SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

TERKINI DAN TERHEBAT

Wednesday, March 19, 2014

UMNO Online - “Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Masih Relevan Untuk Diguna Pakai SPR” plus 9 more

UMNO Online - “Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Masih Relevan Untuk Diguna Pakai SPR” plus 9 more

Link to UMNO Online

Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Masih Relevan Untuk Diguna Pakai SPR

Posted: 18 Mar 2014 07:27 AM PDT

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Prinsip persempadanan bahagian pilihan raya yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan masih relevan untuk diguna pakai oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya prinsip yang terkandung di dalam Jadual ke-13 Perlembagaan itu relevan untuk dilaksanakan dalam kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya parlimen dan negeri.

“Berdasarkan peruntukan yang ditetapkan oleh Perlembagaan, antara prinsip-prinsip persempadanan adalah seperti mewujudkan kemudahan pemilih mengundi semasa pilihan raya dan bahagian pilihan raya dan tidak melanggar sempadan negeri.

“Selain itu, prinsip turut mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Liew Chin Tong (DAP-Kluang) mengenai cara dan rasional SPR membahagikan kawasan parlimen dengan beberapa kategori.

Berhubung pembahagian kawasan kepada lima kategori yang dibuat oleh SPR, beliau berkata ia hanyalah urusan pentadbiran bertujuan untuk memudahkan kerja serta sama sekali tidak melanggar prinsip persempadanan yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, menjawab soalan Liew berkenaan kekerapan kapal perang asing menceroboh Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, Shahidan berkata pencerobohan kapal perang China dalam kawasan perairan negara di Laut China Selatan berlaku hampir sekali setiap tahun sejak 2011.

Beliau berkata pada 2013, berlaku peningkatan pencerobohan oleh aset China yang tertumpu di kawasan Beting Patingi Ali, Beting Raja Jarom dan Beting Serupai, Sarawak, yang kesemuanya berada di dalam kawasan ZEE negara.

“Sepanjang 2013 hingga Februari 2014, tujuh pencerobohan dikesan melibatkan 16 buah aset tentera laut People’s Liberation Army Navy dan China Maritime Surveillance,” katanya.

Bagaimanapun Shahidan menegaskan bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat mengenai keselamatan dan kedaulatan negara di Laut China Selatan.

Beliau memaklumkan bahawa pasukan keselamatan khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa melaksanakan rondaan serta pengawasan secara berterusan sekitar kawasan perairan negara khususnya di Laut China Selatan.

Cadangan Beri Subsidi MyHome Kepada Semua Rakyat Sabah

Posted: 18 Mar 2014 07:18 AM PDT

KUALA LUMPUR, 18 Mac  - Seorang wakil rakyat hari ini meminta kerajaan mempertimbangkan untuk memberikan subsidi RM30,000 menerusi program MyHome, kepada semua rakyat Sabah yang layak membeli rumah kos rendah, biarpun harga rumah itu melebihi RM70,000.

Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) berkata ini kerana harga rumah kos rendah di Sabah lebih mahal berbanding Semenanjung Malaysia dan adalah sukar untuk mencari rumah kos rendah di negeri itu yang berharga RM70,000.

Katanya cadangan itu juga bagi membolehkan program berkenaan yang bertujuan membantu rakyat membeli rumah terpilih pada harga kos rendah dimanfaatkan oleh seluruh rakyat termasuk di Sabah.

“Di Sabah tidak ada rumah kos rendah yang berharga RM70,000, kalau di semenanjung RM70,000, di Sabah mungkin RM100,000 atau RM150,000, sebab itu kita minta walau apa juga kos (untuk rumah kos rendah) yang dibeli, diberikan subsidi,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Diraja pada Persidangan Dewan Rakyat di sini.

Program MyHome akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bulan depan bagi membolehkan pembeli rumah yang layak, diberikan subsidi maksimum sehingga RM30,000 untuk membeli rumah terpilih pada harga kos rendah.

Caj Elektrik Dan Air Kompleks Seri Perdana, Kompleks Sri Satria Bersesuaian

Posted: 18 Mar 2014 07:16 AM PDT

KUALA LUMPUR, 18 Mac  - Caj elektrik dan air yang dikenakan ke atas Kompleks Seri Perdana dan Kompleks Sri Satria adalah bersesuaian dengan status kedua-dua kompleks itu sebagai kediaman pemimpin utama negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata kedua-kedua kompleks itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan selaras dengan tarafnya sebagai kediaman rasmi perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Beliau berkata kemudahan itu termasuklah ruang pejabat, bilik mesyuarat, bilik tetamu serta kemudahan sokongan lain bagi membantu melancarkan urusan harian perdana menteri dan timbalannya selaku pemimpin utama negara.

“Kompleks Seri Perdana dan Kompleks Sri Satria juga merupakan lokasi bagi penganjuran majlis rasmi kerajaan, mesyuarat dan majlis meraikan tetamu kehormat serta pembesar negara mahu pun pemimpin tertinggi luar negara oleh perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

“Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini Kompleks Seri Perdana juga dibuka kepada orang ramai untuk tujuan lawatan dan pembelajaran,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Loke Siew Fook (DAP-Seremban) mengenai bil elektrik dan air bagi kediaman rasmi perdana menteri dan timbalannya tahun lepas.

Shahidan menjelaskan sepanjang tahun 2013, sebanyak RM2,084,218.80 dibelanjakan untuk pembayaran bil elektrik di Kompleks Seri Perdana manakala sebanyak RM221,325.08 untuk bil air.

“Bagi Kompleks Sri Satria sebanyak RM855,880.56 dibelanjakan untuk pembayaran bil elektrik dan RM112,274.92 untuk bil air sepanjang tahun 2013,” katanya.

Kompleks Seri Perdana yang dibina di atas tanah seluas 17.199 hektar merupakan kediaman rasmi Perdana Menteri yang terdiri daripada tiga komponen iaitu galeri orang ramai, protokol dan kediaman.

Kompleks Sri Satria pula dibina di atas tanah seluas 7.349 hektar dan diperuntukkan sebagai kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri.

Bangkrap Modal Buat Pembangkang Salahkan Kerajaan Dalam Semua Isu

Posted: 18 Mar 2014 07:14 AM PDT

KAJANG, 18 Mac – Pakatan Pembangkang hari ini terus dibidas ekoran sikap yang seringkali menyalahkan kerajaan dan sanggup mempolitikan apa jua isu biarpun isu tersebut merupakan isu-isu sensitif mahu pun yang melibatkan keselamatan negara.

Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, sikap pembangkang itu jelas memperlihatkan bahawa pakatan pembangkang hari ini amat ketandusan isu untuk dijadikan bahan modal kempen mereka bagi menyalahkan kerajaan.

"Bagi saya, pembangkang hari ini sudah tidak ada isu. Mereka tahu bahawa kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO sebagai tulang belakang  merupakan sebuah kerajaan yang baik, yang membela rakyat, yang mendahulukan rakyat dalam apa saja perancangan dan program yang dilakukan oleh kerajaan.

azizah-mohd-dun-naib-ketua-wanita-umno-timb-menteri-wanita-keluarga-masyarakat-menjahit-kempen-bn-kajang

"Jadi mereka tidak ada lagi isu-isu yang mahu diputar belitkan untuk dibuat kempen dalam usaha mempengaruhi rakyat agar memandang buruk terhadap kerajaan.

"Maka sebab itulah kita lihat hari ini, apa jua isu mereka cuba politikkan. Sama juga dalam hal isu kehilangan pesawat yang kini menjadi perhatian dunia. Kita lihat hari ini pembangkang sikit-sikit menghentam kerajaan, sedangkan kerajaan hari ini telah berusaha dengan segenap keupayaan untuk menyelesaikan masalah ini," tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Beliau juga berpandangan bahawa sikap yang diperlihatkan oleh pembangkang seolah-olah memberikan gambaran bahawa  mereka tidak ada simpati terhadap rakyat dan mengatakan yang bukan-bukan sehingga menyinggung perasaan ahli keluarga dan sahabat handai yang terlibat dalam tragedi ini.

"Ini amat berbeza dengan pendekatan kerajaan yang tidak menjadikan isu ini sebagai isu politik biarpun jika mahu dipolitikkan isu ini, maka ianya boleh dilakukan oleh kerajaan. Simpati kita ikhlas terhadap mereka yang terlibat dan gerak kerja yang diusahakan oleh kerajaan untuk mencari pesawat tersebut juga berdasarkan tanggungjawab kita sebagai sebuah kerajaan rakyat," ujarnya.

Tambah beliau, pembangkang sepatutnya membetulkan keadaan mana yang  tidak betul. Kerajaan pasti boleh menerima sebarang kritikan dan teguran sekiranya teguran pembangkang itu kena dengan cara dan memberikan fakta yang benar kerana tidak ada yang sempurna melainkan Allah swt saja.

"Tetapi bukan dengan cara melemparkan fitnah, tohamahan serta dakwaan yang mengarut serta tidak masuk akal, mengada-adakan sesuatu yang tidak ada sepertimana yang dilakukan oleh pihak pakatan pembangkang hari ini.

"Sebelum ini peristiwa di Tanduo Lahad Datu juga dipolitikkan oleh pembangkang sedang itu adalah isu keselamatan negara. Mereka tergamak untuk mengatakan itu adalah sandiwara kerajaan tanpa mengambil kita apa perasaan ahli keluarga pasukan keselamatan yang terbunuh dalam menjaga keselamatan negara.

"Jelas mereka ini tidak ada perasaan simpati sedikitpun kepada ahli keluarga pasukan keselamatan yang terbunuh dalam tugas mereka menjaga agama, bangsa dan tanahair kita. Inikah jenis pembangkang yang kita perlukan oleh rakyat dan negara kita?," soalnya tegas.

Justeru itu, beliau meminta rakyat agar sedar dalam hal ini dan menolak pakatan pembangkang yang lebih gemar membangkang semata-mata kerana mereka itu pembangkang, tanpa mengira perkara yang mereka bangkang itu betul atau pun tidak. -MediaUMNO

Kenyataan Pemangku Menteri Pengangkutan Mengenai MH370 (18 Mac)

Posted: 18 Mar 2014 07:05 AM PDT

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Berikut kenyataan Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada taklimat media mengenai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, di Sepang, Selangor, hari ini:

Kenyataan pengenalan

Semalam, saya nyatakan bahawa operasi mencari MH370 telah memasuki fasa baharu, yang turut membawa cabaran-cabaran baharu dari segi diplomatik, teknikal dan logistik.

Hari ini, saya akan memberikan anda perkembangan terkini mengenai aspek logistik dan diplomatik dalam operasi mencari itu.

Operasi mencari dan menyelamat telah memasuki dimensi baharu peringkat antarabangsa. Pencarian masih diselaraskan oleh Malaysia, tetapi rakan-rakan kami telah memainkan peranan penting dalam menguruskan dan menjalankan operasi, dalam kawasan mereka sendiri dan juga di sektor yang telah dipersetujui bagi operasi mencari. Rakan sejawat saya, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan memberikan kenyataan lebih terperinci mengenai usaha diplomatik kami pada masa ini.

Dari segi logistik, dalam tempoh 24 jam lepas kami telah bekerja keras dengan negara-negara lain untuk menjuruskan pencarian di koridor-koridor. Kami memfokuskan kepada empat tugas: mengumpul maklumat daripada pengawasan satelit, analisis data daripada pengawasan radar, menambah aset udara dan permukaan, dan menambah jumlah pakar teknikal dan perkara berkaitan.

Mengenai pengawasan satelit, saya tidak boleh dedahkan siapa memiliki keupayaan satelit, tetapi saya dapat sahkan bahawa kami telah menghubungi setiap Negara relevan yang mempunyai akses kepada data satelit.

Mengenai analisis data radar, di koridor selatan, Australia dan Indonesia telah bersetuju untuk mengetuai di bahagian masing-masing dalam pencarian di koridor.

Di koridor utara, China dan Kazakhstan telah bersetuju untuk mengetuai pencarian di kawasan paling hampir dengan negara mereka.

Mengenai aset udara dan permukaan, saya telah berhubung dengan hampir kesemua pemimpin Asean bagi meminta bantuan selanjutnya, termasuk aset dilengkapi keupayaan pengesanan dan pengawasan di laut dalam. Kami juga meminta rakan antarabangsa yang telah membantu kami untuk meneliti semua data pada radar primer mereka.

1. Perkembangan terkini operasi

Di koridor utara, kami telah membahagikan kawasan pencarian kepada tujuh kuadran. Setiap daripada tujuh kuadran itu adalah 400 batu nautika darab 400 batu nautikal – atau 160,000 batu nautika persegi secara keseluruhannya.

Kami juga membahagikan koridor selatan kepada tujuh kuadran. Sama seperti di utara, setiap kuadran meliputi kawasan 160,000 batu nautika persegi.

Keseluruhan kawasan pencarian kini adalah 2.24 juta batu nautika persegi.

Ini adalah kawasan pencarian yang amat luas. Dan ia sesuatu yang Malaysia tidak mampu lakukan secara bersendirian. Saya dengan ini amat berbesar hati bahawa terdapat begitu banyak negara yang tampil menawarkan bantuan dan sokongan terhadap operasi mencari dan menyelamat ini.

Dari segi penghantaran aset-aset spesifik:

Hari ini, Tentera Laut Diraja Malaysia menghantar dua lagi kapal ke koridor selatan. Penghantaran ini termasuk sebuah helikopter Super Lynx, yang boleh beroperasi daripada mana-mana dua kapal itu. Ini menjadikan jumlah kapal Malaysia dihantar ke koridor selatan kepada empat buah, dengan dua helikopter Super Lynx.

Hari ini Malaysia turut menghantar dua pesawat C-130 ke sektor Indonesia dalam pencarian di koridor selatan.

Negara-negara lain turut menyumbang dengan aset-aset berikut:

Amerika Syarikat menghantar sebuah P-8 Poseidon, dan akan menghantar sebuah pesawat P-3 Orion.

Australia, sepertimana saya sebut semalam, telah menghantar tiga P-3 Orion dan sebuah C-130 Hercules.

New Zealand menghantar sebuah P-3 Orion untuk membantu usaha pencarian oleh Australia.

Republik Korea menjanjikan sebuah P-3 Orion dan sebuah C-130 Hercules.

Jepun, menjanjikan dua P-3 Orion, dua C-130 dan sebuah jet Gulfstream.

UAE menjanjikan sebuah pesawat C-17 dan sebuah pesawat Bombardier Dash-8.

Aset dari Korea, Jepun, dan UAE kini berada di Malaysia dan sedang menunggu arahan daripada kerajaan masing-masing.

Selain menghantar aset-asetnya ke koridor utara, China juga membuat perjanjian dengan Australia untuk menghantar sebuah pesawat ke koridor selatan.

2. ACARS (Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat)

Saya ingin menjelaskan mengenai apa telah diperkatakan mengenai ACARS dan turutan kejadian sebelum pesawat berpatah balik.

Pada Sabtu, kami menyatakan bahawa  – dan saya petik: "Berdasarkan maklumat baharu daripada satelit, kami boleh katakan dengan kepastian tahap tinggi bahawa Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) dimatikan sejurus sebelum pesawat itu sampai ke pantai timur Semenanjung Malaysia.

“Tidak lama selepas itu, dekat sempadan antara kawalan trafik udara Malaysia dan Vietnam, transponder pesawat itu dimatikan."

Dapatan ini dirumuskan secara bersama dengan wakil-wakil pasukan penyiasat utama antarabangsa, berdasarkan maklumat diperoleh pada waktu itu.

Semalam, Malaysia Airlines menjelaskan bahawa kami tidak dapat tentukan secara tepat bila ACARS dimatikan, hanya bahawa ia berlaku dalam tempoh waktu spesifik: dari 01:07 – anggaran ketika pesawat itu sampai ke pantai timur Semenanjung Malaysia, dan transmisi terakhir ACARS berlaku – hingga 01:37, iaitu masa pelaporan seterusnya dijadualkan. Ini sebenarnya yang berlaku.

Ini tidak mengubah kepercayaan kami, seperti dinyatakan, bahawa sehingga ke titik ia keluar daripada liputan radar primer tentera, pergerakan pesawat itu adalah konsisten dengan tindakan sengaja oleh seseorang dalam pesawat itu. Ini menjadi tumpuan pasukan penyiasat.

Adalah juga penting untuk ditegaskan bahawa masa tepat ACARS dimatikan tidak memberikan tekanan kepada operasi mencari dan menyelamat. Kami tahu bahawa kedudukan terakhir pesawat seperti disahkan oleh pasukan penyiasat antarabangsa adalah sama ada di koridor utara atau selatan, yang menjadi fokus usaha mencari dan menyelamat. Keutamaan kami ialah mencari pesawat itu.

3. Siasatan Polis

Saya sedar ramai mengikuti dengan dekat dan mahu mengetahui perkembangan siasatan Polis Diraja Malaysia terhadap penumpang dan anak kapal MH370. Saya harap anda faham bahawa saya tidak boleh mengulas mengenai butiran siasatan itu, yang masih berjalan.

Saya juga ingin menyatakan bahawa usaha mencari MH370 adalah lebih penting daripada politik. Saya menggesa semua rakyat Malaysia untuk mengetepikan perbezaan kita dan bersatu dalam waktu sukar ini tatkala kami menumpukan usaha untuk mencari pesawat itu dan 239 orang di dalamnya.

4. Kenyataan penutup

Operasi mencari MH370 terus menjadi keutamaan kami. Kami akan terus memberikan anda perkembangan terkini operasi ini, termasuk maklumat mengenai aset-aset digunakan, sebaik sahaja maklumat itu diperoleh.

Beberapa hari lepas kami telah menghubungi rakan-rakan kami di kawasan yang menjadi tumpuan operasi mencari. Kerjasama yang kami terima dalam fasa pertama diteruskan dalam fasa baharu ini. Malah, lebih banyak komitmen diberikan kepada kami dalam operasi rumit dan besar ini, melibatkan pelbagai negara.

Pada masa sama, doa kami terus bersama-sama anggota keluarga dan rakan penumpang dan anak kapal pesawat.

Search For MH370 Expanded To 2.24 Million Square Nautical Miles

Posted: 18 Mar 2014 05:22 AM PDT

SEPANG, March 18 – The search and rescue (SAR) operation for the missing Malaysia Airlines (MAS) Flight MH370 has taken on a new international dimension covering the so-called Southern and Northern Corridors – a total of 2.24 million square nautical miles.

Acting Transport Minister Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein said the area was enormous and it was something that Malaysia could not possibly search on its own.

“I am therefore, very pleased that so many countries have come forward to offer assistance and support to the search and rescue operation.”

hishammuddin-menteri-pengangkutan-pertahanan-mh370-mas-fasa-baru-koridor-utara-selatan-carian

He said the search area for the northern and southern corridors were divided into seven quadrants, with each quadrant area measuring approximately 160,000 square nautical miles.

“The search is still co-ordinated by Malaysia while its partners had taken an increasing role in organising and carrying out operations, both within their own territory and also within agreed search sectors,” he said in a press conference on the SAR progress here today.

The Beijing-bound Flight MH370, with 227 passengers and 12 crew members on board, disappeared about an hour after leaving the KL International Airport at 12.41am on March 8. It was scheduled to arrive in Beijing at 6.30am on the same day.

A multinational search for the aircraft has so far, drawn a blank.

Hishammuddin said on the logistics front, Malaysia worked hard round-the- clock with other countries to narrow the search corridors.

He said the search operation was focusing on four tasks; gathering information from satellite surveillance; analysis of surveillance radar data; increasing air and surface assets; and, increasing the number of technical and subject matter experts.

He said in the southern corridor, Australia and Indonesia agreed to take the lead in their respective parts of the search corridor, as well as in the northern corridor, while China and Kazakhstan agreed to lead in the search areas closest to their countries.

“On air and surface assets, I have spoken to almost all Asean leaders to request further support, including assets with deep ocean surveillance detection capabilities.

“We are also asking international partners who have assisted us before to take another look at their primary radar data,” added Hishammuddin.

He said the Royal Malaysian Navy (RMN) deployed two more ships today to the southern corridor while the Royal Malaysian Air Force (RMAF) deployed two C-130 aircraft to the Indonesian sector of the southern search corridor.

Other countries contributing assets were the United States which had deployed one P-8 Poseidon aircraft, and would re-deploy a P-3 Orion aircraft, as well as Australia which had deployed three P-3 Orions and one C-130 Hercules.

New Zealand is redeploying a P-3 Orion to support Australian search efforts.

The Republic of Korea has committed one P-3 Orion and one C-130 Hercules.

Japan has committed two P-3 Orions, two C-130s and one Gulfstream jet and  the UAE has committed one C-17 aircraft and one Bombardier Dash-8 aircraft, said Hishammuddin, who is also defence minister.

Calon BN Di Balingian Yakin Dapat Majoriti Lebih Besar

Posted: 18 Mar 2014 04:32 AM PDT

MUKAH, 18 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian Yussibnosh Balo yakin mendapat majoriti undi lebih besar berdasarkan maklum balas yang diterima semasa berkempen setakat ini.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan pertemuannya dengan para pengundi yang begitu akrab dengannya dan menyatakan hasrat mereka menyokong BN.

“Saya tersentuh dengan sikap ramah tamah mereka dan apabila dipeluk ramai pengundi. Saya rasa tiada halangan langsung di antara kami,” katanya ketika ditemui di bilik operasi BN di sini.

musa-aman-sabah-adenan-satim-sarawak-yossibnosh-balo-calon-bn-abdul-jalil-bujang-pkr-balingian

Bagaimanapun, beliau berharap para pengundi tidak akan leka dengan tanggapan bahawa BN akan menang besar tetapi mereka perlu membuktikannya dengan keluar beramai-ramai untuk mengundi pada 29 Mac ini.

“Ia merupakan satu ujian besar kepada saya untuk mendapat majoriti undi yang lebih besar. Saya sedar mengenai perasaan (bahawa BN akan menang besar dalam pilihan raya kecil ini) tetapi ia tidak akan terjadi jika kita hanya duduk dan tidak keluar mengundi. Semua orang mesti keluar mengundi,” katanya.

Dalam pilihan negeri pada 2011, penyandang kerusi dan bekas ketua menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, mengekalkan kerusi itu dengan 5,726 undi majoriti menewaskan dua calon lain.

Menyentuh keputusan PKR meletakkan ahli perniagaan yang berpangkalan di  Bintulu, Abdul Jalil Bujang, bertanding dalam pilihan raya kecil itu, Yussibnosh berkata beliau tidak terkejut dengan langkah itu kerana ia jelas menunjukkan pembangkang tidak mempunyai wakil yang menetap di DUN Balingian untuk mewakili mereka.

Beliau menyamakan tindakan pembangkang seperti meletakkan calon payung terjun yang dipersetujui dalam keadaan tergesa-gesa.

Katanya beliau menjangka PKR akan membawa penceramah luar untuk berceramah semasa berkempen tetapi beliau meragui kemampuan mereka untuk memahami scenario tempatan.

“Saya hanya berharap apabila mereka (penceramah pembangkang luar Sarawak) itu berada di sini, mereka tidak akan membangkitkan isu yang boleh mengganggu suasana aman dan harmoni yang dinikmati penduduk di sini selama ini,” katanya.

Garis Panduan Penganjuran Konsert Disaran Untuk Diperketatkan

Posted: 18 Mar 2014 04:29 AM PDT

KUALA LUMPUR, 18 Mac  - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyarankan agar garis panduan lebih tegas diwujudkan bagi penganjuran konsert atau program hiburan di negara ini.

Langkah itu katanya penting bagi mengelak penularan budaya negatif dalam kalangan remaja selain mencegah tragedi ketika konsert berlangsung.

“Jika garis panduan itu diperkemaskan dengan mengambil kira pelbagai pandangan termasuk daripada kelompok penguat kuasa agama, program hiburan juga akan lebih terarah,” katanya selepas Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang dan Penghargaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) 2013 di sini, hari ini.

menteri-agama-islam-jamil-khir-baharom-kabinet

Beliau mengulas kejadian enam individu maut akibat pengambilan dadah berlebihan ketika menonton konsert Festival Future Music Asia 2014, di Stadium Bukit Jalil di sini, pada awal Sabtu lepas.

Mengulas perkara lain, Jamil Khir berkata Yadim terus komited dalam melaksanakan pendekatan proaktif khususnya berhubung pemantapan akidah dengan mewujudkan program Felo Muda Dakwah.

Menerusi program itu, golongan muda yang terpilih akan dilatih bagi memantapkan kredibiliti, kemahiran komunikasi dan kaedah perkongsian ilmu agama menerusi pelbagai modul yang diperkenalkan Yadim, katanya.

Beliau berkata antara modul yang diperkenalkan ialah ‘Street Dakwah’ bagi mendedahkan felo muda itu kepada pendekatan dakwah yang kontemporari.

Sebagai permulaan, 20 golongan muda dipilih mengikuti latihan bagi melayakkan mereka menjadi Felo Dakwah Muda Yadim.

Edar Gambar Bogel Calon BN Tindakan Terdesak, Memalukan

Posted: 18 Mar 2014 04:00 AM PDT

KAJANG, 18 Mac – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin menyifatkan pengedaran gambar bogel calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun yang jelas telah diedit merupakan satuu indakan yang bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah satu tindakan yang memalukan.

Ini tegas beliau memperlihatkan bagaimana ceteknya maruah dan bagaimana mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk menang dalam PRK Kajang ini.

“Saya bersimpati dengan calon BN, Chew Mei Fun yang memang seorang yang kita kenali sebagai seorang yang sangat komited, sangat bertanggunjawab dan sering memperjuangkan masyarakat dan rakyat yang beliau wakili.

gambar-bogel-edit-kempen-cina-undi-chew-mei-fun-kajang-pakatan-pembangkang

“Saya mengenali beliau sejak 2004, semasa beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen dan ketika beliau Timbalan Menteri. Beliau seorang individu yang sangat berpegang pada prinsip tetapi juga seorang yang sangat rajin bekerja. Beliau sanggup meletakkan jawatan kerana beliau tidak bersetuju dengan presiden parti yang terdahulu.

“Ini membuktikan bahawa Chew Mei Fun seorang yang berpendirian yang kukuh dan apa yang dilakukan untuk memalukan beliau ini satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.

Tambah beliau lagi tindakan memalukan ini menunjukkan pendekatan yang diamalkan oleh pembangkang terutama sekali dalam usaha mereka untuk memenangi semula kerusi DUN Kajang yang mereka sendiri kosongkan untuk tujuan yang tidak jelas dan mempermainkan dan mempersendakan amanah yang diberikan rakyat kepada mereka pada PRU13 yang lalu.

“Ini adalah satu perbuatan yang harus dikutuk, saya sebagai seorang wanita, saya menyeru pengundi Kajang untuk memberikan sokongan kepada calon BN kerana Chew Mei Fun adalah calon yang terbaik dan segala perbuatan yang telah merosakkan dan memalukan calon ini, haruskan dihentikan.

“Kita bertandinglah secara gentleman, berpeganglah kepada kekuatan masing-masing, bukannya di atas fitnah yang dilontarkan ke atas calon lain yang merupakan lawan kita, seperti Chew Mei Fun yang jelas tidak bersalah. Saya harap beliau akan dapat sokongan yang padu dan menang 23 Mac ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau yang juga Ahli Parlimen Papar membidas pakatan pembangkang hanya hanya tahu mencari salah kerajaan dan BN tetapi dalam masa yang sama, mereka tidak pernah mengambil tahu serta mengabaikan kepentingan dan keperluan rakyat.

Begitu juga tegas beliau dengan tema yang dibawa oleh calon PKR di Pilihan Raya Kecil DUN Kajang, Datin Seri Wan Azizah iaitu ‘Keadilan Untuk Anwar’, jadi di mana keadilan untuk rakyat Kajang?

“Saya nak bertanyakan kepada Wan Azizah, jika tema perjuangan Keadilan Untuk Anwar yang digunakan sepanjang kempen di Kajang, bagaimana pula dengan keadilan untuk rakyat Kajang kerana saya lihat banyak lagi masalah yang melibatkan penduduk dan masyarakat di kawasan Kajang ini.

“Saya sendiri tidak pernah dengar suara dari wakil-wakil rakyat mereka memperjuangkan masalah rakyat, sama ada di parlimen ataupun sidang Dewan Undangan Negeri.

“Apabila kita memilih untuk menjadi kerajaan, kita perlu bertanggungjawab sebagai sebuah kerajaan, tetapi jika kita memilih berperanan sebagai pembangkang, kita perlu bertanggungjawab sebagai pembangkang yang efektif, bukan pembangkang yang hanya bergantung kepada isu-isu untuk dipermainkan, mengelirukan rakyat semata-mata untuk mendapat sokongan,”katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Memperkasa Kontraktor Bumiputara Negeri Selangor di sini petang tadi. -MediaUMNO

Cukup-cukuplah Keadilan Untuk Anwar… Keadilan Penduduk Kajang Bagaimana?

Posted: 18 Mar 2014 03:36 AM PDT

KAJANG,  18 Mac – Cukup-cukuplah keadilan untuk Anwar… keadilan untuk penduduk Kajang yang menjadi pengundi bagaimana? Apakah makna keadilan untuk Anwar sedangkan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang adalah untuk memilih wakil rakyat yang berkhidmat untuk penduduk setempat, kata Bekas Setiuasaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari.

Beliau seterusnya mempersoalkan apakah layak mereka melaungkan soal keadilan sedangkan harapan pengundi yang memberikan mereka mandat pada pilihan raya umum lalu dipandang sebelah mata setelah dengan mudah mengosongkan kerusi berkenaan.

“Inikah yang dipanggil keadilan? Sudah-sudahlah tu…tak malukah mereka bercakap soal keadilan untuk Anwar di Kajang ini sedangkan seperti yang disebutkan di atas, pilihan raya ini untuk memilih wakil rakyat.

“Apa signifikannya bercakap soal sedemikian.. apa signifikannya melaung-laungkan soal itu di sini sedangkan seperti yang semua tahu DUN Kajang dikosongkan sewenang-wenangnya.

“Sebab itulah saya ingin sarankan sudah-sudahlah…takkan nak jaja lagi perkara yang sama. Janganlah jadikan penduduk Kajang ini mangsa keadaan,” katanya kepada UMNO-online, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menambah sepatutnya kerajaan negeri di bawah pimpinan mereka perlu mencari sesuatu yang baru untuk manfaat penduduk Kajang dan rakyat Selangor amnya.

“Baru saja menang dan memerintah kerajaan negeri untuk penggal kedua.. sepatutnya itu diutamakan dan bukannya permainan politik yang tak sudah-sudah sepertimana yang berlaku di Kajang ini.

“Harap pengundi dapat melihat soal ini kerana pilihan raya DUN Kajang untuk memilih wakil rakyat mereka dan bukannya untuk sesiapa apatah lagi keadilan untuk Anwar,” ujarnya. -MediaUMNO

kerajaan-negeri-selangor-rizab-tinggi-tapi-jalan-lubang-air-sampah-pasir-rakyat-tak-terbela

No comments:

Post a Comment

TERHANGAT, TERKINI DAN TERHEBAT