UMNO Online - “Cukuplah 12 Kali Pilihanraya Penyokong Pas Ditipu Tegakkan Negara Islam” plus 9 more |
- Cukuplah 12 Kali Pilihanraya Penyokong Pas Ditipu Tegakkan Negara Islam
- Pencapaian Malaysia Jadi Bukti Kepimpinan UMNO Berjaya
- Pemuda UMNO Mahu Pikat Ulama Muda Bagi Memperkasa Perjuangan Islam
- Ganding Bahu Dengan Sayap, Mantap Perjuangan Parti – Shahrizat
- Rosnah Harapkan Kesepaduan Luar Biasa Puteri Demi UMNO
- FINAS Dan Filem Negara Digabung Bagi Wujud Perbadanan Perfileman Tunggal
- Kuasa Besar China Bangga Mempunyai Hubungan Akrab Dengan UMNO
- Kejayaan UMNO Terapkan Rasa Cinta Pada Keamanan Perlu Dicontohi
- BN Yakin Pertahankan Perak – Dr Zambry
- Kelab UMNO Luar Negara Diminta Main Peranan Menyeluruh – Hishammuddin
Cukuplah 12 Kali Pilihanraya Penyokong Pas Ditipu Tegakkan Negara Islam Posted: 28 Nov 2012 08:08 AM PST KUALA LUMPUR, 29 Nov – Rakyat terutama penyokong Pas sepatutnya sedar dan tidak lagi membiarkan diri mereka terus ditipu parti itu yang kononnya berjuang untuk menegakkan Negara Islam Hakikatnya tegas Ustaz Syahrin Jamaluddin, perjuangan Pas menegakkan Negara Islam bukan saja ditolak rakan pakatan mereka PKR dan DAP malah jika Pas bersendirian sekalipun mereka tidak mampu untuk melakukannya. Fakta ini tegas beliau lagi didedahkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin di mana sepanjang 12 kali pilihanraya umum, bilangan kerusi yang Pas tandingi kebanyakannya kurang separuh daripada jumlah keseluruhan kerusi di Parlimen. Ini dibuktikan Tan Sri Muhyiddin seperti dalam pilihanraya tahun 1969, Pas bertanding di hanya 62 daripada 144 kerusi Parlimen, tahun 1990 bertanding di 29 daripada 180 kerusi parlimen, tahun 1995 bertanding di 59 daripada 192 kerusi parlimen, tahun 1999 bertanding di 59 daripada 193 kerusi parlimen, tahun 2004 bertanding di 85 daripada 219 kerusi parlimen, dan tahun 2008 bertanding di hanya 66 daripada 222 kerusi parlimen. "Memang jelas jika Pas menang di semua kerusi yang ditandingi sekalipun, Pas tidak boleh membentuk kerajaan untuk menegakkan negara Islam seperti yang dicanangkan. Apatah lagi, pencapaian terbaik Pas ialah memenangi 26 kerusi dalam pilihanraya umum 1999. "Lebih malang lagi sekarang bila Pas mengadakan pakatan dengan DAP dan PKR pun, kedua-dua rakan pakatan itu siang-siang sudah tolak hasrat Pas malah untuk lantik Presiden Pas jadi Perdana Menteri pun DAP dan PKR tak mahu. Inilah perkara atau fakta yang mesti disedar rakyat terutama penyokong Pas", kata Ustaz Syahrin kepada UMNO-Online. Ustaz Syahrin yang juga Ketua Pemuda UMNO Tebrau seterusnya menambah jika penyokong Pas berlapang dada sudah pasti mereka tidak menolak hakikat tersebut. "Cukuplah selama 12 kali pilihanraya mereka diperdaya. Lebih dahsyat lagi kali ini Pas cuba berpakat dengan DAP dan PKR yang jelas menolak sebarang perjuangan untuk Negara Islam", katanya. -MediaUMNO |
Pencapaian Malaysia Jadi Bukti Kepimpinan UMNO Berjaya Posted: 28 Nov 2012 07:18 AM PST KUALA LUMPUR, 28 Nov. – Kejayaan Malaysia yang rancak membangun dengan perkembangan pesat adalah bukti nyata yang tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak bahawa kepimpinan UMNO adalah yang terbaik untuk bangsa dan negara. Delegasi tiga orang dari Parti Komunis Vietnam yang diketuai oleh Nguyen Van Thanh mengakui bahawa Malaysia adalah setanding dengan negara-negara membangun dan dapat bersaing dalam pelbagai aspek. "Kami amat kagum dengan pencapaian Malaysia khususnya berkaitan ekonominya kerana UMNO adalah perintis kepada kejayaan tersebut yang mana ketika negara-negara lain merudum lantaran kemelesetan ekonomi dunia tetapi negara ini terus dapat mengekalkan momentumnya," katanya. Begitu juga dengan delegasi dari Iraq, Ali Dawood Salman Al-Attar yang mewakili Parti Al-Dawa menganggap bahawa tidak ada sebab untuk UMNO mahu ditolak kerana kejayaan membawa perjuangan dan kemerdekaan kepada Malaysia tidak akan dapat dinafikan. "Pencapaian Malaysia yang membawa pendidikan sebagai kunci utama untuk keluar dari kemiskinan dan membina kemajuan amat tepat kerana hanya pendidikan yang akan memberi kewajaran dalam usaha membina negara bangsa," katanya. Beliau yang melakukan kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di pejabatnya, Menara Dato Onn hari ini turut berminat agar kerjasama antara parti dapat diteruskan dalam pelbagai bidang. Sebelum itu beliau turut menerima kunjungan dari delegasi Ukraine (Party of Regions of Ukraine), Anatolii K. Orel yang merupakan kaunselor kepada Perdana Menteri Ukraine yang juga mengagumi kesejahteraan dan perpaduan yang diterapkan. "Di negara ini saya melihat bagaimana kebebasan diberi seluas-luasnya dengan rakyat pelbagai kaum dapat berjalan, melakukan urus niaga dan menjalankan kehidupan harian dengan mudah dan terbuka," katanya. Tengku Adnan turut menerima kunjungan dari delegasi dari Al-Fatah melibatkan Dr. Abdullah M.I. Abdullah selaku Timbalan Pesuruhjaya Hubungan Antarabangsa, selain kunjungan dari Madagascar (Parti Mamafisoa). – MediaUMNO |
Pemuda UMNO Mahu Pikat Ulama Muda Bagi Memperkasa Perjuangan Islam Posted: 28 Nov 2012 07:14 AM PST KUALA LUMPUR, 28 Nov – Pemuda UMNO akan menjelajah ke Asia Barat untuk mendekati pelajar Malaysia di sana dalam usaha menarik lebih ramai ulama muda bagi memperkasa perjuangan Islam pergerakan itu. “Usaha ini perlu kita perkasakan bagi melengkapkan lagi perjuangan kita, supaya golongan profesional dan ulama masing-masing ada pendapat dalam Pemuda UMNO yang akhirnya saling melengkapi serta memperkasa perjuangan kita,” kata Ketuanya Khairy Jamaluddin ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini hari ini. Sebelum itu semasa perbahasan, Ketua Pemuda Bahagian Bayan Baru, Pulau Pinang, Norman Zahalan menyarankan penubuhan Badan Ulama Pemuda UMNO bagi memberi lebih ruang kepada golongan muda lepasan pengajian agama di Timur Tengah berjuang bersama parti terbesar orang Melayu tersebut. Mengulas lanjut, Khairy berkata mereka perlu diberi peluang menjelaskan isu-isu agama dan fatwa yang sering dipermainkan sesetengah pihak. Khairy juga berkata kepimpinan pergerakan itu akan turun padang melawat setiap bahagian untuk memastikan mesej bekerja lebih gigih menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 sampai kepada jentera sayap di peringkat akar umbi. “Kita akan pergi setiap negeri, saya akan ketuai kerana saya tidak mahu anggota kita rasa keseorangan dalam perjuangan mereka. Saya jamin jentera Pemuda Umno akan lebih perkasa berbanding PRU sebelum ini,” katanya. Khairy berkata cadangan perwakilan untuk melanjutkan tempoh persidangan itu daripada satu hari kepada sekurang-kurangnya dua hari akan disampaikan kepada pimpinan tertinggi parti. Naib Ketua Pemudanya Datuk Razali Ibrahim pula berkata setiap anggota Pemuda UMNO perlu berusaha gigih bagi memastikan kemenangan setiap calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum itu. “Tidak guna kita letak walau berjuta sekalipun calon muda kalau kita sendiri tidak mahu bekerja menangkan calon kita. Jangan ada yang menipu di sini kata kita sokong di sini hari ini, tetapi besok balik terus berpaling muka. “Bila kita dapat arahan pucuk pimpinan jangan banyak soal terus ke depan bekerja untuk parti kita,” katanya. |
Ganding Bahu Dengan Sayap, Mantap Perjuangan Parti – Shahrizat Posted: 28 Nov 2012 07:13 AM PST KUALA LUMPUR, 28 Nov – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menasihatkan lebih 1.3 juta anggota pergerakan itu supaya berganding bahu bersama sayap Pemuda dan Puteri untuk memantapkan lagi perjuangan UMNO bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13. Beliau berkata sifat ingin bersaing sesama sendiri tidak seharusnya timbul dalam diri anggota Wanita, malahan mereka patut berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh sayap-sayap itu yang dianggap sebagai anak mereka. “Usaha Ketua Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin menerajui sayap-sayap ini amat dipuji, saya sebagai ibu merasa bangga. “Kita perlu bekerjasama dengan harapan mereka (sayap) akan member penghormatan serta laluan untuk memantapkan jentera pilihan raya,” katanya ketika menggulung perbahasan usul pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. Beliau berkata jentera Wanita UMNO sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum dan hanya menunggu arahan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggerakkannya. “Saya tengok puan-puan semua tidak panik, tidak kelam kabut malah ‘steady’ sebab saya yakin puan-puan sudah lama bersedia. Ini membuktikan tahap kesiapsiagaan tinggi Wanita untuk menghadapi pilihan raya,” katanya. Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Mustapa Mohamed memuji kelantangan Wanita ketika berbahas dan meminta mereka supaya mengekalkan momentum itu ketika berkempen untuk pilihan raya umum. “Saya rasa gembira dan teruja dengan semangat yang dipamerkan Wanita sepanjang perhimpunan ini, ini bukan sahaja mewakili suara wanita Melayu bahkan semua suara wanita seluruh negara,” katanya dalam ucapan penangguhan pada perhimpunan itu yang disusuli penggulungan oleh Shahrizat. Seorang lagi anggota MT, Datuk Seri Musa Aman berpendapat ucapan perbahasan yang disampaikan perwakilan Wanita amat bermutu dan bernas dan, jelas membuktikan Wanita bersedia menghadapi pilihan raya umum. “Yang pasti niat Wanita untuk bekerja kuat, menjalin kerjasama serta taat setia kepada pucuk pimpinan dalam memastikan parti menjadi lebih mantap memang kena pada tempat dan masanya,” katanya yang juga Ketua Menteri Sabah. |
Rosnah Harapkan Kesepaduan Luar Biasa Puteri Demi UMNO Posted: 28 Nov 2012 07:09 AM PST KUALA LUMPUR, 28 Nov – Pada tahun terakhirnya meneraju Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berharap anggota sayap itu bersatu secara luar biasa dalam gerakan memenangi pilihan raya umum (PRU) akan dating dan memastikan kelangsungan sayap itu dalam parti. Beliau turut menuntut kesatria Puteri memberi kudrat dan kesetiaan tidak berbelah-bahagi untuk UMNO buat selamanya. Menurut Rosnah, beliau dan anggota lain yang bakal meninggalkan pergerakan itu kerana sudah ‘cukup umur’ akan tetap bersama adik-adik mereka berjuang melalui idea, kudrat dan kasih sayang. “Kita akan terus membantu, bukan cemburu pada kepimpinan baharu. Kita akan terus menyumbang, bukan mengkritik dan mencanang. Di saat genting ini, ketepikan rasa iri hati, dengki, cemburu membuta-tuli. “Berilah saya setahun yang terakhir ini satu kesepaduan anggota yang benar-benar luar biasa untuk kita sama-sama bergerak memenangi pilihan raya,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO 2012, di sini hari ini. Dalam pada itu, beliau sekali lagi membidas suara-suara sumbang yang mengatakan Puteri tidak lagi relevan dalam UMNO, dan menegaskan apapun yang dilakukan, semuanya bersandar kepada keikhlasan. Puteri, katanya tidak harus berundur walau apapun tohmahan yang dilemparkan ke arah mereka. “Kadang-kadang orang memperkecilkan kita supaya dia kelihatan besar di mata manusia, walhal mereka lupa, mereka tidak lebih sekadar takut pada bayang-bayang sendiri,” katanya. Justeru, beliau berkata anggota Puteri perlu mengutamakan soal perpaduan berbanding kepentingan sendiri kerana pengkhianatan terhadap parti akan membawa binasa. Pada sesi penggulungan itu, perwakilan Puteri berikrar untuk membantu parti dan Barisan Nasional memenangi semula empat negeri yang kini ditadbir pembangkang dalam PRU ke-13 selain memastikan kemenangan besar di negeri-negeri lain. Rosnah memberitahu sidang media kemudian pergerakan itu menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti mengenai pemilihan anggota Puteri sebagai calon pada PRU ke-13. “Kita sokong penuh siapa sahaja yang terpilih yang tentunya ‘winnable candidates’ dan menghargai jika Puteri UMNO diberi tempat,” katanya menambah ramai anggota sayap itu mempunyai potensi untuk diletak menjadi calon. |
FINAS Dan Filem Negara Digabung Bagi Wujud Perbadanan Perfileman Tunggal Posted: 28 Nov 2012 06:53 AM PST KUALA LUMPUR, 28 Nov – Matlamat penggabungan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Filem Negara Malaysia adalah bagi mewujudkan satu perbadanan perfileman yang tunggal, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim. Beliau berkata perbadanan tersebut akan memainkan peranan utama untuk menjana secara langsung perkembangan industri perfileman tempatan tanpa pembaziran daripada segi kewangan dan pertindihan penyediaan infrastruktur oleh kerajaan. “Kini, terdapat dua agensi kerajaan iaitu FINAS dan Jabatan Filem Negara Malaysia yang menjalankan khidmat perfileman. Kedua-duanya menjalankan fungsi yang sama sejak 1981 hingga ke hari ini. “Dari segi strategi dan manfaat serta produktivitinya, sewajarnya hanya ada satu perbadanan atau agensi kerajaan yang mengendalikan urusan perfileman untuk negara dan pengisian industri kreatif ,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2012 untuk bacaan kali kedua pada sidang Dewan Rakyat hari ini. Beliau berkata yang menjadi tumpuan melalui pindaan itu ialah keberkesanan khidmat produksi filem kenegaraan, selain menggalak, memaju dan membantu industri filem negara kepada penghasilan yang lebih ketara. Rais berkata penglibatan Finas dalam aktiviti pengeluaran filem adalah untuk mengeluarkan filem-filem kenegaraan dan filem sebegini tentunya tidak mendatangkan keuntungan. “Justeru, wajar dikendalikan terus oleh Finas dan Filem Negara Malaysia di bawah satu bumbung dan satu pentadbiran yang berjenama satu. “Apa yang harus ditekankan ialah Finas dalam bentuk dan perkhidmatan barunya wajib bersungguh-sungguh memperjuangkan industri filem ke tahap yang lebih memberangsangkan selaras dengan dasar Industri Kreatif Negara,” katanya. Persidangan Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan rang undang-undang tersebut. Persidangan Dewan bersambung esok. |
Kuasa Besar China Bangga Mempunyai Hubungan Akrab Dengan UMNO Posted: 28 Nov 2012 05:54 AM PST KUALA LUMPUR, 28 Nov. – Republik Rakyat China melalui parti politiknya, Parti Komunis China (CPC) melahirkan rasa bangga dan berbesar hati dapat menjalinkan hubungan akrab dengan UMNO. Naib Pengerusi Suruhanjaya Pembaharuan Sektor Awamnya, He Jianzhong yang mengetuai delegasi seramai enam orang ke Perhimpunan Agung UMNO 2012 menyatakan bahawa UMNO mempunyai hala tuju yang jelas dengan perancangan rapi dan lancar untuk memastikan ia tercapai. "Kebolehan UMNO dengan barisan kepimpinan yang mantap memberikan inspirasi kepada parti-parti politik lain sehinggakan mereka bertumpu kepada negara ini termasuklah dalam Forum Antarabangsa dan Perhimpunan Agung UMNO kali ini," katanya. Beliau berkata demikian dalam kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung UMNO di pejabatnya hari ini. "Hubungan antara UMNO dan CPC berlangsung dengan lancar bukan saja dalam parti politik tetapi dalam masa yang sama ia telah merintis laluan kerjasama lebih besar iaitu ekonomi, pendidikan, bahasa dan kebudayaan." Jelasnya, lantaran keakraban yang ada, CPC sedia maklum bahawa UMNO akan berdepan dengan Pilihan Raya Umum pada masa terdekat yang tentunya Perhimpunan Agung UMNO kali ini akan dapat memberikan suntikan baru kepada ahli-ahlinya. "CPC dan rakyat Republik Rakyat China amat berharap agar UMNO dan barisan kepimpinannya dalam Barisan Nasional akan berjaya dengan cemerlang dalam pilihan raya nanti dan kembali mendapat mandat dua pertiga bagi memastikan kesinambungan pembangunan dilaksanakan. "Ikatan yang terjalin antara UMNO dan CPC bukan sekadar kerjasama antara parti politik tetapi melalui pertukaran delegasi yang telah beberapa kali diadakan telah mewujudkan persefahaman antara individu dan dapat memberi perkembangan positif kepada kedua-dua negara." UMNO dan CPC telah memetrai perjanjian melalui memorandum persefahaman (MoU) pertukaran dan kerjasama antara kedua-dua parti yang berlangsung dalam suasana harmoni di Bangunan Perhubungan Antarabangsa CPC, Beijing pada 4 Ogos 2010. "Sejak hubungan antara UMNO dan CPC berlangsung akrab, delegasi antara kedua-dua parti khususnya generasi muda saling berkunjung sambil bertukar-tukar idea dan berkongsi pengalaman. "Menerusi memorandum itu juga UMNO dan CPC bersetuju mengembangkan hubungan berdasarkan prinsip-prinsip kemerdekaan, hak kesamaan mutlak, saling menghormati dan bersetuju untuk tidak mencampuri hal ehwal dalaman masing-masing." Delegasi CPC adalah antara parti-parti politik yang sentiasa bersama-sama dalam acara parti termasuklah Perhimpunan Agung UMNO dan ulang tahun sambutan penubuhannya. Ketika ini China dalam proses peralihan kuasa kepemimpinannya dengan Naib Presiden China, Xi Jinping dilaporkan bakal menggantikan Hu Jiantao sebagai Presiden, manakala Naib Perdana Menteri, Li Keqiang bakal mengambil tempat Wen Jiabao sebagai Perdana Menteri. - MediaUMNO |
Kejayaan UMNO Terapkan Rasa Cinta Pada Keamanan Perlu Dicontohi Posted: 28 Nov 2012 05:52 AM PST KUALA LUMPUR, 28 Nov. – Kejayaan UMNO sebagai sebuah parti politik yang konsisten dan cemerlang sejak ditubuhkan 66 tahun lalu terhasil daripada usaha luar biasanya yang benar-benar merealisasikan perpaduan nasional dan perdamaian yang secara tidak langsung dapat mengembling kepada pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyatnya. Kepimpinan tertinggi Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) yang menyampaikan kawat tahniah sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 menyatakan bahawa kemakmuran Malaysia adalah hasil daripada perjuangan UMNO bersama anggota kompenannya dalam Barisan Nasional. Kawat tahniah tersebut telah disampaikan oleh Park Kun Gwang selaku Timbalan Ketua Jawatankuasa Workers' Party of Korea yang mengetuai delegasi seramai tiga orang. "Malaysia dapat kekal membangun dengan makmur atas dasar cintakan kebebasan dan keamanan hasil daripada pimpinan Presiden UMNO yang juga Perdana Menterinya, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya yang melakukan kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat UMNO, hari ini. Katanya, DPRK sangat kagum dengan kejayaan UMNO bagi membina bangsa Melayu dan masyarakat Malaysia untuk berusaha dalam memastikan matlamat menjadikan negara ini membangun pada tahun 2020 nanti. "Kejayaan yang dilakukan oleh UMNO adalah pencapaian sejagat kerana ia memberi kesan besar dalam usaha menggalakkan keamanan dan pembangunan bersama untuk rantau Asia khususnya di Asia Tenggara. "DPRK yakin dengan berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO ini akan menjadi satu lagi lakaran dalam menggalakkan usaha murni dalam menyatu dan membangunkan masyarakat dan negaranya." Tegasnya lagi, DPRK yang dipimpin oleh pemimpin tertingginya, Komrad Kim Jong Un turut cintakan kesejahteraan sejagat dengan menerapkan generasi muda sentiasa bersemangat dan berusaha dengan gigih. "Saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada UMNO untuk sokongan yang kukuh dan perpaduan yang dapat menjadi tauladan kepada negara-negara lain dan turut dicontohi oleh rakyat kami." Pada masa yang sama, beliau turut mengundang delegasi kepimpinan tertinggi parti untuk bertandang ke DPRK disamping mempereratkan lagi hubungan antara dua negara. – MediaUMNO |
BN Yakin Pertahankan Perak – Dr Zambry Posted: 28 Nov 2012 05:36 AM PST KUALA LUMPUR, 28 Nov – Barisan Nasional (BN) yakin dapat mempertahankan Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan kejayaan strategi yang dilaksanakan oleh BN sepanjang lebih tiga tahun memerintah negeri itu. “Insya-Allah, apabila diberi amanah untuk mengepalai negeri ini, tentu kita mempunyai strategi taktikal, peralatan perang dan sebagainya, dan BN yakin dapat mempertahankan kedudukannya di Perak,” katanya ketika di temui di Perhimpunan Agung UMNO 2012 di sini hari ini. Zambry berkata UMNO dan BN Perak kini berada di peringkat persiapan akhir menghadapi PRU yang bakal diadakan bila-bila masa. “Kalau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak umum pilihan raya akan diadakan esokpun, kita sudah bersedia menghadapinya,” tegasnya. Mengulas lanjut, Zambry berkata kemenangan BN di Perak akan ditentukan oleh undi daripada semua kaum, bukan kaum tertentu sahaja. Mengenai undi kaum Cina, beliau menjelaskan: “Keadaan di Perak berbeza dengan negeri lain. Kita tidak boleh buat tahap pengundian masyarakat Cina secara umum, ada yang tinggal di bandar dan ada yang tinggal di desa.” Zambry berkata beliau melihat sokongan masyarakat Cina terhadap BN ketika ini adalah baik. Menyentuh soal calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya umum, beliau berkata penyediaan senarai calon kini berada di peringkat akhir, dan penilaian secara berterusan akan dilakukan sehingga waktu pilihan raya. Ditanya mengenai muka baru, beliau berkata BN Perak akan mengetengahkan kira-kira 40 hingga 50 peratus muka baru pada PRU kali ini. Mengenai sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Pangkor atau berpindah ke Parlimen, Zambry berkata segala-galanya bergantung kepada keputusan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak. Setakat ini, arahan yang diterimanya daripada Najib adalah untuk mengepalai jentera pilihan raya Perak bagi menghadapi PRU, katanya. BN Perak kini mempunyai 28 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, pakatan pembangkang 27 manakala wakil Bebas pula empat kerusi. |
Kelab UMNO Luar Negara Diminta Main Peranan Menyeluruh – Hishammuddin Posted: 28 Nov 2012 05:25 AM PST KUALA LUMPUR, 28 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu anggota Kelab UMNO Luar Negara memainkan peranan yang lebih menyeluruh untuk menarik lebih ramai golongan muda menyokong UMNO dan kerajaan. Beliau berkata pengalaman mereka di luar negara dapat dijadikan rujukan berguna untuk meyakinkan golongan itu bahawa keadaan negara di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional adalah yang terbaik. “Daripada soalan-soalan yang ditanyakan tadi menunjukkan mereka sangat peka dengan perkembangan bukan sahaja di dalam negara kita tetapi apa yang berlaku di Timur Tengah, dalam konteks ekonomi di Eropah dan sebagainya,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan 65 wakil kelab di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini. Hishammuddin turut melahirkan rasa bangga dengan kesungguhan anggota kelab untuk membangunkan negara bersama-sama kerajaan. Beliau berkata antara perkara yang dibincang pada pertemuan itu ialah penyaluran bantuan kepada penuntutMalaysiadi luar negara. Mengenai penglibatan politik penuntut Malaysia di luar negara, Hishammudin berkata ketaksuban mereka terhadap parti tertentu kini tidak lagi menebal seperti dahulu. “Justeru masih ada ruang untuk kita meyakinkan mereka (menyokong kerajaan) cuma pendekatannya tidak boleh ditentukan oleh kepimpinan parti di peringkat pusat…pemimpin kelab sendiri mesti mencari kaedah yang terbaik mengikut negara di mana mereka berada,” katanya. |
You are subscribed to email updates from UMNO Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
No comments:
Post a Comment