SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

TERKINI DAN TERHEBAT

Sunday, August 11, 2013

UMNO Online - “Wanita UMNO Kehilangan Pemimpin Muda Berpotensi” plus 3 more

UMNO Online - “Wanita UMNO Kehilangan Pemimpin Muda Berpotensi” plus 3 more

Link to UMNO Online

Wanita UMNO Kehilangan Pemimpin Muda Berpotensi

Posted: 10 Aug 2013 10:37 AM PDT

KLANG, 10 Ogos — Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan sayap itu kehilangan seorang pemimpin muda berpotensi susulan kematian anggota exconya Allahyarham Norliza Ahmad pada Khamis lepas.

Katanya Norliza yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kapar itu seorang yang mempunyai komitmen tinggi dan sumber kekuatan kepada Wanita Umno Selangor untuk bekerja sebagai satu pasukan.

“Saya berasa amat bangga dengan kepimpinan beliau kerana beliau mempunyai kekuatan dalaman, komitmen dan kesetiaan pada parti serta mempunyai visi terutama untuk membawa lebih ramai penyokong muda ke dalam Wanita Umno,” kata Shahrizat kepada pemberita selepas menghadiri tahlil di rumah Allahyarham di Meru, di sini hari ini.

Norliza, 46, meninggal dunia akibat barah hati.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata beliau yakin Naib Ketua Wanita Umno Kapar Basiah Masjudi yang akan memangku jawatan ketua, akan meneruskan legasi Allahyarham.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar yang turut hadir, berkata Allahyarham merupakan tokoh wanita muda yang patut dicontohi atas keikhlasan dan kecekalannya sepanjang berkhidmat kepada parti.

Beliau berkata Umno Selangor kehilangan seorang pemimpin yang berdedikasi dan sentiasa mengingati perjuangan parti walaupun dalam keadaan sakit.

“Saya cukup kagum bila saya datang ziarahi beliau sewaktu sakit dahulu beliau beritahu saya bahawa beliau sanggup berkerusi roda untuk menghadiri penamaan calon.

“Saya cukup terkejut…ini menunjukkan bahawa arwah seorang pemimpin yang ikhlas dan beliau juga suruh saya fikirkan bagaimana cara untuk kita dapat balik Selangor. Dalam keadaan sakit beliau masih ingatkan perjuangan parti,” katanya.

Sementara itu, suami Allahyarham, Mohd Ayub Shamzada, 48, berkata isterinya menghidap kanser hati sejak 2008, namun Norliza tidak pernah berputus asa dan mencuba pelbagai rawatan alternatif untuk mengubati penyakitnya.

Beliau berkata Norliza juga sangat sayangkan Umno dan memintanya menyampaikan ucapan terima kasih kepada kepimpinan Wanita Umno serta memohon maaf kerana tidak dapat bertugas sepanjang terlantar sakit, sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Arwah kalau sudah diberikan tanggungjawab beliau akan melaksanakan tugasnya dengan sungguh-sungguh. Apapun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya dan saya akan meneruskan amanah untuk menjaga lapan anak kami yang berusia antara 24 dan 11 tahun,” katanya.

Norliza kali pertama bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Selat Kelang pada pilihan raya umum ke-11 dan menewaskan Dr Halimah Ali daripada PAS dengan majoriti 6,085 undi.

Beliau bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi itu pada pilihan umum ke-12 yang dimenangi Halimah dengan majoriti 1,459 undi.

Jangan Jadikan Pemilihan UMNO Sebagai Pesta – Veteran

Posted: 10 Aug 2013 10:17 AM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Anggota Umno yang menawarkan diri merebut jawatan di semua peringkat diingatkan agar tidak menjadikannya sebagai ‘pesta’ sehingga terlupa matlamat sebenar bertanding.

Setiausaha Veteran Umno Malaysia Datuk Mustapha Yaakub berkata meskipun Umno memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum lepas, anggotanya tidak harus bersikap ‘syok sendiri’.

“Banyak perkara yang perlu dimuhasabahkan oleh setiap kepimpinan Umno.
Persiapan awal menghadapi pilihan raya umum ke-14 mesti bermula sekarang kalau Umno mahu terus menjadi parti dominan mewakili orang Melayu yang boleh diterima oleh orang Melayu, disamping menunjangi komponen BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai Perhimpunan Agung yang akan berlangsung 2 hingga 7 Dis ini, Mustapha berkata selain membahaskan ucapan dasar Presiden dan isu-isu berkaitan, para perwakilan juga diharap dapat diberi kebebasan bersuara menegur pucuk pimpinan parti.

Beliau berkata ‘suara-suara keramat’ yang pernah menitiskan air mata anggota Majlis Tertinggi sudah lama hilang sebaliknya diganti oleh suara sumbang yang penuh dengan ‘pujian dan ampu bodek’.

Tegasnya, pucuk kepimpinan parti pula harus bersedia menerima teguran jika benar-benar mahu parti itu ditransformasi.

Tidak Pertahan Jawatan MT, Peluang Pemimpin Muda Laksana Pembaharuan- Ahmad Husni

Posted: 10 Aug 2013 10:07 AM PDT

IPOH, 10 Ogos — Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengambil pendirian untuk tidak mempertahankan jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno bagi memberi laluan kepada golongan baharu pada pemilihan parti Oktober ini.

Beliau berkata keputusan itu adalah sejajar dengan perubahan semasa yang turut diterjemah menerusi mesej rakyat pada pilihan raya umum Mei lepas.

“Kita perlu mengambil kira bahawa dunia telah berubah dan keputusan pilihan raya adalah mesej daripada rakyat, mereka mahukan pembaharuan.

“Dalam konteks pembaharuan, Umno memerlukan golongan baharu untuk berada dalam kepimpinan parti yang membawa kewibawaan, idea dan kompetensi baharu,” katanya ketika ditemui pemberita pada rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Sungai Rokam di sini hari ini.

Ahmad Husni, yang juga anggota Parlimen Tambun, berkata beliau akan lebih menumpukan kepada kementerian yang diterajuinya memandangkan suasana ekonomi serta kewangan semakin mencabar.

“Krisis ekonomi global tidak menunjukkan ia akan berakhir dalam masa terdekat, jadi kita perlu memastikan struktur kewangan negara di bawah kepimpinan kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Katanya usaha mengukuhkan struktur kewangan akan melonjak kekuatan ekonomi domestik yang akan meletakkan negara pada landasan betul dalam mencapai pertumbuhan yang disasarkan.

Beliau menyertai Umno pada 1983 sebagai anggota Pergerakan Pemuda Bahagian Menglembu dan pernah berada dalam barisan Exco Pemuda Umno pada 1987 sehingga 1993 sebelum menjadi Ketua Umno Bahagian Tambun.

Pada 2009 beliau bertanding jawatan MT dan mendapat 1,529 undi dan dilantik sebagai Bendahari Umno.

UMNO: Pilih Pemimpin Yang Mampu Bantu Presiden, Timbalan – Mukhriz

Posted: 10 Aug 2013 10:01 AM PDT

ALOR SETAR, 10 Ogos — Setiap calon yang bertanding pada pemilihan Umno Oktober ini perlu mempunyai kriteria antara lain berjiwa besar dan mempunyai nilai integriti yang tinggi, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata ciri-ciri itu penting bagi memastikan pemimpin yang dipilih dapat membantu Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin terus memperkasakan parti.

“Seramai 150,000 ahli yang layak mengundi perlu memilih pemimpin yang betul-betul dapat terjemah hasrat dan cita-cita rakyat,”katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Menteri Besar di Seri Mentaloon di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Najib semalam yang berharap proses pemilihan parti yang akan berlangsung tidak merosakkan atau menggugat Umno sebagai sebuah parti terkuat di negara ini.

Perdana Menteri berkata sebagai sebuah parti yang telah mengubah perlembagaannya, Umno kini menjadi lebih terbuka, demokratik dan inklusif
sehingga ramai yang menawarkan diri untuk bertanding berebut jawatan dalam parti.

Mukhriz berkata kekuatan parti perlu terus dijamin bagi membantu menjana transformasi seperti mana yang diidamkan pucuk pimpinan.

Beliau berkata walaupun Umno pada asasnya merupakan sebuah parti yang mengutamakan perjuangan Melayu, namun ia tidak pernah menidakkan pihak lain.

Sementara itu katanya, pihaknya berpuas hati dengan kehadiran kira-kira 50,000 rakyat ke rumah terbuka beliau hari ini dan ia merupakan petanda baik untuk masa depan negeri ini.

Turut berangkat pada rumah terbuka Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Annuar Sultan Badlishah serta Anggota Jemaah Pemangku Sultan, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

No comments:

Post a Comment

TERHANGAT, TERKINI DAN TERHEBAT