SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

TERKINI DAN TERHEBAT

Sunday, November 24, 2013

UMNO Online - “Perbankan Kini Jadi Industri Perkhidmatan Kewangan Dinamik Malaysia – Najib” plus 4 more

UMNO Online - “Perbankan Kini Jadi Industri Perkhidmatan Kewangan Dinamik Malaysia – Najib” plus 4 more

Link to UMNO Online

Perbankan Kini Jadi Industri Perkhidmatan Kewangan Dinamik Malaysia – Najib

Posted: 23 Nov 2013 09:45 AM PST

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Seiring dengan ekonomi Malaysia yang mengalami permodenan, industri perbankan negara kini menjadi industry perkhidmatan kewangan yang dinamik, penting kepada kejayaan ekonomi lebih luas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata negara mempunyai harapan yang besar bagi sektor kewangan memandangkan sektor ini akan terus memainkan peranan penting dalam membantu mewujudkan ekonomi yang cergas dan mampan.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata adalah penting bagi Malaysia untuk bersedia menghadapi risiko masa depan dan ketidaktentuan.

“Kita lihat dalam krisis kewangan baru-baru ini – yang Malaysia Berjaya mengharungi dengan baik – kepentingan pengurusan ekonomi yang kukuh, berdasarkan kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Negara-negara dan syarikat-syarikat yang mengambil risiko terlalu banyak, atau diperjudikan untuk keuntungan jangka pendek, adalah antara yang terjejas dengan teruk.

“Oleh itu, kita mesti terus berusaha untuk kemampanan jangka panjang dalam pengurusan ekonomi dan perniagaan kita,” kata Perdana Menteri pada majlis makan malam ulang tahun ke-100 penubuhan RHB Bank di sini malam ini.

Turut hadir ialah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi RHB Bank Bhd, Tan Sri Azlan Zainol.

Sementara itu, Najib berkata pengumuman Bajet 2014 baru-baru ini adalah berdasarkan kepada tiga pertimbangan asas, iaitu untuk meningkatkan ekonomi, komitmen untuk transformasi dan pengukuhan daya tahan ekonomi.

Dasar-dasar yang diperkenalkan dalam bajet berkenaan telah diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa, kata beliau.

Ini dapat dilihat melalui pengumuman Moody’s baru-baru ini, yang menaikkan prospek terhadap Malaysia kepada positif daripada stabil sementara Bank Dunia pula melonjakkan kedudukan Malaysia ke tempat keenam daripada 12 dalam laporan  tahunan ‘Doing Business’ bagi tempat yang paling mudah di dunia untuk menjalankan perniagaan.

“Ini merupakan petunjuk yang sangat jelas mengenai langkah-langkah yang kita telah perkenalkan pada bajet tahun ini, yang mencerminkan kehendak politik terhadap pengukuhan fiskal untuk mengukuhkan pendapatan negara,” kata Najib.

Beliau berkata kerajaan memahami peranan penting sektor perbankan dalam  pembangunan ekonomi.

Pertumbuhan ekonomi yang berasaskan kepada sektor perbankan yang kukuh, yang sanggup dan dapat memberi pinjaman kepada sektor swasta dan pelaburan masa depan.

“Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berterusan juga akan mewujudkan peluang pembiayaan baharu kepada bank-bank, terutamanya dalam sektor swasta, yang akan berterusan menjadi enjin pertumbuhan akan datang,” kata Najib.

RHB Bank bermula dengan penubuhan Kwong Yik Bank pada 1913, menjadikannya bank tempatan pertama Malaya dan selepas bergabung dengan DCB Bank Bhd pada  1997, dikenali sebagai RHB Bank Bhd.

 

Lebih 350 Penduduk Kampung Sabar Jaya, Sungkai Nikmati Bekalan Air Bersih

Posted: 23 Nov 2013 09:42 AM PST

SUNGKAI, 23 Nov –  Kerajaan negeri Perak memperuntuk RM525,000 bagi Projek Bekalan Air Bersih yang membabitkan lebih 350 penduduk Kampung Sabar Jaya di sini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata projek itu dilaksana oleh Lembaga Air  Perak (LAP) sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam mempertingkat infrastruktur di kawasan luar bandar.

Beliau berkata projek itu meliputi pemasangan paip sepanjang enam kilometre melibatkan 42 rumah dan pembinaan rumah pam khas bagi mengatasi masalah tekanan air rendah yang menyebabkan air tidak dapat disalur dengan sempurna.

“Saya harap pembinaan rumah pam ini akan mengakhiri masalah yang selama ini dihadapi penduduk kampung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek itu hari ini.

Projek bekalan air itu, yang siap sepenuhnya pada 15 Nov lepas, member kelegaan kepada penduduk kampung selepas menanti selama 22 tahun untuk mendapat bekalan air bersih.

Zambry juga berkata projek itu mengambil masa yang agak lama kerana mempunyai masalah teknikal yang tidak dapat dielak selain menunggu kebenaran penduduk untuk kerja penyambungan paip air di kawasan berkenaan.

“Isu yang timbul selama ini disebabkan oleh kedudukan kampung ini yang berada di kawasan pedalaman dan melibatkan tanah yang dimiliki penduduk untuk  menyambungkan paip air daripada laluan utama ke kawasan kampung ini.

“Saya harap mereka dapat gunakan kemudahan ini dengan sebaik-baiknya dengan apa yang disediakan kerana kita faham masalah mereka selama ini yang berlanjutan begitu lama dan akhirnya ia dapat diselesaikan,” katanya.

Perlantikan MT Tambahan UMNO Ketengah Suara Wanita – Azizah

Posted: 23 Nov 2013 09:35 AM PST

KOTA KINABALU, 23 Nov – Naib Ketua  Wanita UMNO Datuk Azizah Mohd Dun menyifatkan pelantikan beliau sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO  tambahan mampu mengetengahkan suara wanita, khususnya dalam membuat keputusanberkaitan golongan itu.

Azizah, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Presiden UMNO atas pelantikan itu.

“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan penyertaan saya dalam MT ini adalah bermakna bukan sahaja kepada wanita tetapi juga kepada parti,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pengiktirafan oleh presiden parti itu akan diguna sebaik mungkin bagi mewakili wanita dalam MT.

Semalam, Najib mengumumkan pelantikan empat anggota MT UMNO  tambahan iaitu dua daripada pergerakan Wanita dan masing-masing seorang daripada sayap Pemuda serta Puteri.

Turut dilantik Penolong Setiausaha Wanita Datuk Rosni Sohar, Naib Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun dan Naib Ketua Puteri Zahida Zarik Khan.

 

Pertukaran Cuti Hujung Minggu Tak Jejas Ekonomi Johor – MB

Posted: 23 Nov 2013 09:33 AM PST

MUAR, 23 Nov – Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin yakin pertukaran cuti hujung minggu dari hari Sabtu dan Ahad ke Jumaat dan Sabtu di negeri ini bermula awal tahun depan tidak akan memberi kesan besar terhadap ekonomi Johor.

Mohamed Khaled berkata mereka yang bercuti pada hari Ahad mempunyai ruang untuk berurusan dengan kerajaan negeri kerana hari tersebut adalah hari bekerja bagi kakitangan kerajaan negeri.

“Saya tidak fikir dalam keadaan kepesatan teknologi pada masa ini, pertukaran cuti hujung minggu ini akan memberi kesan besar kepada ekonomi negeri.

“Lagipun sebelum ini Johor pernah melaksanakan cuti hujung minggu pada hari Jumaat iaitu sebelum 1994,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pada ketika itu, syarikat swasta boleh memilih sama ada ingin mengikut kerajaan negeri ataupun bercuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad.

“Begitu juga kali ini, terpulang kepada mereka sama ada hendak ikut sama seperti kerajaan negeri,” katanya.

Mengenai kesannya kepada sekolah di negeri ini, Mohamed Khaled berkata dengan pelaksanaan cuti hujung minggu yang baru, pelajar sekolah tidak lagi perlu tergesa-gesa untuk menunaikan Solat Jumaat.

Sultan Johor ketika mengumumkan pertukaran hari cuti hujung minggu itu pada majlis tersebut bertitah, langkah itu sebagai menghormati hari Jumaat yang merupakan penghulu segala hari selain memberi peluang kepada umat Islam untuk memperbanyakkan amalan.

Pada majlis itu Mohamed Khaled turut dikurniakan pingat Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Datuk Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran Datuk.

Sementara itu, Mufti Kerajaan Johor, Datuk Tahrir Datuk Shamsudin berkata langkah tersebut bertepatan dengan agama Islam yang menjadikan Jumaat sebagai penghulu segala hari.

“Dengan perubahan ini, umat Islam mempunyai lebih masa untuk bersiap dan kaum bapa juga dapat membawa anak-anak untuk sama-sama menunaikan Solat Jumaat,”katanya.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Nooh Gadut berkata cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu amat baik bagi membolehkan umat Islam menunaikan ibadat dengan tenang dengan memulakan amalan seperti bacaan Surah Yasin dan tahlil pada malam Jumaat.

Beliau berkata sebagai negeri yang berpengalaman cuti pada Jumaat dan Sabtu sebelum tahun 1994, beliau yakin perubahan terbabit tidak memberi kesan kepada masyarakat dan pentadbiran negeri.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) Datuk Ismail Ibrahim pula berkata pelaburan di kawasan berkenaan akan berlangsung seperti biasa dan pihaknya akan meningkatkan sistem perkhidmatan supaya berjalan lancar buat pelabur dan bakal pelabur.

“Kami pasti akan mengambil tindakan yang perlu untuk menyelaraskan semua agensi-agensi di peringkat persekutuan dan juga komuniti perniagaan. Setakat ini, kita tidak melihat apa-apa gangguan kepada perkhidmatan mahupun cadangan pelaburan di Iskandar Malaysia berhubung perubahan cuti itu,” katanya.

Pengurus Komunikasi Hotel Traders Puteri Harbour, Nusajaya, Aidah Abd Rahman pula berkata pihaknya yakin waktu bekerja pada Ahad dapat meningkatkan tahap perkhidmatan industri pelancongan di negeri ini yang sentiasa sibuk pada hari berkenaan.

“Pihak hotel amat menyambut baik titah tuanku untuk mengembalikan semula cuti pada Jumaat dan Sabtu. Sesungguhnya ini merupakan berita gembira bagi pelancong asing khususnya rakyat Singapura yang saban minggu berkunjung ke negeri ini kerana mereka akan menikmati perkhidmatan penuh di hotel pada setiap Ahad,” katanya.

Cuti Hujung Minggu Johor Ditukar Kepada Jumaat Dan Sabtu – Sultan Johor

Posted: 23 Nov 2013 09:32 AM PST

MUAR, 23 Nov –  Cuti hujung minggu di Johor akan ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu mulai 1 Jan depan, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Baginda bertitah hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan keberkatan hari itu hendaklah diambil peluang oleh umat Islam untuk memperbanyakkan amalan yang dituntut dan disunatkan.

“Jika kita perhatikan pada masa kini, orang lelaki terkejar-kejar ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu rehat yang singkat, waktu khutbah pula sering dijadikan sebagai waktu untuk berehat dan tidur.

“Selepas selesai solat Jumaat pula, mereka bergegas bangun dan meninggalkan masjid sehingga ada yang tidak sempat untuk menunggu imam membaca doa. Oleh yang demikian setelah meneliti banyak pandangan, saya telah membuat keputusan muktamad supaya hari cuti mingguan bagi negeri Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu bermula 1 Jan 2014,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada majlis Doa Kesyukuran, Majlis Teriman, Majlis Menghadap Takzim dan Majlis Darjah dan Pingat sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Turut berangkat isteri baginda Raja Zarith Sofiah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda-anakanda baginda yang lain.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, isterinya Puan Seri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Johor pernah menjadikan hari Jumaat sebagai cuti hujung minggu sebelum tahun 1994.

“Negeri Johor merupakan sebuah negeri yang paling awal mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi negeri dan sejarah juga telah menunjukkan bahawa pengembangan agama Islam di negeri ini menjadi contoh kepada negara lain,” titah baginda.

Oleh yang demikian baginda menyeru semua umat Islam di negeri ini supaya menjadikan nilai-nilai murni dan sifat terpuji orang Islam sebagai gaya hidup seharian.

Baginda turut menyarankan Majlis Agama Islam Johor supaya menyediakan pusat sumber ilmu agama secara dalam talian sebagai pusat rujukan kepada semua umat Islam bagi membolehkan masyarakat mendapat maklumat yang tepat hanya daripada satu sumber yang boleh dipercayai.

Pusat itu juga boleh dijadikan medium untuk masyarakat mengutarakan segala keraguan dan persoalan agar mereka boleh mendapat jawapan serta nasihat mengikut landasan agama Islam dan selari dengan fatwa yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Johor.

Dalam perkembangan lain baginda turut melahirkan rasa syukur kerana Johor terus berada di dalam keadaan aman, damai dan sentosa dan rakyat dapat hidup dengan sejahtera selain menikmati pembangunan ekonomi yang pesat dan seimbang.

“Pembangunan dan kemajuan ekonomi yang kita peroleh sekarang adalah hasil daripada usaha dan kerjasama erat antara pemimpin kerajaan negeri dan pemimpin kerajaan persekutuan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan persekutuan yang sentiasa memberikan bantuan, sokongan dan peruntukan dalam membangunkan kemudahan asas serta infrastruktur am untuk meningkatkan tahap ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat di negeri ini,” titah baginda.

Baginda juga berharap rakyat di negeri ini akan sentiasa berusaha mengekalkan kesejahteraan hidup yang dinikmati sekarang dengan bersikap sederhana dan bersatu hati bagi mengukuhkan perpaduan kaum dan keharmonian masyarakat.

No comments:

Post a Comment

TERHANGAT, TERKINI DAN TERHEBAT