SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

TERKINI DAN TERHEBAT

Sunday, March 9, 2014

UMNO Online - “DCA Ikut SOP Dalam Misi Menyelamat Pesawat MH370” plus 9 more

UMNO Online - “DCA Ikut SOP Dalam Misi Menyelamat Pesawat MH370” plus 9 more

Link to UMNO Online

DCA Ikut SOP Dalam Misi Menyelamat Pesawat MH370

Posted: 08 Mar 2014 09:06 AM PST

SEPANG, 8 Mac – Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengikut setiap prosedur operasi standard (SOP) dalam misi menyelamat pesawat MAS, MH370 yang dipercayai hilang di perairan Laut China Selatan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan isyarat pesawat itu pada 1.30 pagi dan berusaha mengesan semula kedudukan pesawat berkenaan.

Pihaknya juga mendapatkan bantuan dari Vietnam dan Singapura untuk mengesan kedudukan pesawat itu.

“Kami menghubungi MAS pada 1.30 pagi untuk memaklumkan pesawat itu hilang daripada radar.

“Kami mengaktifkan pusat mencari dan menyelamat pada 5.30 pagi kerana kami perlu mengumpulkan semua maklumat dan bantuan daripada negara jiran dan kami menggerakkan agensi bantuan sebaik hari siang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Hotel Sama Sama di sini.

Azharuddin berkata komunikasi terakhir pesawat itu dikesan ketika berhubung untuk memasuki menara kawalan udara, bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam sebelum hilang.

Sementara itu mengenai perkembangan terkini operasi, Azharudin berkata operasi menyelamat dibuat di kawasan pesawat itu dilaporkan hilang dan pihaknya atau pihak penyelamat Vietnam masih tidak menemui sebarang kesan pesawat terhempas.

Pesawat MH370 Belum Dapat Dikesan

Posted: 08 Mar 2014 09:03 AM PST

SEPANG, 8 Mac (Bernama) — Operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines yang dilapor hilang masih diteruskan dengan setakat ini masih belum ada sebarang tanda penemuan.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan Malaysia juga telah menghubungi pihak berkuasa Vietnam bagi mengesahkan laporan kononnya pesawat itu terhempas ke dalam laut iaitu 246 kilometer dari laut pantai pulau Thoa Chu di Vietnam.

Ini berikutan beberapa media asing memetik kononnya pesawat MAS yang membawa 239 penumpang dan 12 krew dilaporkan terhempas ke dalam laut iaitu 246 kilometer dari luar pantai pulau Tho Chu di Vietnam dengan menamakan Laksamana Vietnam Ngo Van Phat mengarahkan pasukannya bergegas ke lokasi berkenaan.

"Operasi mengesan dan mencari masih berterusan dan masih belum ada sebarang penemuan atau kesan. Wisma Putra dan Jabatan Penerbangan Awam juga belum menerima sebarang laporan yang mengatakan pesawat tersebut terhempas, semuanya spekulasi.

"Kita telah menggerakkan agensi yang berkaitan untuk pergi ke kawasan terakhir dilaporkan hilang (garisan bujur 065515 utara dan 1033443 timur) di perairan Laut China Selatan. Kali terakhir pusat kawasan mendapat isyarat ialah pada 1.30 pagi," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata kerajaan juga telah menggerakkan tentera udara dan tentera laut termasuk Majlis Keselamatan Negara dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk membantu operasi.

Hishammuddin berkata Malaysia juga sedang bekerjasama dengan negara China, Filipina dan Vietnam dalam operasi mengesan dan mencari yang dipergiatkan ketika ini dan negara terbabit juga belum mempunyai sebarang maklumat atau kesan.

"Kita akan lakukan yang terbaik untuk bekerjasama dengan negara-negara terbabit selain menggerakkan agensi kita yang berkaitan. Apa sahaja usaha yang kita boleh lakukan, kita akan lakukan dengan terbaik," katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai spekulasi atau membuat spekulasi berhubung insiden itu.

Sebuah pusat koordinasi utama sedang beroperasi di Hotel Sama-Sama di sini untuk melaporkan perkembangan terkini setiap dua jam.

“MAS juga telah menghubungi 80 peratus keluarga penumpang pesawat termasuk kru untuk memberikan laporan terkini sebagai tanggungjawab menjaga kebajikan dan keperluan anggota keluarga terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mas, Ahmad Jauhari Yahya berkata insiden itu tidak menjejaskan penerbangan MAS yang lain dan semua penerbangan beroperasi seperti biasa.

Usaha Mencari Dan Menyelamat MH370 Diperluas Meliputi Selat Melaka – DCA

Posted: 08 Mar 2014 08:54 AM PST

SEPANG, 8 Mac – Usaha mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dilaporkan hilang di sempadan Malaysia-Vietnam akan diperluas hingga meliputi Selat Melaka mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata jabatan itu mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa Vietnam dan Singapura dalam usaha pencarian pesawat itu yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal.

“Ini adalah sebahagian daripada SOP dengan tumpuan usaha mencarinya di Laut China Selatan dan diperluaskan ke Pantai Timur Semenanjung,” katanya di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai dua tumpahan minyak di perairan Vietnam, Azharuddin berkata belum ada laporan yang mengesahkan tumpahan minyak itu dan DCA masih menunggu maklum balas daripada kerajaan Vietnam mengenainya.

Menurut laporan-laporan berita, tumpahan minyak itu dikesan di perairan selatan Vietnam pada Sabtu dan masing-masing adalah sepanjang kira-kira enam dan sembilan meter.

Chew Pikat Warga Kajang Dengan Kad Dan Bunga

Posted: 08 Mar 2014 08:51 AM PST

KAJANG, 8 Mac – Datin Paduka Chew Mei Fun memulakan aktiviti awal pagi Sabtunya dengan mengagihkan kuntuman bunga mawar dan kad ucapan khas sambutan Hari Wanita Antarabangsa kepada pelanggan dan peniaga di pasar Kajang di sini.

Walaupun cuaca pagi semakin membahang, calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang itu masih murah dengan senyumannya dan bersemangat bertemu orang ramai sambil menghulurkan bunga berkenaan kepada pengunjung pasar yang mencari barang keperluan harian mereka di situ.

Tidak dinafikan wanita berkaca mata yang juga naib presiden MCA ini mengetahui perkembangan yang berlaku semalam di Mahkamah Rayuan.

Chew-Mei-Fun-visiting-needy-family-in-Kajang

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan, hampir enam tahun lepas.

Bagaimanapun jadual padat Chew di Kajang adalah penunjuk jelas beliau tidak membiarkan semangatnya luntur, walaupun kemungkinan besar Anwar diganti calon PKR lain untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Kajang, berdasarkan keputusan mahkamah itu.

“Selamat Hari Wanita. Tolong bagi kami peluang berkhidmat untuk anda,” kata Chew yang juga bekas timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kepada para penerima bunga dan kad yang jelas gembira menerima hadiah itu.

“Suami saya tidak pernah memberikan saya bunga sebelum ini,” seloroh seorang suri rumah sebaik menerima cendera hati itu daripada Chew.

Dengan sebaris ayat ‘Trusty and Reliable Chew Mei Fun’ dicetak pada kad itu, ia mengingatkan bakal pengundi di Kajang tentang apa yang mereka boleh harapkan daripada Chew sekiranya beliau menang pilihan raya kecil itu yang dijadual pada 23 Mac.

“Tidak kira siapa pesaing saya, saya akan lakukan yang terbaik bagi memastikan kesejahteraan pengundi Kajang dan cuba selesaikan apa-apa masalah mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada para pelajar cemerlang di SJK (C) Sungai Chua, satu lagi persinggahan beliau hari ini.

Sebelum ini Chew berkata pilihan raya kecil Kajang harus dilihat sebagai peluang kepada pengundi Kajang memilih anggota DUN yang bertanggungjawab.

Lee Chin Cheh daripada PKR mengosongkan kerusi Kajang secara mengejut pada 27 Jan lepas, untuk memberi laluan kepada Anwar, yang dikatakan mengintai jawatan Menteri Besar Selangor jika menang di situ.

Di sebalik tanda-tanda kemungkinan Anwar terkeluar sebagai calon ramai pemerhati politik mengatakan BN mempunyai peluang lebih cerah memenangi pilihan raya itu.

Bagaimanapun Chew berkata beliau tidak terganggu oleh ramalan itu dan sebaliknya akan meneruskan agendanya untuk bertemu penduduk Kajang sebelum hari pengundian.

Walaupun musuh-musuh politik dan pengkritik melemparkan beberapa gelaran tidak baik terhadap beliau ternyata ia tidak memberi kesan kepada Chew.

Chew berkata beliau memilih untuk berkempen secara sihat tanpa perlu menggunakan taktik kotor.

“Saya yakin pengundi Kajang bijak untuk menilai calon-calon dan memilih individu terbaik untuk mewakili mereka,” ujarnya.

Hari penamaan calon ditetapkan 11 Mac ini.

IGP Advise Public Not To Speculate On Missing Plane

Posted: 08 Mar 2014 08:35 AM PST

KUALA LUMPUR, March 8 – The Inspector General of Police, Tan Sri Khalid Abu Bakar, has advised the public not to speculate on the Kuala Lumpur-Beijing bound MAS flight MH370 which was reported missing.

He urged people to refrain from spreading information without confirming its authenticity about the flight.

“The entire police force is praying that all passengers and crew in the plane, which is reported to have lost contact with the Subang Air Traffic Control Centre at 2.40 am while somewhere between the Malaysian and Vietnamese airspace, are safe and sound,” he said in the police’s official website today.

The missing aircraft which departed from KL International Airport at 12.41 am was carrying 239 passengers including 12 crew aboard.

The Boeing 777-200 was scheduled to land in Beijing at 6.30 am.

Operasi Mencari Babit Negara Luar, Kata PM

Posted: 08 Mar 2014 07:41 AM PST

SEPANG, 8 Mac – Operasi mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 akan diteruskan dengan membabitkan negara yang berdekatan kawasan kejadian, termasuk bantuan negara luar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerjasama dengan negara tertentu amat diperlukan untuk memberi impak yang lebih bermakna kepada operasi itu.

“Oleh itu, kita telah mendapat persetujuan Vietnam yang akan melakukan operasi di kawasan perairan negara mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

najib-sidang-media-pesawat-mas-mh370-kl-beijing-hilang-misteri-klia

Beliau berkata kejadian itu berlaku di sempadan Malaysia-Vietnam dan ada kemungkinan ia terlepas ke sempadan Vietnam, oleh itu kerjasama semua pihak amat diperlukan.

Perdana Menteri memaklumkan China juga akan turut membantu.

Katanya, Amerika Syarikat juga menghulur bantuan melalui ‘US Navy’ yang bersetuju menghantar pesawatnya dalam operasi itu manakala Singapura menghantar sebuah pesawat C130 bagi tujuan sama.

Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi. Ia sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi.

Operasi Mencari Pesawat MH370 Diperluaskan – Najib

Posted: 08 Mar 2014 07:41 AM PST

SEPANG, 8 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang akan diperluaskan selepas usaha mencari di kawasan terakhir isyarat diterima tidak dapat dikesan.

Beliau berkata perbincangan bersama timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassan, dan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta ketua-ketua agensi memutuskan supaya usaha mencari diperluaskan.

“Kami tidak menemui sebarang bangkai pesawat,” katanya pada sidang media berkenaan kehilangan pesawat tersebut di sini hari ini.

“Doa dan ingatan kami bersama semua penumpang dan anak kapal selain anggota keluarga mereka,” kata beliau.

Najib berkata bilangan aset yang dikerah untuk operasi mencari telah ditambah melibatkan 15 pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia, termasuk empat pesawat Hercules C130, sebuah pesawat CN325, empat pesawat EC725 dan sebuah Beechcraft King Air.

najib-sidang-media-pesawat-mas-mh370-kl-beijing-hilang-misteri-klia

Beliau berkata dua pesawat Bombardier dan dua helikopter Agusta kepunyaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta enam buah kapal Tentera Laut dan tiga kapal APMM turut digunakan.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang temasuk 12 orang kru, hilang daripada radar setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi tadi menuju ke Beijing, China. Ia sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi.

Perdana Menteri berkata setakat ini beliau tidak dapat memberi apa-apa maklumat tambahan sebab “kita belum kesan apa-apa lagi.”

“Terlalu awal untuk buat apa jua kesimpulan kerana kita sedang mengkaji segala kemungkinan. Ada beberapa teori tetapi ia akan tinggal sebagai teori melainkan kita dapat bukti yang boleh dikatakan kukuh,” kata Najib.

Perdana Menteri turut menjelaskan pihak berkuasa Vietnam telah mengesahkan mereka tidak menemui apa-apa ‘serpihan pesawat” seperti yang dilaporkan sebelum ini dan menolak semua teori termasuk unsur-unsur pengganas.

“Masih terlalu awal untuk membuat apa-apa kesimpulan yang kukuh,” tegas beliau.

Sementara itu, beliau berkata pihak Malaysia Airlines menumpukan ke arah memberi sokongan emosi kepada keluarga penumpang yang terlibat sama ada di Kuala Lumpur ataupun di Beijing.

Seratus anggota Malaysia Airlines kini dalam perjalanan ke Beijing untuk menemui keluarga yang terlibat dan memberi apa jua pertolongan, katanya.

Malaysia, Vietnam Lancar Operasi Mencari Pesawat MAS KL-Beijing

Posted: 07 Mar 2014 10:12 PM PST

SEPANG, 8 Mac – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Ahmad Jauhari Yahya hari ini menafikan spekulasi bahawa penerbangan Malaysia Airlines ke Beijing yang hilang telah mendarat di Nanming, China.

Penerbangan MH370 itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi hari ini, kira-kira dua jam selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, katanya dalam sidang akhbar.

ahmad-jauhari-yahya-ceo-ketua-eksekutif-mas-malaysia

Ahmad Jauhari berkata pasukan mencari dan menyelamat Malaysia dan Vietnam telah mengaktifkan operasi mereka di Laut China Selatan di sepanjang sempadan ruang udara Malaysia dan Vietnam semasa hubungan dengan pesawat itu terputus.

“Mereka melancarkan operasi mencari dan menyelamat beberapa jam lalu. Dan mereka masih berusaha. Kita perlu menunggu keputusannya.

“Setakat ini, kami masih belum menerima sebarang pengesahan bahawa ada pesawat mendarat di Nanming, China. Kita terputus hubungan pada kira-kira 2.40 pagi, itu hubungan radar.

“Kedudukan terakhir yang dilaporkan ialah kira-kira 120 batu nautika di timur Kota Baharu, di Laut China Selatan. Tidak ada petanda isyarat kecemasan daripada pesawat,” katanya.

MH730 Bawa Penumpang Dari 14 Negara, termasuk 38 Warga Malaysia

Posted: 07 Mar 2014 10:08 PM PST

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Seramai 38 rakyat Malaysia adalah antara 227 penumpang dari 14 negara yang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilapor hilang awal hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata pesawat itu membawa 239 orang termasuk 12 anak kapal.

“Warganegara lain yang berada di dalam pesawat itu ialah China (153 termasuk seorang bayi), Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), Amerika Syarikat (3 termasuk seorang bayi).

“Selain itu New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1),” katanya dalam sidang media di Sepang, dekat sini.

mas-plane-pesawat-hilang-cemas-terhempas-mh370-china-vietnam-malaysia

Penerbangan MH730 Kuala Lumpur-Beijing yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi tadi dilapor terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi ketika di antara ruang angkasa Malaysia-Vietnam, di Laut China Selatan.

Pesawat B777-200 itu dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.

Pesawat MAS Dalam Penerbangan Ke Beijing Hilang, Usaha Mencari Dilancarkan

Posted: 07 Mar 2014 10:01 PM PST

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan bagi menjejak pesawat Malaysia Airlines yang dilaporkan hilang hari ini semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kata ketua pegawai eksekutif kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya.

Kali terakhir isyarat daripada penerbangan MH370 itu dikesan ialah di 120 batu nautika di timur Kota Baharu di perairan Laut China Selatan, dan tiada petanda kecemasan daripada pesawat B777-200 dengan 239 orang dalam pesawat itu.

mas-plane-pesawat-hilang-cemas-terhempas-mh370-china-vietnam-malaysia

“Kami telah menghubungi pihak berkuasa Malaysia dan pihak berkuasa Malaysia juga telah menghubungi pihak berkuasa Vietnam kerana ia (pesawat itu) sebenarnya dalam kawasan bersempadan antara ruang udara Malaysia dan Vietnam,” katanya kepada pemberita.

MAS berkata penerbangan MH370 itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara di Subang pada 2.40 pagi, kira-kira dua jam selepas ia berlepas.

Pesawat yang membawa 227 penumpang, dua daripadanya bayi dan 12 kru, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau sudah mengarahkan agar “semua langkah yang boleh, diambil” bagi mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang hari ini ketika dalam perjalanan dari sini ke Beijing.

“Doa dan ingatan saya untuk anggota keluarga penumpang penerbangan MH730. Saya sudah meminta agar semua langkah yang boleh, diambil,” kata Najib menerusi Twitter

No comments:

Post a Comment

TERHANGAT, TERKINI DAN TERHEBAT