SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

TERKINI DAN TERHEBAT

Monday, July 1, 2013

UMNO Online - “Calon Disenangi Rakyat Menjadi Pilihan Di Kuala Besut” plus 5 more

UMNO Online - “Calon Disenangi Rakyat Menjadi Pilihan Di Kuala Besut” plus 5 more

Link to UMNO Online

Calon Disenangi Rakyat Menjadi Pilihan Di Kuala Besut

Posted: 30 Jun 2013 05:44 AM PDT

BESUT, 30 Jun — UMNO Bahagian Besut akan menyenaraikan nama tokoh-tokoh anak tempatan yang disenangi penduduk Kuala Besut kepada Perdana Menteri untuk dicalonkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri
(Dun) Kuala Besut tidak lama lagi.

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata UMNO mempunyai ramai calon yang layak yang berasal dari Kuala Besut untuk dicalonkan.

“Kita mempunyai ramai calon yang berkaliber dan disenangi rakyat terdiri dari tokoh pendidik, tokoh agama, pegawai pentadbir yang semuanya akan ditentukan oleh PM selepas ini,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan PRK dengan Ketua Penerangan Umno Malaysia, Datuk Ahmad Maslan dan barisan UMNO Perhubungan Negeri di Damai Beach resort di sini hari ini.

Menurutnya, Kuala Besut masih merupakan kawasan luar bandar dan majoriti penduduknya terdiri dari kaum nelayan yang berfikiran sederhana tetapi mesra.

Jangan Biarkan Golongan Tertentu Ambil Kesempatan – Muhyiddin

Posted: 30 Jun 2013 05:39 AM PDT

KOTA KINABALU, 30 Jun — Rakyat tidak harus membiarkan golongan tertentu di negara ini mengambil kesempatan daripada kebebasan berhimpun untuk mewujudkan konflik antara masyarakat dan memecahbelahkan perpaduan, kata
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata tindakan seperti mengadakan perhimpunan haram dan protes jalanan boleh menggugatkan kestabilan negara serta merugikan rakyat dan negara.

Rakyat harus memanfaatkan semua kekuatan kepelbagaian etnik dan warisan budaya yang unik di negara ini untuk membina perpaduan, katanya.

“Kemakmuran negara dan keharmonian rakyat akan terus wujud sekiranya kerjasama di antara pelbagai kaum sentiasa dipupuk,” katanya ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan di sini hari ini

Muhyiddin berkata rakyat harus bersama menjaga dan mempertahankan perpaduan demi melestarikan kehidupan dan kejayaan masa kini untuk kesejahteraan dan kemakmuran di masa akan datang.

Menurutnya, dengan semangat perpaduan tersebut, Malaysia berjaya menjadi sebuah negara yang dapat berkembang dan membangun dengan pesat sama ada dari segi politik, ekonomi, sosial dan budaya.
“Kita seharusnya mempelajari daripada apa yang kita capai pada masa lalu untuk kita membentuk landasan yang akan kita lalui pada masa akan datang.

“Walau apapun bentuk landasan yang akan kita bangunkan nanti, apa yang pasti perpaduan rakyat Malaysia tetap merupakan tonggak kukuh yang akan membina negara ke arah yang lebih progresif di masa akan datang,” jelasnya.
Mengenai Tadau Kaamatan atau pesta menuai di Sabah, Muhyiddin berkata perayaan tersebut penuh dengan adat tradisi yang perlu diteruskan untuk generasi akan datang, di samping mampu mempelbagaikan unsur kebudayaan Malaysia yang
boleh dikongsi bersama ke arah integrasi nasional

.
“Perayaan seperti Tadau Kaamatan yang disambut setiap tahun bukanlah untuk bergembira semata-mata, tetapi untuk melahirkan rasa kesyukuran atas segala nikmat dan rahmat yang diperolehi,” katanya.

Muhyiddin berkata amalan menguatkan perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan mampu mengangkat martabat negara sebagai sebuah destinasi pelancongan dalam persekitaran yang berdaya maju, interaktif dan
dinamik.

“Tambahan pula dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia pada tahun depan, strategi ini amat penting bagi memastikan matlamat kita tercapai,” katanya.

 

UMNO Besut Yakin Pengundi Sokong BN

Posted: 29 Jun 2013 08:45 PM PDT

BESUT, 30 Jun — UMNO Bahagian Besut yakin pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut akan menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi Biro Penerangan UMNO Bahagian itu, Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman berkata ini kerana pengundi melihat kerajaan BN menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) melalui projek pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan terutama untuk golongan nelayan di kawasan itu.

Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Dr A. Rahman Mokhtar, 55, pada Selasa lepas akibat kanser paru-paru.

Wan Zakaria berkata sepanjang tempoh Allahyarham Dr A Rahman menjadi wakil rakyat di kawasan itu, banyak projek pembangunan yang telah dilaksanakan dan masih banyak lagi sedang dibangun dan dalam perancangan.

“Pengundi di DUN Kuala Besut, menaruh harapan besar BN kekal di kawasan itu kerana masih banyak projek pembangunan untuk golongan nelayan termasuk di Pulau Perhentian akan dilaksanakan kerajaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Wan Zakaria antara rancangan besar yang sedang dibangunkan di Pulau Perhentian termasuk pembangunan penempatan penduduk melalui pembinaan tiga blok rumah pangsa, masjid dan projek pelancongan.

Wan Zakaria yang pernah menjadi wakil rakyat kawasan itu selama tiga penggal berkata, pertandingan merebut kerusi DUN Kuala Besut dijangka menarik kerana ia pilihan raya kecil pertama selepas PRU13 Mei lalu dan berdasarkan pengalamannya beliau yakin peluang BN untuk mempertahankan kerusi itu adalah cerah.

Pembangkang Kehabisan Modal Untuk Tutup Kegagalan PRU-13

Posted: 29 Jun 2013 08:33 PM PDT

KUALA LUMPUR 30 Jun – Pembangkang dilihat kehabisan modal untuk menutup kegagalan mereka memenangi pilihan raya umum ke -13 yang lalu dan perkara itu makin terdedah hari demi hari yang sekaligus menyerlahkan sikap serta tindak tanduk sebenar gabungan parti tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek Datuk Tajuddin Abdullah berkata sikap serta hipokrasi berkenaan tidak dapat disembunyikan lagi dan apa yang diwar-warkan seperti pengundi bangla dan sebagainya bakal menjerat leher mereka sendiri.

Menurut beliau rakyat boleh melihat taktik dan permainan politik mereka yang mana mengiktiraf kawasan yang dimenangi termasuklah negeri yang dikuasai mereka sebaiknya mengambil pendirian lain terhadap kawasan yang mereka kalah.

"Apa pun yang mereka buat dan apa pun yang mereka canang rakyat telah buat keputusan dengan memilih Barisan Nasional (BN) untuk terus menerajui Negara dan mengembalikan negeri Kedah kepada BN.

"Kat Parlimen pun wakil mereka dah angkat sumpah….Terimalah dengan hati terbuka dan bersikap rasionallah demi kemajuan Negara dan seterusnya melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin untuk rakyat.

"Itulah yang sepatutnya dan cukup-cukuplah berpolitik..Makin lama makin terdedah apa yang sebenarnya berlaku dan rakyat boleh memahami dengan jelas apa yang berlaku sebenarnya," katanya.

Beliau seterusnya menambah permainan politik pembangkang tidak akan kemana sebaliknya akan terus membuka pekung mereka sendiri.
"Dulu tidak silap saya ada kata pengundi bangle lah…macam-macam lagi. Tetapi hari ini kita boleh tengok pelbagai kenyataan pula yang keluar. Kita tengoklah apa kesudahannya permainan politik mereka itu," katanya.

BN Perlu Mula Gerak Kerja Bagi Pencapaian Cemerlang PRU 14 – Muhyiddin

Posted: 29 Jun 2013 08:30 PM PDT

KUALA LUMPUR, 29 Jun — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pemimpin Barisan Nasional (BN) segera memulakan gerak kerja untuk memastikan pencapaian lebih cemerlang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kelak.

“Tempoh lima tahun bukan satu tempoh yang panjang untuk menentukan pencapaian yang lebih besar (dan) kita telah mulakan kerja kita untuk PRU14 sekarang ini, bukan esok.

“Ada orang kata kita baru habis pilihan raya, (jadi) kita penat, saya pun penat…tapi selepas satu tempoh di mana berehat sudah habis, maka tugas dan tanggungkawab kita sudah ada tersedia di hadapan kita,” katanya.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, berkata demikian pada majlis kesyukuran dan penghargaan jentera BN Wilayah Persekutuan di Padang Kejiranan Ayer Panas, Setapak, di sini hari ini.  Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor dan Ketua Penerangan BN Datuk Ahmad Maslan.

Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa segala yang dijanjikan dalam Aku Janji BN pada PRU13, 5 Mei lepas, akan ditunaikan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kita akan terus bekerja (bermula) sekarang untuk menentukan mereka (rakyat) percaya dan yakin kepada kita dan sampai waktu nak mengundi, mereka akan pilih BN,” katanya.

Beliau juga mahu anggota Parlimen BN yang telah terpilih pada PRU13, terutama dari Wilayah Persekutuan, menjalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin dan beliau yakin mereka mampu melakukannya.

“Di kawasan yang kita belum menang lagi, kita tidak harus berputus asa kerana tanggungjawab kita di hadapan adalah amat besar sekali,” katanya.
Pada PRU13, BN kekal di kerusi Parlimen Putrajaya, Labuan dan Setiawangsa, serta merampas kerusi Parlimen Titiwangsa daripada PAS.

Muhyiddin menarik perhatian parti-parti komponen BN dan juga bahagian tertentu perlu menyelesaikan segala masalah dalaman dengan segera selain perlu memperkukuhkan kerjasama dengan misi untuk menawan semula kawasan-kawasan yang dirampas pembangkang.

Dalam pada itu, beliau berkata tindakan 89 anggota Parlimen pembangkang, yang pada asalnya mewar-warkan akan memboikot majlis angkat sumpah anggota Parlimen di Dewan Rakyat baru-baru ini, hanyalah “permainan wayang” pakatan pembangkang.

“…mereka secara hakikinya menerima keputusan pilihan raya (kerana) ahli-ahli Parlimen mereka datang ke Parlimen dan semuanya mengangkat sumpah di hadapan Speaker (Dewan Rakyat).

“Keputusan pilihan raya ini sesuatu yang mereka tak boleh nafikan dan mereka harus terima (bahawa) mereka dibuang rakyat dalam proses pilihan raya yang telus dan betul,” tegasnya.

UMNO Kelantan Bantu Pertahankan Kuala Besut

Posted: 29 Jun 2013 07:59 PM PDT

KOTA BAHARU, 29 Jun – UMNO Kelantan akan membantu UMNO Terengganu dalam memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu kekal di tangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil DUN itu nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkatabeliau telah mengarahkan UMNO Bahagian Pasir Puteh, yang merupakan daerah jiran, supaya segera turun padang membantu jentera pilihan raya BN di DUN itu.

“Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Zawawi Othman yang merupakan ADUN Semerak adalah bekas guru di Kuala Besut dan beliau ada pengaruh di situ dan saya sudah minta Umno bahagian itu untuk segera membantu.

“DUN Kuala Besut ini merupakan `anak angkat” saya, sudah tentu saya mahukan Kuala Besut ini terus kekal dipertahankan BN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung kali pertama Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Cawangan Kelantan di sini, hari ini.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Dr A. Rahman Mokhtar, 55, pada Selasa lepas akibat kanser paru-paru.

Allahyarham merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri. Pada pilihan raya umum ke-13, Allahyarham mempertahankan kerusi DUN itu dengan mengalahkan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berjanji akan menyelesaikan masalah petani Kelantan yang mendakwa tidak mendapat pelbagai bantuan termasuk subsidi seperti yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini.

Pada persidangan itu, beberapa penyokong kerajaan negeri mendakwa petani di beberapa jajahan negeri itu tidak menerima beberapa peruntukan termasuk subsidi padi.
Berikutan itu, petani berkenaan didakwa akan memboikot musim baru penanaman padi dan juga akan menyekat pengaliran air yang melalui sawah mereka.

No comments:

Post a Comment

TERHANGAT, TERKINI DAN TERHEBAT