SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

TERKINI DAN TERHEBAT

Sunday, June 23, 2013

UMNO Online - “2,000 Perwakilan UMNO Terengganu Hadiri Taklimat Pemilihan Parti Hari Ini” plus 8 more

UMNO Online - “2,000 Perwakilan UMNO Terengganu Hadiri Taklimat Pemilihan Parti Hari Ini” plus 8 more

Link to UMNO Online

2,000 Perwakilan UMNO Terengganu Hadiri Taklimat Pemilihan Parti Hari Ini

Posted: 22 Jun 2013 03:18 AM PDT

KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Kira-kira 2,000 perwakilan Umno dari 1,028 cawangan dan lapan bahagian di Terengganu menghadiri taklimat mengenai pemilihan parti yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.

Setiausaha Kerja Umno Malaysia Datuk Abdul Rauf Yusof berkata taklimat itu bertujuan memastikan pemilihan pada setiap peringkat dilaksana dengan baik mengikut pindaan perlembagaan parti yang dibuat pada 2009.

Terengganu merupakan negeri kelapan dalam siri jelajah penerangan ini, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat itu.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi Umno Terengganu antara pemimpin parti yang hadir pada taklimat itu.

Umno akan melaksanakan pemilihan pimpinannya tahun ini, bagaimanapun setakat ini hanya tarikh pemilihan peringkat cawangan diputuskan iaitu dari 15 Julai hingga 31 Ogos, manakala tarikh pemilihan peringkat bahagian dan pimpinan tertinggi parti belum ditentukan.-MediaUmno

 

Fokus Pada Penyatuan Anggota Dan Keutuhan UMNO – Adnan Yaakob

Posted: 22 Jun 2013 02:56 AM PDT

PEKAN, 22 Jun –  Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob meminta semua anggota Umno memberi fokus kepada agenda penyatuan anggota dan keutuhan parti.

Katanya isu seperti sama ada jawatan presiden dan timbalan presiden Umno dipertandingkan atau tidak pada pemilihan akan datang bukan isu mustahak dan ia perlu ditolak tepi terlebih dahulu.

Beliau berkata pada masa negara baru sahaja selesai Pilihan Raya Umum Ke-13, seluruh anggota parti seharusnya menilai dan melihat bagaimana sokongan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) pada masa kini.

“Apa yang mustahak kita kena kaji kenapa ada rakyat yang menolak kita pada pilihan raya lalu, benda lain tidak mustahak, yang penting Umno itu mesti diterima oleh rakyat.

“Memang pandangan peribadi saya sebelum ini menyatakan wajar dua jawatan tertinggi itu dipertandingkan, tetapi penekanan saya adalah jangan kita sibuk menunjukkan kita ini tidak demokratik, kita tetap sokong Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalannya.

“Siapa lagi yang layak bertanding sebagai presiden dan timbalan presiden dalam Umno ini (selain mereka) tetapi janganlah kita sibuk soal bertanding ini atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang 2013 di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Adnan sebelum ini tidak menyokong cadangan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan Umno akan datang kerana beliau berpendapat bahawa sebagai sebuah parti yang demokratik, semua jawatan dalam Umno perlu diadakan pertandingan.

Bagaimanapun, kenyataan Adnan itu hanya pandangan peribadi beliau dan tidak diputuskan di dalam mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri. – MediaUmno

Kedah Naik Taraf Stadium Untuk Keselesaan, Keselamatan Pengguna

Posted: 22 Jun 2013 02:51 AM PDT

ALOR SETAR, 22 Jun – Kerajaan Kedah akan menaik taraf dan memperbaiki kemudahan di semua stadium di negeri ini, terutama Stadium Darul Aman, bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penggunanya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Aminuddin Omar berkata pihaknya menerima aduan berkaitan beberapa kemudahan di stadium yang rosak dan perlu diperbaiki.

“Saya dah melawat beberapa stadium di sekitar Kedah dan telah minta pengurus yang bertanggungjawab menjaga stadium ini untuk menyenaraikan kerosakan yang berlaku.

“Pihak saya akan bertindak dengan segera selepas mengetahui senarai kerosakan dan kita akan pastikan kerja-kerja pembaikan dilakukan dengan segera,” katanya kepada Bernama selepas Program Bersama Anak-anak Yatim di sini hari ini.

Beliau berkata baru-baru ini, Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir meluluskan peruntukan bagi memperbaiki tandas awam di Stadium Darul Aman.

“Bila Datuk Mukhriz dapat aduan mengenai kerosakan ini, beliau terus ambil tindakan segera dengan beri kelulusan peruntukan.

“Walaupun kerja pembaikan belum dimulakan, tapi peruntukan sudah dapat, jadi kita akan cuba selesaikan masalah ini dengan segera namun mengikut prosedur,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata kerajaan negeri tidak menghadapi masalah bagi membantu pusat jagaan anak-anak yatim di Kedah serta menyalurkan sumbangan serta kemudahan yang diperlukan.

“Saya yakin di bawah Datuk Mukhriz ini, kita tidak akan tinggalkan sesiapa yang memerlukan bantuan, baik bagi anak-anak yatim mahupun golongan yang memerlukan, cuma kita perlu cari alternatif terbaik untuk membantu mereka,” katanya mengulas permohonan Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI) Cawangan Alor Setar agar kerajaan negeri membantu anak yatim.

Pada program itu, seramai 60 anak yatim sekitar Alor Setar dirai Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Ulu Klang, WI cawangan Alor Setar dan Kelab Merdeka Muda Malaysia (KeMuda).-MediaUmno

 

Penyakit ‘Hati Angkuh’ Punca Pembangkang Anjur Perhimpunan – Tengku Adnan

Posted: 22 Jun 2013 02:30 AM PDT

PETALING JAYA, 22 Jun – Penyakit ‘hati angkuh’ yang dihidapi pemimpin pakatan pembangkang terutama Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan punca mengapa pakatan itu tidak mahu menerima keputusan pilihan raya umum ke-13 dan menganjurkan perhimpunan di Padang Merbok hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kerana penyakit itu pembangkang sengaja membutakan mata mereka terhadap keputusan rakyat pada pilihan raya umum lepas dan tetap meneruskan perhimpunan itu walaupun tahu ia bakal mengundang keresahan warga kota.

“Orang seperti ini memang sentiasa nak cari kaedah nak jadikan negara ini kucar kacir, kita bagi Stadium Merdeka untuk mereka berhimpun tapi mereka tak mahu kerana penyakit hati angkuh, Stadium Merdeka orang tak nampak mereka nak terpekik sana sini.

“Mereka sengaja mencari kaedah untuk mengucar-kacirkan negara, nak susahkan dan tipu rakyat, inilah penyakit hati mereka. Hati busuk atau sakit hati kita boleh tolong ubat, tetapi sakit hati angkuh ini susah nak cari penawarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengundian Unit Rumah Kerinchi Residensi di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr J Loga Bala Mohan dan Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Empat Tingkat Kampung Kerinchi Ahmad Rahman.

Kerinchi Residensi merupakan projek pembangunan semula Rumah Pangsa Empat Tingkat Kampung Kerinchi di sini yang melibatkan pembangunan 473 rumah setiap satunya berkeluasan 900 kaki persegi dengan kos kira-kira RM600 juta. Projek itu dijangka siap pada April 2016.

Tengku Adnan turut menasihatkan Anwar supaya menerima hakikat bahawa anggota Parlimen Permatang Pauh itu tidak dipilih rakyat untuk menjadi perdana menteri dan menghentikan perbuatan yang menyusahkan hidup rakyat.

“Seperti projek Kerinchi Residensi ini ada 35 penduduk asal yang tak mahu terlibat dengan projek pembangunan semula kerana termakan kata-kata manis pembangkang, akhirnya mereka terlepas peluang miliki rumah selesa bernilai RM500,000 diberi kerajaan dengan pertukaran dengan rumah lama mereka.

“Selain Kampung Kerinchi kita ada projek pembangunan semula seperti di Kampung Baru dan kawasan perumahan tentera lama di Jalan Ipoh yang mahu kita bangunkan untuk memberi kehidupan lebih baik untuk warga kota,” katanya.

Di KOTA BELUD, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang mendakwa mereka yang terkorban semasa perhimpunan itu sebagai mati syahid adalah tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan huru-hara.

Beliau yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah berkata rakyat sepatutnya berhati-hati dalam setiap perbuatan dan tidak mengikut perasaan bagi menjaga keharmonian negara yang berbilang kaum dan agama.

Terdahulu, Abdul Rahman merasmikan majlis penutup Konvensyen Pasukan Bomba Sukarela dan menyampaikan geran bantuan pentadbiran sejumlah RM3,000 kepada setiap 37 pasukan bomba di Dewan Masyarakat Tun Said di sini, hari ini. – MediaUmno

Naib Presiden Pas Husam Ditahan Polis Untuk Siasatan Di Bawah Akta Hasutan

Posted: 22 Jun 2013 02:21 AM PDT

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa ditahan polis hari ini untuk siasatan mengikut Akta Hasutan.

Husam di dalam laman twitternya memberitahu beliau ditahan di Desa Pandan, Ampang oleh polis Bukit Aman dan dibawa ke Balai Polis Ampang.

“Akan dibawa ke Kelantan untuk siasat bawah Akta Hasutan,” katanya.

Pemangku Ketua Polis Selangor A. Thaiveegan mengesahkan mengenai penahanan Husam dan berkata kes berkenaan dikendalikan Bukit Aman.

Husam seperti dilaporkan dalam Harakahdaily Ahad lalu berkata, peserta yang terkorban ketika menyertai perhimpunan pembangkang di Padang Merbok di sini hari ini dianggap sebagai mati syahid.

Kenyataannya itu bertentangan dengan pandangan Timbalan Mursyidul Am PAS  Datuk Dr Haron Din yang mahu ahli parti mematuhi pendirian serta nasihat Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa tiada paksaan untuk mereka menyertai perhimpunan itu.-MediaUmno

Jangan Politikkan Kebakaran Kampung Datuk, Kerajaan Sedang Giat Membantu Mangsa

Posted: 22 Jun 2013 02:16 AM PDT

SIBU, 22 Jun – Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak mengingatkan pihak tertentu supaya tidak mempolitikkan tragedi kebakaran Kampung Datu pada Rabu lepas yang memusnahkan 60 unit rumah kayu dan mengakibatkan kira-kira 700 orang tinggal sehelai sepinggang.

Ketuanya Datuk Fadillah Yusof berkata kesemua mangsa kini berada dalam keadaan trauma dan susah manakala kerajaan sedang bertungkus lumus untuk membantu meringankan beban mereka.

“Dalam keadaan bencana seperti ini janganlah ia dimanipulasi untuk dipolitikkan. Fokus kita sekarang ialah mencari jalan penyelesaian untuk membantu meringankan beban dan memberi keselesaan kepada mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Fadillah mengiringi Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri Toh Puan Hajah Norkiah melawat mangsa dan meninjau kawasan kebakaran di Kampung Datu.

Pergerakan Pemuda BN Sarawak turut melancarkan Tabung Bencana Kampung Datu bagi membantu mangsa kebakaran.

Sehubungan itu beliau meminta mangsa-mangsa kebakaran supaya menaruh kepercayaan penuh kepada kerajaan BN untuk membantu dan membela nasib mereka.

Beliau berkata, tindakan yang perlu diambil segera sekarang ialah untuk mencari penempatan sementara bagi mangsa yang kini ditempatkan di bangunan Tadika LAKIS di perkarangan Masjid An-Nur di sini.

Baru-baru ini Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg mengumumkan kerajaan negeri bersedia untuk menyediakan penempatan sementara di Bandar Baru Sibu Jaya dan Rantau Panjang kepada mangsa.

Mangsa dijangka dapat dipindahkan di Bandar Baru Sibu Jaya selewat-lewatnya sebelum bulan puasa ini. Tumpuan lain ialah mencari jalan penyelesaian untuk menyediakan tempat tinggal tetap kepada semua mangsa.

Mengenai desas-desus kononnya kebakaran itu perbuatan sabotaj pihak tertentu, Fadillah berkata serahkan kepada polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan siasatan terperinci.

Menurutnya, jika ada bukti terdapat unsur-unsur sabotaj, polis akan mengambil tindakan sewajarnya.

Fadillah yang juga Menteri Kerja berkata beliau akan membawa permasalahan mangsa kebakaran itu kepada Kabinet persekutuan untuk tindakan sewajarnya.

Pada lawatan itu, Abang Muhammad Salahuddin dan isteri turut menyampaikan sumbangan peribadi RM500 kepada setiap 133 ketua keluarga mangsa kebakaran disamping mendengar luahan mangsa.

Terdahulu, beliau menghadiri taklimat oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Nangka Dr Annuar Rapa'ee di bilik gerakan bencana Kampung Datu di pejabat LAKIS. – MediaUmno

Kementerian Sedang kenal Pasti Permasalahan Fizikal Sekolah – Mary Yap

Posted: 22 Jun 2013 02:11 AM PDT

TAWAU, 22 Jun – Kementerian Pendidikan sedang menjalankan kajian bagi mengenal pasti permasalahan pada bangunan dan infrastruktur sekolah di seluruh negara sebelum mengambil langkah perlu bagi menanganinya.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Mary Yap Kain Ching berkata bagaimanapun usaha penyelesaian itu akan dilakukan secara berperingkat dan mengambil masa.

“Semua masalah yang dikenal pasti akan diselesaikan namun kita tak boleh berharap segalanya dapat diselesaikan serta-merta, yang pasti kita berusaha menyelesaikannya,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat Projek Pembangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Tawau, di sini hari ini.

Mengulas perkara lain, Yap yang juga Anggota Parlimen Tawau, berkata beliau akan berusaha menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan sekolah di daerah itu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JKR Sabah Amrullah Kamal yang turut hadir, berkata pihaknya merancang untuk membina jalan pintas sepanjang 19 kilometer dari Jalan Kinabutan ke Jalan Jambatan Putih bagi menangani kesesakan tiga jalan raya utama di Tawau.

Turut menjadi keutamaan JKR Sabah ialah pembinaan lebuh raya pesisir pantai yang menghubungkan Jalan Pesisiran Tawau ke Jalan Apas Parit yang sudah dirancang sejak 10 tahun lepas, katanya.

Amrullah berkata JKR Sabah juga akan menaik taraf Jalan Kuhara-Jalan Utara dalam usahanya mengurangkan kesesakan di tawau.

Semua ini dalam perancangan dan akan dibawa kepada pihak atasan untuk dipertimbangkan, katanya. – MediaUmno

Palanivel Mahu Mesyuarat Jerebu DiPercepat

Posted: 22 Jun 2013 02:05 AM PDT

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Sub-Wilayah (MSC) mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ke-15 yang dijadualkan di Malaysia pada Ogos ini, perlu dipercepatkan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel berkata perkara itu perlu kerana keadaan berjerebu yang semakin serius di rantau ini mesti diatasi secepat mungkin.

“Kalau boleh kami nak percepatkan rundingan ke awal Julai. Kami tidak mahu tunggu sehingga akhir Ogos kerana kami inginkan jalan penyelesaian dicapai secepat mungkin.

“Setakat ini hanya Indonesia dalam kalangan negara Asean yang belum meratifikasi Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (CO5),” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Menurut Palanivel mesyuarat itu dijadualkan dari 19 hingga 21 Ogos ini. Mengenai ratifikasi C05 dan bantuan pembenihan awan, Palanivel berkata beliau akan membincangkan perkara itu dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, Prof Dr Balthasar Kambuaya pada pertemuan Rabu ini.

“Kami menawarkan perkhidmatan pembenihan awan kepada Indonesia kerana jerebu itu berpunca daripada pembakaran hutan di negara mereka.

“Walau bagaimanapun, ianya bergantung kepada Indonesia sama ada mahu menerima (tawaran Malaysia) atau tidak,” katanya.

Beliau sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) dengan Persatuan Zoologi Malaysia (MZS) mengenai perlindungan panda gergasi dan program penyelidikan yang akan dijalankan di Zoo Negara.

Jabatan Perhilitan diwakili Ketua Pengarahnya Datuk Abd Rasid Samsudin, manakala MZS oleh Presidennya Datuk Sr. Zaharin Md Arif.

Palanivel berkata MoU itu adalah mengenai penjagaan dua beruang panda gergasi yang akan tiba di Zoo Negara pada Disember ini, dan tanggungjawabnya dipikul Jabatan Perhilitan dan MZS.

Katanya ruang eksibit khas yang bakal menjadi kediaman sepasang beruang panda dari China — Fu Wa dan Feng Yi — untuk tempoh 10 tahun akan datang itu dijangka siap sepenuhnya November ini.

Palanivel berkata kementeriannya juga akan menaik taraf kemudahan di Zoo Negara, antaranya mewujudkan safari malam yang membolehkan pengunjung melawat ke zoo pada waktu malam.

Kementerian itu akan membentangkan kertas kerja berhubung dengan penaiktarafan kemudahan dan infrastruktur Zoo Negara pada mesyuarat kabinet minggu depan, katanya.

“Setakat ini hanya Zoo Taiping sahaja yang mempunyai perkhidmatan ‘Night Safari’ kerana mereka mempunyai kemudahan lengkap. Zoo Negara tidak dapat berbuat demikian kerana kemudahan tidak mencukupi.

“Dengan kewujudan ‘Night Safari’ ini, saya yakin Zoo Negara mampu menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang berkunjung, ditambah pula dengan kemasukan dua ekor panda gergasi terbabit, ” katanya.

Program panda gergasi antara Malaysia dan China itu adalah simbolik sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara yang akan dirai tahun depan. – MediaUmno

 

Lokasi Perhimpunan Tidak Strategik dan Mengganggu Lalu Lintas – Tengku Adnan

Posted: 22 Jun 2013 01:52 AM PDT

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Pembangkang digesa menukar lokasi perhimpunan haram yang dijadual di Padang Merbok di sini hari ini ke Stadium Merdeka bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membuat saranan itu semasa melakukan tinjauan di Padang Merbok pada 12.50 tengah hari ini untuk melihat situasi di situ sebelum perhimpunan anjuran pembangkang itu yang dijangka diadakan pada 3 petang.

Beliau berkata Jalan Parlimen, yang terletak dekat dengan padang itu, merupakan antara laluan utama untuk masuk ke ibu negara, terutama pada hujung minggu.

“Ia tidak strategik untuk pembangkang mengadakan perhimpunan di sini. Kita telah membuka Stadium Merdeka untuk pembangkang mengadakan perhimpunan hari ini tetapi mereka degil,” katanya yang turut diiringi Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad dan beberapa pegawai kanan kementerian.

Katanya jika pembangkang meneruskan perhimpunan itu di Padang Merbok, laporan polis akan dibuat bagi tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.

Tengku Adnan turut melahirkan penghargaan dan simpati terhadap pasukan polis yang terpaksa bertugas mengawal keadaan dan keselamatan awam dalam suasana panas dan berjerebu.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan hari ini setelah pihaknya mendapat maklumat bahawa pihak penganjur mengarahkan semua peserta perhimpunan mencetuskan provokasi terhadap pihak berkuasa yang ditugas mengawal keadaan.

Polis menjangkakan pihak penganjur akan mencetuskan huru-hara di sekitar Kuala Lumpur dengan tujuan untuk disebarkan ke seluruh dunia melalui medium komunikasi bagi menunjukkan kekerasan pihak berkuasa.

Selain amaran polis, pihak penganjur juga tidak menghiraukan masalah jerebu yang melanda negara kini sehingga menyebabkan banyak sekolah ditutup dan majlis rasmi ditunda di selatan Semenanjung Tanah Melayu – MediaUmno           

No comments:

Post a Comment

TERHANGAT, TERKINI DAN TERHEBAT