KUALA LUMPUR 7 Ogos - Tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mahu merobohkan Asrama Yayasan Selangor di Kampung Pandan di sini mendapat tentangan daripada ibu bapa yang anak mereka tinggal di asrama terlibat.
Tinjauan Utusan Malaysia di asrama tersebut mendapati, rata-rata ibu bapa kecewa dan tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan negeri serta Yayasan Selangor yang mereka sifatkan sebagai bertindak secara terburu-buru.
Seorang suri rumah, Syaflina Anas, 42, berkata, kerajaan negeri serta pihak yayasan tidak sepatutnya bertindak terburu-buru kerana ia hanya menyusahkan ibu bapa para pelajar yang menetap di asrama itu sahaja.
"Kami tidak pernah mengetahui mengenai perkara tersebut sebelum ini dan terkejut apabila dimaklumkan ia akan dirobohkan pada 31 Disember ini.
"Mereka baru mentadbir selama tiga tahun, tetapi keadaan telah menjadi kucar-kacir seperti ini. Asrama ini sepatutnya dikekalkan," katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan nasib 436 pelajar di Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur yang bakal terjejas ekoran keputusan kerajaan negeri serta Yayasan Selangor mahu merobohkan asrama tersebut.
Lebih membimbangkan, pelajar asrama berkenaan tidak diberikan jaminan penempatan lain sekiranya asrama itu dirobohkan dan difahamkan juga tiada perancangan alternatif atau asrama baru yang akan dibina untuk menempatkan kumpulan pelajar tersebut.
Seorang penyelia, Ismail Munari, 47, berkata, pelajaran anaknya yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) juga akan terjejas sekiranya asrama tersebut dirobohkan.
"Sekiranya asrama ini dirobohkan, saya perlu menukar anak ke sekolah lain kerana saya menetap di Puchong, jarak rumah dan sekolah terlalu jauh," jelasnya.
Pendapat Ismail itu turut disokong oleh seorang pengurus sumber manusia di sebuah syarikat swasta, Hanum Ayob, 41 yang risau dengan prestasi pelajaran anaknya ekoran keputusan merobohkan asrama itu.
"Dia sudah biasa mengulang kaji pelajaran dengan rakan-rakan di asrama. Jika asrama ini dirobohkan, dia pasti janggal kerana tidak dapat mengulang kaji bersama rakan-rakannya dan saya bimbang keputusan peperiksaannya akan terjejas," ujarnya
No comments:
Post a Comment