SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

TERKINI DAN TERHEBAT

Monday, January 21, 2013

UMNO Online - “KDN Pantau Isu Kalimah Allah” plus 2 more

UMNO Online - “KDN Pantau Isu Kalimah Allah” plus 2 more

Link to UMNO Online

KDN Pantau Isu Kalimah Allah

Posted: 20 Jan 2013 10:41 AM PST

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memantau semua perkembangan serta desakan pelbagai dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible, kata menteri berkenaan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata KDN akan menilai sama ada isu itu berkemungkinan menjejaskan kestabilan ketenteraman awam di negara ini.

“Kalau sesuatu isu sama ada berkisar kepada politik, agama dan perkauman, yang paling asas adalah bagaimana isu itu boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam. Itu baru tugas dan tanggungjawab KDN,” katanya kepada pemberita selepas Program Rondaan Bermotosikal kawasan Ampang di sini hari ini.

Dua hari lalu Pertubuhan Pembela-pembela Islam (Pembela) mendesak agar pencetakan Bible versi bahasa Melayu dihentikan.

Pembela turut meminta semua pihak menghormati Perlembagaan negara ini yang melarang mana-mana agama menyebarkan dakyah kepada kaum Melayu.

 

Kalimah Allah, Pembangkang Tidak Sepakat

Posted: 20 Jan 2013 10:36 AM PST

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Kata sepakat yang masih belum dicapai antara PAS dan DAP berkenaan isu kalimah Allah memperlihatkan kerapuhan ikatan dalam pakatan pembangkang.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO,Datuk Sohaimi Shahadan berkata ini terbukti apabila keputusan Majlis Syura PAS Ahad lalu memutuskan kalimah Allah hanya khusus untuk umat Islam.

Katanya ini sekali gus bertentangan kesepakatan yang dipersetujui pada 8 Jan dan bercanggah dengan kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sebelum ini yang bersetuju kalimah Allah diguna oleh bukan Islam.
Sohaimi yang juga Ketua Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO berkata desakan Pengerusi DAP Karpal Singh agar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memastikan keputusan Majlis Syura PAS seiring dengan pendirian pakatan pembangkang membayangkan pakatan sebagai parti yang ”tidur sebantal tapi
mimpi lain-lain.”

“Pakatan pembangkang merupakan parti yang bergabung lepas pilihan raya umum dan kerjasama yang dibuat semata-mata untuk memerintah sesebuah negeri.

“Setiap mereka ada dasar yang berbeza-beza dan bila buat sesuatu keputusan mereka tidak konsisten. Itu membuktikan betapa berkecamuknya parti-parti ini,”katanya pada majlis Jom Lelong untuk Gaza di Kompleks Kraf Malaysia di sini.

Sohaimi berkata keputusan beberapa pimpinan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bersetuju kalimah Allah diguna pakai oleh bukan Islam menunjukkan mereka sangat takut kehilangan undi kaum Cina dan India sehingga sanggup mengorbankan prinsip mempertahan serta memperjuang hak orang Islam.

“Sedangkan sebelum ini PAS merupakan satu parti yang sangat tegas dalam perjuangkan Islam tapi sejak bergabung dengan DAP dan PKR mereka terpaksa mengikut rentak sekutu yang sekular ini,” katanya.
Beliau berkata rakyat perlu membuka mata dengan memilih Barisan Nasional yang sentiasa konsisten dengan setiap keputusan walaupun dianggotai berbelas-belas parti.
“Rakyat juga perlu fikir, jika isu kalimah Allah pun sukar diselesaikan, inikan pula nak mentadbir negara lebih-lebih lagi jika berdepan masalah yang melibatkan kepentingan kaum Melayu dan kaum lain di negara ini,” katanya.

Di JASIN, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan sikap gopoh pemimpin PAS dalam membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebelum ini menyebabkan mereka kini terperangkap dengan persetujuan dibuat bersama pakatan pembangkang pada 8 Jan lepas.
Sebaliknya, kata beliau, pemimpin PAS perlu merujuk kepada al-Quran dan hadis dan mencapai kata sepakat dalam mesyuarat Majlis Syura PAS sebelum menyatakan pendirian mereka berhubung isu itu.
“Majlis Syura PAS telah sebut dengan jelas dan memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu dan perkara ini tidak boleh dipermainkan kerana ia melibatkan agama dan akidah,” katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Pesta Ponggal di Dataran Jasin di sini hari ini.
Katanya isu itu seharusnya ditangani dengan bijak dan tidak terus dipolitikkan kerana akan menggugat kestabilan dan keamanan di negara ini.

Isu kalimah Allah dibangkit semula Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semasa berucap sempena sambutan Krismas lepas, menggesa kerajaan persekutuan membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.

Jangan Politikkan Bidang Pendidikan – Najib

Posted: 20 Jan 2013 10:24 AM PST

TUMPAT, 20 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bidang pendidikan terlalu mahal harganya untuk dipolitikkan kerana ia merupakan bekalan kepada kejayaan anak bangsa yang mencorakkan masa depan negara pada masa depan.

Najib berkata biar apa sahaja andaian pembangkang terhadap usaha kerajaan itu, namun kerajaan tetap berpendirian ia adalah untuk melahirkan generasi yang berpegang kepada keimanan dan ilmu yang tinggi.

“Inilah konsep yang diperjuangkan kerajaan dalam bidang pendidikan, ada kata ia sistem kebangsaan tetapi pengisiannya adalah untuk melahirkan anak bangsa yang beriman dan berilmu.

“Nak jadi khalifah macam mana nak makmur kalau tidak berilmu, kalau beriman tanpa ilmu tak mungkin boleh selesaikan. Jadi inilah konsep yang diperjuangkan kerajaan dalam bidang pendidikan,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 5,000 orang termasuk 3,000 pelajar di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Wakaf Baharu di sini, hari ini.
Perdana Menteri berada di sekolah itu kira-kira sejam bagi menghadiri Program Perhimpunan Pagi dan Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan 2013 kepada tiga buah sekolah iaitu SK Sri Wakaf Baharu, SK Wakaf Baharu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Baharu.

Menurutny, kerajaan sama sekali tidak akan meminggirkan Kelantan dalam soal pendidikan dan berjanji negeri ini akan mendapat perhatian yang sama dengan negeri lain walaupun diperintah pembangkang sejak lebih 20
tahun lalu.

“Saya gembira apabila Kelantan juga telah berjaya dalam bidang pendidikan apabila keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Kelantan yang mana telah muncul sebagai negeri kedua terbaik di Malaysia.

“Pahang pun kalah dan saya ucapkan tahniah kepada semua pihak termasuk ibu bapa dan sebab itu saya katakan kita tidak boleh mempolitikkan soal pendidikan kerana ini adalah soal masa depan anak-anak,” katanya.
Beliau berkata slogan Membangun Bersama Islam yang diperjuangkan PAS di Kelantan tidak akan ke mana jika pengisian ilmu pendidikan tidak diutamakan pemimpin parti itu.

“Keagungan Islam pada zaman lampau adalah kerana ketinggian ilmu yang telah menyinari dunia keagungan zaman itu. Ia berpaksi kepada ilmu malah lebih jauh daripada itu,” katanya.

Najib turut mengambil contoh kejayaan Mustapa dan Dr Awang Adek yang dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan tetapi boleh berjaya dan menjadi pemimpin utama di Kelantan.
“Tok Pa (Mustapa) bapa dia adalah petani dan guru agama tetapi anak dia (Mustapa) mendapat ijazah kepujian pertama dari universiti. Begitu juga Awang Adek yang bapa dia penanam tembakau tetapi kini dia adalah timbalan menteri,” katanya.
Beliau berkata kerajaan Pusat memperuntukkan RM201 juta kepada Kelantan dalam memartabatkan bidang pendidikan di negeri ini dalam tempoh sepanjang tahun ini.
“Saya datang untuk katakan perkara ini kepada rakyat Kelantan. Kita ada  hala tuju, kita ada pendirian, kita ada pegangan yang kita perjuangkan, sesuatu yang tidak boleh dipinggirkan atas perbezaan politik,” katanya.
Perdana Menteri kemudiannya turun ke pentas untuk bersalaman dengan para ibu bapa dan pelajar sebelum ke Pasar Siti Khadijah di Kota Baharu bagi mengadakan tinjauan mesranya di pasar yang terkenal di kalangan pelancong itu.

Beliau kemudiannya ke Pusat Transformasi Luar Bandar Kelantan di Tunjong bagi menyempurnakan majlis Jelajah Janji Ditepati dan pada sebelah petang menghadiri mesyuarat tertutup Badan Perhubungan Umno Kelantan di Hotel
Renaissance di sini sebelum berlepas pulang ke ibu negara

No comments:

Post a Comment

TERHANGAT, TERKINI DAN TERHEBAT