuba masuk campur, malah mengkritik apa jua keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi Pas dan PKR. "Tindakan Karpal yang cuba masuk campur dan mempertikaikan keputusan Majlis Syura Ulama Pas dalam isu kalimah Allah baru-baru ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli dan penyokong Melayu di dalam pakatan pembangkang, sedangkan isu tersebut ditimbulkan oleh Setiausaha Agung DAP sendiri," ujarnya. Berdasarkan senario itu jelas, bahawa sikap kepimpinan DAP yang suka mencari pasal dengan parti-parti lain dalam pakatan pembangkang membuktikan betapa rapuhnya kesepakatan di dalamnya yang boleh berkecai pada bila-bila masa. "Saya minta rakyat di negara ini agar menolak pakatan pembangkang yang tidak mempunyai kesepakatan yang baik dan seringkali bertelagah sesama sendiri. Bagaimana untuk menjadi pemerintah yang dapat mentadbir negara dengan baik, sedangkan setiap parti di dalam gabungan pakatan ini pun lebih mementingkan agenda dan kepentingan parti masing-masing berbanding kepentingan rakyat dan agenda nasional," soalnya. – MediaUMNO |
BN Metrai Ikrar Integriti Bukti Janji Ditepati, Tak Endah Manipulasi Pembangkang Posted: 21 Feb 2013 02:34 AM PST KUALA LUMPUR, 21 Feb – Kesungguhan Barisan Nasional (BN) melaksanakan penambahbaikan dan memastikan ketelusan dibuktikan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International sebagai komitmen terhadap agenda negara menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Wan Norashikin Wan Nordin melihat kelangsungan pentadbiran dan keyakinan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN adalah hasil daripada tekad dan keutamaannya dalam memastikan rakyat mendapat pembelaan dan sentiasa didahulukan. "Kepimpinan tertinggi BN tidak pernah melatah atau terpengaruh dengan agenda pembangkang biarpun telah pelbagai fitnah, manipulasi dan persepsi negatif ditohmah malah ikrar integriti ini adalah antara tindakan yang benar-benar ikhlas dari beliau dalam melaksanakan amanah," katanya kepada UMNO-Online. Ujarnya, Perdana Menteri telah melaksanakan transformasi dengan berjaya dan tema 'Janji Ditepati' adalah selaras dengan pelbagai bantuan dan keutamaan kepada rakyat. "Rakyat boleh menilai sendiri bagaimana bersungguh-sungguhnya BN mahu membanteras pelbagai perkara negatif sehinggakan Perdana Menteri sendiri melakukan ikrar janji, bersifat merendah diri malah pernah memohon maaf dengan masyarakat sekiranya benar BN ada mempunyai kesilapan dan ini semua dilakukan atas kepentingan kepada semua sebagaimana Gagasan 1Malaysia, Rayat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan. "Tindakan ini amat berbeza dengan apa yang ada dalam pakatan pembangkang kerana para pemimpinnya seringkali bersifat angkuh, tamak dan saling bertelagah dan andainya diminta melakukan apa yang Datuk Seri Najib laksanakan saya percaya bahawa mereka tidak akan sanggup," katanya. Dalam hal ini beliau turut merujuk kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sehingga ke hari ini tidak pernah meminta maaf kepada rakyat atau mengangkat sumpah biarpun terdapat desakan dari pihak yang berkait dengannya dalam isu tuntutan moral. "Dalam pakatan pembangkang juga sering bertentangan pendapat, mempunyai agenda berlainan, hala tuju berbeza dan matlamat mereka juga bukanlah untuk kepentingan rakyat apatah lagi untuk menunaikan segala janji-janji yang tertulis dalam manifesto pilihan rayanya. "Mereka menipu rakyat, burukkan kerajaan BN dan tidak lanksanakan tanggungjawab sehinggakan rakyat turut mengheret kerajaan negeri ke mahkamah sebagaimana yang berlaku di Selangor." Jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kampung Gajah, apa yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri menunjukkan keseriusan beliau terhadap bakal calon BN pada PRU nanti dengan integriti menjadi tonggak utama selain telus, jujur dan ikhlas. "Ini juga membuktikan bahawa BN bersedia dinilai berbanding pakatan pembangkang yang tidak berani melakukan sedemikian," katanya lagi. Ikrar Intergriti Pilihan Raya Transparency International adalah sosial kontrak sukarela kepada calon yang akan bertanding dalam PRU sebagai ikrar untuk mempromosikan integriti, urustadbir kerajaan dengan baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam kerajaan di peringkat negeri dan pusat serta mempertahankan keluhuran undang-undang. Dokumen tersebut menyenaraikan empat perkara terhadap calon BN yang akan bertanding dalam pilihan raya akan datang: • Calon mestilah melihat prinsip kebenaran, integriti, etika dan telus termasuk tidak menerima atau memberi rasuah atau terlibat dalam apa cara perlakuan rasuah. |
UMNO Sungai Petani Bersemuka Rakyat Jelaskan Isu & Kongsi Pendapat Posted: 21 Feb 2013 02:21 AM PST SUNGAI PETANI, 21 Feb – UMNO Sungai Petani mempunyai beberapa pendekatan tersendiri dalam usaha menyalurkan maklumat yang tepat kepada rakyat sekaligus dapat menangkis pelbagai tohmahan dan fitnah yang dilontarkan oleh pembangkang. Mengambil contoh usaha terbabit ialah gerakan turun padang bersama golongan nelayan dengan pendekatan secara bersemuka lebih memberi kefahaman dan penjelasan khususnya yang melibatkan bantuan daripada kerajaan pusat, Ketua UMNO Sungai Petani, Ali Yahya. Menurut beliau pelbagai bantuan seperti elaun sara hidup nelayan yang diperuntukkkan oleh kerajaan pusat selain beberapa bantuan lain menunjukkan komitmen kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk membantu rakyat pelbagai peringkat. "Kami lebih senang dengan cara sedemikian yang mana dapat bersemuka dan dapat memberikan maklumat secara terus kepada mereka. Inilah antara amalan dan pendekatan yang kita laksanakan selain daripada pelbagai bentuk pendekatan lain. "Secara jujurnya sudah banyak bantuan dan pelbagai pelaksanaan yang telah dibuat oleh kerajaan dalam usaha memabntu rakyat. Itulah antara tugas kami di bahagian ini untuk memberikan gambaran yang sebenarnya. "Justeru kepada penduduk di Sungai Petani ini, berilah sokongan kepada kerajaan yang bertanggungwab menerusi pembentukan dasar yang kuat dan kemas kerana tidak ada alternatif lain. Mereka tidak perlu terikut-ikut dengan pelbagai laungan oleh parti pembangkang," katanya. Menyentuh berkaitan persiapan pilihan raya umum yang akan diadakan dalam masa terdekat, Ali memberitahu pihaknya sudah bersedia untuk berdepan dengan pilihan raya berkenaan. "Begitu juga rakan-rakan komponen yang lain. Keakraban dan momentum untuk sama-sama membawa perubahan kepada rakyat makin terserlah dan hari ini kita hanya menunggu pembubaran Parlimen sahaja. Insyaallah penduduk Sungai Petani sudah sedia untuk memberikan semula keperacyaan kepada BN kali ini," katanya. – MediaUMNO |
Kerajaan Selangor Utamakan Kondo Mewah, Keperluan Rakyat Terus Dipinggirkan Posted: 21 Feb 2013 01:28 AM PST SHAH ALAM, 21 Feb – Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) hari ini membantah cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mahu membangunkan projek kediaman kondominium super mewah di tapak runtuhan bangunan rumah pangsa orang Melayu di Kampung Datuk Keramat. Presidennya, Hamidzun Khairuddin berkata, kondominium super mewah 45 tingkat Datum Jelatik ini menawarkan harga dari RM956,000 hingga RM11.6 juta sebuah adalah harga yang langsung tidak munasabah untuk dibeli oleh orang Melayu, Cina atau India yang berpendapatan kecil dan sederhana. “Hanya jutawan dan mereka yang berpendapatan minimum RM20,000 sebulan sahaja yang mampu untuk membeli kondominium tersebut. Ini juga bermakna usaha yang dipelopori PKNS, kini terpesong jauh dari tanggungjawab mereka yang sepatutnya membina perumahan untuk golongan rendah dan sederhana. "Kita juga ingin mempertikai polisi perumahan kerajaan negeri khususnya PKNS yang dalam masa lima tahun ini hanya menumpukan pembinaan rumah untuk orang kaya dan jutawan sahaja sedangkan 90 peratus penduduk Selangor adalah terdiri dari mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Kondominium Datum Jelatik ini adalah contoh terbaik pelaksanaan polisinya,” ujarnya kepada pemberita, di sini hari ini. GAPS turut mempertikai penjualan secara enblock dua blok kondominium mewah ini kepada warga luar. "Adakah warganegara luar yang lebih memerlukan rumah di Kampung Datuk Keramat ini berbanding rakyat tempatan? “Nampaknya kini MB melaksanakan visi 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan' dan yang paling menyedihkan, MB selaku pengerusi PKNS pernah berjanji semasa majlis makan durian dengan penduduk Keramat ketika perobohan rumah pangsa tersebut beberapa tahun lalu, bahawa akan dibangunkan rumah mampu milik di atas kawasan tersebut. "Namun amat memeranjatkan kondominium super mewah pula yang akan didirikan. Jelas benar, penduduk Keramat khasnya penduduk Selangor amnya di tipu bulat-bulat oleh MB,” tambahnya. Sehubungan itu, GAPS menuntut agar projek kondominium ini dibatalkan dan MB wajib menunaikan janji pembinaan perumahan rakyat mampu milik di atas tapak rumah pangsa Keramat ini. “Kalau projek Kondominium Padang PKNS Kelana Jaya boleh dibatalkan, projek kondominium Dolomite Batu Caves boleh dibatalkan, maka MB juga wajib membatalkan projek kondominium super mewah Datum Jelatik, Kampung Datuk Keramat ini,” tambahnya. – MediaUMNO |
Samakan Penerima Bantuan Sebagai Haiwan Satu Penghinaan Kepada Rakyat Malaysia Posted: 21 Feb 2013 01:22 AM PST LENGGONG, 21 Feb – "Suruh dia (Nik Aziz) rehat…, lagi banyak dia bercakap lagi merapu… buat dosa, cakap tok guru. Kalau tok guru maka tentulah tahu berdosa kita samakan manusia dengan haiwan. Ini adalah satu penghinaan dan kejian kepada orang miskin dan kepada rakyat Malaysia," ujar Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakan penerima bantuan kewangan daripada kerajaan umpama haiwan. Dalam kenyataan Nik Aziz, beliau berkata bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan itu ibarat memberi hampas dan padi serta jerami kepada ayam dan lembu. Pemberian wang ringgit sangat mendapat sambutan kerana sama dengan ayam dan lembu yang akan datang sekiranya manusia memberikan haiwan tersebut makanan yang digemari. Nik Aziz juga berkata pemberian wang tersebut adalah salah di sisi Islam kerana ajaran Islam yang sebenar adalah memberikan ilmu kepada manusia. Badruddin menjelaskan, kenyataan Nik Aziz tersebut boleh membuatkan masyarakat bukan beragama Islam turut tersalah tafsir mengenai agama rasmi negara ini. "Tanya pada Nik Aziz, kalau orang miskin datang minta tolong dengan dia, tak ada duit nak makan, nak bagi anak pergi sekolah, dia tak tolongkah…. Takkan nak bagi ilmu dan sebelum nak dapat ilmu kena bagi duit untuk mereka dapatkan ilmu. Setiap wang yang kita berikan ikhlas dan ianya menjanjikan pahala. "Jangan senang-senang nak keluarkan fatwa sendiri. Fikir dulu sebelum bercakap. Sepatutnya Nik Aziz lebih jelas dan tahu hukum-hakam agama Islam. Merapu sungguh Nik Aziz ni…," ujarnya kepada UMNO-Online. Soal Badruddin, bagaimana PAS yang telah menukarkan perjuangan mereka daripada memperjuangkan agama kepada kebajikan ingin membantu rakyat yang susah dan amat memerlukan duit untuk meneruskan kehidupan jika bantuan yang dihulurkan dianggap haram? "Kita nak makan perlu duit, nak belajar perlu duit, nak cari ilmu juga perlu duit. Jadi PAS nak bantu macam mana kalau tak bantu dengan duit? Kita kena bantu mereka yang memerlukan, tegasnya. Ujar beliau , Nik Aziz sebenarnya sudah kehilangan idea untuk berkempen sehingga sanggup menghina rakyat negara ini sebagai haiwan. “Sebenarnya dia takut dengan apa yang kerajaan buat untuk rakyat," tambahnyalagi. – MediaUMNO |
Kerajaan BN Terus Kerja Kuat Laksana Agenda Bantu Rakyat Sarawak – Najib Posted: 21 Feb 2013 01:02 AM PST SRI AMAN, 21 Feb – Kerajaan Barisan Nasional (BN) berjanji akan terus bekerja kuat membangunkan Sarawak kerana banyak lagi agenda pembangunan untuk rakyat perlu dilaksanakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Mengambil bait-bait lirik lagu tempatan “Wawasan Berkikis Bulu Betis” sebagai simbolik janji tersebut, beliau berkata itu adalah gambaran kesungguhan BN untuk bekerja meneruskan agenda membantu rakyat negeri ini. Lagu “Wawasan Berkikis Bulu Betis” adalah karya Andrewson Ngalai menggambarkan kesungguhan rakyat Sarawak untuk bangkit maju walau apapun cabaran yang perlu ditempuh. “Saya minta rakyat (Sarawak) terus beri mandat kepada kita melalui majoriti pada PRU-13 (pilihan raya umum ke-13) untuk kerajaan BN selesaikan banyak lagi agenda rakyat negeri ini, banyak kita boleh lakukan dengan kerjasama yang padu bersama kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud. “Percayalah banyak perubahan akan kita lakukan di Sarawak. Saya juga berjanji akan terus bekerja ibarat lagu ‘Wawasan Berkikis Bulu Betis’…kita pastikan bumi Sarawak milik BN sekali lagi,” katanya di hadapan kira-kira 5,000 penduduk Sri Aman pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Padang KPS Lama di sini, hari ini. Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Abdul Taib dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, serta barisan Menteri-menteri Persekutuan dan Menteri Kabinet negeri. Terdahulu, ketibaan Najib dan isteri disambut dengan tarian singa, dendangan hadrah serta paluan gong oleh penduduk dari Sri Aman, sebelum beliau dipakaikan baju tradisi kaum Iban ‘baju burung’ bermotif pua kumbu. Mengulas lanjut, Najib menasihatkan rakyat Sarawak untuk hanya memilih parti yang telah membentuk sebuah kerajaan serta terbukti telah dapat membawa perubahan yang besar kepada negara. “Pilih kerajaan yang bila janji..janji itu ‘Janji Ditepati’, kerana sekarang bila kita ungkapkan ayat ‘Janji Ditepati’ label ini sudah pun terlekat pada kerajaan BN sehingga parti pembangkang cukup gelisah kerana slogan itu telah kita amalkan dan laksanakan,” katanya. Mengambil contoh empat negeri dikuasai pembangkang, Najib berkata janji-janji yang telah dibuat pada pilihan raya umum 2008 sehingga kini masih ada yang belum ditunaikan. “Pembangkang di semenanjung menguasai empat negeri, tanya rakyat Selangor berapa banyak janji ditunaikan…kalau janji elaun bulanan ibu tunggal, bayaran tadika, air percuma, janji tidak naik cukai tanah dan cukai pintu tidak ditunaikan, tidak mustahil janji kalau di Sarawak janji-janji mereka kepada rakyat tidak akan ditunaikan,” katanya. Sementara itu, Najib berkata beliau percaya rakyat dalam kawasan Parlimen Sri Aman akan terus memberi mandat kepada BN pada PRU-13 nanti. “Saya sudah lihat dan buat perkiraan mudah tadi…saya buat perkiraaan berdasarkan majoriti telah dicapai oleh ketiga-tiga calon BN pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2011 lalu. Kita campur congak majoriti ketiga-tiga calon tadi, kalau semua undi BN sama seperti pilihan raya DUN…kita mampu dapat lebih 8,000 undi pada PRU13 nanti,” katanya. |
Beberapa Kenyataan MB S’gor Termasuk Hendak Bubar DUN Hanya Gimik Politik – Noh Omar Posted: 21 Feb 2013 12:33 AM PST TANJUNG KARANG, 21 Feb – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Noh Omar hari ini berkata beberapa kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini termasuk mengumumkan hendak membubarkan dewan undangan negeri hanya satu lagi gimik politik beliau. Noh mempersoalkan kenapa sampai sekarang Abdul Khalid tidak berani mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor walaupun mendakwa mendapat persetujuan Sultan Selangor. Semalam, Abdul Khalid berkata beliau telah menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah dan baginda bersetuju dengan hasrat kerajaan negeri membubarkan dewan tetapi menitahkan supaya pengumumannya dilakukan dengan tertib. Abdul Khalid berkata beliau akan mengumumkan tarikh pembubaran itu pada masa yang sesuai dan pada masa yang sama beliau berkata kerajaan negeri tidak ada masalah untuk mengadakan pilihan raya serentak dengan pilihan raya parlimen. Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata ini tidak lebih daripada gimik politik kerana sebelum ini Abdul Khalid mempertikai daftar pemilih di Selangor dan ingin mengheret Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke mahkamah kerana kononnya pendaftaran pemilih tidak mengikut peraturan. Bagaimanapun, sehingga sekarang tiada tindakan mahkamah diambil ke atas SPR, katanya kepada para pemberita pada majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Harun di sini hari ini. Pada minggu lepas, Abdul Khalid mengumumkan hendak membubarkan dewan selepas Chap Goh Mei tetapi kemudiannya beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan anggota-anggota dewan undangan negeri dari pakatan pembangkang terlebih dahulu, katanya. “Akhirnya, DUN (Selangor) akan dibubarkan serentak dengan Parlimen. Hanya gimik politik nak tunjuk kuasa,” katanya. Begitu juga dengan isu air mengapa ketika hampir menjelang pilihan raya dan tamatnya mandat DUN Selangor April ini baharulah hendak mengeluarkan tawaran RM9.65 bilion semalam untuk mengambilalih empat syarikat konsesi air di negeri ini. Empat syarikat itu ialah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash), Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, dan Konsortium Abbas Sdn Bhd. “Kenapa sudah hampir lima tahun DUN sudah nak bubar baru nak cuba selesaikan penstrukturan industri air yang selama ini menemui jalan buntu,” katanya. Dalam masa yang sama, Noh juga menyelar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakan pemberian BR1M bak memberikan hampas kelapa dan padi serta jerami kepada ayam dan lembu. Beliau berkata hari ini beliau menyampaikan BR1M kepada 500 penerima yang layak dan dalam kalangan yang menerimanya ada para pemimpin dan anggota PAS. “Kalau penerima BR1M itu umpama haiwan bermakna dia turut hina ahli PAS. Dasar BN kita bagi semua orang,” katanya. |
Taib Gesa Penduduk Sarawak Beri Mandat Terbesar Kepada BN Dalam PRU-13 Posted: 21 Feb 2013 12:31 AM PST BETONG, 21 Feb – Penduduk Sarawak hari ini digesa agar memberi mandat paling besar kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pilihan raya umum ke-13 kelak. Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata dengan berbuat demikian mereka menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada Najib kerana menyediakan pelbagai program pembangunan dan bantuan bagi manfaat mereka. Beliau berkata demikian ketika berucap mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri di Beladin, sebuah pekan nelayan dan petani luar bandar, kira-kira 60 kilometer dari sini, untuk lawatan singkat hari ini. Taib berkata program transformasi Najib adalah contoh keunggulan kepimpinan beliau yang membawa banyak manfaat kepada negara serta rakyat. “Program transformasi luar bandar beliau dirangka khusus untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar. “Ini dapat dilihat menerusi pembinaan lebih banyak prasarana asas seperti jalan raya, menyediakan bekalan air dan elektrik selain kemudahan pendidikan terbaik,” katanya. Beliau berkata rakyat akan hanya merosakkan peluang mereka untuk menjalani kehidupan lebih baik jika mereka membenarkan pembangkang mengambil alih kerajaan pada pilihan raya umum akan datang. Taib berkata sebagai contoh, di Beladin sendiri, seorang pemimpin pembangkang kebangsaan bergabung dengan badan bukan kerajaan dari luar negara untuk menghasut rakyat supaya menolak tanaman kelapa sawit di tanah gambut. Ini, katanya, akan menghalang rakyat daripada meraih pendapatan yang diusahakan dari tanah mereka sendiri memandangkan Beladin terletak dalam kawasan tanah gambut. Terdahulu ketika berucap, Anggota Parlimen Batang Lupar Datuk Rohani Abdul Karim yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata lawatan Najib membawa lembaran baharu pembangunan bagi pekan kecil di luar bandar itu. Beliau berkata kerajaan, sebagai contoh, melaksanakan dua loji rawatan air penyahgaraman di pekan itu dan di Kampung Maro masing-masing melibatkan kos RM1.5 juta bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih mereka. “Kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM1 juta untuk membeli dan mengagihkan 500 unit Jerrycan, iaitu tanki penapis air mudah alih, dan RM500,000 di bawah program Nadi Kasih untuk membaiki rumah penduduk miskin manakala kira-kira 1,600 penduduk di sini akan turut menerima bantuan BR1M 2,” katanya. Beliau yakin rakyat akan membalas budi dengan sekali lagi mengekalkan kerusi Batang Lupar di tangan BN dalam pilihan raya kelak. |
You are subscribed to email updates from UMNO Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
No comments:
Post a Comment