SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

TERKINI DAN TERHEBAT

Sunday, January 13, 2013

UMNO Online - “Media Medium Penting Pengantara Rakyat Dan Kerajaan – Najib” plus 5 more

UMNO Online - “Media Medium Penting Pengantara Rakyat Dan Kerajaan – Najib” plus 5 more

Link to UMNO Online

Media Medium Penting Pengantara Rakyat Dan Kerajaan – Najib

Posted: 12 Jan 2013 11:47 AM PST

KUALA LUMPUR, 13 Jan –  Datuk Seri Najib Tun Razak  hari ini meminta agar pihak media menjadi orang tengah sebagai perantara antara pemimpin dan rakyat yang dapat menyampaikan cetusan hati, kritikan dan aspirasi rakyat kepada kerajaan.

Kata Najib,  pihak media juga perlu memainkan peranan untuk  mengemukakan teguran dan kritikan yang diluahkan rakyat supaya kerajaan dapat melakukan penambahbaikan berdasarkan teguran dan aspirasi yang datang dari rakyat.

“Kita tidak menolak sebarang kritikan yang ditujukan kepada UMNO dan kerajaana asalkan kritikan dan teguran yang diberikan itu  bertujuan untuk mencari kebaikan dan berdasarkan kepada fakta yang sebenarnya," katanya ketika berucap pada majlis Malam Penghargaan Media Perhimpunan Agung UMNO 2012 di sini, Sabtu.

“Berita yang kita tidak mahu dan kita mesti tolak ialah berita-berita kepalsuan, fitnah, sengaja diadakan, terutama sekali menjurus kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat," katanya ketika berucap pada majlis Malam Penghargaan Media Perhimpunan Agung UMNO 2012 di sini, malam ini.

Selain itu, beliau meminta agar pihak media peranan penting sebagai orang tengah  dalam menyampaikan informasi kepada rakyat, hendaklah melaporkan berita yang tepat dan betul mengenai kerajaan.

“Saya selalu sebut bahawa tempoh bila dekat-dekat PRU-13 ini sebagai ‘the silly season’ yakni dalam musim ini, banyak cerita karut-marut yang sengaja dibangkitkan dengan tujuan untuk merosakkan imej dan pandangan rakyat terhadap kerajaan,” katanya.

“Sebab itulah peranan media kepada UMNO adalah sesuatu yang kita sentiasa memberi perhatian yang berat kerana kalau kita tidak berkomunikasi dengan baik dan berkesan, maka apa saja yang kita lakukan meskipun baik, meskipun bertujuan untuk mencapai sesuatu objektif yang murni, boleh ditafsirkan secara negatif atau pun kurang diterima secara positif oleh rakyat.

“Di sinilah letaknya peranan para media untuk melaporkan berita-berita mengenai UMNO, mengenai kerajaan, malah mengenai semua kejadian dalam negara kita secara tepat, betul dan untuk memberi penilaian yang objektif kepada perkara-perkara yang sudah dilakukan oleh parti-parti politik seperti UMNO,” katanya.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemimpin tertinggi UMNO serta kira-kira-kira 1,500 warga media. -MediaUMNO

Malam Penghargaan Media UMNO 2012 Meriah

Posted: 12 Jan 2013 11:43 AM PST

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Program Malam Penghargaan Media 2012 anjuran UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini Sabtu malam disambut meriah dengan kehadiran lebih 1500 pengamal media cetak dan elektronik yang berhimpun bersempena program tahun ke tiga yang diadakan khusus untuk meraikan para wartawan dan jurugambar media tempatan di negara ini.

Pada majlis itu, beberapa wartawan dan jurugambar dari agensi media tempatan berjaya memenangi anugerah artikel dan laporan terbaik mengikut kategori masing-masing, antaranya Anugerah Berita Terbaik Bahasa Malaysia yang dimenangi Berita Harian dan Anugerah Berita Video Terbaik yang dimenangi TV3.

Manakala bagi anugerah rencana bahasa Melayu terbaik pula dirangkul oleh Noraini Razak wartawan daripada Utusan Malaysia dan anugerah berita terbaik lain-lain bahasa pula dimenangi oleh Farrah Naz Karim daripada akhbar News Starits Times. Selain itu, Zulkifli Ersal jurugambar akhbar The Sun merangkul hadiah pertama dalam kategori gambar terbaik.

Selain trofi dan sijil, pemenang juga menerima wang tunai iaitu RM3,000 (tempat pertama), RM2,000 (kedua) dan RM1,000 untuk tempat ketiga.

Di samping itu, wakil agensi berita Bernama TV berjaya merangkul hadiah pertama yang membawa pulang hadiah berupa RM 10,000 beserta tropi apabila dinobatkan sebagai pemenang dalam program Media Hunt UMNO yang berlangsung pada 5-6 Januari yang lalu.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Bernama Radio 24 dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 8,000 beserta tropi. Manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Hot FM dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 6,000 beserta tropi.

Kehadiran Perdana Menteri yang juga Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman bersama-sama pemimpin-pemimpin parti yang lain menambahkan lagi kemeriahan program tersebut.

Majlis itu bertujuan memberi penghargaan kepada agensi dan warga media yang membuat liputan pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 dari 27 Nov hingga 1 Dis tahun lepas. Hadirin turut dihiburkan dengan persembahan artis tempatan seperti Datuk Sheila Majid, Jamal Abdillah dan Zainal Abidin, Abon, Jamal Abdillah  dan Dato AC Mizal. -MediaUMNO

Tidak Ada Sebab Untuk Tukar Kerajaan – Muhyiddin

Posted: 12 Jan 2013 01:30 AM PST

BENTONG, 12 Jan – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membawa keamanan dan kesejahteraan untuk semua kaum di negara ini.

Justeru, katanya tiada sebab untuk menukar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata rakyat perlu bijak menilai apa yang berlaku di luar negara dan membandingkan dengan kehidupan yang mereka kecapi di negara ini.

“Kerajaan bagus, ekonomi baik, jadi kenapa nak tukar?,” katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Rakyat 1Malaysia di Dataran Karak dekat sini, hari ini yang dihadiri lebih 30,000 orang.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Datuk Seri G. Palanivel.

Muhyiddin berkata rakyat tidak harus terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang yang cuba memutarbelitkan pelbagai perkara untuk kepentingan politik sempit mereka.

“Negara  kita sebenarnya telah menepati apa yang disebut dalam Al-Quran   sebagai “baldatun tayyibatun warabun ghafur” yang bermaksud “negara yang baik dan diampuni Tuhan,”

Menurutnya kerajaan BN mampu dan berkeupayaan untuk terus memberi pelindungan, kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat.

Beliau berkata ini terbukti apabila pihak luar juga kagum dengan kerajaan Malaysia yang berjaya mengurus tadbir negara dengan cekap selain memastikan masyarakat majmuk hidup dalam aman dan sejahtera.

“Ada yang berkata masyarakat majmuk di Malaysia yang berlainan agama, kaum dan budaya akan menghadapi krisis kaum sepanjang masa. Tapi kita ternyata mampu pastikan rakyat hidup aman dan sejahtera,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan BN juga telah membawa pelbagai perubahan menerusi pelan transformasi nasional yang dilihat banyak memberi manafaat kepada rakyat.

Sebaliknya, pemimpin pembangkang sering membuat pelbagai dakwaan yang tidak berasas kepada kepimpinan kerajaan BN.

“Untuk itu, rakyat perlu menilai apa yang benar dan memilih parti yang benar-benar dapat menjamin kesejahteraan buat mereka,” katanya.

 

Wakil Rakyat Perlu Jalankan Tanggungjawab Dengan Ikhlas – Musa

Posted: 12 Jan 2013 01:27 AM PST

SANDAKAN, 12 Jan – Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengingatkan semua wakil rakyat di negeri ini supaya menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh ikhlas.

Beliau berkata wakil rakyat atau lebih dikenali sebagai Yang Berhormat (YB), diberi mandat dan kepercayaan rakyat untuk berkhidmat dan menggalas tanggungjawab mereka.

“Jangan anggap YB hanya membawa maksud ‘Yang Berhormat’ sahaja kerana YB sebenarnya adalah ‘Yang Bertanggungjawab.

“Kita diamanahkan oleh rakyat untuk menggalas tanggungjawab itu dan kita mesti menunaikan tanggungjawab itu dengan ikhlas,” katanya pada Program Pemimpin

Bersama Rakyat di Dewan Taman Cahaya di Kampung Sungai Manila dekat sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau tidak mahu sekiranya terdapat dalam kalangan wakil rakyat Sabah yang tidak memainkan peranan dan tanggungjawab, sebaliknya hanya berfoya-foya.

Menurut Musa, kehendak rakyat pada masa kini semakin kompleks dan mereka sentiasa menilai pencapaian wakil rakyat mereka sekali gus menuntut wakil rakyat supaya sentiasa ‘turun padang’ untuk mendengar masalah.

Jelas Musa wakil rakyat juga harus menunaikan setiap janji yang ditabur selari dengan pendekatan kerajaan ‘Janji Ditepati’.

Pada majlis itu Musa turut menyampaikan sumbangan berupa kelengkapan persekolahan kepada pelajar Sekolah Agama Sungai Manila.

 

Selangor Tidak Boleh Menuding Jari Pada Pihak Lain Berhubung Isu Air – Najib

Posted: 12 Jan 2013 01:25 AM PST

SEMENYIH, 12 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membidas sikap kerajaan Selangor yang suka menuding jari dan menyalahkan pihak lain berhubung krisis air yang berlaku di negeri itu tanpa menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya beliau amat kesal dan sedih melihat bebanan dialami rakyat negeri itu terutamanya penghuni flat kerana terpaksa turun naik untuk mengambil air dengan baldi bagi memenuhi keperluan harian mereka.

“Saya sedih tengok orang flat, angkat baldi air ke tingkat atas, tingkat  dua bolehlah, kalau tingkat 10 macam mana? Kalau orang muda boleh, kalau dah tua macam mana nak angkat baldi? Susah rakyat.”

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata kerajaan Selangor hanya salahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita (kerajaan BN) tak boleh (selesaikan masalah air) sebab mereka (kerajaan Selangor) tak bagi ‘development order’. Kita nak buka stesen pam tambahan, mereka (kerajaan Selangor) tak bagi kelulusan,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) Negeri Selangor Bersama Perdana Menteri di Dataran Tesco Bandar Rincang, Semenyih, di sini hari ini.

Justeru, katanya apa yang harus lakukan kerajaan pakatan pembangkang itu  adalah mencari jalan penyelesaian terbaik bersama-sama kerajaan pusat terhadap  masalah yang semakin meruncing dan pastinya akan memberi impak pada masa akan datang.

Katanya sekiranya masalah air tidak diselesaikan segera, malapetaka lebih serius akan menimpa khususnya di Lembah Klang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada tahun depan dan seterusnya.

Najib  berkata pembangunan dan pelaburan di Selangor juga terbantut dan tidak dapat dilaksanakan seperti dijadualkan berikutan masalah air di negeri itu.

“Kita sedar berbilion-bilion (ringgit) pelaburan di Selangor mungkin tak jadi kalau tak selesaikan masalah air. Pelabur-pelabur menunggu nak buka kilang di Selangor tetapi tertangguh kerana masalah air. Pemaju yang nak buka kawasan perumahan pun tertangguh,” katanya.

Perdana Menteri berkata akses kepada air berkualiti adalah hak asasi setiap manusia dan sehubungan itu beliau memberi jaminan sekiranya BN diberi mandat pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, masalah air dan pelbagai masalah lain akan diselesaikan secepat mungkin.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Menteri Kewangan dan Pengerusi MCA Selangor Datuk Donald Lim Siang Chai, Timbalan Menteri Wilayah  Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar Datuk M. Saravanan,  Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D’Cruz dan Presiden IPF Datuk M. Sambanthan.

Rakyat Malaysia Tolak Revolusi Ala ‘Arab Springs’ – Pemerhati Politik

Posted: 11 Jan 2013 10:40 PM PST

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Rakyat Malaysia pasti akan menolak revolusi ala-Arab atau Arab Springs kerana tiada alasan untuk terikut-ikut, apatah lagi setelah melihat kesan buruk berpanjangan akibat revolusi seumpama itu, menurut beberapa penganalisis dan pemerhati politik.

Lantaran itu sebarang usaha parti pembangkang untuk cuba membangkitkan penentangan rakyat terhadap kerajaan menerusi protes jalanan pasti tidak akan mendapat sokongan majoriti penduduk Malaysia.

Penganalisis politik Dr Kaisan Abdul Rahman memberikan lima alasan kenapa rakyat akan menolaknya, iaitu;

* Amalan demokrasi di Malaysia terbukti sudah cukup baik dengan pilihan raya tetap diadakan lima tahun sekali tanpa gagal dan proses demokrasi yang mapan sehingga membawa kemajuan negara yang membanggakan dan kesejahteraan hidup rakyat.

* Melalui pilihan raya umum, rakyat boleh memilih kerajaan yang mereka mahu dan suara majoriti sentiasa dihormati dengan bukti yang jelas apabila empat negeri kini diperintah pembangkang.

* Rakyat Malaysia yang bijak tahu muslihat sebenar di sebalik percubaan untuk mencetuskan huru hara yang didalangi pembangkang, yang bukan untuk memenuhi tuntutan yang mereka dakwa, sebaliknya untuk kepentingan pemimpin pembangkang yang rakus untuk berkuasa walaupun dengan mengorbankan kesejahteraan rakyat dan imej negara.

* Rakyat Malaysia tidak sebodoh yang disangka oleh pembangkang untuk mengubah kerajaan yang ada, apatah lagi mengorbankan keamanan dan kerukunan hidup serta merosakkan pertumbuhan ekonomi yang mantap yang telah dibina sejak lebih 50 tahun lepas.

* Kerajaan yang diterajui Barisan Nasional sekarang begitu telus, malah sentiasa berusaha memperbaiki prestasi untuk meningkatkan kebajikan rakyat melalui pelbagai program dan bantuan, yang mana di negeri-negeri diperintah  pembangkang hanya tinggal janji kosong.

“Saya yakin berapa kali lagi pun pembangkang menganjurkan perhimpunan, ia tidak akan berhasil mencetuskan Arab Springs, malah akan membuatkan rakyat lebih membenci kerakusan pembangkang. Rakyat Malaysia sangat menghargai keamanan yang dinikmati sekarang,” katanya kepada Bernama.

Beberapa pemerhati politik pula berkata, Arab Springs tidak akan menjangkiti Malaysia kerana kerajaan hari ini cukup sedar dan peka dengan permasalahan dihadapi rakyat selain berusaha menyediakan langkah konkrit untuk menyelesaikan sesuatu kemelut contohnya rasuah, kemiskinan serta penggangguran.

Ini ditambah pula dengan keadaan negara yang aman damai serta maju yang kini dikecapi rakyat, tiada sebab untuk mereka berasa tidak berpuas hati dan turun ke jalanan untuk mengadakan protes seperti yang dilakukan di beberapa negara Arab.

Antara negara Arab yang terlibat dalam revolusi ialah Tunisia, Mesir, Yaman, Libya dan Syria, yang sehingga kini mengalami rentetan masalah keganasan yang berterusan dan impian mendapat sebuah kerajaan yang lebih baik hanya tinggal impian.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata revolusi di beberapa negara Arab berikutan sistem pemerintahan yang diamalkan tidak baik, yang membawa protes jalanan untuk menuntut sistem pemerintahan lebih demokrasi.

“Tetapi dalam konteks Malaysia, tiada rakyat yang mahukan revolusi sebab kita telah mempunyai sistem demokrasi yang baik dan kita juga telah maju daripada segi politik, ekonomi dan sosial.

“Tak mungkin revolusi Arab akan berlaku di negara ini, cuma percubaan itu ada daripada pihak-pihak tertentu demi kepentingan sempit mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata di Malaysia, tiada keperluan untuk mengadakan revolusi kerana negara telah lama mengamalkan demokrasi dan adalah malang bagi rakyat jika percaya kepada momokan pembangkang bahawa sistem pentadbiran kerajaan bersifat menindas mereka.

“Jika mereka percaya kepada pembangkang, maka akan hancurlah negara. Adalah bodoh bagi mana-mana rakyat untuk menerima bulat-bulat hasutan pembangkang untuk mewujudkan revolusi yang nyata hanya untuk kepentingan individu tertentu sahaja,” katanya.

Ahmad Atory yakin golongan kelas menengah yang besar di negara ini akan menjamin tidak berlakunya revolusi kerana mereka tentunya tidak mahu negara yang sudah sedia maju dalam pelbagai bidang kembali terkebelakang selepas berlakunya revolusi.

“Kalau ada golongan middle class di sesebuah negara, ini jelas menunjukkan negara tersebut maju. Jika pembangkang memerintah, adakah nasib golongan ini, golongan miskin akan terbela? Boleh ke pembangkang jamin pelaburan Amanah Saham Bumiputera, Tabung Haji kekal?

Rakyat yang kini terdedah dengan pelbagai maklumat akan berfikiran matang dan boleh menilai apa yang dilakukan kerajaan itu baik atau tidak dan membandingkannya dengan realiti di negara-negara lain, katanya.

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu, Che Hamdan Mohd Razali pula berpendapat ketelusan dan keterbukaan kerajaan dalam sesuatu isu tidak memungkinkan revolusi terjadi.

“Kecekapan pentadbiran kerajaan dan juga keterbukaan kerajaan untuk memberi maklum balas dalam sesuatu isu amat dihargai oleh semua rakyat termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak sebagai ‘check and balance’. Inilah bezanya Malaysia dengan negara-negara Arab tersebut.

“Di setengah negara Arab, mana-mana pihak yang memberi pandangan ke atas pentadbiran kerajaan akan ditangkap, berbanding Malaysia yang mana NGO sendiri bebas memberi pandangan dan kerajaan akan respons dengan baik. Inilah amalan demokrasi yang baik,” katanya.

Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah juga yakin revolusi negara Arab tidak akan menjangkiti Malaysia kerana kerajaan hari ini sentiasa melakukan perubahan demi kebaikan rakyat.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah pun melaksanakan pelan transformasi yang baik. Lantaran itu saya yakin revolusi itu tidak akan berlaku memandangkan keadaan di negara Arab dan Malaysia berbeza selain perbezaan dari segi budaya,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Dr Kaisan pula meminta rakyat jangan menghadiri perhimpunan anjuran pembangkang walaupun perhimpunan itu mendapat kebenaran kerana pembangkang tidak akan dapat menjamin ia berlangsung dengan aman dan jika berlaku sesuatu tidak diingini pembangkang tidak akan bertanggungjawab malah akan menyalahkan pihak lain seperti sebelum ini.

 

No comments:

Post a Comment

TERHANGAT, TERKINI DAN TERHEBAT