SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

TERKINI DAN TERHEBAT

Friday, September 20, 2013

UMNO Online - “Muhyiddin Nafi Kedatangan Obama Ke Malaysia Untuk Meterai TPPA” plus 9 more

UMNO Online - “Muhyiddin Nafi Kedatangan Obama Ke Malaysia Untuk Meterai TPPA” plus 9 more

Link to UMNO Online

Muhyiddin Nafi Kedatangan Obama Ke Malaysia Untuk Meterai TPPA

Posted: 19 Sep 2013 06:27 AM PDT

BANGI, 19 Sept – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan kedatangan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia Oktober ini untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

“Terdapat pihak yang mendakwa kedatangan Obama ke Kuala Lumpur bulan hadapan adalah untuk memeterai perjanjian TPPA, dan perkara ini tidak akan berlaku,” katanya pada sesi dialog sempena Majlis Ramah Mesra bersama warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Beliau berkata kerajaan memerlukan masa memandangkan masih banyak pihak yang ingin mengemukakan pandangan mereka mengenai TPPA, dan tidak boleh diketepikan.

Muhyiddin berkata tidak ada satu tempoh jangka masa tertentu bagi kerajaan untuk membuat keputusan membabitkan perjanjian tersebut.

“Proses rundingan masih berjalan, dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sentiasa melakukan pertemuan dengan pelbagai pihak,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata ini termasuk pertemuan dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang menyatakan TTPA tidak menguntungkan Malaysia.

“Kita ambil pandangan tersebut sebagai sesuatu yang penting, dan kerajaan juga mementingkan apa sahaja yang akan memberi keuntungan kepada Malaysia,” katanya.

“Ini yang kita minta pelbagai pihak untuk membuat penilaian dari segi analisis manfaat kos, dengan setiap sektor yang terlibat dalam TPPA, dinilai dari segi faedah kepada negara,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan juga akan menolak perjanjian tersebut sekiranya ia boleh mengancam kedaulatan negara kerana seharusnya hak untuk menentukan masa depan negara tidak boleh dipengaruhi pihak luar.

“Jadi, sekiranya melalui rundingan tersebut terdapat perkara-perkara yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita, maka seharusnya kerajaan membuat keputusan yang tepat tentang perkara itu,” tegas Muhyiddin.

Pemilihan UMNO : Prosedur Serah Borang Pencalonan

Posted: 19 Sep 2013 06:23 AM PDT

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Berikut ialah prosedur yang perlu dipatuhi oleh anggota yang berhasrat bertanding pada pemilihan UMNO, semasa menyerahkan borang pencalonan di ibu pejabat Umno, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, Sabtu ini:

1. Bakal calon/wakil perlu kemuka kad pengenalan, nombor keanggotaan dan borang pencalonan di Kaunter 1, Aras 5 untuk disahkan sebelum diberi nombor giliran.

2. Bakal calon/wakil seterusnya perlu mengenal pasti saluran pendaftaran berdasarkan jawatan yang ingin ditandingi (Majlis Tertinggi, Wanita, Pemuda atau Puteri) dan mendaftar diri di Kaunter Pendaftaran (Kaunter 2).

3. Bakal calon/wakil akan diberi ‘kad giliran’ untuk menentukan saluran penyerahan borang pendaftaran dan perlu menunggu di ruang yang disediakan sehingga nombor giliran mereka dipanggil.

4. Apabila nombor bakal calon/wakil dipanggil, individu itu boleh memasuki Bilik Labuan/Kuala Lumpur bagi menyerahkan borang pencalonan mengikut saluran yang ditetapkan.

* Bagi jawatan pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, presiden, timbalan presiden, naib presiden dan bagi pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap serta ketua dan naib Pergerakan sayap parti (Kaunter A)

* Bagi jawatan Majlis Tertinggi (MT) dan exco sayap (Kaunter B)

5. Borang pencalonan akan melalui lima langkah pemeriksaan termasuk pengesahan maklumat diri; borang pencalonan direkod dan diberi ‘nombor calon’.

6. Borang pencalonan seterusnya diserahkan kepada petugas jawatankuasa pemilihan untuk proses saringan dan maklumat dalam borang disemak dengan pangkalan data parti. Borang yang lengkap akan disahkan sebelum bakal calon/wakil diberi salinan borang pencalonan beserta nombor calon sebagai bukti pendaftaran.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Abdul Rauf Yusof berkata prosedur seumpamanya akan terpakai bagi penyerahan borang pencalonan di peringkat negeri yang akan dibuat di Pejabat Perhubungan Umno negeri masing-masing, Sabtu ini.

Pada pemilihan kali ini seramai 146,500 anggota perwakilan akan mengundi serentak bagi memilih pucuk pimpinan di peringkat Bahagian dan Majlis Tertinggi di 191 bahagian Umno seluruh negara pada 19 Okt.

Sebelum itu mesyuarat perwakilan dan pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian dan pemilihan bagi jawatan Exco pusat bagi ketiga-tiga sayap parti itu akan diadakan serentak pada 12 Okt.

Perhimpunan Agung Umno 2013 akan diadakan dari 2 hingga 7 Dis.

Pemilihan UMNO : Pencalonan Batal Jika Beri Maklumat Palsu

Posted: 19 Sep 2013 05:01 AM PDT

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abdul Rauf Yusoh hari ini mengingatkan semua individu yang berhasrat bertanding pada pemilihan UMNO kali ini tidak mengemukakan maklumat palsu dalam borang pencalonan.

Beliau berkata ini bagi mengelak pencalonan mereka terbatal secara automatic jika dikesan menipu khususnya dari segi kelayakan.

ab-rauf-yusoh-suk-setiausaha-umno-malaysia

Katanya sebarang penipuan oleh mana-mana individu akan dapat dikesan melalui pangkalan data parti yang mempunyai butiran maklumat lengkap anggota.

“Contohnya, asas syarat pertandingan untuk Majlis Tertinggi (MT) ialah menjadi anggota UMNO selama tiga tahun dan satu penggal menjadi anggota jawatankuasa bahagian atau MT satu penggal.

“Kalau dia tipu tentang daftar keahlian dia atau cuba tambah maklumat tentang syarat pertandingan misalnya (dia) tulis pernah jadi MT dan kita kesan dia menipu, maka pendaftaran dia akan terbatal,” katanya kepada Bernama semasa sesi simulasi proses pencalonan pemilihan UMNO 2013 di sini, hari ini.

Sabtu ini ditetapkan sebagai hari pencalonan bagi semua jawatan yang dipertandingkan dan akan diadakan serentak di seluruh negara.

Abdul Rauf juga mengingatkan borang pencalonan tidak boleh dipindah milik kerana dilengkapi nombor siri selain telah direkodkan ketika bakal calon mengambil borang pencalonan Sabtu lepas.

Sekiranya dikesan, pencalonan mereka juga akan terbatal secara automatik, katanya.

“Kita tidak mahu berlakunya kejadian yang tidak telus dalam pertandingan… sebab ada orang yang dia tak bagi tahu awal-awal yang dia mahu bertanding sebab nak tengok ‘market’ dulu, kemudian dia beri borang itu kepada orang lain dan suruh orang itu bertanding,” katanya.

Sebagai parti yang telus, UMNO menekankan anggotanya terutamanya bagi yang mahu bertanding pada pemilihan kali ini mempunyai ketelusan diri.

Mengenai kelayakan individu yang mempunyai kes mahkamah untuk bertanding, Abdul Rauf berkata mereka yang sedang didakwa dan di peringkat rayuan dan diisytiharkan muflis tidak layak bertanding dan memilih pucuk pimpinan parti.

Bagaimanapun jika individu tersebut didapati tidak bersalah, maka dia dibolehkan bertanding.

Selain itu Abdul Rauf berkata perwakilan dari cawangan atau bahagian yang gagal menyelesaikan mesyuarat tahunan masing-masing juga tidak layak mengundi, sebaliknya hanya diberi status pemerhati pada pemilihan UMNO kali ini.

Tarikh mesyuarat perwakilan dan pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian dan pemilihan bagi jawatan Exco pusat bagi ketiga-tiga sayap parti itu akan diadakan serentak pada 12 Okt ini.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan peringkat Bahagian dan jawatan Majlis Tertinggi pula dijadualkan serentak pada 19 Okt.

Perhimpunan Agung UMNO 2013 akan diadakan dari 2 hingga 7 Dis depan.

Muhyiddin Umum Hasrat Pertahan Jawatan Timbalan Presiden UMNO

Posted: 19 Sep 2013 05:00 AM PDT

PUTRAJAYA, 19 Sept  – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan hasratnya untuk mempertahankan jawatan beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO dan menawar diri untuk dipilih semula ke jawatan itu pada pemilihan parti Oktober ini.

Ini kerana, kata timbalan perdana menteri, beliau berpendapat masih mampu melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan.

Katanya sejak memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan lepas, beliau diberi amanah besar, seperti menguruskan jawatankuasa pengurusan parti, memantau pilihan raya, di samping berusaha memantapkan parti UMNO dan Barisan Nasional di semua peringkat, bagi mengukuhkan kerajaan dan meningkatkan perpaduan rakyat.

Beliau seterusnya menyatakan sokongan padu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus mempertahankan jawatan sebagai Presiden parti dan bertekad untuk terus membantu kepimpinanya.

“Saya sendiri akan menjadi pencadang kepada beliau dalam borang (pencalonan) yang akan diserahkan pada 21 Sept ini,” katanya dalam persidangan media di kediaman rasminya di Sri Satria di sini hari ini.

Dengan keputusan itu Muhyiddin meminta kerjasama, bantuan dan sokongan daripada rakan serta seluruh anggota parti, khususnya para perwakilan untuk membantunya, agar apabila dipilih nanti, beliau akan dapat meneruskan tugas dan tanggungjawabnya demi kepentingan orang Melayu, rakyat Malaysia, negara, bangsa, dan agama.

Mukhriz Umum Bertanding Naib Presiden UMNO

Posted: 19 Sep 2013 04:39 AM PDT

ALOR SETAR, 19 Sept – Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden UMNO pada pemilihan parti Oktober ini.

Mukhriz berkata beliau membuat keputusan itu setelah menerima banyak nasihat dari setiap lapisan kepimpinan, dan setelah memikirkan jawatan yang sesuai untuk beliau dipertanggungjawabkan.

“Saya telah tanyakan diri saya, apakah saya bersedia. Saya telah menimbangkan perkara ini dari setiap sudut.

“Maka bagi mewakili zon utara di negara tercinta ini, khususnya Kedah yang telah kembali ke pangkuan UMNO, Kedah yang melahirkan Bapa Kemerdekaan, Kedah yang juga melahirkan Bapa Pemodenan Malaysia, Kedah yang DYMM Tuanku Sultannya menaiki takhta menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali, bagi pemilihan kali ini saya dengan penuh rendah diri ingin menawarkan diri bertanding sebagai Naib Presiden UMNO Malaysia,” katanya.

Beliau mengumumkan hasratnya itu pada majlis memperkenalkan calon-calon dari Kedah bagi pemilihan UMNO di peringkat pusat, di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon di sini.

Jawatan naib presiden UMNO kini disandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Pertahanan). Ketiga-tiga mereka telah menyatakan hasrat untuk mempertahan jawatan itu.

Selain Mukhriz, dua lagi pemimpin telah mengumumkan akan bertanding jawatan itu iaitu Pengerusi Risda Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata sebagai pemimpin negeri, beliau tidak dapat tidak, perlu mendengar nasihat dan menerima desakan daripada pengikut.

” Antara nasihat yang banyak saya terima ialah untuk memastikan saya terus memberi khidmat, jika boleh, ke peringkat yang lebih tinggi. Nasihat-nasihat ini, semakin menjadi satu harapan. Sebagai pemimpin, saya semestinya tidak boleh lari dari perkara ini, yang juga merupakan tanggungjawab,” katanya.

Dalam ucapannya, Mukhriz turut menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Usah Jadi Polemik Politik, Bantu Bumiputera Termaktub Dalam Perlembagaan

Posted: 19 Sep 2013 04:33 AM PDT

KUALA LUMPUR, 19  Sept. – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam agenda membela serta memperkasa ekonomi bumiputera bukanlah sesuatu yang baru atau mengejutkan sehingga wajar untuk dipolitikkan, kata Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman.

Katanya, pemerkasaan ekonomi bumiputera bukanlah sesuatu yang patut menjadi bahan polemik untuk dipolitikkan sebaliknya implimentasi kepada apa yang dinyatakan untuk masyarakat bumiputera itu adalah lebih penting.

"Apa sahaja dasar pembangunan negara termasuklah pemerkasaan ekonomi bumiputera ini secara tidak langsung akan memberi kesan positif kepada masyarakat keseluruhannya kerana tidak ada dinding pemisah untuk setiap dasar yang dilaksanakan kerajaan dengan kaum-kaum lain," katanya kepada UMNO-Online.

Ujarnya, kebimbangan pemimpin negara terhadap ekonomi bumiputera adalah berasas kerana kaum bumiputera tidak mencapai ekuiti yang ditetapkan berbanding dengan kaum-kaum lain yang ekonominya telah mantap.

"Membantu masyarakat bumiputera adalah termasuk dalam Perlembagaan negara dan ia amat jelas tertulis dengan menetapkan kuota, rizab dan sebagainya mengikut apa-apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri.

"Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah contoh terbaik yang mana kerajaan membantu masyarakat Melayu yang secara kebetulannya adalah golongan yang ketinggalan dalam sudut ekonomi jika berbanding dengan kaum-kaum lain namun dalam masa yang sama keadilan semua kaum tidak pernah diketepikan."

Katanya, agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera adalah langkah baru kerajaan bagi memastikan pencapaian setiap kaum adalah selari termasuk masyarakat bumiputera.

"Pengumuman ini adalah hasil daripada peneletian berikutan keprihatinan Perdana Menteri yang merasakan perlunya diperbaharui azam baru bagi memperbaiki kedudukan ekonomi masyarakat bumiputera dan orang-orang Melayu."

Tegasnya, sebagaimana DEB juga, pemerkasaan ekonomi bumiputera yang bersandarkan kepada lima teras dilaksanakan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencipta serta menjana kekayaan baru agar nikmat dan kemakmurannya dapat diraih dan dirasai oleh semua rakyat Malaysia secara adil dan saksama.

"Kerajaan ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab, menunaikan janji dan melaksanakan amanah dari rakyat malah dengan segala pencapaian yang diperoleh hari ini maka sewajarnya ia menjadi ukuran bahawa kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum, tanpa mengira latar belakang, sama ada bumiputera atau bukan bumiputera, Islam mahu pun bukan Islam." - MediaUMNO

Tiada Projek Sulit Beri Taraf Warganegara Kepada Rakyat Asing di Sabah – Najib

Posted: 19 Sep 2013 04:28 AM PDT

KUALA LUMPUR, 19 Sept -  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tiada projek sulit oleh kerajaan berhubung pemberian taraf kewarganegaraan kepada warganegara asing di negara ini.

Malah, tegas beliau kewarganegaraan diberikan mengikut proses undang-undang negara dan Perlembagaan Persekutuan, dan negara-negara lain juga menawarkan proses kewarganegaraan mengikut syarat masing-masing.

“(Perdana Menteri keempat) Tun Dr Mahathir Mohamad telah menjawab dengan terang dalam RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) bahawa tidak ada ada apa-apa projek sulit yang kita (kerajaan) lakukan.

“Apa pun yang jadi (dapat taraf) warganegara negara ini mengikut proses undang-undang negara berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan. Tetapi kalau nak kata satu projek sulit, itu tidak benar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan tahunan Middle Temple 2013 di sini, Khamis.

Najib berkata demikian bagi menjawab soalan berhubung keterangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini bahawa kerajaan di bawah pimpinannya (Najib) mengetahui mengenai pemberian taraf kewarganegaraan itu.

Berhubung Ketua Parti Komunis Malaya Chin Peng, Najib menafikan bahawa kerajaan tidak memberi peluang kepada Chin Peng untuk pulang ke negara ini sebelum beliau meninggal dunia.

Perdana Menteri berkata beliau telah menyemak Perjanjian Hatyai 1989, dengan kerajaan telahpun memberi peluang kepada Chin Peng untuk memohon kewarganegaraan negara ini dalam tempoh setahun tetapi beliau enggan berbuat demikikan.

“Chin Peng tidak melakukan apa-apa tindakan ke arah untuk menjadi warganegara. Dengan ini, maka haknya sudah luput,” tegasnya.

Kepada soalan sama ada kerajaan boleh bertindak berdasarkan “kemanusiaan” untuk membawa pulang mayat Chin Peng, yang meninggal dunia di Bangkok, Thailand pada Isnin lepas, ke negara ini, Najib berkata negara mempunyai pendapat berbeza mengenai perkara itu.

“Tetapi (kita) jangan lupa dengan mangsa-mangsa komunis, mereka amat emosional dengan apa yang telah berlaku. Berapa ramai orang yang telah mati, dan begitu ramai yang cedera, begitu ramai yang hilang mata pencarian, ia (pasti akan) menjadi perkara yang amat emosional sekiranya kami (kerajaan) membawa pulang mayat mendiang,” katanya.

Kepada soalan lain bahawa kerajaan tidak mengendahkan sumbangan Chin Peng dalam menentang British semasa era penjajahan, Najib berkata: “Tidak, anda perlu pertimbangkan itu dengan hakikat bahawa beliau bertanggungjawab bagi pembunuhan beribu-ribu askar, polis dan orang awam. Ia perlu dilihat dalam konteks ini.”

Ditanya sama ada rakyat Malaysia boleh memberi penghormatan terakhir ke atas mayat Chin Peng di Bangkok, Najib berkata itu adalah hak individu untuk berbuat demikian.

“(Bagaimanapun) kita tidak beri penghormatan terakhir ke atas mereka yang bertanggungjawab bagi kematian beribu-ribu orang. Jika anda lihat itu dalam konteks bagaimana Amerika melayani Osama bin Laden, anda dapat lihat bahawa Chin Peng mati kerana sakit tua.

“Osama bin Laden telah diburu, dan beliau telah dibunuh dan jenazahnya dibuang ke laut. Itu yang telah dilakukan Amerika dalam kes Osama bin Laden,” katanya.

Tembelang Pembohongan Keluarga Lim Pertahankan Kuasa Dalam DAP

Posted: 19 Sep 2013 03:36 AM PDT

Seperti yang saya tuliskan semalam, hari ini saya kembali dengan kisah penipuan Dinasti Lim dalam DAP. Mulai hari ini saya akan kongsikan dengan anda bagaimana Dinasti Lim memanipulasi perlembagaan DAP untuk memastikan mereka terus berkuasa.

Lim-Kit-Siang-and-Lim-Guan-Eng-Rasis-Cauvinis-Kaum-Cina

Sejak 1968 DAP sentiasa dikawal oleh Lim Kit Siang yang memegang jawatan Setiausaha Agung atau Pengerusi Kebangsaan. Dalam organisasi DAP Setiausaha Agung paling berkuasa. Konsep ini sama seperti yang diamalkan oleh Parti Komunis Malaya yang mana jawatan Setiausaha Parti Komunis Malaya dipegang oleh Chin Peng.

Berikut adalah salah satu cara yang dimanipulasi oleh Lim Kit Siang untuk memastikan dia dan disnatinya terus berkuasa.

Parti DAP tidak mempunyai bahagian disetiap parlimen sepertimana yang diamalkan parti-parti lain. Mereka hanya mempunyai cawangan sahaja.

Cawangan-cawangan parti DAP pula dibahagikan kepada dua kumpulan.

i) Cawangan sijil A
ii) Cawangan sijil B

Penentuan samada sesebuah cawangan layak mendapat sijil A atau sijil B dibawah kuasa Setiausaha Agung.

Ahli-ahli cawangan sijil A layak untuk hadir ke Kongres Kebangsaan DAP dan layak mengundi untuk memilih CEC.

Ahli-ahli cawangan sijil B hanya layak hadir ke Kongres Kebangsaan DAP sebagai pemerhati sahaja dan TIDAK dibenarkan mengundi.

Cawangan yang dikenal pasti menyokong Dinasti Lim akan diberi sijil A untuk membolehkan mereka mengundi. Mana-mana cawangan yang dikenal pasti tidak menyokongnya dan tidak akan memberi undi kepadanya akan diberi sijil B untuk menghalang mereka daripada mengundi, walaupun sebelum itu cawangan tersebut mempunyai sijil A. Setiausaha Agung berkuasa untuk menukar sijil cawangan dari A ke B atau dari B ke A bila-bila masa sahaja mengikut keperluannya.

Cara kedua bagaimana Lim Kit Siang memanipulasi Perlembagaan DAP untuk memastikan dia dan dinastinya terus berkuasa.

Perlembagaan DAP yang dirangka Lim Kit Siang juga menetapkan bahawa ahli-ahli yang layak mengundi pada pemilihan parti tidak boleh memilih siapa yang mereka hendak letak sebagai Pengerusi Kebangsaan, Timbalan Pengerusi Kebangsaan, Naib Pengerusi Kebangsaan, Setiausaha Agung dan jawatan-jawatan yang lain. Mereka hanya boleh memilih 20 calon-calon yang bertanding untuk mengisi CEC.

Apabila keputusan 20 yang terpilih sebagai anggota CEC diumumkan maka 20 orang yang terpilih itu akan bermesyuarat untuk menentukan siapa yang dipilih sebagai Pengerusi, Naib Pengerusi, Setiausaha Agung dan jawatan lain. Tidak ada undi sulit. Mereka diminta memilih secara terbuka di depan keluarga Lim.

Apabila berhadapan dengan situasi begini semua anggota CEC akan menjadi seperti lembu dicucuk hidung dan mereka terpaksa memilih Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung selaku orang yang paling berkuasa dalam DAP.

keluarga-dinasti-kroni-empayar-kuasa-kuku-besi-lim-kit-siang-guan-eng-dap-rasis

Jika ada yang cuba melawan mereka tidak akan dipilih sebagai calon dalam pilihanraya dan akan menerima nasib malang sepertimana yang dialami oleh Lee Lam Thye, Wee Choo Keong dan lebih 100 orang lagi yang telah dipecat dari DAP.

Hampir 50 tahun Lim Kit Siang bukan sahaja memanipulasi perlembagaan DAP malah turut memanipulasi kehadiran perwakilan ke Kongres Kebangsaan serta pengiraan undi pemilihan CEC untuk memastikan dia atau dinastinya akan terus menguasai DAP.

Kit Siang tahu dia sekarang sudah dihujung usia dan penggal ini adalah penggal terakhirnya. Jadi dia perlu pastikan perjalanan politik dinastinya dalam DAP terus selamat. Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung dan Lim Hui Ying sebagai Setiausaha DAP Pulau Pinang.

Lim Kit Siang juga tahu anaknya Lim Guan Eng tidak sepintar beliau dalam berpolitik dan juga tidak disukai oleh ramai pimpinan DAP kerana sikap angkuh dan sombong. Kebodohan Lim Guan Eng terserlah dalam CEC tahun 2012. Dia tidak sebijak Lim Kit Siang dalam memanipulasi undi sehingga membuatkan DAP berhadapan dengan masalah besar sekarang.

Akibat kebodohan Lim Guang Eng itu, kini Lim Kit Siang sedang memerah otak berfikir bagaimana cara untuk beliau menendang keluar satu kumpulan yang dikenali sebagai Lima Harimau yang boleh mendatangkan masalah besar kepadanya dan dinastinya dalam DAP.

Siapa Lima Harimau dan kenapa Lim Kit Siang perlu sembelih mereka ?

thedapinsider.blogspot.com

Pas Buat Cadangan Ulama Mereka Macam Tiada Nilai

Posted: 19 Sep 2013 03:32 AM PDT

KUALA LUMPUR 19 Sept – Tindak-tanduk beberapa pemimpin Pas yang dilihat lebih cenderung untuk mempertahankan kedudukan bersama sekutu mereka di dalam pakatan pembangkang seolah-olah memperlekehkan apa yang diutarakan oleh Ulama mereka sendiri beberapa hari lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Abdul Aziz Yusuf berkata resolusi yang dinyatakan pada Multaqa Ulama Se-Malaysia agar tahaluf siyasi antara Pas dengan sekutunya disemak semula adalah satu pandangan yang cukup konkrit untuk dinilai sebaik mungkin.

pas-liberal-islam-sekular-dap-tolak-usul-saranan-ulama-syura-fatwa

Menurut beliau apakah kerana kepentingan politik sempit, apa yang diutarakan oleh pimpinan ulama mereka sendiri tidak membawa apa-apa pengertian yang boleh dilakukan demi perjuangan Pas dan umat Islam seluruhnya.

"Saya melihat mungkin perumpamaan 'tidur sebantal mimpi lain-lain' yang sebelum ini cukup sinonim dengan pembangkang sudah dapat dirasai oleh pimpinan ulama mereka. Sebab itulah munculnya resolusi berkenaan dan saya fikir itu adalah ikhlas lahir daripada ulama mereka sendiri.

"Cumanya jika perhatikan terdapat pelbagai kenyataan mengenai perkara berkenaan…Ada yang berkata begitu dan begini. Sepatutnya satu arah dan masing-masing mencari apa yang diutarakan itu ada kebenarannya atau sebaliknya," katanya.

Kata beliau lagi umum boleh membuat pelbagai penilaian yang antara lain terdapat segelintir pimpinan mereka yang mungkin melihat soal berkenaan secara sinis dan sebagainya.

"Tak mahulah saya komen lanjut….. Secara luarannya saya melihat begitulah. Rakan sekutu diutamakan atau apakah mungkin mereka mahu menjaga air muka sekutu mereka berbanding pandangan ulama dalam parti sendiri," ujarnya. -MediaUMNO

Tidak Ada Alasan Untuk Mewajarkan Chin Peng Dikebumikan Di Malaysia

Posted: 19 Sep 2013 03:15 AM PDT

KUALA LUMPUR, 19 Sept – UMNO Bahagian Kluang berpandangan Chin Peng tidak wajar dikebumikan di Malaysia kerana status Chin Peng itu sendiri tidak jelas sama ada warganegara Malaysia atau tidak.

Ketuanya, Md Jais Sarday menjelaskan, pada 27 Julai 2009, Mahkamah Rayuan telah menolak tuntutan Chin Peng atas ketiadaan dokumen yang menyokong bahawa beliau adalah rakyat Malaysia.

Maka itu tegas beliau  jika Chin Peng bukanlah warganegara Malaysia, tiada sebab agar mayatnya perlu dikebumikan di Malaysia.

“Kita juga perlu melihat fakta sejarah berdasarkan perjanjian damai Hat Yai 1989 yang telah ditandatangani pada 2 Disember 1989 antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya.

“Berdasarkan perjanjian berkenaan, terdapat klausa yang menetapkan ahli PKM yang ingin kembali ke Malaysia perlu menyatakan hasrat mereka kepada pihak berkuasa dalam tempoh setahun perjanjian ditandatangani. Kegagalan Chin Peng untuk melakukan sedemikian dan terus menetap di Thailand perlu diambil kira,” ujarnya.

Seterusnya, kata beliau lagi adalah tidak wajar menyamakan Malaysia dengan negara lain.

“Chin Peng bukan sahaja membawa fahaman komunis, mengangkat senjata menentang Kerajaan malah tidak pernah menyatakan kekesalannya membunuh rakyat Malaysia.

“Oleh itu, kenapa perlu kita menghargai dan menerima agar Chin Peng dikebumikan di Malaysia? Bukankah rakyat Malaysia telah menolak fahaman komunis sejak sebelum merdeka lagi.

“Cukuplah rakyat Malaysia khususnya keluarga-keluarga mangsa yang terbunuh dengan sejarah hitam yang lalu kerana komunis. Usah ditambah dan dikembalikan derita mereka. Kerajaan Malaysia pada hari ini telah berlaku adil dan diharapkan tiada mana-mana pihak yang akan mempertikaikan tindakan Kerajaan untuk tidak menerima Chin Peng dikebumikan di Malaysia,” tambahnya. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment

TERHANGAT, TERKINI DAN TERHEBAT