UMNO Online - “Anwar Perlu Bertanggungjawab – Ali Rustam” plus 3 more |
- Anwar Perlu Bertanggungjawab – Ali Rustam
- PM Kutuk Kenyataan Tian Chua
- Tian Chua Tidak Bertanggungjawab – Muhyiddin
- Jangan Buat Tuduhan Melulu – Ahmad Zahid
Anwar Perlu Bertanggungjawab – Ali Rustam Posted: 03 Mar 2013 06:33 AM PST ALOR GAJAH, 3 Mac – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bertanggungjawab sekiranya beliau mempunyai kaitan dengan insiden pertumpahan darah di Lahad Datu, Sabah. Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dilapor menjanjikan kuasa autonomi kepada Sabah jika pembangkang menang pilihan raya umum akan datang, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Warga dan Generasi Baru Felda Wilayah Segamat di Felda Tun Ghaffar Machap di sini, hari ini. Beliau mengulas laporan media asing mengenai pencerobohan di Lahad Datu, The Philippine Daily Inquirer menggunakan artikel agensi berita Reuters yang memetik seorang pegawai tentera Filipina sebagai berkata penceroboh terbabit datang atas “jemputan” seorang ahli politik pembangkang Malaysia. The Manila Times pula dilaporkan mendakwa bahawa pencerobohan secara mendadak itu adalah berkaitan dengan kempen pembangkang Malaysia untuk member autonomi kepada Sabah jika mereka menang. Mohd Ali turut melahirkan penghargaan terhadap anggota keselamatan Negara atas kesanggupan mereka bergadai nyawa mempertahankan keamanan negara daripada pencerobohan pihak luar. Beliau berharap pertumpahan darah itu dapat dihentikan dengan segera selain mengheret dalang di sebalik kekacauan itu ke muka pengadilan. Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri Melaka akan melancarkan Tabung Lahad Datu, esok sebagai penghargaan kepada keluarga anggota polis yang terkorban dalam insiden itu serta membantu meringankan beban penduduk kawasan tersebut. “Kita akan cuba kumpulkan wang tunai seberapa yang boleh untuk disumbangkan kepada mangsa pencerobohan dengan kadar segera,” katanya.
|
Posted: 03 Mar 2013 05:43 AM PST KANGAR, 3 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengutuk keras kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua yang menuduh insiden tembakan di Lahad Datu Sabah adalah “konspirasi terancang kerajaan UMNO”. “Dalam insiden ini mereka tuduh kerajaan bersandiwara. Ini merupakan pembohongan dan pendustaan sangat besar. Sebelum ini dalam isu Memali pun pembangkang tuduh kerajaan sebagai punca. “Kami (kerajaan) tidak berbuat demikian. Dalam soal keselamatan kami tidak sekali-kali mempolitikkannya kerana membabitkan nyawa manusia,” kata Perdana Menteri semasa berucap merasmikan program jelajah ”Janji Di Tepati” peringkat negeri Perlis di sini hari ini. Najib yang melakukan lawatan kerja sehari ke Perlis diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Turut hadir pada pelancaran itu Menteri Besar Datuk Dr Md Isa Sabu. Sementara itu, selepas merasmikan Kampus Induk Universiti Malaysia Perlis, Najib mengarahkan pihak berkuasa terutama pihak risikan menyiasat dakwaan bahawa ada pemimpin pembangkang terlibat dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah. Katanya dakwaan itu suatu perkara yang serius tetapi dakwaan itu memerlukan bukti kukuh bagi mengenal pasti dalang di sebalik kejadian itu. Beliau juga hairan kenapa kumpulan itu datang ke Sabah ketika ini semasa negara sedang hampir untuk mengadakan pilihan raya umum sedangkan tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah sudah lama dibuat. ” Semua pihak kena siasat. Filipina, Presiden Aquino pun nak tahu apa sebenarnya. Perkara ini satu embarrassment (penghinaan) yang besar kepada kerajaan Filipina. ” Mereka tak reda warga mereka terlibat dengan pencerobohan, mengganas, guna senjata dan bunuh orang kita,” katanya. |
Tian Chua Tidak Bertanggungjawab – Muhyiddin Posted: 02 Mar 2013 07:21 PM PST CAMERON HIGHLANDS, 2 Mac – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyifatkan kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua yang mengaitkan peristiwa di Lahad Datu, Sabah dengan parti UMNO, sebagai amat tidak bertanggungjawab. “Kita serahkan kepada pasukan keselamatan untuk ambil apa-apa langkah sewajarnya. Kita berasa amat sedih dengan peristiwa yang mengorbankan anggota kita. Jadi itu (kenyataan Tian Chua) adalah satu perkara yang tidak munasabah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Himpunan Rakyat 1Malaysia di Tanah Rata di sini, hari ini. Muhyiddin berkata misi pasukan keselamatan di Lahad Datu adalah sangat penting daripada aspek keselamatan negara dan berharap rakyat memahami mengenai apa yang berlaku. “Pembangkang dengan mudah membuat tuduhan berkaitan dengan BN dan UMNO kerana sebahagian daripada rancangan mereka adalah kempen membenci kerajaan dan UMNO, ini bukan pertama kali. “Hal ini dilakukan untuk menyemarakkan rasa marah dan benci tetapi, saya yakin rakyat faham dengan situasi ini dan keadaan yang hendak ditangani, Perdana Menteri juga telah membuat kenyataan semalam,” katanya. Muhyiddin berkata hal mengenai keselamatan sehingga melibatkan peristiwa yang menyayat hati serta kemalangan besar sebegini tidak boleh dipermain-mainkan atau diekploitasi bagi meraih keuntungan politik. “Tambahan pula dengan langkah-langkah keselamatan yang telah diambil pasukan kita, tindakan itu akan meruntuhkan moral dan semangat mereka. Saya fikir ia adalah sikap tidak bertanggungjawab pembangkang,” katanya. Beliau juga melahirkan rasa sedih dan menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga kedua-dua anggota polis komando VAT 69 yang terkorban semalam iaitu Insp Zulkifli Mamat, 29, dan Kpl Sabaruddin Daud, 46. “Kita berasa sedih dengan peristiwa terbunuh itu, ia satu yang tidak dijangka kerana langkah secara keselamatan dan berhemah telah diambil terhadap pihak penceroboh terbabit,” katanya. Kpl Mohd Tarmizi dan Kpl Azman kini dirawat di Hospital Lahad Datu manakala Konstabel Mohamad Qaiyum”aiqal pula dirawat di Hospital Duchess of Kent di Sandakan. Keadaan mereka dilaporkan stabil. Mengenai dakwaan bahawa kedatangan penceroboh terbabit ke Lahad Datu adalah untuk berjumpa dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhyiddin berkata soal perisikan diserahkan kepada pihak berkuasa. “Apa-apa maklumat yang diterima perlu disahkan dengan bukti dan sebagainya. Kalau ia berlaku kita serahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk membuat penjelasan dan kenyataan,” katanya. |
Jangan Buat Tuduhan Melulu – Ahmad Zahid Posted: 02 Mar 2013 07:09 PM PST PORT DICKSON, 2 Mac – Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan pihak tertentu supaya tidak melemparkan tuduhan melulu atau mempolitikkan insiden Lahad Datu dan peranan yang dimainkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di situ. Katanya, kejadian itu adalah berkaitan dengan soal keselamatan negara di mana ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bekerjasama erat menyelesaikan masalah itu. “Pihak ATM tidak lepas tangan, sebenarnya kita berada di sana dengan asset yang sepatutnya dan Panglima Angkatan Tentera (Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin), semalam berada di sana dan kembali ke sini dan kemudian hari ini kembali semula ke sana selepas insiden itu. “ATM memang memberi kerjasama seerat mungkin dengan PDRM dan kita harap isu ini tidak dipolitikkan kerana ia soal keselamatan negara dan kita yakin dengan peranan pihak polis di dalam mengendalikan insiden yang berlaku,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perbarisan perarakan anggota dan aset tentera darat sempena sambutan ulang tahun ke-80 Tentera Darat di Kem Si Rusa di sini hari ini. Mengulas lanjut mengenai insiden itu, Ahmad Zahid memberi jaminan terutama kepada rakyat di kawasan tersebut agar tidak bimbang dengan insiden itu atau ancaman lain kerana ATM sentiasa bersiap sedia menjaga kawasan itu. Katanya, rakyat khususnya di kawasan berkenaan perlu menaruh kepercayaan kepada ATM yang mempunyai Markas Angkatan Bersama di seluruh pulau-pulau di Sabah untuk melaksanakan tugas melindungi mereka. “Jangan ada kerisauan terhadap kemampuan kita ATM dan beri kepercayaan kepada ATM dan kita akan melakukan yang terbaik bersama-sama dengan pihak polis,” katanya. |
You are subscribed to email updates from UMNO Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
No comments:
Post a Comment