SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

TERKINI DAN TERHEBAT

Sunday, September 8, 2013

UMNO Online - “Kerajaan Komited Bela Kebajikan Rakyat” plus 3 more

UMNO Online - “Kerajaan Komited Bela Kebajikan Rakyat” plus 3 more

Link to UMNO Online

Kerajaan Komited Bela Kebajikan Rakyat

Posted: 07 Sep 2013 11:18 AM PDT

PETALING JAYA, 7 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kerajaan komited dalam usaha membela rakyat dengan menjadikan kebajikan rakyat sebagai agenda penting kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata usaha berterusan akan dilaksana bagi memastikan tiada kelompok rakyat tercicir daripada menikmati kehidupan yang baik di negara ini, yang disifatkan sebagai unik kerana terdiri daripada pelbagai kaum dan dijalini sikap saling menghormati.

“Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan sentiasa memperjuangkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat, usaha ke arah membasmi kemiskinan tegar serta meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat akan dipergiat,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada Majlis Perkongsian dan Pelancaran Pelan Tindakan Program Pembangunan Komuniti Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA) Malaysia di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Kedua P. Kamalanathan.

Najib turut mengingatkan bahawa semua pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat, pemimpin masyarakat dan individu, perlu berganding bahu dengan kerajaan dalam membentuk sebuah negara berpendapatan tinggi.

Beliau juga memberi aku janji bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan memelihara kepercayaan dan amanah yang diberikan rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

“Kami berikrar untuk memberikan penekanan kepada peningkatan ekonomi dan pembangunan manusia, bertujuan untuk mewujudkan tenaga kerja serta masyarakat yang mempunyai daya saing yang tinggi di arena global,” katanya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut memuji tindakan DHRRA menerbitkan buku ‘Laungan Kebenaran Dokumen Pengenalan Diri’ sebagai bahan rujukan dalam berdepan isu berkaitan dokumen pengenalan diri yang diedar kepada 30,000 pemimpin masyarakat.

Sementara itu, Presiden DHRRA Malaysia S. Saravanan berkata pihaknya akan memfokus kepada 10 perkara menerusi Rancangan Pelan Tindakan Pembangunan Komuniti bagi tempoh 2013 hingga 2023.

Pelan itu akan menelan belanja RM2.95 juta dan bakal memanfaatkan 86,450 orang menerusi program seperti pembangunan wanita, belia dan sukan, kanak-kanak, projek mendaftar anak Malaysia, khidmat nasihat kaunseling dan undang-undang serta bimbingan pendidikan dan kerjaya.

DHRRA, yang merupakan NGO, juga mengumpul sumbangan berjumlah RM334,000 malam ini untuk digunakan bagi menjana program berkenaan.-MediaUMNO

Taman Teknologi Tinggi Kulim Sasar RM10 Bilion FDI Pada 2014

Posted: 07 Sep 2013 07:22 AM PDT

BUTTERWORTH, 7 Sept – Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) menyasar untuk menarik RM10 bilion dalam pelaburan langsung asing (FDI) apabila projek fasa keempat siap pada Julai tahun depan.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir berkata beberapa syarikat daripada industri berkaitan solar dan elektronik telah menunjukkan minat untuk melabur di KHTP.

Beliau berkata kerajaan kini menubuhkan makmal transformasi dalam usaha untuk menarik lebih banyak pelabur ke Kedah, terutamanya ke KHTP.

“Kami bukan mencari sebarang FDI tetapi yang berkualiti yang akan membawa lebih banyak pekerjaan untuk rakyat tempatan.

“Pelaburan ini akan membolehkan kita beralih daripada negara berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis konvokesyen Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Kulim Technology Park Corp (KTPC) Annuar Mohd Saffar berkata fasa keempat KHTP yang meliputi kawasan seluas 160 hektar, akan menyediakan lebih 9,000 pekerjaan apabila siap kelak.

Beliau berkata fasa berkenaan dijangka menarik pelabur daripada industri   semikonduktor, tenaga solar dan farmaseutikal serta peranti perubatan.-MediaUMNO

Annuar berkata KHTP telah menarik kira-kira 80 syarikat termasuk 35 syarikat multinasional dari Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun untuk melabur dalam jumlah yang tidak kurang daripada RM30 bilion.

“KHTP merupakan taman perindustrian teknologi tinggi paling berjaya dalam negara dan dengan sokongan kerajaan, kami akan terus menarik pelabur,” katanya.

KHTP kini mempunyai 35 syarikat multinasional dan 45 perusahaan kecil dan sederhana, dengan pekerja lebih 30,000 orang.

Zahid Tempelak Pihak Dakwa Beliau Mungkin Bertanding Timbalan Presiden UMNO

Posted: 07 Sep 2013 07:12 AM PDT

BAGAN DATOH, 7 Sept – Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menemplak pihak yang mendakwa beliau mungkin bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti Oktober ini.

“Orang (yang membuat dakwaan) itu gila,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Skuad 1Malaysia Negeri Perak bersama Menteri di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan dalam portal berita, Free Malaysia Today (FMT) bahawa desas-desus Ahmad Zahid bakal bertanding jawatan timbalan presiden telah mula tersebar di bandar-bandar di Sabah.

Menurut laporan itu, kumpulan tertentu dalam Umno Sabah mendakwa Ahmad Zahid mungkin mencabar Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan itu dalam perhimpunan agung Umno pada Oktober.

Menteri Dalam Negeri itu menjelaskan beliau telah beberapa kali menyatakan hanya akan mempertahankan jawatan naib presiden pada pemilihan parti kali ini.

“Saya kata dah banyak kali saya hanya mempertahankan (jawatan) naib presiden Umno. Bezakanlah naib presiden dengan timbalan presiden,” katanya.-MediaUMNO

Projek Pembangunan Lebih Mudah Bila Kerajaan Negeri dan Pusat Di Bawah Satu Payung

Posted: 07 Sep 2013 07:06 AM PDT

KUANTAN, 7 Sept -Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelaksanaan sebarang projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat adalah lebih mudah apabila kerajaan negeri dan persekutuan bernaung di bawah payung yang sama.

Perdana Menteri berkata rakyat akan mendapat manfaat sepenuhnya hasil pilihan bijak mereka ketika mengundi memilih kerajaan.

“Inilah yang berlaku di negeri Pahang apabila kesetiaan rakyat Pahang tetap bersama Barisan Nasional, maka mudahlah segala bentuk kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan dijalinkan demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan Kompleks Pentadbiran baharu kerajaan negeri Pahang bernilai RM399 juta di kawasan seluas 24.8 hektar di Kota Sultan Ahmad Shah (Kota SAS) , di sini hari ini.

Projek yang dijangka siap dalam masa tiga tahun itu bagi menggantikan Wisma Seri Pahang, pusat pentadbiran kerajaan negeri ketika ini, yang telah berusia 45 tahun dan dilaporkan memerlukan kos baik pulih yang tinggi.

Berdasarkan perancangan, kompleks pentadbiran baharu itu akan menjadi ikon kepada negeri Pahang apabila bentuk bangunan kompleks itu diinspirasikan daripada jata (logo) negeri Pahang selain mengaplikasikan penggunaan teknologi hijau dalam usaha memulihara kualiti persekitaran.

Komponen kompleks itu terdiri daripada bangunan Dewan Undangan Negeri Pahang, bangunan kerajaan negeri dan bangunan kerajaan persekutuan.

Najib yang merupakan bekas Menteri Besar Pahang dan pernah menduduki bangunan Wisma Seri Pahang, berkata sudah tiba masanya kompleks baharu yang lebih canggih dibina bagi memberikan perkhidmatan lebih efisien.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata kewujudan bangunan baharu itu kelak akan memberi impak peningkatan produktiviti kakitangan awam, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk Kuantan khasnya dan penduduk Pahang amnya.-MediaUMNO

No comments:

Post a Comment

TERHANGAT, TERKINI DAN TERHEBAT