SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

TERKINI DAN TERHEBAT

Sunday, January 6, 2013

UMNO Online - “Anwar Tidak Patut Campuri Urusan Perniagaan Dengan Kenyataan Politik – Muhyiddin” plus 9 more

UMNO Online - “Anwar Tidak Patut Campuri Urusan Perniagaan Dengan Kenyataan Politik – Muhyiddin” plus 9 more

Link to UMNO Online

Anwar Tidak Patut Campuri Urusan Perniagaan Dengan Kenyataan Politik – Muhyiddin

Posted: 05 Jan 2013 04:21 AM PST

KUALA LUMPUR, 5 Jan  — Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya mencampuri urusan perniagaan dengan membuat kenyataan politik yang boleh menjejaskan syarikat awam, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Anwar perlu tahu bahawa kenyataan yang telah dibuatnya akan mempengaruhi sentimen pelabur dan mungkin akan menyebabkan saham syarikat tersebut terus menjunam.

Anwar baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa harga saham Felda Global Ventures Holdings (FGV) akan menjadi lebih rendah jika tidak kerana campur tangan beberapa institusi, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bekas menteri kewangan itu mendakwa harga saham FGV pada RM4.62 adalah kerana campur tangan dalam bentuk pembelian oleh KWSP, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan institusi-institusi lain.

Semasa diminta mengulas mengenai isu berkenaan, Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO berpendapat Anwar sebenarnya iri hati dengan penyenaraian saham FGV dan ingin mempolitikkan isu tersebut serta berharap agar harganya terus jatuh.

“Saya tidak pasti sama ada Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau Bursa Malaysia boleh mengenakan tindakan terhadap Anwar kerana mengeluarkan kenyataan yang bertujuan menghasut,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat Proton City di Tanjung Malim, Perak, hari ini.

Dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Perusahan Perladangan dan Komoditi berkata ia akan terus memantau arah aliran harga sawit dan getah bagi memastikan paras harga kedua-dua komoditi ini tidak menjejaskan pendapatan para pengusaha tanaman terutamanya pekebun kecil.

“Pada harga minyak sawit mentah (MSM) sebanyak RM2,200 setan metrik, pendapatan purata bagi setiap tan buah tandan segar (FFB) yang dihasilkan adalah RM440 setan metrik.

“Dengan mengambil kira kos pengeluaran setan metrik FFB antara RM200 hingga RM250, pengusaha sawit masih meraih pendapatan kasar antara RM190 hingga RM240 setan metrik FFB,” katanya.

Menurut kementerian itu, pendapatan bersih pengusaha sawit, selepas ditolak dengan kos-kos lain, adalah antara RM150 dan RM200 setan metrik FFB.

“Kerajaan akan terus memantau trend harga komoditi sawit dan getah dengan mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan harga pasaran masih berada di paras stabil,” katanya.

`Satu Undi Untuk BN, Satu Undi Untuk Masa Depan’ – Najib

Posted: 05 Jan 2013 03:53 AM PST

KUANTAN, 5 Jan  – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata setiap satu undi untuk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU) nanti, bermakna “satu undi untuk masa depan”.

Katanya beliau optimis rakyat tidak akan memperjudikan masa depan kepada pihak pembangkang, sebaliknya rakyat kini dilihat semakin yakin dengan kerajaan BN untuk terus menerajui negara bagi mencapai wawasan negara maju.

“Alhamdulillah, sekarang rakyat (dilihat) bertambah yakin dengan kerajaan Barisan Nasional, undi satu untuk BN adalah adalah satu undi untuk masa depan, (kalau) undi pembangkang, (masa depan) tidak menentu,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra dan minum petang bersama pemimpin setempat Dewan Undangan Negeri kawasan Pulau Manis di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Damai, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan BN adalah kerajaan yang sentiasa prihatin dengan setiap masalah yang dihadapi rakyat.

“Kalau rakyat susah, kerajaan prihatin, wang ehsan (bantuan untuk rakyat misalnya) baru permulaan, nanti kita akan bagi lagi, ini adalah konsep kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Najib berkata Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) misalnya, dapat diberikan kepada rakyat kerana kerajaan dapat menguruskan kewangan negara dengan baik.

“Kalau kita tidak rancang secara sistematik, kita tentu akan dapat hasil yang mengecewakan, pihak pembangkang katanya nak buat perubahan, adakah perubahan itu baik atau lebih buruk, tidak semua perubahan akan lebih baik tapi mungkin kekecewaan,” katanya.

Najib berkata negara Malaysia sebenarnya telah mencapai satu kejayaan tertentu yang setaraf dengan negara maju yang diiktiraf negara-negara luar dan badan-badan tertentu.

“Ini kita dapat lihat dari segi tadbir negara, agenda transformasi telah beri keyakinan kepada dunia dan daya saing kita mengikut pihak yang buat penarafan, Malaysia adalah antara 14 buah negara yang setaraf dengan negara-negara maju,” katanya.

Beliau berkata kisah kejayaan negara dalam pelbagai bidang bukanlah sesuatu yang boleh dinafikan, sebaliknya ianya terbukti menerusi pengiktirafan oleh syarikat-syarikat besar dan antarabangsa.

“(Contohnya) Tadi terbang (menaiki pesawat ke Kuantan) dengan AirAsia sebab saya nak bagi sokongan kepada syarikat yang jenamanya sudah sampai ke peringkat internasional, (dahulu), dua  flight uzur (berusia) 11 tahun dulu,  kini (AisAsia) ada 145 pesawat, (dahulu) 250 penumpang, kini 38 juta (penumpang), ini adalah kejayaan yang patut kita banggakan,” katanya.

Beliau berkata fasa pertama pembinaan projek Aliran Transit Massa (MRT) misalnya, yang dijangka siap pada akhir 2016, juga adalah antara contoh kejayaan negara dan kejayaan kerajaan BN dalam mengurus dan mentadbir negara ini.

“Semalam saya lihat pelaksanaan MRT, saya bangga, bangga anak muda kita adalah jurutera dan terlibat dalam projek besar, ia (projek MRT) akan letak Kuala Lumpur sebagai bandar raya maju di dunia, 45 peratus (projek berkenaan) dikendalikan syarikat-syarikat tempatan,” katanya.

Hadir sama pada majlis yang dihadiri 1,000 orang itu ialah anggota DUN Pulau Manis, Khairuddin Mahmud.

Jangan Anggap Kesilapan Pengiraan Undi CEC DAP Sebagai Kecil – Muhyiddin

Posted: 05 Jan 2013 03:29 AM PST

TANJUNG MALIM, 5 Jan — Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kesilapan pengiraan undi ketika pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bulan lepas tidak harus dianggap kecil kerana ia melibatkan soal integriti sebuah parti yang mendakwa mereka telus dan adil.

Timbalan Perdana Menteri berkata Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP perlu memperjelaskan apakah tindakan meminda keputusan itu, sekali gus mengembalikan wakil Melayu dalam CEC itu, disebabkan agenda tertentu dalam kalangan pemimpin parti itu.

“Walaupun ini mungkin perkara kecil tapi implikasinya amat besar, banyak orang boleh mempertikaiakn integriti, kewibawaan serta ketelusan yang diperjuangkan DAP di mana Guan Eng kena jawab dan jelaskan.

“Mungkin ada agenda lain dalam DAP…mungkin, saya tak mahu nak tuduh tapi dalam banyak calon Melayu yang bertanding ini pula yang menang,” katanya merujuk kepada Zairil Khir Johari yang pada mulanya berada pada kedudukan 39, kini menduduki kedudukan 20, sekali gus terpilih sebagai anggota CEC.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri majlis makan tengahari bersama tenaga kerja Proton di Proton City di sini, hari ini, Muhyiddin berkata pindaan dan kiraan semula undi selepas sekian lama pemilihan berlalu adalah sesuatu yang aneh dan luar biasa, seolah-olah ada pihak yang mengarahkan ia dilakukan.

Beliau berkata senario terkini dalam DAP itu membuatkan ramai pihak tertawa sambil mempersoalkan bagaimana tindakan DAP yang pernah mempertikaikan ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai tidak telus kini terkena diri sendiri.

“Kini banyak yang orang persoalkan adalah adakah sistem pemilihan DAP itu telus dan adil, kalau yang satu itu boleh begitu, mungkinkah orang tidak pertikaikan semua 20 orang yang terpilih juga mungkin dengan sebab-sebab yang lain dan kerana itu ada pihak mengatakan pemilihan perlu diadakan semula.

“Saya bukan ahli DAP, saya tidak ada hak tetapi saya melihat bahawa kalau kita fikir DAP parti yang benar-benar adil dan telus, apa yang berlaku kini adalah gambaran sebenarnya parti itu,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat kini boleh menilai ketelusan DAP memperjuangkan integriti kerana jika perkara serupa dilakukan Umno, sudah tentu ia akan dijaja ke serata dunia.

Berbanding DAP, Umno sama sekali tidak akan melakukan pengiraan semula undi jika keputusan telah diumumkan dan penjumlahan semula undi hanya boleh berlaku pada hari pengiraan undi, sama  seperti mana proses yang diamalkan dalam sebuah pilihan raya, katanya.

Semalam, sebuahakhbar berbahasa Inggeris melaporkan DAP mengakui berlaku kesilapan dalam pengiraan undi semasa pemilihan jawatan CEC yang diumum 15 Dis lepas, dan menerusi keputusan yang dipinda itu, Zairil yang pada mulanya berada pada kedudukan 39, kini menduduki kedudukan 20.

Vincent Wu, yang pada mulanya mendapat tempat keenam dengan 1,202 undi, jatuh ke tempat ke-26 kerana parti itu mendakwa beliau sebenarnya hanya meraih 669 undi.

Berhubung peluang BN untuk terus memerintah Perak, Muhyiddin berkata beliau yakin kerajaan sedia ada akan terus kekal disokong berdasarkan status terkini sokongan rakyat yang bertambah baik.

Sambil meminta semua wakil rakyat BN dan seluruh jentera parti memberi tumpuan pada kawasan tertentu yang dikuasai pembangkang yang berpotensi untuk menang, Timbalan Presiden Umno itu juga mahu sokongan di kawasan yang dimenangi terus ditingkatkan untuk kelangsungan pemerintahan BN di negeri itu.

Beliau juga mengarahkan pegawai kerajaan negeri dan ahli perniagaan yang terlibat di dalam parti supaya memberikan 70 peratus daripada aktiviti harian mereka kepada memastikan sokongan kepada parti terus meningkat.

Muhyiddin berkata segala isu tempatan yang melibatkan percanggahan kepentingan sesama komponen parti perlu diselesaikan segera dan terus mewujudkan hubungan lebih kukuh sesama mereka.

“Saya tetapkan ia mesti lebih mantap dan jangan timbulkan masalah dengan membuat isu-isu baharu kerana kita tahu cabaran kali ini lebih besar, kita tidak boleh ambil mudah tentang situasi yang sebenar yang berlaku di bawah,” katanya mengulas perjumpaan tertutup beliau bersama pemimpin komponen BN negeri yang berlangsung sebelum itu.

Mesyuarat tertutup kira-kira dua jam di Kompleks Sukan Proton City itu dihadiri Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi BN negeri Datuk Seri Zambry Abd Kadir, timbalannya Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Timbalan Pengerusi MCA Perak Datuk Seri Kong Cho Ha, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, Pengerusi Gerakan Negeri Datuk Seri Chang Ko Youn dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M. Kayveas.

Lebih Ramai Penyokong Dan Ahli Pembangkang Akan Sertai BN- Ahmad Maslan

Posted: 05 Jan 2013 01:55 AM PST

BANGI, 5 Jan — Semakin ramai anggota dan penyokong pembangkang meninggalkan parti itu dan menyertai Barisan Nasional (BN) selepas kecewa dengan kepimpinan serta kegagalan pemimpin pakatan pembangkang menunaikan janji, kata Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN Datuk Ahmad Maslan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berkata, petanda itu memberi keyakinan kepada BN untuk memenangi dua pertiga kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-13 nanti, sekaligus merampas negeri-negeri yang tewas pada pilihan raya umum pada 2008.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno yakin, lebih ramai anggota parti pakatan pembangkang akan meninggalkan parti itu dan menyertai BN kerana mereka menyedari hanya BN sahaja mampu mengubah kehidupan, menjamin kepentingan serta mencorakkan masa depan yang cerah bagi rakyat di negara ini.

Sebagai contoh, beliau berkata lebih 400 penyokong Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dari Bangi dan Serdang telah menyertai kelab penyokong BN dalam masa beberapa bulan ini selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pas dan parti pembangkang yang lain.

“Perubahan ini kita dapat lihat di banyak tempat di seluruh negara. Bagi kita ia merupakan satu perubahan yang amat menarik dan memeranjatkan. Kita jangka lebih ramai lagi akan meninggalkan parti pembangkang dan menyertai BN,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tiga bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di sekitar Bangi, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Maslan turut menerima borang keahlian 50 bekas penyokong PAS yang menyertai Kelab Penyokong BN dan mereka berjanji menyokong BN pada pilihan raya umum akan datang.

Wakil kumpulan itu, K.Balamurugan berkata mereka yang terdiri daripada anggota penyokong Pas dari Bangi dan Serdang keluar parti kerana tidak sanggup lagi ditipu oleh pimpinan pembangkang.

“BN, bila janji mereka benar-benar tepati janji. Tetapi Pas bukan macam itu, masa nak undi mereka janji nak buat itu dan ini tetapi bila menang mereka sudah lupa semua. Kita minta tolong pun mereka tolak, sekarang kita dah tahu siapa mereka sebenarnya,” katanya.

Mengenai persiapan dan persediaan jentera BN dan PDM, Ahmad Maslan berkata walaupun berpuas hati dengan persiapan, namun beliau mahukan ia terus berada pada tahap yang tertinggi.

“Semua PDM perlu membuat persiapan sampai ke tahap peratusan yang tertinggi.

Kalau belum ada jentera kita kena siapkan jentera. Saya telah diminta Presiden BN dan UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu PDM. Saya berasa gembira kerana mereka dah buat persiapan yang cukup rapi,” katanya.

Menurutnya, setiap bilik gerakan BN juga perlu siap sedia dengan pelan dan agenda termasuk mengadakan pelbagai aktiviti, memastikan segala peralatan dan keperluan bagi memperkuat jentera pilihan raya serta memastikan BN mendekati rakyat dan memenangi pilihan raya.

Jangan Mudah Terpedaya Dengan Sandiwara DAP

Posted: 05 Jan 2013 01:22 AM PST

SHAH ALAM, 5 Jan  – Orang Melayu diminta supaya tidak mudah terpedaya dengan sandiwara politik DAP yang seolah-olah cuba menarik semula sokongan kaum itu dengan mengumumkan berlakunya kesilapan pengiraan undi dalam pemilihan Jawatan Kuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu Disember lalu.

Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd Zohdi berkata pengumuman mengenai kesilapan itu oleh DAP semalam menimbulkan banyak persoalan kerana sebelum ini keputusan pemilihan CEC yang diadakan Disember lepas menyaksikan tiada calon Melayu terpilih menjadi anggota jawatankuasa itu apabila tidak memperoleh sokongan daripada 2,600 perwakilan DAP.

Selepas pemilihan itu, DAP kemudiannya mengumumkan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari sebagai anggota CEC dilantik yang mendapat kritikan pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai tindakan untuk mengambil hati ahli-ahli Melayu di dalam parti itu.

Budiman berkata ekoran daripada keputusan pemilihan CEC itu, DAP menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuklah dilabelkan sebagai sebuah parti yang tidak demokratik, cauvinis dan perkauman.

Bagaimanapun, hari ini DAP seolah-olah cuba membuat ‘pusingan U’ dengan mengumumkan wujudnya kesilapan dalam pengiraan undi dalam pemilihan tahun lepas dan ini sekaligus menyaksikan calon Melayu kembali mendapat tempat dalam jawatankuasa itu, katanya ketika dihubungi.

“Kita persoalkan apakah pengumuman salah pengiraan undi ini satu perkara yang sengaja dirancang oleh DAP sebagai satu helah untuk mengembalikan sokongan orang Melayu dengan menggambarkan parti itu sebagai demokratik selain memberi peluang kepada semua kaum untuk menjadi pemimpin,” katanya.

Hakikatnya sejak DAP diwujudkan 47 tahun lepas sehinggalah ke hari ini, parti itu hanya didominasi oleh satu kaum sahaja dan tidak banyak ruang kepada kaum lain terutamanya orang Melayu,” katanya.

Budiman juga meminta rakyat di negara ini khususnya orang Melayu supaya tidak menjadikan DAP bersama-sama sekutu mereka dalam pakatan pembangkang  sebagai sebuah parti yang boleh diharapkan untuk memimpin negara ini.

Jika rakyat memilih DAP, PKR dan PAS, ia tidak akan membawa apa-apa manfaat melainkan hanya mendatangkan kemudaratan yang besar kepada mereka khususnya dalam memelihara keharmonian antara kaum di negara ini, katanya.

Lebih Ramai Rakyat Patut Mampu Miliki Rumah Sendiri – Najib

Posted: 05 Jan 2013 12:54 AM PST

KUALA LUMPUR, Jan 5 — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat lebih ramai rakyat patut mampu memiliki rumah sendiri, berikutan had pendapatan peminjam individu bagi Skim Rumah Pertamaku (SRP) dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan.

“Had pendapatan untuk Skim Rumah Pertamaku naik kepada RM5,000 dari RM3,000.

Lebih ramai rakyat patut mampu memiliki rumah sendiri,” katanya dalam tweet terbarunya hari ini.

Semalam, Cagamas SRP mengumumkan had pendapatan peminjam individu bagi Skim SRP akan berkuat kuasa Januari 2013.

Kenaikan berkenaan merupakan satu daripada kriteria kelayakan SRP yang diumumkan dalam Belanjawan 2013 tahun lepas.

Bagi peminjam bersama, had pendapatan telah dinaikkan sehingga RM10,000 sebulan, tertakluk kepada pendapatan peminjam individu tidak melebihi RM5,000 sebulan.

Jangan Salahkan Kerajaan Jika Berlaku Musibah- Najib

Posted: 05 Jan 2013 12:40 AM PST

KUANTAN, 5 Jan  – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta agar rakyat tidak menyalahkan kerajaan apabila terjadi sesuatu musibah atau bencana alam seperti banjir baru-baru ini.

Beliau berkata terdapat faktor lain yang menyebabkan berlakunya musibah banjir iaitu kedatangan musim tengkujuh dan masalah pemanasan global yang berlaku di seluruh dunia ketika ini.

“Salah satu daripada fakta yang menyebabkan banjir berlaku adalah musim tengkujuh (yang berlaku saban tahun) di mana pada musim itu kita mendapat hujan yang lebat dari biasa.

“Ada juga unsur yang melanda dunia iaitu kepanasan global dan perubahan iklim di mana kesan fenomena ini sukar untuk ditaksirkan tetapi mengikut pakar kaji cuaca jika hujan turun ia akan akan turun lebih lebat dari biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyampaian sumbangan Wang Ehsan kepada 686 keluarga mangsa banjir di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) di sini, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohd Saffian Ismail.

Najib dalam pada itu berkata kerajaan akan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dan membantu rakyat menangani fenomena perubahan cuaca ini.

“Kita tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak sebab nak menghadapi masalah perubahan cuaca ini memerlukan usaha global yang belum ditangani secara berkesan oleh komuniti antarabangsa.

“Namun sebagai kerajaan kita akan berusaha berdepan dengan fenomena ini dan menguruskan bencana banjir dengan sebaik mungkin,” katanya.

Katanya, kerajaan memberikan yang terbaik kepada rakyat berikutan pengurusan dan pentadbiran yang berkesan pertumbuhan ekonomi yang baik memberikan pendapatan lebih kepada negara.

“Jadi dengan hasil yang bertambah ini kita mampu menolong rakyat (sekiranya ditimpa musibah) dan kalau ada rezeki lebih lagi kita akan tolong lebih lagi,” katanya.

Najib dan Rosmah pada majlis itu turut menyampaikan sumbangan wang ihsan berjumlah RM500 kepada keluarga mangsa banjir yang melanda Kuantan baru-baru ini.

NGO Tidak Perlu Demostrasi, Lebih Baik Guna Saluran Rundingan – Awang Adek

Posted: 05 Jan 2013 12:24 AM PST

BACHOK, 5 Jan  – Badan Bukan Kerajaan (NGO) pro PAS di Kelantan tidak perlu melakukan demontrasi untuk menuntut royalti minyak sebaliknya menggunakan saluran rundingan secara berhemah.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyemak tuntutan berkaitan hasil petroleum itu, bagi kepuasan semua pihak.

“Ini termasuk meminta kerajaan Kelantan, Terengganu dan Pahang menghantar wakil untuk menduduki jawatankuasa berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menemui penduduk Kampung Pantai Damak di sini, hari ini.

Beliau mengulas demontrasi yang dilakukan badan bukan kerajaan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan bagi menuntut wang royalti minyak baru-baru ini.

Ogos tahun lepas, Najib mengumumkan penubuhkan jawatankuasa khas yang akan mengkaji secara adil dan telus mengenai isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Jawatankuasa khas itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari Kerajaan Negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan yang diperkenankan Sultan negeri tersebut.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata, soal tuntutan royalti minyak di Kelantan berkaitan dengan undang-undang dan mereka tiada hak untuk menuntut sesuka hati kecuali mempunyai hasrat yang tersirat.

Beliau percaya isu itu sengaja diadakan dengan tujuan untuk menimbulkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) pada saat-saat pilihan raya umum ke-13 yang semakin hampir supaya mereka terus kekal memerintah Kelantan.

Katanya, kalau mereka jujur sebarang masalah boleh dibawa berbincang menerusi jawatankuasa yang sedang ditubuhkan itu.

Awang Adek berkata, PAS sudah kehabisan modal untuk mengelirukan rakyat apabila slogan-slogan yang dibawanya gagal dilaksanakan seperti Membangun Bersama Islam dan terkini Negara Berkebajikan.

Katanya, BN Kelantan tidak gentar dengan tindakan PAS itu kerana rakyat Kelantan sudah matang untuk menilainya siapa yang benar.

400 Peserta Dari pertubuhan media Sertai Media Hunt UMNO 2013

Posted: 05 Jan 2013 12:16 AM PST

KUALA LUMPUR, 5 Jan  – Seramai 400 peserta daripada pelbagai pertubuhan media menyertai program ‘Media Hunt Umno 2013′ sebagai menghargai peranan media dalam membuat liputan perhimpunan agung UMNO 2012.

Para peserta yang menaiki 100 kenderaan itu dilepaskan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan di Dataran Putra Pusat Dagangan Dunia Putra sebelum menghadapi cabaran berbentuk ‘explorace’ ke Melaka selama dua hari.

Antara penyertaan paling ramai ialah dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan 84 peserta, diikuti Radio televisyen Malaysia (RTM) dengan 52 peserta.

Ahmad berkata sepanjang perjalanan ke Melaka peserta dikehendaki menjawab soalan-soalan berkaitan prinsip perjuangan Umno, dasar-dasar kerajaan serta pengetahuan am dan pemenang akan menerima hadiah RM10,000, tempat kedua RM8,000 dan RM6,000 bagi tempat ketiga.

“Program ini merupakan usaha Umno untuk merapatkan lagi hubungan dengan media tempatan terutama menjelang pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita sebelum melepaskan peserta.

Beliau berkata peserta akan singgah di Negeri Sembilan dan diraikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan sebelum menyambung kembali perjalanan ke Melaka pada sebelah petang.

Majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada 12 Jan di Pusat Dagangan Dunia Putra sempena Malam Penghargaan Media.

Muhyiddin Umum Pembinaan Sebuah Sekolah Menengah Di Proton City

Posted: 05 Jan 2013 12:09 AM PST

TANJUNG MALIM, 5 Jan  – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pembinaan sebuah sekolah menengah kebangsaan di bandar automotif Proton City di sini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata pembinaan sekolah berkapasiti 1,200 pelajar dengan kos RM40 juta, yang dijadual bermula tahun depan itu mengambil masa kira-kira dua tahun setengah untuk disiapkan.

“Jika perancangan pembangunan Tanjung Malim sebagai bandar automotif diteruskan, ia harus selari dengan pembangunan bandar yang teratur, infrastruktur mencukupi bagi penduduk, khususnya mereka yang tinggal di Tanjung Malim dan Behrang.

“Untuk itu, pengurusan DRB-Hicom dan Proton telah berbincang dengan Kementerian Pelajaran untuk bina sebuah sekolah menengah di sini untuk keperluan anak-anak pekerjanya.

“Sukacita saya maklumkan Kementerian Pelajaran telah menimbang dan bersetuju luluskan dalam pelan persiapan pembinaan sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini dengan kos RM40 juta,” katanya ketika berucap pada majlis pertemuan dan makan tengah hari bersama warga kerja Proton di Proton City.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Eksekutif Proton Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.

Bercakap di hadapan kira-kira 2,000 jemputan termasuk 1,500 kakitangan Proton, Muhyiddin berkata pembinaan sekolah itu akan menyelesaikan masalah penduduk dan anak-anak kakitangan Proton untuk meneruskan persekolahan yang mana kini mereka terpaksa berulang alik sejauh 10 kilometer untuk ke sekolah menengah berhampiran di Tanjung Malim.

Timbalan Perdana Menteri berkata untuk melengkapkan lagi pembangunan kawasan Selatan Perak itu, kerajaan pusat juga akan menyediakan peruntukan RM2.5 juta untuk membina sebuah sekolah agama.

“Dengan pembangunan yang pesat dan pertambahan penduduk, kerajaan harap inisiatif dan pengumuman baru ini akan memastikan visi menjadikan Proton City sebagai bandar automotif bertaraf global dapat dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Terdahulu Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) menghadiri mesyuarat tertutup bersama BN Perak di Kompleks Sukan Proton City yang dihadiri antaranya Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Zambry selaku Pengerusi BN negeri, timbalannya Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Mesyuarat tertutup selama dua jam itu turut disertai Timbalan Pengerusi MCA Perak Datuk Seri Kong Cho Ha, Pengerusi MIC Datuk Seri G. Palanivel, Pengerusi Gerakan Datuk Seri Chang Ko Youn dan Pengerusi PPP Datuk Seri Dr M. Kayveas.

No comments:

Post a Comment

TERHANGAT, TERKINI DAN TERHEBAT