SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

TERKINI DAN TERHEBAT

Friday, March 8, 2013

UMNO Online - “MNLF Kutuk Keras Tindakan Pengganas Sulu” plus 9 more

UMNO Online - “MNLF Kutuk Keras Tindakan Pengganas Sulu” plus 9 more

Link to UMNO Online

MNLF Kutuk Keras Tindakan Pengganas Sulu

Posted: 07 Mar 2013 04:26 AM PST

JOHOR BARU, 7 Mac –  Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) mengutuk keras keganasan yang dilakukan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna di Sabah, kata pengerusinya Muslimin Sema.

Muslimin, yang dilantik sebagai pengerusi badan pembuat keputusan tertinggi pertubuhan itu, Jawatankuasa Pusat MNLF, pada 2008, berkata Nur Misuari hanya seorang anggota biasa jawatankuasa itu dan tidak mempunyai pengaruh dalam MNLF.

MNLF, katanya, menganggap rakyat Sabah dan Malaysia sebagai saudara mereka.

“Kami (MNLF) tidak menyokong apa yang sedang berlaku di Sabah (pencerobohan dan tindakan pengganas). Kami menolaknya. Kejadian di Sabah dicetuskan untuk memecahbelahkan sesama kita.

“Ia juga dilakukan untuk memutuskan ikatan antara Sabah dan selatan Filipina dan antara Malaysia dan Filipina. Mereka ingin memusnahkan ikatan itu (antara rakyat),” katanya dalam temu bual ekslusif dengan Bernama melalui telefon dari Manila.

Dua hari lepas, Malaysia menggunakan jet pejuang, tentera darat dan kenderaan pengangkut tentera berperisai untuk menggempur penceroboh bersenjata yang bersembunyi di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Operasi yang menggabungkan pasukan polis dan tentera dikenali sebagai “Op Daulat” itu berterusan hingga kini.

Pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengganas di Lahad Datu dan Semporna meragut nyawa lapan anggota polis dan sekurang-kurangnya 52 pengganas.

Diminta mengulas tentang kenyataan Misuari baru-baru ini bahawa MNLF bersedia menghantar pejuang bersenjatanya ke Sabah untuk membantu pengganas Sulu, Muslimin berkata beliau kecewa dengan kenyataan bekas pemimpin MNLF itu.

“Beliau tidak sepatutnya membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu. Saya sedih kerana tidak dapat menyekatnya daripada membuat kenyataan itu. Sabah dan Malaysia bukan musuh kami,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat anggota MNLF yang terlibat dalam kejadian di Sabah, Muslimin berkata jawatankuasa pusat barisan itu telah menjalankan penyiasatan tentang perkara berkenaan.

“Bagaimanapun, siasatan yang dibuat anggota jawatankuasa pusat di Tawi-Tawi dan Sulu mendapati tidak ada anggota MNLF yang terlibat dalam pencerobohan di Sabah. Kami tidak terlibat dalam apa jua bentuk keganasan,” katanya.

Beliau berkata sekiranya terdapat anggota MNLF yang terlibat dengan keganasan di Sabah, mereka melakukannya secara peribadi dan tidak pernah mendapat restu daripada kepimpinan barisan itu.

“Sekiranya mereka terlibat, ia dibuat atas dasar individu kerana MNLF tidak pernah merestuinya,” kata beliau sambil menegaskan bahawa kebanyakan orang Filipina yang tinggal di Sabah menjalani kehidupan secara baik dan aman.

Pas Beri Mesej Halus Anwar Bukan Calon Pilihan Mereka

Posted: 07 Mar 2013 03:59 AM PST

ALOR GAJAH, 7 Mac – Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Abdul Ghafaar Atan menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Datuk Haji Hadi Awang yang meminta pemimpin Pakatan jangan memperbincangkan soal siapa yang layak untuk menjadi Perdana Menteri sebagai satu signal kepada Ketua Pembangkang, bahawa ahli dan penyokong Pakatan belum tentu bersetuju beliau menjawat jawatan tersebut.

Menurutnya, biarpun di dalam akhbar milik Pakatan Pembangkang mengatakan bahawa Anwar merupakan calon Perdana Menteri, namun kenyataan Datuk Seri Hadi Awang  itu secara tidak langsung membuktikan bahawa Pas mempunyai pilihan lain selain dari Ketua Pembangkang untuk jawatan nombor satu negara itu.

"Ya, saya yakin sudah pasti Presiden Pas juga merupakan calon yang dikehendaki oleh akar umbi Pas untuk jawatan tersebut. Saya rasakan tidak mungkin ahli dan penyokong Pas bersetuju dengan Anwar untuk menjadi PM memandangkan beliau bermasalah terutamanya pendirian beliau dalam soal kalimah Allah dan juga LBGT,"

"Jadi kenyataan Haji Hadi itu seolah-olah mahu menutup mulut Anwar daripada mencadangkan nama-nama pemimpin lain untuk jawatan TPM di mana secara tak lansung seolah-olah Anwar memberikan bayangan  bahawa dirinya saja yang layak untuk jawatan PM sekiranya Pakatan Pembangkang memenangi PRU yang akan datang ini," jelas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau tidak nampak mana-mana pemimpin Pakatan Pembangkang yang layak untuk menerajui negara berdasarkan reputasi yang ditunjukkan oleh kepimpinan Pakatan.

"Haji Hadi telah diberi peluang memerintah Terengganu tapi akhirnya gagal. Jika mentadbir negeri pun beliau ditolak oleh rakyat, bagaimana pula mahu mentadbir negara? Manakala Anwar pula rakyat sudah sedia maklum bergelut dengan masalah moral dan cakap tak serupa bikin.

"Begitu juga dengan pemimpin DAP yang dilihat terbabit dengan rasuah serta ketidak telusan seperti yang berlaku dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi DAP baru-baru ini serta isu pendedahan Tunku Aziz tentang cubaan rasuah Lim Guan Eng pada beliau supaya menutup mulut," ujarnya.

Justeru itu, beliau meminta agar pemimpin Pakatan Pembangkang berhenti dari bercakap isu siapa yang bakal menjadi PM dan menumpukan perhatian untuk menunaikan janji-janji mereka pada rakyat di negeri yang mereka kuasai yang sehingga kini tidak ditunaikan.

"Bagi saya, pemimpin Pakatan sudah-sudahlah bercakap tentang soal siapa yang bakal jadi PM. Tunaikan janji dulu kepada rakyat dan jangan putar belit rakyat sampaikan sanggup mengatakan manifesto itu bukan janji.

"Namun saya yakin, rakyat sudah tahu wajah sebenar Pakatan Pembangkang. Mereka ini hanya tahu berjanji, tetapi apabila menang, mereka acuh tak acuh dengan janji-janji mereka itu. Ini bukan cakap kosong, tetapi sudah terbukti di beberapa buah negeri yang mereka kuasai. Rakyat tidak bodoh dan Pakatan akan dihukum pada PRU 13 ini kerana menipu dan mempergunakan rakyat untuk kepentingan politik mereka," tegasnya. -MediaUMNO

Elaun Prasekolah Pun Tak Mampu Tunai Inikan Pula Pendidikan Percuma

Posted: 07 Mar 2013 02:30 AM PST

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Manifesto pakatan pembangkang yang bertemakan ‘Pakatan Harapan Rakyat’ adalah satu lagi agenda tidak relevan lantaran pelbagai perkara yang telah dijanjikan sebelum ini tidak direalitikan khususnya membabitkan pendidikan percuma untuk semua.

Bagi Pengerusi Biro Pelajaran Pergerakan Puteri UMNO, Seriwani Sabtu melihat bahawa apa yang dilakarkan dalam manifesto terbabit bukanlah satu realiti berdasarkan kepada pelbagai janji-janji yang ditaburkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

"Dulu sebelum PRU 2008 mereka berjanji dalam manifestonya untuk memberikan bantuan sebanyak RM50 sebulan seorang bagi pendidikan prasekolah tapi sehingga kini tidak ditunaikan dan sekarang nak berjanji lagi?" soalnya kepada UMNO-Online.

Dalam cabang Kesejahteraan Rakyat yang terkandung dalam menifesto pakatan pembangkang telah menggariskan pendidikan adalah hak rakyat dan tanggungjawab kerajaan dan pakatan pembangkang akan mengembalikan hak pendidikan percuma kepada rakyat kerana ia mampu dilaksanakan sekiranya mereka mendapat mandat berkerajaan.

"Bayangkanlah kalau bantuan untuk kanak-kanak prasekolah pun kerajaan pakatan pembangkang tak mampu nak tunaikan maka bagaimana pula dengan kos pembelajaraan bagi seorang belia muda. Ini kerana pada peringkat tersebut perbelanjaan dan pengurusannya membabitkan puluhan malah ratusan ribu ringgit untuk seorang pelajar.

"Apa yang terkandung dalam manifesto pembangkang ini adalah satu perancangan yang tak masuk akal kerana yang ada hari ini pun tak ditunaikan apatah lagi nak lakukan perkara yang lebih besar maka tentunya tak akan terjangkau."

Turut digariskan dalam manifesto terbabit ialah yuran bagi pengajian tinggi lepasan sekolah di semua institusi milik awam akan ditanggung kerajaan manakala pelajar di institusi swasta akan diberikan subsidi yuran yang setara dengan kos tanggungan kerajaan di institusi awam.

"Kalau betul apa yang mereka katakan kenapa tidak dibuktikan dengan pelaksanaan di Unisel dan Kuin yang menjadi tanggungjawab kerajaan negeri dalam pakatan pembangkang sebaliknya yang timbul adalah pelbagai isu melibatkan kepincangan pengurusan mereka.

"Patutnya kerajaan pakatan pembangkang laksanakan dulu dengan telus dalam institusi pengajian tinggi yang menjadi amanah mereka dan sekiranya benar-benar berjaya maka barulah boleh dicanang. Ini tidak, universiti yang ada pun tak terjaga lagilah nak beri pendidikan percuma pada semua yang nampak sangat janji-janji palsu," tegasnya lagi. -MediaUMNO

Kebodohan Tian Chua Turut Diiktiraf Pas, Cuba Permain Isu Keselamatan Negara

Posted: 07 Mar 2013 02:06 AM PST

IPOH, 7 Mac – Tindakan ahli Pas yang membuat laporan terhadap kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan bahawa kenyataan Ahli Parlimen Batu itu turut tidak dipersetujui oleh rakan  Pakatan Pembangkang, kerana  dilihat sebagai satu kenyataan yang tidak mempunyai semangat patriotik dan menghina dan memperlekehkan anggota keselamatan negara.

Beratus laporan terhadap Naib Presiden PKR itu termasuklah dari parti Pas cukup untuk membuktikan, kenyataan biadap Tian Chua itu tidak dapat diterima oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama, demikian kata Pengerusi Barisan NGO Perak, Mohd Salleh Khan Mohd Jaafar.

"Kenyataan Tian Chua yang menganggap tragedi berdarah itu hanya sandiwara UMNO adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal. Saya hairan bagaimana Tian Chua berfikir. Apakah beliau anggap apa yang berlaku di Sabah itu seumpama filem hollywood yang boleh dirancang mengikut skrip?

"Berdasarkan kenyataan beliau, kita lihat bagaimana pemikiran beliau penuh sarat dengan politik kebencian semata-mata. Begitu taksub beliau berpolitik, sehinggakan tragedi yang telah mengakibatkan  lapan anggota keselamatan terkorban pun dianggap sebagai perkara main-main," tegas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambahnya lagi, kenyataan mengarut daripada Tian Chua membayangkan sikap taksub dan totok dalam berpolitik sehingga segala perkara yang berlaku di dalam negara dianggap angkara UMNO dan Barisan Nasional

"Ia memperlihatkan betapa jumud dan dangkalnya pemikiran pemimpin pembangkang sehingga tidak tahu membezakan isu politik kepartian dan isu keselamatan negara. Apa yang mereka tahu hanyalah untuk memburukkan negara dan kerajaan sehingga negara isu negara diceroboh pun mahu dijadikan modal politik mereka," ujarnya.

Beliau juga yakin,  hari ini rakyat dapat  melihat dengan jelas bagaimana sikap pemimpin pembangkang seperti Tian Chua yang langsung tidak mempunyai semangat patriotik dan menganggap kematian anggota keselamatan dalam mempertahankan negara hanya  sebagai satu sandiwara politik.

"Untuk pengetahuan Tian Chua, kerajaan BN ataupun UMNO tidak akan sanggup bermain politik sehingga menggadaikan maruah negara atau menggugat keselamatan negara. Selama ini di bawah pemerintahan kerajaan BN, keharmonian, kemakmuran dan keamanan dinikmati oleh semua rakyat di negara ini termasuk pemimpin, ahli dan penyokong pembangkang sendiri.

"BN bukanlah seperti pembangkang yang terlalu totok berpolitik sehingga sanggup untuk memburuk-burukkan negara sendiri, sanggup menipu rakyat dengan melakukan adegan mati olok-olok seperti yang mereka buat ketika perhimpunan bersih dan giat menabur fitnah di dalam negara sehingga menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat di negara ini," tegasnya. -MediaUMNO

PKNS Digesa Batal Projek Kondo Mewah Datum Jelatek

Posted: 07 Mar 2013 02:00 AM PST

SHAH ALAM, 7 Mac – Barisan Bertindak Projek Datum Jelatek hari ini menghantar memorandum kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menggesa projek kondominium mewah Datum Jelatek yang akan dibangunkan di Jalan Jelatek, Kampung Datuk Keramat, dibatalkan.

Pengerusinya Salleh Samad berkata pihaknya mahu kerajaan negeri Selangor menggantikan projek mewah itu dengan perumahan mampu milik dan kawasan berkenaan dikekalkan sebagai penempatan Melayu.

Kawasan itu merupakan tanah yang pernah didiami orang Melayu, katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Pengurus Perhubungan Awam PKNS Ishak Hashim, di pejabat PKNS, di sini hari ini.

Projek Datum Jelatek di atas tanah seluas 5.5 ekar (2.2 hektar) sebelum ini diuar-uarkan sebagai projek pembangunan semula kawasan perumahan kos rendah di Jalan Jelatek selepas kesemua penduduk yang rata-ratanya orang Melayu telah dipindahkan dengan memberi pampasan yang kecil.

Namun projek itu dikatakan “bertukar” menjadi cadangan pembangunan empat bangunan eksklusif merangkumi pejabat, hotel dan pusat membeli-belah yang disasarkan untuk golongan berpendapatan tinggi dan korporat.

Dua blok kondominium mewah Datum Jelatek dikatakan telahpun dijual kepada pihak asing manakala dua blok lagi masih dalam proses jualan dengan harga minimum kira-kira RM700,000 seunit dan tidak munasabah untuk dibeli oleh orang Melayu, Cina atau India yang berpendapatan kecil atau sederhana.

Salleh turut mendakwa ada sembilan lagi projek Datum yang telah dan akan dilaksana Datum Corporation.

“Projek Datum di Seksyen 14, Petaling Jaya, Petaling Jaya Barat dan Kelana Jaya sudah mendapat bantahan penduduk kerana sudah pasti ia akan terus mengikis kepentingan orang melayu dalam projek-projek tersebut,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada siding akhbar selepas menyampaikan hadiah pertandingan reka bentuk jambatan ke-3 Klang, hari ini, berkata pihaknya tetap meneruskan projek Datum Jelatek meskipun mendapat bantahan.

Beliau sebelum ini mempertahankan tindakan pihaknya menjual kondominium mewah pada harga tinggi sebagai keperluan menarik pelabur asing.

Election May Be Postponed In Areas Affected By Intrusion – EC

Posted: 07 Mar 2013 01:52 AM PST

PUTRAJAYA, March 7 – The upcoming 13th general election can be postponed in areas in Sabah affected by the intrusion of terrorists from Sulu, should an emergency be declared in the said areas, according  Election Commission (EC) chairman Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

He said there were legal provisions to allow certain areas to postpone elections.

“According to the law, the EC will take this into consideration before making a decision on elections in areas where emergency has been declared,” he told reporters here today.

Earlier, he had met with leaders from 30 political parties to clarify new matters to be implemented in the coming general election.

Abdul Aziz said the EC would review details in the emergency order, should it be issued, which will then be brought to a special meeting before a final decision was made.

“Right now only Lahad Datu and Sempora are affected and we are confident this will be resolved soon. The EC is ready to hold elections at any time,” he said.

In another development, Abdul Aziz said 4,669 applications for postal voting abroad were received until this morning, of which 3,995 were eligible while 674 applications were rejected.

“Most of the applications were rejected because they had not registered as voters and that is the main requirement for the postal voting facility,” he said.

He said the highest number of applications was for Kelana Jaya (195), followed by Petaling Jaya Utara (192), Segambut (156), Subang (123), Gombak (106), Shah Alam (98) and Serdang (86).

Commenting on the meeting with the political party leaders, Abdul Aziz said they were generally satisfied with the explanation given and improvements carried out by the EC.

He said among the main focus at the meeting was regarding the use of indelible ink, lack of special tents provided for nomination day, removal of the objections facility during nomuination, early voting and prohibition on withdrawing candidates.

Besides that, Abdul Aziz also clarified that ballot papers had serial numbers to ensure no other ballot papers would be inserted in ballot boxes.

“This will also facilitate our checks in case of objections. This is because there are political parties which advise their supporters not to use ballot papers provided by the EC, but instead ask for a different ballot paper,” he added.

BN Bukit Gantang Beri Jaminan Kemenangan Total Pada PRU 13

Posted: 07 Mar 2013 01:26 AM PST

TAIPING, 7 Mac – Barisan Nasional (BN) Parlimen Bukit Gantang sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihanraya Umum ke-13 dengan tekad untuk merampas kembali kerusi Parlimen Bukit Gantang yang disandang Pas selain mempertahan kerusi DUN Trong (diwakili BN) selain kerusi DUN Changkat Jering yang kini diwakili wakil rakyat Bebas yang menyokong BN selain merampas kerusi Kuala Sepetang yang kini diwakili PKR.

Pengerusi BN Bukit Gantang, Datuk Rosli Husin berkata, BN Bukit Gantang hanya menunggu paluan gendang perang dari Datuk Seri Najib, kerana jentera BN Bukit Gantang sudah digerakkan sekian lama, untuk memastikan parlimen dan kesemua 3 DUN di sini dapat dikembalikan sepenuhnya kepada BN untuk membantu kemenangan selesa 2/3 di Dewan Rakyat, selain memastikan BN terus mentadbir di negeri Perak selepas PRU13 ini.

"Kita telah mengerakkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen Bukit Gantang, kita dapat melihat dan kita tinjau terdapat 80 peratus dari 39 PDM sudah beroperasi sepenuhnya.

“Dalam masa yang sama, kumpulan anak-anak muda turut bersama dalam banyak gerak kerja BN, malah dalam perjumpaan dengan kumpulan ini baru-baru ini, walaupun program yang dibuat kecil-kecilan sahaja, namun sambutan yang diterima sangat memberangsangkan. Dalam masa yang sama, penerimaan rakyat juga nampaknya kembali bersama BN," ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang.

Ujarnya, tsunami politik yang berlaku pada tahun 2008 sehingga BN hilang kuasa di beberapa buah negeri termasuk Perak, merupakan satu petunjuk yang diberikan oleh Allah, yang mana mungkin untuk menyedarkan wakil-wakil dari BN supaya terus mendekati dan menyelesaikan masalah rakyat secara keseluruhannya.

"Ini menjadi pengalaman dan pengajaran, bagi saya sendiri kerana di Parlimen Bukit Gantang, hanya saya sahaja yang mewakili BN menang di kerusi DUN Trong, selama 11 bulan diperintah oleh kerajaan Pakatan sungguh menyiksakan.

“Kesannya sehingga ke hari ini, khususnya buat pengundi di sini kerana Ahli Parlimen iaitu Nizar Jamaluddin (selepas menang Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang), hanya boleh turun berceramah tiga bulan sekali tetapi tugasnya sebagai wakil rakyat, tidak dilaksanakan.

“Dia tidak memegang amanahnya sebagai wakil rakyat, malah peruntukan sebagai Ahli Parlimen, tidak pernah disalurkan kepada kampung-kampung," tambahnya.

Dalam masa yang sama, jelas beliau lagi selama 11 bulan diperintah kerajaan pakatan menunjukkan bahawa yang memerintah Perak bukanlah Nizar Jamaluddin sebaliknya dua wakil dari DAP iaitu Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming.

“Mereka berdua ini sebagai sendi kepada Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar. Boleh dikatakan bahawa perlantikan Nizar sebagai Menteri Besar kerana terpaksa, walaupun dia sebenarnya tidak disukai oleh kumpulan dari DAP ini. Hakikatnya, selama 11 bulan pakatan memerintah Perak, tidak ada satu pun kerja yang dibuat mereka merugikan kita," tambahnya lagi. -MediaUMNO

Tiada Gencatan Senjata Selagi Penceroboh Tidak Letak Senjata Tanpa Syarat – Najib

Posted: 07 Mar 2013 01:17 AM PST

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa Kuala Lumpur tidak akan menimbang sebarang permintaan gencatan senjata selagi kumpulan penceroboh militan tidak meletak senjata tanpa syarat.

Najib, yang melawat Sabah selepas tiga hari pasukan keselamatan melancarkan serangan terhadap kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, berkata presiden Filipina Benigno Aquino III telah menghubungi beliau untuk mendapatkan reaksi Malaysia berhubung kenyataan Jamalul Kiram III mengenai gencatan senjata.

“Saya bagi tahu Presiden Aquino bahawa mereka perlu letak senjata tanpa syarat dan senjata itu perlu diserah kepada kita,” katanya pada sidang akhbar di Felda Sahabat 16, di Lahad Datu hari ini.

Laporan media dari Filipina hari ini memetik Kiram meminta pihaknya meletak senjata di Lahad Datu selepas beberapa anggota kumpulannya terbunuh dalam gerakan ofensif pasukan keselamatan Malaysia pada Selasa.

Terdahulu Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon menyeru agar ‘keganasan’ di Sabah, dihentikan dan mencadangkan agar pihak terlibat mencari penyelesaian secara aman terhadap apa yang berlaku.

Najib berkata kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk menjamin keselamatan, keamanan dan kedaulatan Sabah.

Pada Selasa, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Feb dan pasukan keselamatan kini meneruskan operasi dengan tindakan susulan dan penggeledahan.

Perdana menteri berkata operasi bagi memburu kumpulan penceroboh militan itu akan diteruskan sehingga mereka meletak senjata.

Beliau berkata Malaysia menghormati prinsip kemanusiaan dan memberi cukup masa untuk berunding dengan kumpulan penceroboh militan sebelum melancarkan gerakan ofensif.

“Kita beri tempoh lebih tiga minggu (untuk rundingan) dan tangguh (serangan) empat kali, kita hanya bertindak bila mereka bunuh lapan anggota polis kita,” katanya.

Najib yang melahirkan rasa puas hati dengan keberhasilan operasi bersama yang dilancarkan oleh polis dan tentera itu, berkata pasukan keselamatan Negara mencapai banyak kejayaan untuk menumpaskan kumpulan penceroboh militan yang memasuki negara ini 12 Feb.

“Kerjasama yang sangat erat antara polis dan tentera dengan menggunakan kepakaran dan kekuatan masing-masing dalam satu operasi bersepadu adalah satu modul yang sangat baik untuk kita ambil langkah-langkah banteras dan tindakan tegas terhadap kumpulan itu,” katanya.

Perdana menteri juga melahirkan penghargaan kerajaan terhadap kerjasama polis dan tentera dalam menjayakan operasi itu.

Najib turut menegaskan jangan sesiapa cuba memandang ringan iltizam kerajaan menegakkan prinsip bahawa Sabah adalah sebahagian dari Malaysia buat selama-lamanya.

“Ini tidak boleh dipersoal sesiapa baik dari dalam atau luar negara. Kita akan pertahan prinsip, hakikat dan kebenaran secara mutlat dengan sepenuh kekuatan yang kita ada,” katanya.

Siasatan Terperinci Terhadap Pengkhianat – Shahrizat

Posted: 07 Mar 2013 12:34 AM PST

KUALA LUMPUR 7 Mac – Wanita Barisan Nasional (BN) mengesa kerajaan menjalankan siasatan terperinci terhadap laporan media luar negara bahawa adanya petualang dan pengkhianat terhadap apa yang berlaku di Lahad Datu.

Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Wanita BN ingin mengetahui siapakah dalang atau pengkhianat seperti yang dilaporkan oleh media asing itu kerana wanita di negara ini inginkan kestabilan dan keamanan.

"Kami di Malaysia ini mahukan keamanan dan kestabilan politik kerana itu adalah anugerah pertama, kerana dengan ini barulah wanita di Malaysia boleh membangun, mencapai kejayaan bagi memberi sumbangan kepada ekonomi dan lain-lain.

"Jika tiada kestabilan, tiada perpaduan , tiada keamanan, walau macam mana pandai pun seorang wanita itu tidak boleh buat apa-apa kalau negara itu mengahadapi peperangan atau laian-lain, " katanya selepas menyerahkan sumbangan RM10,000 Wanita BN kepada Tabung Wira Lahad Datu di Ibu Pejabat Wanita UMNO di sini.

Menurutnya, apa yang berlaku itu adalah satu pengajaran bahawa negara perlu mempunyai satu kerajaan untuk yang kuat bagi memastikan kestabilan dan keamanan dapat dikekalkan dan mampu mempertahankan kedaulatan negara.

Shahrizat turut  menyatakan kira-kira 200 laporan polis telah dibuat oleh Wanita UMNO di seluruh negara berhubung kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua yang menyatakan bahawa apa yang berlaku itu adalah sandiwara UMNO.

Beliau turut menyatakan bahawa dalam pertemuan dengan isteri-isteri anggota pasukan keselamatan, mereka menyatakan rasa kesal dan kecewa dengan apa yang dinyatakan oleh Tian Chua yang dianggap mempersenda dan menghina apa yang dilakukan oleh pasukan keselamatan.

"Sudah mestilah mereka (isteri anggota pasukan keselamatan) merasa kecil hati apabila sumbangan suami mereka dipersendakan, namun begitu mereka tetap akan memberi semangat dan menjadi tulang belakang kepada keluarga," katanya. -MediaUMNO

Pemuda UMNO Gesa Bicarakan Jamalul Kiram III Di Malaysia

Posted: 07 Mar 2013 12:24 AM PST

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini menggesa supaya Jamalul Kiram III, dibicarakan di negara ini atas dakwaaan mengarahkan pencerobohan bersenjata di Sabah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata walaupun kerajaan Filipina mungkin akan mengambil tindakan terhadap kumpulan penceroboh itu, namun tindakan juga perlu diambil terhadap dalang insiden itu.

“Bagi kita ini satu kesalahan di sisi undang-undang negara. Saya harap kerajaan akan dapat melakukannya dan kerajaan Filipina bersetuju (untuk mengektradisi) atas dasar rakan Asean.

“Dari segi politik, kita perlu tunjuk, sesiapa sahaja yang menjadi penceroboh perlu dibawa ke muka pengadilan. Pemuda UMNO tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan negara,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mewakili Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan Baucar Buku 1Malaysia di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di sini.

Khairy juga menggesa Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan terhadap mana-mana individu termasuk ahli politik yang menuduh insiden pencerobohan itu sebagai sandiwara atau mempersoal tindakan yang diambil pasukan keselamatan negara dalam menangani kumpulan penceroboh itu.

Sejak isu pencerobohan kumpulan pengganas dari selatan Filipina di Lahad Datu 12 Feb lepas, lapan anggota polis terkorban iaitu dua dalam pertempuran di Lahad Datu Jumaat lalu dan enam dalam serangan hendap di Kampung Simunul, Semporna sehari kemudian.

Selasa lepas, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan pesawat pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan itu.

4 comments:

  1. Dah kalah teruk... cuba kalau pihak Malaysia yg terkial-kial. Sure dia pun nak amik bahagian nak bust nama. Kesian penceroboh, mati sia-sia kerana kononnya sandiwara BN. Tapi ramai manusia bingai yg percaya ngan Tian Chua muka lawakni. Tapi setahu aku, ramai PATI di negara ini adalah disebabkan kemakmuran dan keamanan negara Malaysia yg sedikit pun pembangkang tidak pernah menyumbangkannnya sejak 31 Ogos 1957. Itu sudah pasti dan nyata.

    ReplyDelete
  2. Lapuran berat sebelah Indonesia dan Singapura adalah kerana mereka tidak dapat terima bahawa kerajaan Malaysia begitu bijak dan penuh berhati-hati sambil mengikut dan mematuhi peraturan dan undang-undang antarabangsa dalam menangani isu pencerobohan pengganas di Sabah. Mereka dan pihak pembangkang di negara ini begitu mencemburui kejayaan kerajaan Malaysia yg diterajui oleh PM Malaysia DS Najib yg bukan sahaaj berjaya menangani isu tersebut malah berjaya mendamaikan pihak yg bertelagah di Filipina dan Thailand.

    ReplyDelete
  3. DS Najib telah pun menampakkan kemampuannya dala masa yang singkat dan berupaya mengotakan setiap janjinya. Tapi yg disebelah sana, awal-awal lagi dah mengaku Manifesto bukanlah janji. Habis tu manifesto ni kira main HANTAM SAJALAH. Dan janji sicapati.

    ReplyDelete
  4. Rakan-rakan aku kat opis yg yg sokong Pakatan Rakyat bagaikan tidak seronok dan muram di atas kejayaan Malaysia menangani isu pencerobohan penghanas di Sabah dalam masa yg begitu singkat. Sesekali terdengar sembang di antara mereka, akhirnya aku tersedar bahawa mereka mengharapkan Dan lebih suka jika kerajaan Malaysia gagal menanganinya dan kalau boleh melibatkan korban yg ramai di pihal Malaysia. Apa punya manusia.

    ReplyDelete

TERHANGAT, TERKINI DAN TERHEBAT