SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

SAYANGI SELANGOR YAKINI BN

TERKINI DAN TERHEBAT

Wednesday, December 12, 2012

Sekadar Berkongsi...Cukai Arak dan Babi


Cukai Ke Atas Khamar (Arak) dan Khinzir (Babi)

Menjawab persoalan ini, saya nukilkan dari kitab Ahkam Az-Zimmiyyin wal Musta’manin fi Daril Islam karangan Dr Abdul Karim Zaidan cetakan Mu’assasah Ar-Risalah pada muka surat 155 dan 156
Menurut pendapat Hanafiah pada zahir Riwayat,diwajibkan cukai perniagaan ke atas arak ( tetapi) tidak diwajibkan cukai ke atas khinzir,(manakala) menurut (Imam) Abi Yusuf diwajibkan jugacukai terhadap khinzir.
Manakala (menurut) pendapat (Imam) Zafar,telah berlaku pertentangan yang disebutkan daripada beliau di dalam kitab-kitab mazhab Hanafiah.Maka di dalam kitab Syarah As-Siru Al-Kabir :
Berkata (Imam) Zafar Rahimahullah Ta’ala “ Tidak dikenakancukai arak dan (juga) tidak dikenakan cukai khinzir ”.Manakala di Dalam kitab Al-Hidayah : Berkata (Imam) Zafar Rahimahullah ta’ala : Dikenakan cukai kedua-duanya (arak dan khinzir) untuk menyamakan kedua-duanya pada (pentakrifan arak dan khamar itu sebagai ) harta.
(*scene-r : Berlaku pertembungan perkataan Imam Zafar di dalam kitab-kitab mazhab Hanafiah sama ada dikenakan cukai ataupun tidak dikenakan cukai ke atas arak dan khinzir.Didalam kitab Syarah As-Siru Al-Kabir dinaqalkan bahawa Imam Zafar mengatakan: tidak dikenakan cukai arak dan babi manakala di dalam kitab Al-Hidayah pula menaqalkan bahawa Imam Zafar mengatakan: dikenakan cukai kedua-duanya)
Dan yang rajih menurutku (Dr.Abdul Karim Zaidan) perkataan (di dalam) kitab Al-Hidayah.Manakala apa yang terdapat di dalam kitab Syarah As-Siru Al-Kabir itu berkemungkinan tersalah cetak dengan penambahan kalimah ( لا) (tidak) pada kedua-dua tempat.Dan aku (Dr.Abdul Karim Zaidan) merajihkan ini (Kitab Al-Hidayah) kerana mengambil perkataan (Imam) Zafar : “Untuk menyamakan kedua-duanya pada (pentakrifan arak dan khamar itu sebagai ) harta di sisi mereka (Hanafiah) ” .Aku (Dr.Karim Zaidan) telah merujuk di dalam nuskhah yang lain daripada kitab Al-Hidayah (dari sudut adakah ada di sana) kesalahan dan percetakan (kemudian aku dapati) kesemuanya menyebutkan : Berkata (Imam) Zafar Rahimahullah ta’ala : Dikenakan cukai kedua-duanya (arak dan khinzir) untuk menyamakan kedua-duanya pada (pentakrifan arak dan khamar itu sebagai) harta menurut mereka (Hanafiah).
Dan Hujjah (Imam) Zafar (yang mengatakan) pada wajib dikenakan cukai perniagaan ke atas arak dan khinzir ialah : Kedua-duanya itu merupakan harta Mutaqawwim pada hak ahli zimmah,oleh yang demikian akan dikenakan dhaman ke atas muslim yang merosakkannya.
(*scene-r : Sebentar tadi kita telah mengetahui bahawa pendapat Imam Zafar menyamakan arak dan khinzir pada pentakrifan arak dan khinzir itu di sebut sebagai harta yang mutaqawwim pada hak ahli zimmah.Sebentar lagi kita akan melihat pula pendapat Zahir Hanafiah yang tidak menyamakan atau kata lain membezakan antara arak dan khinzir itu daripada pentakrifan harta)
Dan wajah (gambaran) zahir riwayat (menurut pendapat Hanafiah) iaitu perbezaan antara arak dan khinzir seperti berikut :
PERTAMA : Apa yang diriwayatkan daripada (Saidina) Umar bin Al-Khattab r.a telah menghimpunkan Amil-amilnya pada Al-Musim (pengumpulan harta ).Berkata (Saidina) Umar r.a kepada mereka (amil-amilnya) : Apa yang kamu ambil daripada ahli zimmi daripada apa yang berlalu ke atas kamu daripada arak? (Apa yang kamu ambil daripada orang kafir zimmi daripada penghasilan perniagaan atau penjualan arak mereka?)
Mereka menjawab : Setengah daripada satu persepuluh ( 5% ) daripada nilainya (sebagai cukainya)
(Kemudian Saidina) Umar r.a berkata : Berikan tauliah untuk menjualnya dan ambil setengah daripada satu bersepuluh ( 5 % ) daripada nilainya (sebagai cukainya).
KEDUA : Sesunguhnya arak itu lebih hampir daripada (pentakrifan) harta (berbanding) daripada khinzir (bukan harta)kerana ia (arak) itu bagi kami merupakan harta pada permulaannya ketika diperah dan akan menjadi harta semula pada akhirnya (iaitu) selepas (arak itu) berubah (menjadi cuka).Manakala khinzir (pula) menurut kami bukanlah (ditakrifkan sebagai) harta pada permulaannya dan tidak pula akan berubah menjadi harta pada penghujungnya.
KETIGA : Sesungguhnya arak itu dari kategori Al-Amthal,mengambil nilai pada apa (benda) yang mempunyai contoh daripada sejenisnya, tidak akan berdiri menggantikan tempatnya (maka nilai itu tidak berdiri di atas benda itu),maka mengambil qimah (nilai) arak tidak disamakan dengan mengambil arak.Manakala khinzir pula dari kategori Al-Qiyam,dan qimah(nilai) pada benda yang tiada contoh sebandaingnya akan berdiri di atas tempat itu,maka mengambil qimah (nilai khinzir samalah) seperti mengambilnya (zat khinzir).Dan ini tidak dibolehkan untuk orang muslim.
(*scene-r : Arak termasuk daripada kategori Al-Amthal iaitu ada benda lain sejenisnya atau pun sebanding dengannya sepertianggur atau perahan anggur .Berbeza dengan khinzir yang termasuk daripada kategori Al-Qiyam iaitu tiada yang sejenis atau yang sebanding dengannya yang boleh menggantikan tempatnya maka mengambil nilai khinzir sama dengan mengambil khinzir)
KEEMPAT : Sesungguhnya hak pengambilan untuk daulah dengan sebab pemeliharaan (penjagaan),dan bagi muslim itu penjagaan arak pada keseluruhannya, oleh yang demikian sekiranya (seorang muslim itu) mewarisi arak maka orang muslim itu perlu menjaga arak tersebut daripada orang lain untuk membiarkannya berubah (menjadi cuka).Maka bagi orang muslim itu wilayah (boleh melantik orang lain untuk) penjagaan arak selain daripada dirinya.Berbeza dengan khinzir,tidak boleh bagi seorang muslim memelihara (menjaga) khinzir,sehingga sekiranya (seorang muallaf) yang masuk Islam memiliki banyak khinzir,maka ketika itu dia (muallaf) tidak boleh memeliharanya bahkan dia perlu meninggalkannya,(dia) tidak boleh wilayah (melantik orang lain untuk ) penjagaan khinzir selain daripada dirinya.(muallaf tersebut tidak boleh memelihara khinzir dan tidak boleh melantik orang lain untuk memelihara khinzir)
(*scene-r : kita telah sebutkan sebentar tadi hujjah-hujjah daripada zahir riwayat Hanafiah yang membezakan antara arak dan khinzir dari pentakrifan harta.Sebentar lagi Dr.Abdul Karim Zaidan akan membahas semula hujjah-hujjah yang di sebutkan tadi)
Sebenarnya hujjah-hujjah ini tidak terselamat daripada pertentangan.(I’tiradh)
Apa yang diriwayatkan oleh Saidina Umar r.a (pada hujjah pertama) itu bukanlah menunjukkan (bahawa) tidak wajib cukai perniaagaan ke atas khinzir dengan hujjah tidak disebutkan kecuali arak.
([scene-r] : Di dalam hujjah pertama tadi hanya menyebutkan arak tetapi tidak disebutkan khinzir.Oleh yang demikian bukan bermakna tidak diwajibkan cukai perniagaan khinzir kerana tidak disebutkan khinzir di dalam riwayat tersebut)
Kerana tidak menyebutkan sesuatu bukan dalil yang menunjukkan melarang sesuatu.
Manakala perkataan yang mengatakan bahawa arak itu lebih dekat dengan pentakrifan harta berbanding khinzir (hujjah ke dua) tidak memberi kesan pada (penyelesaian) masalah kerana arak bukanlah dikategorikan sebagai harta yang Mutaqawwim pada hak muslim begitu juga dengan khinzir.
Dan mereka katakan sekiranya pengambilan – ataupun mengambil cukai – dengan sebab pemeliharaan, Seorang muslim baginya menjaga arak dengan keseluruhannya berbeza dengan khinzir,dan (untuk)menolak pendapat ini bahawa khinzir itu selagi ia merupakan harta yang mutaqawwim pada hak zimmi (samalah) seperti kambing (yang merupakan harta mutaqawwim) pada hak kita,sebagaimana pendapat Hanafiah,maka semestinya memasukkan pada pemeliharaan ,seperti (sebagai contoh) memasukkan arak pada pemeliharaannya dengan mengiktibarkannya sebagai harta yang mutaqawwim bagi (hak) zimmi.
Oleh yang demikian rajih menurutku (Dr.Abdul Karim Zaidan) adalah pendapat (Imam) Abi Yusuf dan (Imam) Zafar.(mengenakan cukai pada ke dua-dua perniagaan arak dan khinzir)
Manakala menurut Hanabilah dan Syafieah : Tidak dikenakancukai arak dan khinzir, juga tidak dikenakan nilai kedua-duanya kerana kedua-duanya itu (arak dan khinzir)bukanlah(dikategorikan sebagai) harta pada asalnya –Sesungguhnya (cukai) hanya di ambil daripada harta yang Mutaqawwim.
Rumusan :
Pendapat Hanafiah : Dikenakan cukai pada arak sahaja dantidak dikenakan pada khinzir
Mankala pendapat Imam Abi Yusuf dan Imam Zafar daripada ulama Hanafiah berpendapat : Dikenakan cukai pada arak dan khinzir.
Pendapat Hanabilah dan Syafieah : Tidak dikenakan cukai arak dan khinzir.
[scene-r ] :Bagi menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan harta yang mutaqawwim Dr.Abdul Karim Zaidan meletakkan nota kaki di dalam kitab yang sama pada muka surat 156 sebagaimana berikut :
Harta yang mutaqawwim itu merupakan apa yang terpelihara secara perbuatan (atau praktikal)nya dan boleh dimanfaatkan secara kebiasaan menurut syarak secara diusahakan atau secara ikhtiar (pilihan).
Manakala harta yang bukan mutaqawwim pula iaitu apa yangbukan dimiliki oleh seseorang atau, ia dimiliki secara perbuatantetapi tidak boleh dimanfaatkan secara kebiasaan yang diterima oleh syarak dan dibolehkan secara diusahakan dan secara pilihan seperti (contoh) arak dan khinzir (merupakan harta yang bukan mutaqawwim) bagi orang muslim.
Manakala arak dan khinzir bagi orang bukan muslim merupakanharta yang mutaqawwim selagi mereka berpegang bahawa sah bermuamalat dan mendapat manfaat dengannya secara kebiasaan,kerana syarak menyuruh kita membiarkan ahli zimmah dengan apa yang mereka anuti (menurut kepercayaan mereka) dan wajib bagi kita memberitahu mereka bahawa arak dan khinzir merupakan harta yang mutaqawwim bagi mereka(tetapi bukan harta yang mutaqawwim bagi kita).(Dr.Abdul Karim Zaidan merujuk dari Kitab Al-Fiqh Al-Islami Ustaznya Muhammad Salam Madkur ms 167)
[scene-r]:Harta Mutaqawwim bagi orang muslim merupakan apa sahaja yang dikira sebagai harta menurut syarak (suci,bermanfaat dsb sama ada diusahakan atau secara ikhtiar).Manakala harta yang bukan mutaqawwim bagi orang muslim adalah sesuatu yang tidak dikira sebagai harta yang boleh dimiliki (seperti khinzir tidak dikira sebagai harta menurut kita) atau ia dimiliki secara perbuatan (seperti contoh anggur boleh dimiliki dan dikategorikan sebagai harta) tetapi tidak boleh dimanfaatkan (seperti sudah diperah menjadi arak).
Manakala harta yang mutaqawwim bagi kafir zimmimerupakan apa sahaja yang menurut kepercayaan mereka dibenarkan bermuamalat dengannya dan menurut mereka harta tersebut adalah bermanfaat.Sekiranya mereka mengatakan bahawa khinzir itu dibenarkan oleh kepercayaan mereka maka khinzir merupakan harta yang mutaqawwim bagi mereka.
Apabila dikategorikan sebagai harta yang mutaqawwim bagi hak kafir zimmi maka kita tidak boleh merosakkannya,jika dilakukan juga akan dikenakan dhaman atau ganti rugi bagi orang yang merosakkannya.
Berbeza jika mereka mengatakan bahawa khinzir itu tidak bermanfaat menurut kepercayaan mereka;maka ketika itu khinzir adalah bukan harta mutaqawwim begitu juga kita boleh contohkan dengan arak pada mengklasifikasikan arak itu sebagai harta yang muatqawwim ataupun bukan.
Segalanya perlu merujuk kepercayaan mereka.Adakah kepercayaan mereka itu membolehkan atau tidak.Jika kepercayaan mereka membolehkan maka harta itu adalah harta mutaqawwim bagi hak mereka.Manakala, jika kepercayaan mereka juga tidak membenarkan maka harta itu bukan dikategorikan sebagai harta mutaqawwim.
Sebagai tambahan telah berkata Khalifah Umar Abdul Aziz :
الخمر لا يعشرها مسلم
Maksudnya : Arak itu tidak dikenakan cukai (ke atas perniagaan) oleh orang Muslim.(Rujuk Al-Mughni li Ibnu Qudamah jilid 13 ms 232 cet.Dar Alam Al-Kutub)
Seterusnya berkata Abu Ubaid : dan Makna perkataan Saidina Umar r.a :
ولُّوهم بيعها ، وخذوا أنتم من الثمن . أن المسلمين كانوا يأخذون من أهل الذمّة الخمر والخنازير من جزيتهم ، وخَراج أرضِهم بقيمَتِهما ،ثم يتولَّى المسلمون بيعها ، فأنكره عمر ، ثم رخَّصَ لهم أن يأخذوا من أثمانها ، إذا كان أهل الذمّة المتولِّين بيعَها، و روى بإسناده عن سويد بن غفلة ، أن بلالا قال لعمر : إن عمالك يأخذون الخمر والخنازير فى الخراج . فقال :لا تأخذوها منهم ، ولكن ولُّوهم بيعها ، وخذوا أنتم من الثمن.
Maksudnya: Tauliahkan kepada mereka untuk menjual,dan kamu ambillah daripada cukainya. Sesungguhnya orang-orang muslimin itu mengambil daripada ahli zimmah daripada cukai (yang dikenakan keatas) meraka,dan pengeluaran hasil bumi dengan nilainya.Kemudian orang-orang muslimin mentauliahkan untuk menjualnya,maka Saidina Umar r.a mengingkarinya kemudian merukhsahkan (meringankan atau membolehkan) untuk mereka mengambil nilainya,(dengan syarat) sekiranya ahli zimmi itu ditauliahkan untuk menjualnya.Dan diriwayatkan dengan sanadnya dari Suaid bin Ghaflah r.a, sesungguhnya Saidina Bilal r.a berkata pada Saidina Umar r.a :Sesungguhnya Ummal (amil-amil) kamu mengambil arak dan khinzir sebagai pengeluaran.Maka Saidina Umar r.a berkata : Janganlah kamu mengambil daripada mereka tetapi berikanlah tauliah kepada mereka dan ambillah cukainya. .(Rujuk Al-Mughni li Ibnu Qudamah jilid 13 ms 232/233 cet.Dar Alam Al-Kutub)
Berkata Imam Ibnu Qudamah pada muka surat 233
فصل : ويجوز أخذ ثمن الخمر والخنزير منهم عن جزية رءوسهم ، وخراج أرضهم، احتجاجا بقول عمر هذا : ولأنها من اموالهم التى نقرهم على اقتنائها والتصرف فيها ، فجاز أخذأثمانها منهم كثيابهم.
Maksudnya: Fasal : Dan dibolehkan mengambil nilai (cukai) arak dan khinzir daripada mereka melalui cukai kepala mereka, dan pengeluaran tanaman mereka,berhujjah dengan perkataan daripada Saidina Umar r.a ini : kerana ia merupakan daripada harta mereka yang kita tetapkan ke atas mereka (bahawa harta tersebut) menjadi miliknya dan boleh belanjakan (atau tasaruf jual beli) maka bolehlah mengambil nilainya (cukai) daripada mereka seperti baju-baju mereka (yang boleh dijual belikan).
[scene-r] : Mungkin boleh kita katakan pentauliahan kepada kafir zimmi sekarang ini dengan cara memberi lesen kepada mereka.Bagaimana lesen ini boleh diberikan kepada mereka itu terpulang kepada pemerintah untuk meletakkan syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh kafir zimmi, seperti contoh; Diberikan lesen kepada mereka yang menjual arak dengan syarat tidak boleh secara terbuka dan menetapkan kuantitinya begitu juga dengan ladang khinzir.Kemungkinan boleh di syaratkan untuk penternak khinzir menjaga kebersihan dan tidak membuat pencemaran serta menghadkan kuantiti ternakan atau apa sahaja syarat yang dilihat oleh pemimpin mengikut penilaian dan pertimbangan mereka.Manakala sekiranya ahli zimmi ini gagal memenuhi syarat maka boleh sahaja lesen itu ditarik balik ataupun sekiranya di dapati bahawa arak atau khinzir itu juga bukan harta mutaqawwim bagi ahli zimmi maka ketika itu tidak lagi dibolehkan untuk membiar dan membenarkan mereka menjalankan aktiviti penjualan arak atau khinzir.
Wallahu A’lam

sumber :http://scene-r.blogspot.com/2008/04/cukai-ke-atas-khamar-arak-dan-khinzir.html

Kerajaan tidak menghalalkan judi dan arak

DALAM Islam, larangan meminum arak adalah untuk memartabatkan kehidupan ummah. Larangan itu dilaksanakan secara bertahap. Peringkat pertama, meminum arak dilarang secara perbandingan dan berunsur sindiran, sebagaimana yang termaktub dalam ayat-ayat yang diturunkan di Madinah. Ketika itu, sebuah masyarakat baru Islam sedang dalam proses pembinaan. Surah itu adalah surah al-Baqarah, ayat 219.
Pada peringkat kedua, Allah SWT menurunkan ayat selanjutnya, iaitu ayat 43, surah al-Nisa. Antara kandungannya ialah Allah melarang orang Islam menunaikan solat ketika mereka mabuk, sehinggalah mereka benar-benar mengetahui apa yang mereka bacakan. Pada tahap itu, arak dan judi masih belum diharamkan secara tegas .
Akhirnya, Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Maidah, ayat 90 yang dengan tegas mengatakan bahawa arak, judi, menyembelih korban untuk berhala dan nujum adalah lebih keji dan lahir daripada perbuatan syaitan.
Berdasarkan urutan turunnya ayat-ayat itu, jelaslah bahawa Allah tidak membuat larangan secara sekali gus, tetapi berperingkat sesuai dengan tahap dan pembangunan ummah pada ketika itu. Lagi pun, di peringkat akhir, meminum arak pada ketika itu sudah bertukar menjadi satu kebiasaan, bahkan menjadi amalan dan lumrah.
Melihat proses pengharaman arak yang dilakukan secara tadrij (berperingkat), ia menggambarkan Islam mementingkan pendidikan daripada paksaan dan bukannya untuk menunjukkan kuasa mutlak ke atas umatnya atau kaum-kaum lain.
Pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW, beberapa sahabat memecahkan tempat menyimpan arak milik bukan Islam. Rasulullah telah meminta supaya para sahabat berkenaan membayar diat (ganti rugi) yang jumlahnya setimpal dengan nilai barangan yang telah dirosakkan.
Ini boleh dijadikan asas bahawa orang bukan Islam boleh meminum minuman yang memabukkan atau memprosesnya selagi tidak memudaratkan orang lain. Namun, mereka perlu sedar bahawa perbuatan tersebut bercanggah dengan ajaran umat Islam. Jika mereka hendak meneruskan juga perbuatan itu, maka hendaklah dilakukan secara yang tidak mengganggu umat Islam seperti di tempat-tempat khusus dan tersembunyi.
Pengajaran dan pembinaan hukum Islam seperti dalam kes pengharaman arak ini amat sesuai dengan situasi yang wujud di Malaysia, iaitu umat Islam dan bukan Islam hidup bersama dalam sebuah entiti negara.
Sebelum menghuraikan kesesuaian ini, kita perlu maklum bahawa dalam pemikiran politik pentadbiran Islam, terdapat satu prinsip yang perlu dipatuhi oleh pemimpin apabila mereka ingin memutuskan sesuatu tindakan atau dasar terhadap rakyatnya.
Prinsip itu terkandung dalam siasah syariah. Imam Syafie r.a. dalam kitabnya Asybah Wa al-Nazair ada membincangkan satu kaedah yang bermaksud: Pemimpin seharusnya bertindak ke atas rakyatnya berdasarkan kesesuaian maslahah (kebajikan dan kepentingan umum).
Berbalik kepada isu arak di Malaysia, para ummah tertanya-tanya apakah hukum ke atas satu pemerintahan yang menghalalkan pengimportan arak dan membenarkan rakyat bukan beragama Islam meminum arak secara berlesen? Begitu juga tentang cukai yang dikenakan ke atas najis tersebut.
Ada pendapat mengatakan cukai itu halal, sekiranya cukai berkenaan bercampur dengan cukai-cukai barangan halal lain. Pendapat ini, seolah-olah menyamakan arak itu dengan air mutanajjis. Air tersebut ialah air yang bercampur antara najis dengan air mutlak dan campurannya pula melebihi dua kolah. Air ini dikira boleh digunakan untuk keperluan bersuci seperti wuduk, mandi dan sebagainya.
Jika inilah kiasannya, maka ia tidak tepat dan tidak sesuai. Ini kerana dalam masalah air mutanajjis ini, air berkenaan benar-benar bercampur dan tidak boleh dipisahkan lagi. Walhal, dalam kes cukai, jumlahnya boleh dipisahkan di antara satu cukai dengan cukai yang lain. Ini bererti pendapatan hasil daripada cukai arak boleh dipisahkan dan dimasukkan ke dalam kumpulan wang yang khusus.
Dalam soal hukum ke atas pemerintahan yang membenarkan pengimportan arak adalah berbeza. Perlu diketahui bahawa mereka yang mengimport arak bukanlah golongan orang Islam. Bagi bukan Islam, meminum arak adalah satu budaya. Sudah pasti mereka akan membawa masuk arak sama ada secara diizinkan oleh pemerintah ataupun tidak.
Jika pemerintah mengizinkan, bererti pemerintah dapat mengawal dan memantau kegiatan membekal, menyimpan, menjual dan meminum arak, selain mendapat hasil daripadanya.
Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, beliau pernah mengenakan cukai import ke atas minuman keras yang dibawa masuk dari luar negara. Hasil kutipan tersebut dimasukkan ke dalam sumber am negara dan dibelanjakan untuk pengurusan infrastruktur seperti jalan raya.
Ini menggambarkan suatu pemerintahan yang bijaksana apabila pengimportan najis tersebut dibenarkan dan dikawal. Maksudnya, pemerintah telah mengambil langkah memilih bahaya (kemudaratan) yang sedikit daripada bahaya yang lebih besar.
Ini adalah satu lagi prinsip yang terdapat dalam usul fikah, yang mengizinkan kewajaran ke atas sesuatu tindakan. Malah dalam usul fikah juga terdapat perkara yang menekankan menangani bahaya yang khusus adalah lebih diutamakan daripada bahaya yang umum (yang boleh melibatkan kemudaratan yang lebih besar).
Dalam hal ini, kerajaan Malaysia tidak memberi kebebasan sewenang-wenangnya terhadap arak, baik dari segi iklan atau penjualan kepada rakyatnya. Pada masa yang sama, kerajaan juga tidak memaksa rakyat bukan Islam meninggalkan budaya minum arak kerana melakukan sesuatu secara paksaan akan hanya mengundang keburukan. Lebih penting daripada itu, kerajaan juga mengambil langkah mendidik warganya supaya jangan terjebak ke dalam lembah judi dan arak.
Inilah persepsi yang sepatutnya difahami apabila kerajaan mengizinkan pengimportan ke atas arak, atau mengeluarkan lesen judi. Kerajaan juga tidak menghalalkan arak dan judi atau mendorong dan menggalakkan rakyatnya berjudi dan meminum arak.
Tegasnya arak dan judi adalah untuk mereka yang bukan beragama Islam, yang menjadikan judi dan arak itu sebagai lumrah dalam kehidupan mereka. Lagi pun undang-undang dalam enakmen syariah di setiap negeri ada memperuntukkan fasal-fasal yang menjatuhkan hukuman ke atas kegiatan dan penglibatan umat Islam dalam kes judi dan arak.
Begitu juga dengan persoalan yang sering diajukan oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan cara kerajaan membelanjakan wang-wang haram itu. Mereka tidak sedar bahawa Rasulullah sendiri pernah mengambil cukai daripada masyarakat Yahudi Madinah, atau masyarakat zimmi. Sudah pasti wang cukai yang dibayar oleh masyarakat itu bergelumang dengan sumber-sumber yang haram di sisi ajaran dan syariat Islam.
Dalam satu riwayat Imam Bukhari r.a yang dipetik dari Ibnu Umar r.a., ketika Rasulullah membuat perjanjian perdamaian dengan penduduk Khaibar, timbul satu permohonan dari Sayah yang telah meminta harta Huyai. Rasulullah menjawab:
Harta Huyai telah tiada (harta tersebut) telah dibelanjakan untuk keperluan perang.
Dengan itu, adalah jelas Rasulullah pernah menggunakan harta orang Yahudi. Dalam hal itu, individunya ialah Huyai bin Akhthab bin Sayah - bapa mertua Nabi SAW sendiri. Kegunaannya ialah untuk kepentingan negara iaitu perang.
Imam Malik menyebut, tindakan menggunakan harta untuk kepentingan negara sebagai maslahah al-'ammah atau keperluan umum. Hikmahnya adalah jika harta tersebut tidak diambil atau digunakan, harta itu akan jatuh ke satu pihak yang mungkin menggunakannya untuk mencemarkan nama baik negara, menentang kerajaan, atau untuk keperluan yang manfaatnya tidak dapat diperoleh oleh masyarakat umum.
Mohd. Shauki Abd Majid ialah PengurusPenyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz2EoPXAyrl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

TERHANGAT, TERKINI DAN TERHEBAT