SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

TERKINI DAN TERHEBAT

Friday, November 30, 2012

UMNO Online - “Persidangan Dewan Rakyat Ditangguh” plus 9 more

UMNO Online - “Persidangan Dewan Rakyat Ditangguh” plus 9 more

Link to UMNO Online

Persidangan Dewan Rakyat Ditangguh

Posted: 29 Nov 2012 05:44 AM PST

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-12 hari ini ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian selepas 36 hari bersidang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan penangguhan mesyuarat itu pada 5 petang tadi yang mungkin merupakan persidangan terakhir sebelum dibubarkan untuk membolehkan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) diadakan.

Persidangan yang sebelum ini dijadual berlangsung selama 34 hari hingga 27 Nov lalu, dilanjutkan dua hari bagi membolehkan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain diselesaikan.

Persidangan bermula pada 24 Sept lepas diikuti pembentangan Belanjawan 2013 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan pada 28 Sept.

Selain Rang Undang-undang Perbekalan 2013, sebanyak 13 Rang Undang-undang lain serta dua usul tergempar iaitu mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza dan usul mengenai tayangan Filem ‘Innocence of Muslims’, diluluskan pada persidangan kali ini.

Sementara itu, tiga usul yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai hari ini diluluskan, iaitu di bawah subseksyen (2) Seksyen 11 Akta Kastam 1967 supaya Perintah Duti Kastam yang dibentangkan dijadikan sebagai kertas statut bil. ST.59 dan ST.60 tahun 2012 disahkan.

Selain itu, mengikut subseksyen (2) Seksyen 6, Akta Eksais 1976 supaya Perintah-perintah Duti Eksais yang dibentangkan dijadikan sebagai kertas statut bil.ST.96 dan ST.97 tahun 2012 disahkan dan di bawah subseksyen (2) Seksyen 15 Akta Cukai Jualan 1972, Perintah Cukai Jualan yang dibentangkan dijadikan sebagai kertas statut bil.ST.98 dan ST.99 tahun 2012 disahkan.

Pandikar Amin dalam ucapan penangguhan berkata mesyuarat yang berakhir hari ini mungkin menjadi persidangan terakhir sebelum PRU-13 kerana sebagai Yang Dipertua, beliau tidak mempunyai kuasa untuk memanggil mesyuarat Parlimen.

Katanya kuasa itu terletak di tangan Ketua Majlis atau Perdana Menteri.

“Sehubungan itu, sekiranya Ketua Majlis atau Perdana Menteri tidak memohon Dewan Rakyat untuk bermesyuarat dalam bulan Januari, Februari, Mac atau awal April, maka bagi saya, persidangan ini merupakan persidangan yang terakhir sebelum PRU-13,” katanya.

Pandikar Amin turut meminta anggota Parlimen yang telah lama berkhidmat dan jika masih dipilih sebagai wakil rakyat supaya menjadi contoh kepada wakil rakyat yang baru pada sidang parlimen yang akan datang.

“Jika saya tidak duduk di sini lagi atau timbalan-timbalan saya, buatlah pengalaman pada persidangan Parlimen ke-12 ini sebagai satu pengalaman yang baik dan beri tunjuk ajar dan contoh yang baik kepada Yang Berhormat yang baru masuk Parlimen selepas PRU-13.

“Dan bagi Yang Berhomat, yang baru penggal pertama dan akan dipilih kembali dan menang pula, janganlah bersifat sebagai ahli Yang Berhormat yang pertama kali yang tidak tahu apa-apa pun.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh dari DAP berikutan salah faham ketika sesi angkat sumpah sebagai anggota Parlimen pada 2008.

Katanya, insiden itu akan menjadi antara perkara yang menjadi ingatan seumur hidup beliau ketika mengendalikan sesi parlimen sejak 2008.

Pandikar Amin turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua anggota Parlimen yang telah memberi kerjasama bagi membolehkan perjalanan mesyuarat dapat disempurnakan, sejak 2008.

“Walaupun ada masa dan ketikanya kita kecoh sewaktu mesyuarat tetapi kita masih dapat kawal perasaan dan tidak ada ahli-ahli yang bergelut sambil berbahas,” katanya yang menyifatkan ia adalah asam garam di Parlimen.

Sementara itu, Anggota Parlimen Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) yang mewakili Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertua dan timbalannya kerana memahami karenah anggota Parlimen dan memohon maaf jika terdapat sebarang kesilapan.

Anggota Parlimen Dr Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) turut memohon maaf bagi pihak pakatan pembangkang jika terdapat sebarang kesilapan sepanjang sidang itu berlangsung.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tahap kematangan dalam kalangan anggota Parlimen semakin meningkat sepanjang persidangan itu.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Jelebu turut merakamkan penghargaan kepada Pandikar Amin dan timbalannya atas perkhidmatan mereka yang bijak mengendalikan sesi perbahasan.

UMNO Harus Ada Zuriat Politik Berkualiti Jika Mahu Terus Berkuasa

Posted: 29 Nov 2012 05:36 AM PST

KUALA LUMPUR,  29 Nov – UMNO harus ada zuriat politik yang berkualiti untuk memastikan kelangsungan kuasa terutama dalam suasana politik semasa yang kian mencabar, kata seorang perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2012.

Wakil Perak Khairul Azwan Harun berkata zuriat berkualiti yang dimaksudkan itu harus memiliki ciri-ciri taat setia, mesra islah dan mensyukuri nikmat.

“Taat setia ini penting kerana jika kita lihat pihak di sebelah sana yang ditanam bukanlah perjuangan untuk mengangkat citra agama bangsa dan negara sebaliknya membentuk generasi yang patuh membuta tuli kepada pemimpin yang ingin merosakkan keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran negara.

“Dalam konteks parti keramat ini, kita ingin melahirkan zuriat yang sentiasameletakkan perjuangan serta matlamat parti mengatasi kepentingan lain dan padasepanjang masa menggalas nama UMNO di pundak mereka.

“Ini sekaligus melenyapkan sifat individualistik mensabotaj perjuangan,”katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden pada PerhimpunanAgung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Beliau berkata UMNO juga perlu menjadi peneraju kepada pembentukan generasiyang sentiasa meletakkan konsep syukur sebagai satu cara hidup.

Khairul Azwan, yang juga Ketua Pemuda UMNO Perak berkata parti itu perlu efektif menyemai sifat mensyukuri nikmat di kalangan generasi muda di luar daripada lingkungan parti supaya mereka tidak diperdaya pihak yang sentiasa mencemburui jasa dan perjuangan UMNO selama ini.

Menurut perwakilan dari bahagian Pasir Salak itu, nikmat perjuangan UMNO danBN sejak lebih lima dekad lalu tidak hanya berlegar di kalangan orang UMNO, sebaliknya merentasi kaum, agama dan budaya.

“Alhamdulillah, kalangan orang UMNO dan BN sentiasa mensyukuri nikmat ini, dan dengan sebab itu, ciri mensyukuri nikmat harus ditanamkan kepada setiap jiwa zuriat UMNO yang akan kita lahirkan,” katanya.

Beliau berkata UMNO juga harus melahirkan generasi mesra islah (perubahan) yang sedia menerima perubahan, tetapi jauh lebih penting memiliki deria untuk menghidu dan memahami kehendak perubahan itu sendiri.

Katanya dengan ciri-ciri islah yang dimiliki, zuriat itu juga akan sentiasabersedia untuk mencari pendekatan di luar kotak bagi memenuhi serta melonjakkanperubahan, contohnya program transformasi yang dibawa oleh kerajaan BN.

“Dengan zuriat UMNO yang taat setia, sentiasa menerima perubahan atau islahserta mensyukuri nikmat, InsyaAllah kita akan terus istiqamah dalam perjuangan untuk memastikan UNBO dan BN mencapai kejayaan pada pilihan raya yang akandatang,” katanya.

Ingatan Jangan Tukar Kerajaan Bukan Untuk Takutkan Rakyat

Posted: 29 Nov 2012 05:25 AM PST

KUALA LUMPUR, 29 Nov — Timbalan Presiden UMNO,  Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ingatan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya rakyat tidak member peluang kepada pakatan pembangkang untuk memerintah negara, bukan bertujuan menakut-nakutkan mereka.

Beliau berkata pelbagai kepincangan pentadbiran di negeri di bawah pembangkang menjadi bukti mereka tidak berupaya membentuk kerajaan yang mantap untuk meneruskan agenda pembangunan negara.

“Peringatan Perdana Menteri tentang perkara ini bukan untuk menakut-nakutkan. Kita tak boleh perjudikan masa depan negara hanya kerana kita nak mencuba.

“Ini bukan masa depan kita sahaja tetapi juga melibatkan masa depan anak-anak kita,” katanya mengulas ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 di sini hari ini.

Beliau berkata pentadbiran negara juga boleh menjadi porak peranda jika pembangkang memerintah, berdasarkan pertembungan ideologi yang dilihat di negeri-negeri ditadbir pembangkang.

Pengamatan Muhyiddin dikongsi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang melabelkan pembangkang sebagai tidak kompeten dalam aspek pentadbiran.

Hakikatnya pembangkang tidak membawa apa-apa kemajuan apabila diberi ruang untuk mentadbir negeri, tegasnya, sambil meminta rakyat supaya tidak menjadikan masa depan mereka dan anak cucu serta negara sebagai bahan uji kaji.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mahu idea menukar kerajaan jika inginkan pembaharuan ‘dibasuh sebersih-bersihnya’ daripada minda golongan muda.

Bagi Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk M.Kayveas, rakyat diminta supaya tidak terpengaruh dengan budaya politik menipu pakatan pembangkang.

“Mereka buat janji tapi tidak ditunaikan…gabungan Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat hanya untuk nafsu kuasa saja,” katanya.

Presiden Parti Bersatu Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata ketidaksepakatan dan percanggahan pendapat yang sering berlaku dalam kalangan pembangkang menjadi isyarat jelas mereka tidak mampu memerintah negara.

UMNO Sudah Pulih, Sedia Berdepan PRU 13 – Muhyiddin

Posted: 29 Nov 2012 05:16 AM PST

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata UMNO telah pulih selepas kejutan pilihan raya 2008, dan ia kini cukup bersedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Beliau berkata kini terdapat perubahan ketara dalam soal kekuatan dan perpaduan dalam parti, ditambah lagi dengan proses tranformasi menguntungkan rakyat yang dilaksana Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini, katanya, dilihat sewaktu tinjauan turun padang yang dilakukan beliau selain perjumpaan dengan kepimpinan parti di peringkat bawah.

“Kita dapat lihat pada peringkat awal pada 2008 selepas kita hadapi pilihan raya sampai terkini 2012, saya lihat ketara bahawa parti kita sudah pulih malah lebih daripada itu menerusi proses transformasi yang dipimpin oleh presiden parti melalui kerajaan yang ada.

“Memang nyata ada perubahan. Cuma kita harap ini diterjemahkan dalam bentuk sokongan daripada pengundi dalam PRU akan datang,” katanya selepas menghadiri sesi perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2012 di sini hari ini.

Menurutnya, kejutan pilihan raya 2008 menjadi satu pengajaran berguna buat mereka.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan apa jua perkara yang diputuskan oleh pemimpin parti perlu diterima dengan sepenuhnya oleh anggota UMNO kerana aspek taat setia amat penting dalam menentukan kejayaan sebuah organisasi.

“Komitmen anggota parti mesti ada untuk turun bertarung dengan musuh politik kita dan sekali gus meraih sokongan rakyat untuk memenangi PRU nanti,” katanya.

Pemuda UMNO Lantang Kecam Politik Sesumpah Anwar

Posted: 29 Nov 2012 05:11 AM PST

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terus diasak dan dianggap sebagai penyokong Israel, pada perhimpunan Agung UMNO 2012 di sini hari ini.

"Bayangkan keluar (disiarkan) dalam Wall Street Journal Edisi Asia, (kenyataan Anwar berbunyi) 'I support all the efforts to protect the security of the state of Israel'," kata Ketua Pemuda UMNO Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan lantang semasa membahaskan usul menyokong ucapan dasar presiden di sini.

"All efforts. Adakah membunuh orang Palestin yang tidak berdosa itu all efforts yang dimaksudkan, merampas tanah mereka itu all efforts?" kata Reezal Merican yang mewakili Pergerakan Pemuda UMNO.

Malah, katanya Presiden Amerika Barack Obama, mahupun Perdana Menteri Britain David Cameron, tidak mengeluarkan kenyataan yang sekeras itu mengenai Israel.

Beliau senada dengan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan ketua pembangkang itu sebagai sesumpah politik, dan menurutnya Anwar sememangnya sentiasa berbohong walau di mana beliau berada.

Sementara itu merujuk kepada perjuangan UMNO, Reezal Merican berkata perkara pertama yang dilakukan UMNO selepas negara memperoleh kemerdekaan ialah membawa rakyat keluar daripada penjajahan, perhambaan, memuliakan kaum Melayu, memberi identiti kepada kaum itu, di samping meletakkan syiar Islam di tempat yang tertinggi di Malaysia.

Beliau berkata banyak yang dilakukan oleh UMNO untuk menegakkan syiar Islam dalam negara, antaranya mengetengahkan sistem kewangan Islam dan melahirkan lebih ramai cerdik pandai serta ulama.

"Di Malaysia tak lain tak bukan semua itu adalah hasil perjuangan UMNO sejak tahun 1946 lagi. Kalau itu ceritanya, apa kejadahnya nak doa untuk kehancuran UMNO, mana mungkin nak kata UMNO murtad, tak masuk syurga," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada tindakan Pas yang mendoakan kehancuran Barisan Nasional dan UMNO baru-baru ini, serta pelbagai tuduhan lain parti itu terhadap UMNO.

Reezal Merican berkata bukan calang-calang orang yang menyokong doa itu, tetapi seorang yang dianggap 'mursyidul' oleh Pas, yang antara lain bermaksud 'pembimbing', namun beliau berkata pembimbing itu sebenarnya adalah 'penyesat nombor satu'.

Katanya sebelum 1946, tahun kelahiran UMNO, kaum Melayu di Nusantara dilihat berpecah belah mengikut etnik sehingga menimbulkan ungkapan seperti Melayu Jawa, Bugis, Banjar dan Mamak.

UMNO, katanya merupakan parti yang menyatukan kaum Melayu dan meninggikan martabatnya dengan meletakkan definisi Melayu itu sebagai Islam, mengamalkan adat resam Melayu, serta berbahasa Melayu.

"…. dan yang menjadikan kita mulia ialah agama Islam," katanya.

Islam Bukan Pas, Umpama Selipar Jepun Dengan Jepun – Alwi

Posted: 29 Nov 2012 05:05 AM PST

KUALA LUMPUR 29 Nov – Pembahas  Usul Ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2012, Datuk Alwi Che Ahmad yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Kelantan menyifatkan Islam itu bukanlah Pas.

Dengan menggunakan analogi 'selipar jepun' beliau seterusnya menimbulkan persoalan apakah orang yang memakai selipar Jepun itu dianggap Jepun.

"(Seniwati) Siput Sarawak bukan siput. Siput babi bukan babi tetapi siput. Mudah sahaja nak jawab Pas ini. Tak payah nak tunjuk hadis, al-Quran. Tetapi kalau nak rujuk juga boleh sebab dalam al-Quran ada menyatakan bahawa memang ada manusia seperti ini yang akan sentiasa mencari perkara-perkara yang boleh mereka buat fitnah sepertimana terkandung di dalam surah Al-Imran ayat 7.

"Ayat ini menyatakan bahawa dalam al-Quran itu aku turunkan al-Quran dengan ayat-ayat yang jelas, 'muhkamat'…..jelas hukumnya tetapi ada juga ayat yang 'mutasyabihat' iaitu yang samar."……..akan ada manusia yang sentiasa bila ada dalam hati mereka ada kecenderungan jahat.

"……..Apabila ada kencerungan untuk mereka akan buat apa "…..untuk membuat fitnah. Kemudian mereka takwil sesuka hati mereka. Itu yang murtad, kafir dan macam-macam lagi…Al-Quran dah sebut "….yang tahu takwil-takwil ini hanya Allah," katanya.

Alwi seterusnya mengambil analaogi penanaman padi, gandum dan jagung bagi membezakan antara BN dan pembangkang.

"BN tidak macam parti-parti lain. BN adalah parti penyatuan. PKR ini dia campur semua sekali…. Melayu, Cina India dan sebagainya, Begitu juga DAP….. dan begitu juga Pas. Dalam BN…UMNO….Melayu, India…MIC dan PPP. MCA dan sebagainya….

“Padi kena tanam di bendang padi. Gandum kena tanam bendang gandum. Jagung kena letak tempat jagung. Cuba ambil padi, jagung dan gandum itu ditanam dalam kawasan yang sama..ditanam dalam satu tempat. Nak tuai nanti mestilah kaedah dan cara yang lain-lain.

“Kita dalam BN tak… padi dalam bendang padi, gandum dalam bendang gandum dan jagung tempat jagung. Bilakah akan bertemu… bubur sebelah, roti sebelah dan nasi sebelah barulah boleh makan. Makan bubur boleh makan nasi. Tetapi kalau campur sekali boleh makan tak? Itulah konsep dalam BN. Tidak elokkah lagi pemimpin kita buat itu," ujarnya. -MediaUMNO

Kejatuhan Pas Dan Pakatan Pembangkang Bermula Dari Selatan

Posted: 29 Nov 2012 04:50 AM PST

Lebih tiga tahun lalu yakni pada 14 Julai 2009 seluruh negara tertumpu pada satu pertarungan sengit membabitkan pertembungan satu lawan satu diantara BN dan Pas dalam Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Manek Urai, Kuala Krai Kelantan.

Persaingan sengit yang berpusat di Selatan Kelantan itu walaupun berpihak kepada Pas namun kemenangan yang diperolehinya terlampau tipis hanya dengan kelebihan 65 undi sahaja berbanding 1,352 undi majoriti yang Pas perolehi pada PRU 12 2008.

Bermula dari situ gema kebangkitan Gelombang Merah semakin dirasai sementara di masa yang sama riak resah kerisauan semakin mencengkam kepimpinan Pas di Kelantan.

Kira-kira empat bulan kemudiannya atau lebih tepat lagi pada 4 November 2009, sekali lagi Selatan Kelantan menjadi pentas tumpuan ramai apabila berlaku pertembungan kali kedua membabitkan BN dan Pas, kali ini berlangsung di DUN Galas, Gua Musang.

Semasa PRK Manek Urai Pas hanya sekadar menang nyawa-nyawa ikan, di PRK DUN Galas pula berikutan semarak Gelombang Merah yang dipelopori UMNO semakin mendapat tempat di hati rakyat, akhirnya menyebabkan Pas tewas terduduk dengan majoriti 1,190 undi.

Kebetulannya baik di PRK Manek Urai mahupun Galas yang lokasinya terletak di Selatan Kelantan ini, kedua-duanya menyaksikan undi sokongan untuk Pas semakin merosot sekalipun jentera pilihanrayanya didokong kuat oleh jentera PR dari PKR dan DAP.

Manakala di pihak BN pula jelas menunjukkan peningkatan undi sokongan yang amat ketara berikutan kembalinya sebahagian penyokong UMNO yang sebelumnya berpaling tadah pada PRU 2008 disamping meningkatnya kesedaran rakyat terhadap kelemahan urus tadbir Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat.

Satu perkara yang agak menarik, kejatuhan Pas di Kelantan pada akhir dekad 70-an dulu juga bermula dari Selatan Kelantan berikutan kebangkitan rakyat negeri ini membantah pelbagai penyelewengan konsesi kayu balak yang telah dilakukan oleh pemimpin Pas dan kroni mereka.

Antaranya termasuklah melibatkan tanah seluas 350,000 ekar tanah di yang digadaikan kepada syarikat Timber & Mine dari Singapura untuk tujuan pembalakan.

Selain itu, faktor protes oleh penyokong bekas MB Pas Kelantan, Muhammad Nasir yang di pecat dari Pas kerana sikap mesranya dengan pemimpin UMNO pula kemudiannya menambah parah yang akhirnya menyumbang kepada kembalinya BN menguasai Kerajaan Negeri.

Jika dilihat pada senario di atas, kelihatan coraknya hampir sama. Tidak mustahil kejatuhan Pas di Kelantan akan bermula dari Selatan dengan mengambil semangat kebangkitan rakyat sebagaimana diterjemahkan dalam PRK Manek Urai dan Galas.

Sementelah lagi, sebahagian besar rakyat Kelantan semakin sedar kewujudan utama Ladang Rakyat di Gua Musang dan Kuala Krai yang membabitkan keluasan tanah lebih 80,000 ekar sebenarnya berkait rapat dengan konsesi pembalakan yang hanya menguntungkan syarikat Cina DAP dan Cina Singapura yang mempunya hubungan rapat dengan kepimpinan Pas Kelantan.

Sementara itu, dalam konteks politik nasional pula, tika ini PR kelihatan begitu memfokuskan tumpuan mereka ke arah selatan tanahair yakni Johor dengan andaian mereka berpeluang memperalatkan masyarakat Cina untuk menyokong PR dalam PRU 13.

Namun melihatkan kesepaduan sokongan yang diterjemahkan oleh rakyat Johor semasa PRK DUN Tenang di mana menyaksikan undi sokongan untuk BN dari majoriti orang Melayu Islam, Cina dan India semakin meningkat naik, jelas sekali PR bakal menghadapi kesukaran untuk mengekalkan 7 kerusi yang mereka miliki apatah lagi menawan kerusi lain.

Di antara Kelantan dan Johor pula, kedua-dua negeri ini menampilkan satu percanggahan pendirian PR yang ketara di mana, mereka sepakat menyokong pembinaan kilang Petrokimia yang disarankan dibina di Bachok Kelantan, sedangkan di Johor pula pakatan pembangkang begitu lantang menentang pembinaan kilang Petrokimia di Pengerang atas nama penjagaan alam sekitar dan tanah rakyat

Kontradiks sebegini menampakkan agenda perjuangan PR lebih banyak menambah keraguan besar dalam fikiran rakyat apatah apabila ia dilakukan oleh kepimpinan PR dan NGO proksinya hasil dari pembiayaan dan hasutan kiasu Singapura.

Johor adalah nadi kekuatan UMNO dan jantung hati BN malah budaya rakyatnya agak berbeza walau berlainan agama dan bangsa, lagi kuat ia diasak lagi rapat kesepaduan rakyat menentang anasir adu domba pembangkang, sebagaimana dibuktikan melalui PRK DUN Tenang.

Baik senario Selatan Kelantan mahupun Selatan tanahair yang membabitkan negeri Johor, kedua-duanya juga berkongsi satu rumusan, kejatuhan Pas di Kelantan dan kemusnahan PR pada PRU 13 tidak syak lagi akan bermula dari Selatan.

Pendeta Kamil

Antara Penghargaan Hamas Kepada UMNO Dan Kenyataan Sokong Israel

Posted: 29 Nov 2012 04:46 AM PST

Peranan Malaysia sebagai agen pengaman telah diiktiraf dunia.  Malaysia dipandang tinggi kerana komitmen dan konsistensi dalam memperjuangkan dan menyokong keamanan dunia.

Apabila dikatakan Malaysia, maka ia secara automatik membawa erti kepimpinan dan kerajaan Barisan Nasional yang bertindak mewakili suara rakyat Malaysia keseluruhannya.   Justeru,  secara tidak langsung, tidak salah jika dikatakan bahawa penghargaan tersebut juga dituju kepada Barisan Nasional juga.

Sebagai sebuah parti yang mewakili masyarakat Melayu Islam di Malaysia, UMNO, sebagai salah satu komponen BN turut memainkan peranan dalam memperjuangkan keamanan di dunia, terutamanya, dunia Islam.

Alhamdulillah, atas segala khidmat bakti itu, hari ini, bukan sahaja Malaysia yang mendapat pengiktirafan, tetapi UMNO juga telah mula dipandang tinggi sebagai pihak yang memainkan peranan penting dalam memperjuangkan keamanan di negara-negara Islam.

Ini terbukti apabila Ketua Perhubungan Awam Hamas, Osama Hamdan, iaitu salah seorang daripada ahli panel dalam forum bertajuk Konflik dan Perdamaian Dalam Politik Rakyat – Memandang ke Hadapan atau ke Belakang, yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 menyatakan penghargaannya terhadap UMNO kerana banyak menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.

UMNO juga, kata beliau, sentiasa berpegang teguh dengan pendirian menyokong perjuangan rakyat Palestin walaupun setelah Hamas mengambil alih pentadbiran negara bergolak itu daripada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Beliau juga secara khusus menghargai kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menangani isu Palestine dan mengecam keganasan Israel.

Antaranya, dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 di Phnom Penh baru-baru ini, Datuk Seri Najib telah membangkitkan isu mengenai Palestin dan secara spesifik, meminta Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama agar mengambil tindakan segera untuk menghentikan konflik yang berlarutan di Gaza.

Pendirian Malaysia dalam mengiktiraf Palestine sebagai negara berdaulat adalah jelas dan konsisten.  Dalam kenyataan Datuk Seri Najib di Sidang Kemuncak Luarbiasa OIC di Mekah, Ogos lalu, beliau menyatakan hal ini secara tuntas.  Pendirian ini adalah yang sama yang dipegang oleh kepimpinan UMNO, BN dan Malaysia sejak sekian lama.

Di masa yang sama, beliau sentiasa memastikan UMNO melakukan apa jua yang terdaya untuk membantu Palestine sama ada secara bersendirian ataupun kerjasama dengan pihak-pihak tertentu.   Antaranya menghantar bantuan makanan dan keperluan pakaian serta ubat-ubatan bagi mengurangkan beban rakyat Palestine.

Walaubagaimana seluruh dunia cukup maklum akan pendirian Malaysia dalam isu Palestin-Israel, kita dan juga Palestin, harus bersedia menghadapi risiko perubahan dalam pendirian itu sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengambil-alih kuasa dalam PRU nanti.

Bukan rahsia lagi, bahawa bakal Perdana Menteri Pakatan Rakyat, iaitu Anwar Ibrahim adalah antara penandatangan Annapolis Summit yang menyokong penubuhan negara Israel.

Bukan rahsia lagi, bahawa bakal Perdana Menteri Pakatan Rakyat, iaitu Anwar Ibrahim adalah antara penandatangan Annapolis Summit yang menyokong penubuhan negara Israel.

Malah, tidak berapa lama dahulu beliau juga mengulangi pendirian ini dengan membuat  kenyataan menyokong untuk melindungi keselamatan Israel.

Kenyataan yang disiarkan oleh the Wall Street Journal itu menimbulkan kejutan dan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Rasa terkejut dan kecewa terhadap kenyataan Ketua Pembangkang Malaysia itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Ismail Haniyah kepada Pengerusi Lembaga Pengurusan Yayasan Al-Quds Malaysia, iaitu Nasharudin Mat Isa ketika kunjungan beliau ke Kuwait.

Nasharudin, sebagai pemimpin Pas walaupun berkongsi sentimen yang sama dengan umat Islam di seluruh dunia gagal menjelaskan pendirian partinya mahupun pendirian PR dalam isu tersebut.

Ini kerana, menyatakan bahawa PasS tidak bersetuju dengan Anwar dalam isu ini adalah tidak cukup, kerana Pas nampaknya sebulat suara bersetuju agar Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan mereka menang dalam PRU nanti.

Justeru, pendirian Anwar pasti akan menjadi pendirian parti PR iaitu pendirian kerajaan Malaysia.  Sekali gus pendirian peribadi Pas yang mungkin bertentangan, tidak akan membawa makna apa-apa.

Malah, pada hari ini juga Pas boleh dikatakan tidak bermakna apa-apa lagi kerana secara realitinya ia sudah terangkum dalam sebuah pakatan di bawah teraju Anwar.

Walaupun Pas menuduh UMNO kafir dan murtad serta mendabik dada konon hanya parti itu yang layak dan ikhlas memperjuangkan Islam tetapi 'keIslaman' PasS nampaknya tidak diiktiraf dunia.

Manakan tidak, Pas bukan sahaja bersekongkol dan berusaha menobatkan talibarut Zionis pembunuh rakyat Palestin sebagai Perdana Menteri, tetapi PAS juga tidak pernah punya apa-apa jasa kepada umat Islam di dalam negara ini, jauh sekali di negara lain.

Hakikatnya, Pas, sebuah parti yang hidup dengan wang derma ahli sendiri, serta wang sumbangan Zionis melalui PKR tidak mampu walaupun untuk mendirikan masjid untuk umat Islam beribadah selain dari 'masjid' rumahtangga dengan masing-masing punya dua hingga empat orang isteri.

Selama dua dekad memerintah Kelantan, Pas hanya mampu mendirikan sebuah masjid sahaja.  Pas gagal secara total untuk menaikkan taraf ekonomi rakyat Kelantan dan tidak mampu menjana ekonomi negeri sehinggakan negeri yang diperintah mereka mundur dari segala segi.

Dari segi Islam pula, ulama-ulama Pas langsung tidak layak untuk duduk sebaris dengan ulama-ulama tersohor dunia.

Ini kerana mereka hanya tahu berceramah di tahap kampungan serta tidak pernah membuat kajian atau apa-apa sumbangan akademik mahupun pembangunan kepada dunia Islam.

Justeru, kita tidak hairan apabila Hamas menghargai UMNO dan bukan Pas, dalam menangani isu Palestine yang disifatkan paling 'genting' dan palilng dekat di hati umat Islam pada hari ini.

Yang kita hairan ialah kenapa Pas masih tidak malu merasakan parti itu lebih Islam dari UMNO?

Dr Muslim Umar

Perhimpunan UMNO Tenggelamkan Semua Himpunan Jalanan

Posted: 29 Nov 2012 04:22 AM PST

Jika ada yang mengatakan bahawa UMNO atau BN semakin lemah, Perhimpunan UMNO yang sedang berlangsung sekarang, dengan sendirinya menafikan kenyataan itu.

Jelas terlihat di PWTC ini, bagaimana kekuatan dan semangat UMNO tidak pernah goyah walau sedikit.    Pemimpin datang dan pergi, dengan  yang salah dihukum, yang benar dijulang, sekali gus membolehkan UMNO kekal sebagai parti keramat bangsa Melayu Islam yang dihormati di rantau ini.

Kekecewaan dan kebimbangan yang kadangkala melanda akibat sikap segelintir yang tersasar arah, tidak menjejaskan keyakinan ahli-ahli terhadap parti.

Ini kerana ahli-ahli UMNO rata-ratanya cukup matang untuk memahami perjuangan ini iaitu perjuangan untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara yang dipegang sebagai prinsip utama.

'Prinsip' adalah kunci utama kekuatan UMNO.  Mungkin segelintir di dalam parti ini mempunyai masalah dengan prinsip diri, namun apa yang pasti, prinsip parti UMNO itu sendiri tidak pernah bermasalah, malah kekal teguh dan tetap, dipasak terus ke sanubari setiap Melayu yang punya jatidiri.

Kita lihat hari ini bagaimana parti yang menggadaikan prinsip dan parti yang tidak ada prinsip, terhoyong-hayang diheret orang.   Itulah PAS yang melelong Negara Islam dan juga PKR yang lahir dari penjara.  Kedua-dua parti itu kini semakin bingung disergah dan diarah-arah oleh DAP.

Akibat prinsip yang caca-marba, bertukar-tukar dan tidak masuk akal, maka perjuangan pakatan mereka menjadi tidak tentu arah.  Sekejap berhimpun memperjuangkan pilihanraya bersih, sekejap memperjuangkan alam sekitar, kemudian hudud, kesamarataan total, hatta berhimpun mendesak peliwat dibebaskan.

Pendek kata, asal ada ruang, mereka pasti akan 'berjuang' tetapi berjuang untuk apa, itu belakang kira.

Akhirnya, perjuangan mereka diterjemahkan dalam sepasang perkataan iaitu 'BN K.O'.

Maka jelaslah sudah, bahawa apa yang mereka perjuangkan bukanlah prinsip, tetapi kuasa.

Dengan menyebut nama Allah SWT, mereka memohon kecelakaan kepada saudara seagama.  Dalam keselesaan bermuktamar, dalam mereka bersantai di kediaman mewah masing-masing, dalam mereka berebut-rebut jawatan dan membanding-banding kekayaan,  mereka menuduh  UMNO sebagai zalim.

Inilah fitnah paling besar yang dilakukan atas nama Allah SWT dan diaminkan oleh beribu-ribu umat Islam.

Alhamdulillah, UMNO dianugerahkan dengan pemimpin-pemimpin yang jauh lebih rasional, bijak dan matang dari pembangkang.

UMNO tidak menyambut doa kecelekaan itu dengan sifat amarah atau dendam malah langsung tidak berkecil hati.  Tetapi UMNO menerimanya sebagai kelemahan saudara seagama yang keliru, jahil dan buntu yang perlu terus dididik, dibimbing dan dilindungi serta disedarkan dari terus menjadi kuda tunggangan atau anjing suruhan orang lain.

 

UMNO mendoakan agar mereka dibukakan hati dan mata serta kesejahteraan hendaknya.  Jika mereka dipijak, UMNO tidak akan teragak-agak untuk membela biarpun mereka pernah mendoakan UMNO celaka.

Inilah yang berlaku di Pulau Pinang apabila Melayu ditindas dan hartanah dirampas tetapi pemimpin PAS dan PKR hanya menyuruh mereka bertenang.  Maka UMNO jugalah yang bangkit berjuang, membela nasib mereka, walaupun mereka dulunya memangkah PAS atau PKR dalam pilihanraya.

Kerana itu, biarpun 25,000 peserta dalam himpunan BERSIH 3, 7,000 dalam Himpunan Lynas, dan entah berapa ribu dalam himpunan royalti minyak, himpunan kebangkitan rakyat, himpunan 901, BERSIH 1 & 2, dan entah apa-apa himpunan lagi, masih tidak dapat mengatasi semangat  keramat sebuah Perhimpunan UMNO.

Jika sesiapa tidak yakin bahawa yang baik pasti mengatasi yang jahat, maka inilah masa untuk memulihkan keyakinan itu.   Yakinlah bahawa doa ke arah kebaikan pasti akan dapat mengatasi doa kejahatan.

Yakinlah, perhimpunan parti keramat yang memperjuangkan kebaikan pasti mampu mengatasi walau 1000 himpunan jalanan tajaan pembangkang yang berniat jahat.  InsyaAllah, dengan prinsip yang kukuh, UMNO akan terus mara, bukan sahaja untuk Melayu tetapi untuk semua rakyat Malaysia.

isuhot.com

Satu Badan Koordinasi Akan Diwujud Selaras Bantuan Ke Selatan Filipina

Posted: 29 Nov 2012 04:12 AM PST

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Satu badan koordinasi akan diwujudkan untuk menyelaras bantuan dari Malaysia ke selatan Filipina, antaranya dalam aspek kemanusiaan, kewangan, pelaburan dan kebajikan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata badan koordinasi itu juga akan membantu melaksanakan secepat mungkin program-program seperti pembangunan yang dirangka ekoran perjanjian damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan kerajaan Filipina yang ditandatangani bulan lepas.

“Masyarakat Bangsamoro mahu tindakan segera dilakukan secepat-cepatnya tiga bulan selepas perjanjian dibuat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi MILF yang diketuai pengerusinya Al-Haj Murad Ebrahim di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata beliau juga telah berbincang dengan Menteri Pertahanan Filipina mengenai beberapa perkara yang dipersetujui oleh kedua pihak supaya kemajuan dan pembangunan dapat dilaksanakan di Mindanao.

“Ada kemungkinan seseorang akan dilantik untuk menjadi koordinator dalam aspek yang saya sebutkan tadi, tetapi biarlah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak umum secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) juga akan terus berada di sana bergantung kepada keperluan Bangsamoro dan persetujuan kerajaan Manila.

Kerajaan Filipina dan MILF menandatangani kerangka perjanjian damai secara rasmi di Istana Malacanang, Filipina untuk mengakhiri konflik lebih 40 tahun di wilayah selatan Filipina.

Malaysia menjadi pengantara perundingan damai antara kedua-dua pihak itu sejak 2001 sehingga perjanjian awal untuk perdamaian dicapai di Kuala Lumpur dalam rundingan dari 2 hingga 7 Okt lepas.

TERHANGAT, TERKINI DAN TERHEBAT